Tuesday 15 January 2013

OKu Sayang Bab 17


Bab 17
Mereka berpelukan sebelum Ain Syuhada dan Aidil Zafran masuk ke perut kereta Mercedes Benz M Class itu. Pak Deris setia menanti di pintu kereta setelah memasukkan bagasi milik pasangan pengantin baru itu ke dalam bonet kereta.
“Jangan lupa, Ain. Nanti telefon mama selalu. Kamu pula Aidil kalau dah kerja tu jangan lupa pada Ain. Kamu tu bukan sorang lagi”. Sempat lagi Puan Azizah menitipkan pesan. Datuk Adila yang berada di samping Puan Azizah turut memeluk dan mencium iparnya itu tanda perpisahan.
“Akak ni kalau boleh memang tak nak Aidil yang ke UK. Tapi dia berkeras jugak nak pergi. Akak setuju je. Lagipun bila fikir Ain ada sama, tak palah. Sambil kerja boleh honeymoonkan?”. Ain Syuhada cuma tersenyum. Namun dalam hatinya tidak habis dengan debar. Entahlah nasibnya kelak bila di UK nanti. Mungkin makin teruk dilayan oleh Aidil Zafran.
Semalam sempat juga dia menelefon ayah dan ibunya di kampung memberitahu mengenai kepergiannya ke UK bersama Aidil Zafran. Mereka hanya berpesan supaya dia menjaga diri dan menjaga rumahtangganya supaya  aman bahagia.
Kereta Mercedes itu bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah agam itu. Ain Syuhada melambai tangannya pada Puan Azizah dan Datuk Adila hingga hilang dari pandangan. Dia kemudian membuka sampul surat besar yang bertanda lambang Kementerian Pendidikan Malaysia itu. Sudah seminggu sampul itu diterimanya dari Melissa cuma dia tidak berkesempatan untuk membukanya.
Aidil Zafran hanya mendiamkan diri. Dia lebih banyak berbual dengan Pak Deris berbanding berbual dengannya. Ain Syuhada tidak ambil pusing. Sebaliknya dia tekun membaca surat yang baru dikeluarkan dari sampul besar itu. Dia tersenyum apabila permohonan DPLI itu berjaya dan perlu melapor diri hari ini juga. Ain Syuhada menelan liur. Nampaknya  cita-citanya hendak menjadi pendidik bakal berkubur kerana mengikut Aidil Zafran ke UK. Dia pasrah jika itu bukan rezekinya. Dia masukkan semula surat itu ke dalam sampul lalu di simpan di dalam beg sandangnya.
Dia terpegun sekejap melihat airport KLIA yang begitu besar. Nampak beberapa kapal terbang besar yang berlabuh di  KLIA itu. Inilah kali pertama dia berada di sini. Tak pernah termimpi pun akan ke UK sebentar lagi. Pak Deris menurunkan bagasi mereka di hentian penumpang. Ain Syuhada terleka sebentar melihat keriuhan KLIA  yang terdiri dari pelbagai bangsa itu.
“Wei, tercegat apa lagi. Penat dah aku panggil ni. Jomlah masuk ke balai berlepas. Nanti nak check in bagasi lagi”. Aidil Zafran mula membebel. Suaranya sudah naik beberapa oktaf melawan kebisingan di KLIA ini. Ain Syuhada hanya menarik senyum menutup malu bila beberapa pasang mata melihat ke arahnya. Malu kerana dibebel sebegitu. Hmm…pakcik ni tak padan dengan buta. Sekali membebel hilang handsome. Omel Ain Syuhada dalam hati. Dia meletakkan bagasi mereka ke dalam troli, kemudian memimpin Aidil Zafran ke balai berlepas. Bebel…bebel…aku juga kena usung dia. Ain Syuhada pula membebel dalam hati. Apa dia ingat dia saja pandai bebel. Aku pun pandailah!. Tingkahnya pula.
“Kita kat mana?”. Soal Aidil Zafran setelah dirasakan agak lama dia mengikut langkah Ain Syuhada.
“Nak masuk tempat check bagasi. Kenapa?”. Soal Ain Syuhada pelik. Tadi beria benar nak suruh cepat.
“Okeylah. Aku rasa setakat ni saja kau hantar aku. Nanti pihak MAS boleh take over bantu aku”. Ain Syuhada bertambah pelik mendengar Aidil Zafran berkata begitu.
“Bukan kita nak ke UK ke?”
“Bukan kita tapi aku”. Pantas Aidil Zafran memotong cakap Ain Syuhada.
“Beginilah. Aku sebenarnya tak da hati pun nak bawa kau ke UK. Sengaja aku bohong kau dan family kita.” Aidil Zafran sambung lagi ayatnya yang tergantung tadi. Ain Syuhada masih lagi tidak faham.
“Ini kad kredit dan no pin. Tiap-tiap bulan aku akan masukkan duit nafkah untuk kau.” Aidil Zafran menunjukkan kad itu pada Ain Syuhada, namun tidak disambut.
“Ini kad kredit. Ambik”. Dia sudah mula meninggikan suara. Ain Syuhada pantas mengambil kad kredit itu sebelum adegan sebabak mereka menjadi perhatian pengunjung di KLIA itu.
“Habis tu, saya nak pergi mana?”. Ain Syuhada telan liur. Kemana dia hendak pergi sedangkan dia sudah berkemas bagai untuk mengikut Aidil Zafran ke UK.
“Ikut suka kau. Lepas selesai kerja aku di UK. Aku akan balik sini. Masa tu aku putuskan hala tuju perkahwinan kita. Kau doalah agar hubungan kita ni bertahan. Tapi aku tak rasa kita akan bertahan.” Sinis betul nada suara Aidil Zafran. Yakin benar pernikahan mereka ini akan sampai ke penghujungnya. Ain Syuhada terasa seperti hendak putus nyawa. Kemana hendak dibawa dirinya. Kembali ke pangkuan keluarga, tak mungkin. Dia tak mahu merisaukan hati kedua ibu bapanya.
Air mata sudah bergayutan ditubir mata. Menanti hendak luruh sahaja. Pengumunan mengenai penerbangan ke UK telah membuatkan Ain Syuhada seperti hendak meraung di situ saja. Dia masih erat memegang tangan Aidil Zafran seperti tidak mahu lepas.
“Lepaslah. Nanti aku tertinggal kapal terbang pulak”.
“Bos, jangan buat saya macam ni.” Suara Ain sudah serak menahan tangis.
“Aku punya sukalah. Puas hati aku. Kau berambuslah kemana kau nak pergi. Tapi ingat! Kau tetap isteri aku selagi tiada kata putus dari aku.” Aidil Zafran sudah memberi amaran sebelum melangkah pergi dengan dibantu oleh tongkat putihnya. Ain Syuhada seperti patung cendana tidak bergerak melihat langkah Aidil Zafran menuju ke balai berlepas. Lama dia berdiri di situ. Di tengah laluan orang ramai yang berpusu-pusu untuk check in bagasi mereka.
“Cik…cik…”. Panggilan dari seorang gadis yang lengkap beruniform MAS itu mengejutkan dirinya dari realiti sebenar. Dia pantas mengelap pipinya yang dibasahi airmata.
“Cik okey?”. Soal gadis itu lagi. Ain Syuhada mengangguk. Gadis itu membawanya duduk di kerusi yang terdapat di situ. Kemudian dia meletakkan beg sandang di atas ribaan Ain Syuhada.
“Beg ini hampir tercicir tadi.” Ain Syuhada memegang kemas beg itu dalam ribaannya.
“Cik okey?”. Gadis itu ulang lagi pertanyaannya.
“Saya okey. Terima kasih”. Ucap Ain Syuhada pada gadis itu.
“Hmm…kalau okey saya nak gerak dulu. Nanti tertinggal kapal terbang pula”. Balas gadis itu sebelum meminta izin untuk pergi. Ain Syuhada hanya tersenyum dan melambai ke arahnya. Dia masih duduk di situ sambil matanya melihat kelibat manusia lalu lalang di situ. Sungguh sekarang ni dia sudah buntu. Hendak mengadu pada Melissa, kakak iparnya itu bersama abangnya sekeluarga ke Bunei makan angin. Sekarang ni dia memang terdesak. Tidak tahu kemana arah hendak dituju. Pulang ke pangkuan mamanya Puan Azizah. Tak pasal-pasal dia membuka pekung di dada. Nanti dia juga akan disalahkan kerana membuat Aidil Zafran menjadi buta. Oh..apa hendak dibuat. Ya ALLAH, bantulah hambamu yang lemah ini. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Kemudian matanya tertancap pada beg sandangnya. Dia mengeluarkan sampul surat besar itu. Membacanya dengan lebih teliti pada kali ini. Tiba-tiba dia senyum. Hmm. IPIK Cheras Kuala Lumpur. Kali ini dia menadah tangan bersyukur pada jalan yang ALLLAH tunjukkan. Dia bangun dari kerusi, melihat kad kredit yang masih di dalam genggamannya. Kau bagi nafkah untuk aku tiap-tiap bulan ye…It Okay…aku akan belanja habis-habisan sampai kau botak licin. Dia pejam mata membayangkan Aidil Zafran yang buta dan botak licin itu. Kemudian  dia ketawa pula, semua mata memandang ke arahnya kerana pelik melihat gelagatnya. Pedulilah…yang penting mesti cepat blah dari KLIA yang menyakitkan jiwanya itu.  

2 comments:

  1. jap nper kakak aidi gelaran datuk adila?? mak aidil puan azizah?? datuk adam sape plak??

    ReplyDelete
  2. Datuk Adila dan Datuk Adam tu abang dan kakak tiri Aidil, Puan Azizah bini no 2 sebab tu tak pakai title Puan Sri...

    ReplyDelete