Tuesday, 15 January 2013

OKU Sayang Bab 14


`Bab 14
“Bos, saya nak mohon cuti. Urgent”. Pinta Ain Syuhada dengan suaranya ditahan-tahan. Dia sedang menahan tangis dari dengari oleh Aidil Zafran.
“Kenapa?”
“Mak telepon dari kampung. Ada hal penting”. Jawabnya. Airmata sudah bergenang dipelupuk matanya. Suaranya sudah berubah menjadi serak. Pagi tadi masuk saja ke pejabat, dia mendapat telefon dari Puan Ainon. Suara ibunya yang sudah meninggi itu diselang seli dengan tangisan. Dia kalut bila mendengar suara ibu diiringi esak tangis. Seperti sesuatu perkara yang buruk telah berlaku.
“Ain, okey ke?” Soal Aidil Zafran lagi bila mendengar nada suara Ain Syuhada yang sedikit serak. Ain Syuhada menahan suara. Air mata yang mengalir  tak dapat ditahan lalu dibiarkan merembes keluar. Lututnya terasa lemah bila mendengar khabar  pertunangannya diputuskan. Dia sudah tak mampu untuk berdiri lagi. Dia duduk terjelepok di kaki Aidil Zafran sambil menangis teresak-esak.
“Kenapa Ain”. Aidil Zafran terkejut apabila dia merasakan seperti Ain duduk di kakinya. Dia pantas meraba lalu tangannya singgah di bahu Ain Syuhada yang sedang menangis itu.
“Ain nak balik kampung. Penting !.”
“Okey. Tapi dengan syarat saya ikut”. Aidil Zafran memberi kata putus. Ain Syuhada memandang  wajah Aidil Zafran. Keliru. Kenapa sampai Aidil Zafran menetapkan syarat begitu?.
“Tak perlu bos. Saya balik sendiri je”. Ain Syuhada beralasan sambil mengelap pipinya dengan tisu.
“Nak cuti, saya ikut”. Tegas kata Aidil Zafran. Ain Syuhada sudah tiada pilihan. Dia hanya menerima syarat itu dengan rela. Janji dia dapat cuti dan segera sampai di kampung.

Kereta Mercedes Benz M Class dipandu masuk ke kawasan sawah padi yang terbentang luas. Aidil Zafran terasa kereta itu bergerak dengan perlahan sekali  sambil badan mereka terumbang ambing mengikut jalan tar yang tidak rata itu. Kereta Mercedes itu berhenti tiba-tiba. Ain Syuhada keluar dari perut kereta.
“Bos, kita dah sampai. Pak Deris jemputla ke rumah saya dulu”. Pelawa Ain Syuhada berbasi-basa. Aidil Zafran melangkah keluar dari perut kereta sambil dipimpin Ain Syuhada.
Puan Ainon dan Encik Ismail sudah menanti di pintu apabila mendengar bunyi enjin kereta di perkarangan rumah. Puan Ainon sudah berlari mendapatkan Ain Syuhada lalu dipeluk anaknya itu.
“Apa semua ni Ain. Awat yang  ibu Rayyan putuskan pertunangan ni. Nikahnya tak sampai 2 minggu lagi. Malu mak macam ni Ain”. Tanpa menyempat Puan Ainon sudah memuntahkan isi hatinya. Risau bila semalam Puan Maimon datang memutuskan pertunangan anak mereka. Tanpa alasan yang kukuh.
“Ainon pun. Bagilah budak tu masuk dulu. Penat pun tak hilang lagi. Kita bincang kat dalamlah.” Encik Ismail menggelengkan kepalanya melihat reaksi isterinya yang tidak sabar itu. Ain Syuhada hanya merenung wajah ibunya dengan sayu. Lemah sendinya untuk menjawab pertanyaan ibunya.
“Ayah, mak. Ini bos Ain. Aidil Zafran. Yang ini Pak Deris”. Mereka berjabat salam. Encik Ismail memegang lama tangan Aidil Zafran. Dari raut muka seakan dikenalinya lelaki muda dihadapannya ini.
“Jemputlah masuk.” Ramah Encik Ismail menyambut mereka. Puan Ainon sudah berjalan seiring dengan Ain Syuhada. Manakala Aidil Zafran pula dipimpin oleh Pak Deris.
“Lagumana ni Ain. Nikahnya lagi 2 minggu. Semua persiapan untuk kenduri dah sedia. Kad undangan dan diedar. Orang kampung semua dah dijemput. Tak kan nak batalkan macam tu je.” Puan Ainon bertanya pula. Risau dia memikirkan kenduri yang jadi atau tidak. Kalau dibatalkan rugi dia nanti. Kalau rugi itu dia tak kisah sangat. Tapi malunya yang akan ditanggung. Orang kampung akan bercerita yang buruk-buruk saja kalau perkahwinan  ini dibatalkan.
“Ain tak tahu mak. Ain tak tahu.” Ain Syuhada sudah mengeleng kepalanya. Sakit kepalanya kerana terlalu banyak memikir. Dia pun tak tahu pertunangan ini diputuskan. Tanpa berbincang dulu dengannya. Alih-alih Puan Maimon sudah menggunakan kuasa vetonya untuk membuat keputusan.
“Ain pun tak hendak putus mak. Cincinnya masih Ain pakai lagi. Biar Ain bersemuka saja dengan mereka. Minta perjelaskan kenapa pihak sana minta putus”.
“Tak payah Ain. Puan Maimon kata dia rela bayaq  ganti rugi. Asal pernikahan ini tak jadi. Cincin tu pun dia tak mau Ain pulang balik. Mak tak taulah. Mak tak faham. Pasai apa tiba-tiba jadi macam ni”. Puan Ainon sudah menangis pula. Aidil Zafran yang berada berhampiran mereka hanya mendengar simpati.
 “Tak perlulah Ain. Kalau dah mereka tak hendak, buat apa kita nak terhegeh-hegeh lagi. Kita pun ada maruah Ain.” Encik Ismail menahan geram. Kalau tak jadi nikah pun dia tak kisah. Dipaksa nanti, hidup anaknya yang menjadi taruhan. Dia tak pasti bagaimana orangnya si Rayyan Aziz tu. Ain Syuhada pun tak pernah bawa untuk dikenalkan dulu dengan mereka. Alih-alih rombongan meminang yang sampai. Dia sebagai ayah hanya menurut saja kalau itu dah kemahuan Ain Syuhada.
“Abang cakap senang. Habis muka kita ni nak letak kat mana. Malu saya bang”. Puan Ainon bersuara lantang.
“Kita buat lah juga kenduri. Buat kenduri arwah saja. Alang-alang dah dipanggil semua orang.”
“Saya tak kira. Ain kena kawin juga”.
“Gila. Sapa nak jadi suaminya?”
“Ayah, mak tak perlu bertekak pasai Ain.” Ain Syuhada sudah menangis teresak-esak. Dia sudah tak malu untuk menangis di hadapan Aidil Zafran dan Pak Deris lagi. Otaknya sudah serabut.Terasa seperti mahu pecah kepalanya memikirkan penyelesaian masalahnya ini. Tiba-tiba dia merasakan pandangannya berpinar-pinar dan berubah menjadi kelam. Dia merasakan tubuhnya sudah melayang-layang. Makin lama makin berat tubuhnya untuk duduk dengan seimbang. Akhirnya dia pengsan di situ.
Aidil Zafran hanya diam mendengar pertengkaran keluarga itu. Dia hanya jadi pemerhati. Rasanya tidak perlu untuk masuk campur. Jeritan dari Puan Ainon membuatkan dia tersentak.
“Ain sayang. Bangun nak. Jangan buat mak macam ni. Mak minta maaf”. Puan Ainon sudah memeluk tubuh Ain yang kaku itu. Encik Ismail menerpa ke arah Ain Syuhada lalu ditepuk perlahan pipi mulus anaknya. Namun tiada tindakbalas.
“Kenapa pakcik”. Soal Aidil Zafran apabila mendengar suara mereka yang kecoh-kecoh itu.
“Ain pengsan”. Jawab Pak Deris.
“Kita bawa saja ke hospital”. Dia cuba berdiri. Mahu saja dicempung tubuh Ain Syuhada. Namun hanya akalnya saja yang berfikir, tapi tiada tindakan darinya kerana sedar batas keupayaan yang ada pada diri. Pak Deris memimpin Aidil Zafran dengan pantas lalu dibawa masuk ke kereta. Aidil Zafran hanya menurut langkah Pak Deris. Dia tidak tahu situasi yang berlaku. Apa yang pasti Ain Syuhada perlu dibawa ke hospital dengan segera.
“Kita ke hospital”. Balas Pak Deris menghidupkan enjin kereta Mercedes Benz M Class. Aidil Zafran setia duduk di sebelah pemandu. Puan Ainon memangku tubuh Ain Syuhada. Encik Ismail pula mengekori dengan keretanya.

Lama mereka menanti di wad kecemasan itu. Aidil Zafran hanya duduk di kerusi sambil berdoa agar Ain Syuhada tidak apa-apa.
“Anak encik tak apa-apa. Cuma dia stress. Dia masih lagi tidur. Kami dah pindahkan dia ke wad biasa. Kalau tiada aral esok dia boleh keluar.” Terang Doktor wanita itu ramah. Puan Ainon hanya mengangguk faham. Encik Ismail mengucapkan terima kasih. Jelas terbayang kelegaan pada wajah mereka kerana Ain Syuhada tidak apa-apa. Kemudian mereka berempat menuju ke wad yang dimaksudkan.
“Itulah, kita tak payah berkelahi lagi. Kalau dah tiada jodoh. Terima saja. Jangan dipaksa anak kita tu”. Encik Ismail berkata dengan perlahan pada Puan Ainon. Kata-kata yang bersifat amaran itu. Puan Ainon hanya diam. Namun dalam hati dia memang tidak puas hati.
Setelah pasti keadaan Ain Syuhada yang masih tidur. Aidil Zafran meminta diri untuk kembali ke Kuala Lumpur. Banyak kerja yang tertangguh. Dan dia sendiri pun merasakan  tidak perlu dia berada lama-lama di sini.
“Eh…tidolah di sini. Esok baliklah”. Encik Ismail menjemput mereka bermalam di rumahnya. Namun ditolak lembut oleh Aidil Zafran. Dia tidak mahu menyusahkan mereka. Kemelut yang melanda pun sudah membuatkan mereka susah hati, jadi dia tidak mahu kehadirannya dan Pak Deris  menambahkan beban lagi.
“Terima kasih lah pakcik. Saya kena balik malam ni jugak. Banyak kerja kat pejabat yang tak langsai lagi. Saya ni cuma nak hantar Ain saja. Dia pun dah selamat sampai. Jadi saya rasa lebih baiklah saya minta diri dulu”. Encik Ismail hanya menurut. Dia pun susah hati memikirkan masalah yang melanda keluarga mereka. Kesian pada Ain!.. Mereka berjabat salam sebelum Aidil Zafran melangkah pergi sambil dipimpin Pak Deris.

Aidil Zafran sudah tidak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sengaja dia meminta Pak Deris menghantarnya ke rumah Datuk Adila. Ada banyak benda yang perlu dibincangkan bersama mamanya Puan Azizah yang menetap bersama Datuk Adila. Walaupun pulangnya sudah dinihari, namun dia tidak peduli. Penting baginya untuk menyampaikan hasrat yang terpendam di hati. Kalaupun menganggu tidur penghuni rumah Datuk Adila, dia tidak kisah dimarahi sekalipun asalkan keinginan  dihati dapat disampaikan dengan segera.
Puan Azizah terkejut menerima kedatangan anak tunggalnya itu. Dahlama Aidil Zafran tidak singgah ke sini. Apatah lagi kedatangan Aidil Zafran pada waktu pagi  begini dengan rupa yang letih.
“Hai, mimpi apa yang tiba-tiba datang sini. Aidil ni dari mana?Letih je mama tengok”. Puan Azizah menyoal setelah Aidil Zafran duduk di sofa. Tali  leher yang mencengkam lehernya dilonggarkan.
“Hmm…Aidil. Pagi-pagi lagi tak da kat ofis. Pelik macam chipsmore. Sekejap ada sekejap tak da. Ni yang datang pukul 4 pagi ni, mimpi apa pula?...Ganggu aje kita nak tidur”. Datuk Adila pula menyampuk dengan  suara yang serak kerana bangun dari tidur.
“Aidil ke kampung Ain Syuhada. Hantar dia balik”. Jawab Aidil Zafran bersahaja.
“Hah…!”. Datuk Adila sudah melopong. Matanya dibuka luas-luas. Sudah hilang rasa mengantuk.
“Siapa Ain tu?”. Puan Azizah menyoal. Datuk Adilla sudah mengangkat kening memandang mamanya.
“Buah hati!’. Jawab Datuk Adila separuh berbisik.
“Mama dan kakak boleh tolong Aidil”. Pinta Aidil Zafran tidak sabar.
“Tolong apa?”. Soal Datuk Adilla dan Puan Azizah serentak.
“Pinangkan Ain Syuhada untuk Aidil”
“Hah!!!!”. Masing-masing sudah terkejut.
“Boleh ke tak?Please mom. Pinang Ain Syuhada sampai dapat”. Aidil Zafran sudah separuh merayu. Puan Azizah dan Datuk Adila saling berpandangan. Seakan tidak percaya dengan permintaan Aidil Zafran.
“Tapi…bukankah Ain tu sudah bertunang. Berdosa kita meminang kepunyaan orang.” Datuk Adila sudah kehairanan. Baru bulan lepas Melissa minta cuti padanya kerana mahu meraikan pertunangan Ain Syuhada. Aidil Zafran sendiri mengiakan yang Ain Syuhada milik orang. Tup…tup…! Hari ni disuruh meminang Ain Syuhada. Apa sudah jadi?!!!.
“Panjang ceritanya kalau Aidil nak berkisah”. Aidil Zafran membetulkan duduknya. Ikatan tali leher yang longgar dipecat terus dari kolar bajunya. Dia mengeluarkan bucu baju yang kemas berada dalam seluar. 2 butang baju kemeja paling atas dibuka. Memberikan sedikit ruang padanya untuk bernafas. Badan sudah terasa tidak selesa. Berpeluh dan melekit. Maklumlah seharian belum mandi. Hanya sempat mengambil wuduk sahaja untuk menunaikan solat semasa di Kedah tadi. Huh! Betul-betul giler…pukul 4 pagi dia sudah tercongok di rumah Datuk  Adila mengejutkan mereka dari tidur.
“Okey. Akak tak kisah. Mata pun dah tak mengantuk lagi. Lepas sudah dengar kisah Aidil, akak boleh bersiap terus nak ke ofis”. Puan Azizah dan Datuk Adila sudah kemas duduk di sofa menghadap Aidil Zafran. Masing-masing sudah tidak sabar mendengar cerita.
“Lepas dah dengar cerita. Pinangkan Ain  untuk Aidil?”. Dia mengulang lagi ayat yang sama.
“Baik, bos”. Datuk Adila dan Puan Azizah bersuara serentak sambil ketawa. Bersetuju untuk menurut perintah. Nampaknya Aidil Zafran memang sudah tidak dapat bersabar lagi. Pagi-pagi buta pun rela berkisah ceritanya asalkan Ain Syuhada dapat dipinang. Nampaknya betul-betul Aidil Zafran gilakan Ain Syuhada.

 


No comments:

Post a Comment