Saturday 28 September 2019

KAU DUDA AKU JANDA BAB 6





Bab 6
            Sudah dua helai baju Hana sudahkan jahitan karipap pada lehernya. Namun batang hidung Izham tidak juga muncul. Baju tidur satin berwarna hitam itu dibetulkan di tubuh. Baju tidur pertama yang dibeli untuk meraikan makna ikatan pernikahan mereka dahulu. Harap Izham masih ingat pada kenangan romantis yang mereka ciptakan bersama sehingga lahirnya Rizqin.
            Bunyi deruan enjin kereta buat Hana meluru ke pintu utama. Dia mahu menyambut Izham dengan lirikan senyuman. Rambut lurus separas bahu itu dilurut perlahan. Tak mahu nampak berselerak. Dia cium bau badan sendiri. Wangi. Dia puas hati kerana losyen Nivea yang masih berbaki itu masih kuat baunya.
            “Abang dah balik”. Ujarnya lembut seraya tersenyum manja melihat wajah Izham di muka pintu. Terkejut Izham kerana disambut isteri waktu pagi dinihari sebegini.
            Izham pandang atas bawah-atas bawah diri Sofia. Masih cantik seperti dulu. Cuma badannya agak berisi sedikit. Tapi semua itu sudah membangkitkan rasa dalam jiwanya. Teringat pada kulit putih melepak Sofia tadi.
            Izham rangkul tubuh Hana lalu dibawanya ke sofa panjang di ruang tamu. Hana hanya menurut. Tak salah mengikut rentak Izham kerana sudah lama dia mengabaikan keinginan Izham.
            Baru beberapa minit menyulam cinta, Hana menyerah kalah. Izham bangun dengan rasa hampa.
            “Hana minta maaf, abang”. Hanya itu yang mampu Hana ucapkan. Menitis air matanya kerana tidak berdaya. Izham berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Jelas ada rasa marah tertera di wajahnya.

            “ABANG NAK KEMANA?”. Soal Hana sewaktu melihat Izham menuju ke arah pintu utama.
            “Makan dulu, bang?”. Pelawa Hana lagi. Namun Izham masih diam membisu. Tak akan sebab perkara semalam, marah Izham masih berbekas.
            “Makan dulu, bang”. Ulang Hana lagi.
            “Aku tak ada selera”. Balas Izham lalu menutup pintu rumah. Kalau Izham marah, gaya bahasa dia bercakap pun sudah lain. Hilang panggilan awak-saya sudah diganti dengan aku-kau sahaja.
Hana mengeluh hampa. Rasa bersalah perihal semalam terbit di jiwanya. Bukan dia tak mahu membahagiakan Izham. Tapi dia tidak berdaya. Melahirkan Rizqin dan menguruskan rumahtangga membuatkan dia cepat letih. Stres dan letih telah membunuh keinginannya. Hana ingin menjerit, meluahkan rasa peritnya selama ini. Dia ingin bersuara meluahkan apa yang terbuku di hatinya semenjak menjadi isteri Izham. Bukan ini yang dia mahu. Bukan ini yang didamba pada lelaki idamannya sejak di bangku sekolah itu. Hana sentuh pipinya, peristiwa pahit itu terlayar di depan mata.
“Pantang bagi aku, isteri yang pandai menjawab”. Suara Izham naik tinggi.
“Hana cuma suarakan apa yang Hana rasa, abang”.
“Apa yang kau tak puas hati lagi, Hana?”. Mencerlung mata Izham pandang Hana geram.
“Kau dah tinggal di Kuala Lumpur. Duduk di rumah dua tingkat ni. Bersuamikan aku pengurus bank. Bersuamikan lelaki yang terpelajar. Nak banding dengan kau, setakat SPM pun tak lulus. Apa lagi yang kau tak puas hati?”. Tempik Izham. Geram sungguh rasa hatinya apabila Hana meninggi suara tak puas hati dengan duit nafkah yang dihulur sebanyak RM200 sebulan itu.
“Bila mak abang minta sampai seribu sebulan, abang ikutkan je. Tak pernah abang merungut. Hana ni isteri abang, RM200 tu tak cukup nak berbelanja. Tak cukup untuk beli keperluan Hana. Tambah-tambah Hana dah mengandung, bang”. Rayu Hana mohon simpati. Bukan Hana berdengki. Tetapi Izham tidak adil dalam soal pemberian nafkah.
“Kau tu patut bersyukur. Mujur juga aku bagi duit. Kalau aku tak bagi duit langsung, kau nak kata apa?. Kau tu tak bekerja. Buat apa nak duit banyak-banyak. Kau tu duduk di rumah ja, makanlah apa yang ada. Tak perlu nak bermewah-mewah. Masa di kampung pun kau hidup susah juga”.
“Tapi Hana ni isteri abang. Wajib abang bagi nafkah secukupnya. Berdosa kalau abang tidak berlaku adil. Sanggup abang nak bersoal jawab dengan ALLAH nanti”. Luah Hana geram. Kerja saja sebagai pengurus bank, tapi bab kira-kira wang untuk nafkah isteri tak pandai pula.
“Pang!”. Satu tamparan keras hinggap di pipi Hana.
Mujur lagi tak sampai dia jatuh terjelepuk. Hampir juga dia hilang imbangan untuk berdiri. Pecah tangis Hana kerana terkejut dengan tamparan Izham. Sampai hati Izham sanggup mengangkat tangan dalam keadaan dia sedang berbadan dua.
“Kalau kau tak nak sakit, kau jangan bagi aku marah!”. Izham pergi meninggalkan Hana yang masih menangis kerana terkejut.
Sejak itu, Hana tak berani lagi melawan kata-kata Izham. Tak berani untuk mempertahankan haknya. Biarlah dipendam saja rasa kecewa di dalam sanubari. Berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Allah itu ada untuk membalas setiap ketidakadilan dalam rumah tangganya itu.

KAU DUDA AKU JANDA BAB 5





Bab 5
            Sofia melirik teman sebelah yang tekun memandu. Sesekali dia memandang lelaki yang menjadi kenalannya hari ini. Setelah penat berduet menyanyikan lagu cinta, Sofia minta diri kerana hari sudah lewat benar.
            “Tak menyusahkan ke hantar I malam-malam macam ni?”. Sofia sekadar berbasa-basi.
            “Taklah. Kebetulan kita satu jalan kan, eloklah I hantar Cik Sofia balik”. Izham sengih.
Seronok kerana dapat menghantar wanita anggun malam ini. Mana tahu, dengan pertolongan tidak seberapa akan memanjangkan lagi usia perkenalan mereka. Tak mahu dia melepaskan peluang yang ada. Lagi pun tak salah lelaki untuk menambahkan kenalan. Lelakikan sudah diberi kouta sampai empat. Dia baru ada satu, tiga lagi masih kosong. Izham ketawa dalam hati. Nakal betul akalnya berfikir sampai nak menambah kouta. Chill okey, berkawan biar seribu.
“Cik Sofia kerja dimana?”. Soalnya ingin tahu. Mana tahu bila lapang, boleh ajak keluar lunch.
“Damansara Utama, Syarikat Astana. Secretary kat situ”. Balas Sofia yakin.
“Hmm…boleh tak panggil I  Sofi. Tak perlu cik kat depan tu. Baru mesra”. Sambung Sofia lagi.
“Sofi…mesra.” Izham angkat kening. Tak ada hal. Mesra lagi baik.
“Taklah jauh dengan tempat kerja I. Kalau ada masa, boleh kita keluar lunch”. Sengaja Izham memasang jerat.
“Why not?. I anggap you dah ajak I keluar lunch, okey?”. Balas Sofia ketawa. Entahlah, malam ini dia rasa seronok sangat. Hilang rasa sunyi kerana sudah ada teman untuk berbicara. Mungkin tarikan magnet berlainan jantina itu membuatkan hormon endorphin melonjak naik. Hilang rasa stress, timbul rasa seronok di hati Sofia.
“You dah sampai kawasan rumah I, Izham?”. Kedengaran suara Sofia berbaur hampa. Rasanya belum puas lagi dia berbicara dengan Izham, jalan masuk ke kawasan rumahnya sudah kelihatan.
“Oh, ya ke?”. Izham melirik mata pada waze yang terpasang di telefon bimbitnya. Seronok berbual sampai tidak sedar, dia hampir sampai ke rumah Sofia. Tengok pada persekitaran kawasan rumah itu, buat Izham membuntang matanya luas-luas. Mewah. Buat Izham terdetik di hati, kerja setiausaha sahaja tapi mampu tinggal di rumah mewah sebegini. Ini Kuala Lumpur, bukan Alor Setar, Kedah. Mahu harga rumah juta-juta di sini.
Izham yang kerja sebagai pengurus bank pun hanya mampu tinggal di rumah teres dua tingkat sahaja.
Izham berhentikan keretanya apabila waze sudah berbunyi menandakan dia sudah sampai di destinasi yang dituju.
“Ini rumahnya?”. Soal Izham pada Sofia.
Laju saja Sofia menganggguk. Memang rumahnya. Tapi rumah Khalil yang sebetulnya. Kerja sebagai jurutera pelantar minyak membuatkan Khalil mampu untuk memiliki rumah semewah ini. Apalah sangat setakat gaji 20 ke 30 ribu sebulan. Tapi dia juga yang merana kerana ditinggal sendirian tanpa teman di sisi.
Izham turun dari kereta. Kemudian membuka pintu di sebelah penumpang. Sengih Sofia kerana dilayan sebegitu. Kembang hatinya seronok. Nampak Izham betul-betul gentleman.
“Tak nak jemput I masuk ke?”. Izham sekadar menduga. Buntang mata Sofia terkejut. Tak akan dia nak ajak lelaki masuk rumah tengah-tengah malam begini. Tambah-tambah statusnya sebagai isteri orang.
“Err…”. Kelu lidah Sofia. Izham ketawa. Suara garau Izham kedengaran indah di telinga Sofia. Suara lelaki Izham buat Sofia rasa semacam.
“I gurau je. I tahu Sofi, dah lewat malamkan. Nanti tak pasal kena tangkap khalwat terpaksa nikah free. I okey je”. Tambah Izham dengan lirikan mata nakal. Sofia ketawa perlahan. Seronok pula mendengar gurauan Izham. Rasanya sudah lama dia tidak mendengar Khalil bergurau nakal sebegini.
“Gatal”. Desis Sofia sebelum melangkah masuk. Lirikan matanya yang menggoda menghantar isyarat pada Izham yang dia suka bergurau nakal sebegitu.
“Isy…geramnya!”. Izham pegang dadanya.
Mata masih melihat kelibat Sofia sehingga hilang di balik pintu pagar aluminium itu. Terbayang kulit putih melepak Sofia dan haruman rambut Sofia yang menujah hidungnya sewaktu mereka berduet lagu cinta semasa berkaraoke tadi. Semuanya membangkitkan satu rasa di dalam hatinya. Satu rasa yang dia pernah ada pada Hana sewaktu mereka mula-mula bernikah dahulu. Rasa manis yang hanya orang berumahtangga saja yang tahu.

KAU DUDA AKU JANDA BAB 4





Bab 4
            Hana meletakkan Rizqin di dalam katil bayi. Jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Namun bayang Izham tidak juga kelihatan. Hana bangun lalu menuju ke almari pakaian yang menyimpan bajunya. Dia melihat satu persatu baju yang ada. Betul kata Izham, dia suka sangat berbaju kelawar 24 jam di rumah kerana baju itu sahaja yang banyak menghuni almari empat pintu itu.
            Hana mencebik. Izham suka merungut, kompelin tak puas hati pada dia. Tapi Izham berkira hendak hulurkan duit buat dia mencantikkan diri. Hanya sebab dia tidak bekerja dan duduk di rumah sahaja, Izham rasa cukuplah sekadar memberi RM 200 buat belanja sebulan. Dengan duit banyak itu, nak beli seluar dalam pun tak lepas. Apatah lagi nak beli baju cantik-cantik dan alat mekap buat dirinya. Kalau dia nak berjimat menjamu perut Izham dengan telur dan ikan bilis saja, nanti dengarlah ungkitan Izham tentang duit belanja RM 200 itu. Mujur juga Rizqin hanya minum susu badan, kalau Rizqin minum susu formula agaknya cukup tak duit RM200 dibuat belanja sebulan.
            Hana memandang wajahnya yang terbias di meja solek itu. Nampak kelopak matanya yang serupa mata panda itu kesan tidak tidur secukupnya. Kulit mukanya berminyak dan kusam. Hana rasa sebak sangat. Kenapa hidupnya jadi teruk selepas bernikah dengan Izham?. Betulkah Izham itu memang berniat untuk memperisterikannya atau semuanya kerana terpaksa. Hana keliru sendiri. Teringat detik dirinya dipinang Izham dulu.
            “Siapa tu, ayah?”. Soal Hana selepas melihat kenalan ayahnya minta diri untuk pulang.
            “Mansor, kawan ayah.” Balas Pak Shahdan. Hana cuba mengingat semula. Rasa macam pernah dengar nama itu.
            “Hana ingat tak, kawan ayah masa kita duduk di kampung emak dulu?”. Hana senyum. Baru dia teringat Mansor itu bapanya Izham, abang senior masa dia bersekolah menengah dulu. Hana memang menaruh minat pada Izham. Tapi minat dari jauh. Sebab Hana sedar diri yang dia tak sebijak Izham. Sekolah pun sekadar tamat tingkatan 5 sahaja.
            “Ingat ayah. Kenapa dia datang?”. Soal Hana ingin tahu.
Rasanya sudah 5 tahun mereka terputus khabar berita selepas berpindah tinggal di Jitra. Ayah mengambil keputusan untuk balik hidup di kampung sendiri selepas emak meninggal dunia. Ayah bawa diri kerana sedar dia sekadar menumpang duduk di tanah milik keluarga emak. Selepas emak meninggal, ayah pindah duduk di Jitra. Tinggal di kampung sendiri lebih baik dari hidup menumpang di tanah orang.
Hana pula sekadar duduk di rumah tolong menjaga makan pakai ayah dan adik-adiknya seramai 3 orang itu. Kemudian mengambil upah menjahit baju orang kampung kerana Hana memang minat dalam kerja menjahit ini.
“Dia datang merisik”. Balas Pak Shahdan. Hana tersengih. Rasanya sudah lama ayah menduda. Mungkin ada yang datang untuk merisik ayah.
“Ayah setuju ke?”. Tanya Hana.
“Kalau ikut kehendak hati ayah, memang ayah setuju sangat”.
“Kalau dah ayah kata macam tu, Hana tak ada bantahan. Tapi, ayah kena tanya adik-adik dulu. Hana takut mereka tak boleh terima emak tiri”. Kata Hana polos.
Pak Shahdan ketawa melihat reaksi wajah Hana yang serius itu sambil menggeleng kepala kerana lucu dengan sikap Hana yang tidak tahu hujung pangkal cerita.
“Buat apa merisik ayah, Hana?. Ayah dah tua. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Lebih baik ayah besarkan anak-anak dari menikah lain”. Balas Pak Shahdan ketawa.
“Jadi, Pak Mansor tu datang merisik siapa?”. Soal Hana ingin tahu.
“Dia datang merisik kamu untuk anaknya Izham yang kerja manager bank di Kuala Lumpur tu”.
“Hah!”. Ternganga mulut Hana kerana terkejut.
Memang dia betul-betul sangat terkejut sekarang ini. Tidak disangka lelaki yang diminati dalam diam itu, datang menyunting dirinya untuk dibuat suri hidup. Hana pekup muka kerana malu. Tak dapat dibayangkan hidup bersama dengan lelaki yang dicintai dalam diam itu.
Lamunan Hana terganggu apabila suara Rizqin merengek kedengaran. Hana kembali duduk di sisi katil Rizqin seraya menepuk punggung Rizqin perlahan. Rizqin kembali tidur apabila terasa selamat dengan tepukan perlahan Hana. Setelah pasti Rizqin benar-benar tidur, Hana mengambil tuala. Rasanya dia ingin berlama di dalam bilik mandi untuk menyental daki yang sudah bertimbun di kulit mukanya. Malam ini dia mahu buktikan pada Izham yang dia masih lagi cantik macam dulu.