Thursday, 17 January 2013

Mr. Hotter Guy Bab 1


Bab 1

Luqman Hakimi memberhentikan Mercedes SLK rona silver itu betul-betul di depan lampu isyarat yang sudah bertukar warna kepada merah itu. Nasib baik dia tidak tersasar membrek mengejut, kalau tidak pasti dia mendapat kompuan RM300 kerana melanggar lampu isyarat. Ada 30 saat dia perlu menanti sehingga lampu isyarat itu bertukar semula ke warna hijau.

Pandangan matanya dihala ke hadapan melihat beberapa orang menyeberangi jalan menggunakan lintasan kuda belang di depannya itu. Dalam banyak-banyak orang ramai yang lalu lalang itu matanya tertancap pada gadis comel yang memimpin seorang pejalan kaki yang bertongkat putih. Pasti pejalan kaki itu seorang OKU penglihatan. Luqman Hakimi meneka. Senyuman gadis itu terasa meresap terus ke dasar hatinya, bila gadis itu dengan selamba melambai-lambai kepada semua kereta yang berhenti kala ini. Sesekali terlihat gadis itu seolah-olah bercerita pada lelaki yang dipimpinnya. Penuh gaya dengan mulut yang tak henti bercakap dan tangan digawangkan itu.

Luqman Hakimi terus melihat sehingga gadis itu selamat sampai bersama lelaki yang dipimpinnya hingga ke seberang jalan. Kemudian gadis itu menghala ke arah yang bertentangan pula. Luqman Hakimi masih galak memerhati. Betapa indahnya dirasakan pagi ini kerana mata melihat sesuatu yang mengasyikkan buatnya. Senyuman gadis itu terasa melekat dihatinya. Dia senyum lagi. Tak mungkin akan ketemu lagi senyuman semanis kurma itu.

Bunyi hon yang membingitkan telinga membuatkan Luqman Hakimi tersedar dari khayalannya. Dia lihat sekilas lampu isyarat yang sudah bertukar warna hijau itu. Hmm…patutlah bertubi-tubi bunyi hon membingitkan telinganya, rupanya dia menganggu lalu lintas. Semua manusia pagi ini berebut untuk ke tempat kerja. Termasuk juga dengan dirinya ini. Tanpa membuang masa dia menekan pedal minyak Merc SLK miliknya membelah jalanraya menuju ke destinasinya. Namun senyum masih tidak lekang dibibir bila wajah gadis tadi bermain-main dimatanya.



Aku masih mengelap beberapa Kristal yang berbentuk burung dan hati itu. Shira masih sibuk di kaunter melayan pelanggan yang beratur hendak membayar cenderamata yang dibeli. Aku teruskan kerja kerana beberapa Kristal kaca ini perlu diletakkan dirak display secepat mungkin. Nasib baik pelanggan tidak ramai hari ini. Tak adalah aku kalut sangat hendak mengelap Kristal dan melayan pelanggan lagi. Maklumlah Kedai Cenderamata Heart milik Madam Chia ini tak ramai pekerja. Termasuk aku dan Shira serta anak buah Madam Chia adalah 4 orang.

Nak buat macamana, terpaksa kerja kuli walau gaji ciput. Dah banyak permohonan kerja aku minta bersesuaian dengan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia yang kugenggam selepas konvokesyen tahun lepas. Satu pun tak dapat. Tinggal habuk je yang kugenggam kala ini. Nak balik kampung rasanya tak memadai. Lagi tak ada kerja. Lebih baik aku teruskan misi mencari kerja di Kuala Lumpur ini.

“OMG!”. Aku dengar suara wanita melatah. Serentak itu ada barangan kaca yang terhempas. Aku segera menuju ke arah wanita yang sudah tertonggek mengutip serpihan Kristal berbentuk burung 2 ekor itu dilantai.

“Miss…apa yang dah berlaku?”. Aku menyoal. Serentak itu wanita pantas berdiri. Dia buat wajah selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku terus menerpa melihat Kristal kaca yang bersepai dilantai. Aku kutip serpihan Kristal itu lalu aku unjukkan pada dia. Namun wanita berbaju sendat dan tidak cukup kain itu buat muka bodoh je. Aku pula yang rasa nak naik hantu. Tapi bila fikirkan slogan ‘customer always right’  aku maniskan muka. Nak buat macamana dia pelanggan aku. Kena layan dengan baik walau dah sah-sah dia buat silap.

“Miss!”. Aku tinggikan suara memanggil wanita itu yang sudah melangkah hendak meninggalkan kedai ini. Ini kalau dia tak bayar siapa nak bayar. Tak akan aku pula?. Tak pasal gaji yang tinggal ciput kena potong lagi. Ini bukan salah aku!. Dia mengalih postur tubuhnya lalu memandang aku.

“One broken consider sold”. Aku ucap begitu. Namun wanita yang berbedak dan make up tebal berinci-inci itu buat muka tak bersalah. Aku pula yang rasa panas hati. Dia tarik muncung pula, dah serupa itik serati. Dahla muka serupa tepung gomak, dengan tak aslinya kerana nampak sangat plastik hasil cucuk botox sana sini.

“What?”. Dia ulang tanya. Hish…dahla buruk…pekak pulak tu!. Gerutu aku dalam hati.
“Miss dah pecahkan Kristal ni. Miss kena bayar. Lagipun setiap barangan Kristal yang mudah pecah memang kami letak ayat peringatan di situ. One broken consider sold”. Aku ulang lagi ayat peringatan. Namun dia tetap mengeras disitu. Tak adapun riak bersalah.

“Kalau I tak nak bayar?”. Hish…ni macam ayat mencabar ni.
“Miss tak boleh buat macam tu. Miss dah pecahkan, wajib kena bayar”. Aku sudah naikkan volume suara beberapa desebel. Ni kalau bakal hilang kerja sebab bertekak dengan customer nasiblah Nurin Kamila ye…Huh...hati dah memberi peringatan pula!.

“You think I tak mampu bayar. Setakat barang murah macam ni I mampulah”. Wanita tepung gomak itu sudah bercekak pinggang. Shira yang berada di kaunter bayaran sudah memanjangkan leher melihat aku yang sedang berdiplomasi dengan pelanggan yang tak faham bahasa ini. Nasib baik kaunter bayaran sudah cerah dari pelanggan. Kalau tidak, bakal tak lakulah kedai Cenderamata Heart ni sebab salegirlnya garang-garang belaka.

“Kalau Miss dah kata macam tu bayarlah. Buat apa nak bertekak dari tadi”. Bidas aku. Dia sudah kecilkan matanya melihat aku. Marahlah tu!.  Hmm…macamlah aku takut sangat dengan aksi mata kecilnya itu. Kemudian dia hentakkan kasut tingginya yang setebal 4 inci itu dilantai. Macam aku heran…boleh blah. Aku pusingkan tubuh. Langkah aku hayun ke kaunter bayaran. Kristal yang pecah itu aku masukkan dalam kotak. Kemudian aku tekan harganya pada mesin bayaran.

“Honey…pay that bill okay?”. Tiba-tiba dia sudah mengeluarkan arahan. Serentak mata aku menghala pada lelaki yang berkaca mata hitam persis model itu berjalan ke arahku. Dia keluarkan wallet dari jeans Mustangnya. Tapi mata tak habis merenungku. Aku faham sangat walau dia berselindung dibalik kaca mata hitam itu sebabnya dia suakan terus wallet itu padaku.

“Sir…cash or card credit. Which one sir?”. Aku tanya lagi sambil walletnya aku buka. Berderet kad kredit serta wang kertas RM100 setebal 5cm itu. Hmm…jaki betul aku kalau orang kaya bajet hensem berlagak sombong depan aku. Heran sangat dengan kaya dan hensemnya itu. Pantang tok nenek kalau kena sergah dengan orang kaya-kaya ini. Wajib mandi bawah jambatan ni!. Ish…teruk betul aku melalut.

“Oh…err…cash”. Dia rampas walletnya dari tangan aku. Apa dia fikir aku ni hadap sangat dengan wang ringgitnya tu. Sorry eh…Mr. Luqman Hakimi!. Sempat pula aku baca namanya pada Kad Pengenalan yang terdapat dalam walletnya itu.

“Shira take over please”. Aku keluarkan arahan pula pada Shira yang jadi pemerhati disebelahku tadi. Aku hayun langkah masuk bilik stor. Tak boleh berlama dikaunter bayaran tadi. Peluh dah memercik didahi ni gara-gara tahan marah dengan mamat kaya bajet hensem dengan teman wanita tepung gomaknya itu.

Aku menyanyi-nyanyi kecil lagu Selena Gomez ‘Love U Like A Love Song’ masuk pula Shira dengan senyum sengihnya.

“Kau masuk sini, sapa yang jaga kaunter?”. Aku soal pula. Mulut sambung menyanyi sambil tangan masih mengelap barangan Kristal itu.

“Vivian!”. Balas Shira. Oh…anak buah Madam Chia. Desisku dalam hati.

“Hah…duk tercegat apa, tolong aku lap Kristal ni lagi bagus”. Arahku lagi. Shira sudah duduk bersila disampingku. Tangannya sudah mula menari-nari di atas Kristal berbentuk hati itu dengan tuala bersih good morning sambil muka dimaniskan melihat aku.

“Senyum-senyum ni ada maknalah tu!”. Aku buat spekulasi pula. Shira sudah terangguk-angguk.

“Kau tahu siapa tadi wanita seksi tu?”. Shira soal aku.

“Siapa?”

“Model dan pelakon yang tengah naik tu. Kau tak kenal ke?”. Aku geleng kepala.

“Tak pernah tengok berlakon pun. Drama apa? Cerekarama apa?’.Galak aku menyoal sebab aku ni peminat tegar drama Melayu.

“Dia pelakon filemlah…drama tak main”. Balas Shira. Aku cemikkan bibir. Hmm…patutlah aku tak kenal sebab aku ni bukan kaki wayang.

“Boyfriend dia kau kenal?”. Shira soal lagi. Apa punya soalanlah. Kalau dah pelakon tu pun aku tak kenal inikan pula teman lelakinya. Aku jungkit bahu pula.

“Hotter guy tu. Anak orang kaya. Konglomerat Berjaya Corporations”. Balas Shira.

Aku garu telinga yang tiba-tiba rasa gatal. Malas betul kalau bergosip pasal kisah orang kaya. Tak ada faedah. Baik bercerita pasal pemanasan global ke?. Bajet 2012 ke ada juga faedahnya. Menambahkan ilmu pengetahuan. Aku buat tuli bila Shira sudah start enjin bergosip kisah-kisah retis di dalam dan luar Negara pula. Aku hanya terangguk-angguk macam belatuk sedangkan satu apa yang dicerita Shira tak masuk dalam kepala otakku.


3 comments: