Bab 17
Mereka berpelukan
sebelum Ain Syuhada dan Aidil Zafran masuk ke perut kereta Mercedes Benz M
Class itu. Pak Deris setia menanti di pintu kereta setelah memasukkan bagasi
milik pasangan pengantin baru itu ke dalam bonet kereta.
“Jangan lupa, Ain. Nanti
telefon mama selalu. Kamu pula Aidil kalau dah kerja tu jangan lupa pada Ain.
Kamu tu bukan sorang lagi”. Sempat lagi Puan Azizah menitipkan pesan. Datuk
Adila yang berada di samping Puan Azizah turut memeluk dan mencium iparnya itu
tanda perpisahan.
“Akak ni kalau boleh
memang tak nak Aidil yang ke UK. Tapi dia berkeras jugak nak pergi. Akak setuju
je. Lagipun bila fikir Ain ada sama, tak palah. Sambil kerja boleh
honeymoonkan?”. Ain Syuhada cuma tersenyum. Namun dalam hatinya tidak habis
dengan debar. Entahlah nasibnya kelak bila di UK nanti. Mungkin makin teruk
dilayan oleh Aidil Zafran.
Semalam sempat juga
dia menelefon ayah dan ibunya di kampung memberitahu mengenai kepergiannya ke
UK bersama Aidil Zafran. Mereka hanya berpesan supaya dia menjaga diri dan
menjaga rumahtangganya supaya aman
bahagia.
Kereta Mercedes itu
bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah agam itu. Ain Syuhada melambai
tangannya pada Puan Azizah dan Datuk Adila hingga hilang dari pandangan. Dia
kemudian membuka sampul surat besar yang bertanda lambang Kementerian
Pendidikan Malaysia itu. Sudah seminggu sampul itu diterimanya dari Melissa
cuma dia tidak berkesempatan untuk membukanya.
Aidil Zafran hanya
mendiamkan diri. Dia lebih banyak berbual dengan Pak Deris berbanding berbual
dengannya. Ain Syuhada tidak ambil pusing. Sebaliknya dia tekun membaca surat
yang baru dikeluarkan dari sampul besar itu. Dia tersenyum apabila permohonan
DPLI itu berjaya dan perlu melapor diri hari ini juga. Ain Syuhada menelan
liur. Nampaknya cita-citanya hendak
menjadi pendidik bakal berkubur kerana mengikut Aidil Zafran ke UK. Dia pasrah
jika itu bukan rezekinya. Dia masukkan semula surat itu ke dalam sampul lalu di
simpan di dalam beg sandangnya.
Dia terpegun sekejap
melihat airport KLIA yang begitu besar. Nampak beberapa kapal terbang besar
yang berlabuh di KLIA itu. Inilah kali
pertama dia berada di sini. Tak pernah termimpi pun akan ke UK sebentar lagi.
Pak Deris menurunkan bagasi mereka di hentian penumpang. Ain Syuhada terleka
sebentar melihat keriuhan KLIA yang
terdiri dari pelbagai bangsa itu.
“Wei, tercegat apa
lagi. Penat dah aku panggil ni. Jomlah masuk ke balai berlepas. Nanti nak check
in bagasi lagi”. Aidil Zafran mula membebel. Suaranya sudah naik beberapa oktaf
melawan kebisingan di KLIA ini. Ain Syuhada hanya menarik senyum menutup malu
bila beberapa pasang mata melihat ke arahnya. Malu kerana dibebel sebegitu.
Hmm…pakcik ni tak padan dengan buta. Sekali membebel hilang handsome. Omel Ain
Syuhada dalam hati. Dia meletakkan bagasi mereka ke dalam troli, kemudian
memimpin Aidil Zafran ke balai berlepas. Bebel…bebel…aku juga kena usung dia.
Ain Syuhada pula membebel dalam hati. Apa dia ingat dia saja pandai bebel. Aku
pun pandailah!. Tingkahnya pula.
“Kita kat mana?”.
Soal Aidil Zafran setelah dirasakan agak lama dia mengikut langkah Ain Syuhada.
“Nak masuk tempat
check bagasi. Kenapa?”. Soal Ain Syuhada pelik. Tadi beria benar nak suruh
cepat.
“Okeylah. Aku rasa
setakat ni saja kau hantar aku. Nanti pihak MAS boleh take over bantu aku”. Ain
Syuhada bertambah pelik mendengar Aidil Zafran berkata begitu.
“Bukan kita nak ke UK
ke?”
“Bukan kita tapi
aku”. Pantas Aidil Zafran memotong cakap Ain Syuhada.
“Beginilah. Aku
sebenarnya tak da hati pun nak bawa kau ke UK. Sengaja aku bohong kau dan
family kita.” Aidil Zafran sambung lagi ayatnya yang tergantung tadi. Ain
Syuhada masih lagi tidak faham.
“Ini kad kredit dan
no pin. Tiap-tiap bulan aku akan masukkan duit nafkah untuk kau.” Aidil Zafran
menunjukkan kad itu pada Ain Syuhada, namun tidak disambut.
“Ini kad kredit.
Ambik”. Dia sudah mula meninggikan suara. Ain Syuhada pantas mengambil kad
kredit itu sebelum adegan sebabak mereka menjadi perhatian pengunjung di KLIA
itu.
“Habis tu, saya nak
pergi mana?”. Ain Syuhada telan liur. Kemana dia hendak pergi sedangkan dia
sudah berkemas bagai untuk mengikut Aidil Zafran ke UK.
“Ikut suka kau. Lepas
selesai kerja aku di UK. Aku akan balik sini. Masa tu aku putuskan hala tuju
perkahwinan kita. Kau doalah agar hubungan kita ni bertahan. Tapi aku tak rasa
kita akan bertahan.” Sinis betul nada suara Aidil Zafran. Yakin benar
pernikahan mereka ini akan sampai ke penghujungnya. Ain Syuhada terasa seperti
hendak putus nyawa. Kemana hendak dibawa dirinya. Kembali ke pangkuan keluarga,
tak mungkin. Dia tak mahu merisaukan hati kedua ibu bapanya.
Air mata sudah
bergayutan ditubir mata. Menanti hendak luruh sahaja. Pengumunan mengenai
penerbangan ke UK telah membuatkan Ain Syuhada seperti hendak meraung di situ
saja. Dia masih erat memegang tangan Aidil Zafran seperti tidak mahu lepas.
“Lepaslah. Nanti aku
tertinggal kapal terbang pulak”.
“Bos, jangan buat
saya macam ni.” Suara Ain sudah serak menahan tangis.
“Aku punya sukalah.
Puas hati aku. Kau berambuslah kemana kau nak pergi. Tapi ingat! Kau tetap isteri
aku selagi tiada kata putus dari aku.” Aidil Zafran sudah memberi amaran
sebelum melangkah pergi dengan dibantu oleh tongkat putihnya. Ain Syuhada
seperti patung cendana tidak bergerak melihat langkah Aidil Zafran menuju ke
balai berlepas. Lama dia berdiri di situ. Di tengah laluan orang ramai yang
berpusu-pusu untuk check in bagasi mereka.
“Cik…cik…”. Panggilan
dari seorang gadis yang lengkap beruniform MAS itu mengejutkan dirinya dari
realiti sebenar. Dia pantas mengelap pipinya yang dibasahi airmata.
“Cik okey?”. Soal
gadis itu lagi. Ain Syuhada mengangguk. Gadis itu membawanya duduk di kerusi
yang terdapat di situ. Kemudian dia meletakkan beg sandang di atas ribaan Ain
Syuhada.
“Beg ini hampir
tercicir tadi.” Ain Syuhada memegang kemas beg itu dalam ribaannya.
“Cik okey?”. Gadis
itu ulang lagi pertanyaannya.
“Saya okey. Terima
kasih”. Ucap Ain Syuhada pada gadis itu.
“Hmm…kalau okey saya
nak gerak dulu. Nanti tertinggal kapal terbang pula”. Balas gadis itu sebelum
meminta izin untuk pergi. Ain Syuhada hanya tersenyum dan melambai ke arahnya.
Dia masih duduk di situ sambil matanya melihat kelibat manusia lalu lalang di
situ. Sungguh sekarang ni dia sudah buntu. Hendak mengadu pada Melissa, kakak
iparnya itu bersama abangnya sekeluarga ke Bunei makan angin. Sekarang ni dia
memang terdesak. Tidak tahu kemana arah hendak dituju. Pulang ke pangkuan
mamanya Puan Azizah. Tak pasal-pasal dia membuka pekung di dada. Nanti dia juga
akan disalahkan kerana membuat Aidil Zafran menjadi buta. Oh..apa hendak
dibuat. Ya ALLAH, bantulah hambamu yang lemah ini. Dia meraup wajahnya beberapa
kali. Kemudian matanya tertancap pada beg sandangnya. Dia mengeluarkan sampul
surat besar itu. Membacanya dengan lebih teliti pada kali ini. Tiba-tiba dia
senyum. Hmm. IPIK Cheras Kuala Lumpur. Kali ini dia menadah tangan bersyukur
pada jalan yang ALLLAH tunjukkan. Dia bangun dari kerusi, melihat kad kredit
yang masih di dalam genggamannya. Kau bagi nafkah untuk aku tiap-tiap bulan
ye…It Okay…aku akan belanja habis-habisan sampai kau botak licin. Dia pejam
mata membayangkan Aidil Zafran yang buta dan botak licin itu. Kemudian dia ketawa pula, semua mata memandang ke
arahnya kerana pelik melihat gelagatnya. Pedulilah…yang penting mesti cepat
blah dari KLIA yang menyakitkan jiwanya itu.
jap nper kakak aidi gelaran datuk adila?? mak aidil puan azizah?? datuk adam sape plak??
ReplyDeleteDatuk Adila dan Datuk Adam tu abang dan kakak tiri Aidil, Puan Azizah bini no 2 sebab tu tak pakai title Puan Sri...
ReplyDelete