Bab
4
10 tahun berlalu
“Oooo...aku penganggur…Janganku
dipandang hina hanya kerana aku pengganggur…ooo..nasibku…aku penganggur”. Ain
Syuhada galak menyanyi mengikut lagu
Penganggur nyanyian Allahyarham Dato Sudirman Hj Arshad. Sikat rambut dijadikan
mikrofon olok-olok sambil menyanyi dengan sekuat hati. Biarlah sumbang mambang
asal dapat melegakan ketegangan yang melanda dihati. Satu tamparan pedih
hinggap di punggungnya.
Ain Syuhada berhenti menyanyi, dia
pantas menoleh melihat siapa yang berani-berani menampar punggungnya yang
berisi itu. Nanti penyet pulak asetnya yang mahal itu. Terkejut beruk Ain
Syuhada melihat Puan Ainon sudah bercekak pinggang. Sudah nampak sisa-sisa
kedut dimuka ibunya dan rambut yang dulunya hitam sudah memutih dengan uban.
“Hang ni nak jadi apa Ain, oii…Terpekik
terlolong macam kena sampuk polong?” Jerkah Puan Ainon seperti guruh di langit.
Ain Syuhada tersengih seperti kerang
busuk. Takut melihat wajah serius ibunya yang seperti Mak Lampir itu.
“Chek
tension mak. Esok chek dah jadi penganggur balik. Kontrak guru ganti tu
dah habis. Cikgu yang chek ganti beranak tu dah start keje dah.” Ain Syuhada
melongo seperti ayam berak kapur.
Esok dia akan bergelar penganggur
kehormat semula. Sudah setahun dia tidak bekerja. Sudah banyak kerja yang
dimohonnya semenjak menggenggam sekeping Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Tetapi
tiada satu pun yang hendak mengambilnya bekerja kerana tiada pengalaman.
Kadang-kadang terasa seperti hendak berputus asa. Pinjaman PTPN sudah mula
menagih hutang. Tapi satu sen pun tidak dibayarnya kerana tidak bekerja. Kusut
kepala bila memikirkan masalah kerja ni.
“Itulah dulu mak suruh hang jadi cikgu
hang takmau. Tak minatla, takda jiwala.Kalau hang ambik pendidikan dulukan dah
jadi cikgu la ni”. Puan Ainon mula bersyarah. Hajat hatinya ingin sangat
satu-satunya anak perempuannya ini menjadi pendidik seperti arwah ibunya dulu.
Ain Syuhada sudah menarik muncung.
Kalau dia tahu nasibnya begini memang dah lama dia mohon masuk maktab perguruan
yang dah bertukar status menjadi institut
itu. Tapi sungguh dia tidak minat. Namun setelah 3 bulan menjadi guru
ganti mengajar pelajar buta di SMK Hosba,minatnya tiba-tiba menggunung. Dia
tidak tahu rupanya dia memang ada jiwa sebagai pendidik.
“Takpalah mak. Hujung tahun ni borang
DPLI keluaq, chek isi. Manatau hajat mak nak tengok chek jadi cikgu tercapai”.
Ain Syuhada sudah mula merencana masa depannya sendiri. Dia mahu memohon
jurusan pendidikan khas ini. Dia jadi minat pula walau baru 3 bulan menjadi
guru ganti.
“DPLI itu menatang apa?”. Puan Ainon
sedikit kusut. Dia memang tidak tahu. Dulu masa mudanya dia tidak minat belajar
sebab itu dalam usia 18 tahun dia sudah berkahwin dengan pujaan hatinya Encik
Ismail. Ayah kepada 3 orang anaknya itu.
“Diploma Perguruan Lepasan Ijazah mak”.
Terang Ain Syuhada. Puan Ainon hanya mengeluh.
“Kalau hang kawin kan senang. Umo tu
bukan muda lagi dah. 24 tahun dah pun.” Tiba-tiba sahaja Puan Ainon
membangkitkan isu kahwin. Dia risau melihatkan Ain Syuhada yang masih kosong
ini. Dulu masa umurnya belasan tahun, ramai betul yang tergila-gilakannya
hendak dibuat isteri. Tapi hatinya sudah berkenan dengan Encik Ismail. Masuk
saja 18 tahun dia sudah bergelar isteri kepada Encik Ismail. Puan Ainon
tersenyum sendiri.
“Hai mak…Senyum sorang-sorang nampak.
Ingat mata ayaq ka?. Amboi…ayah bukan pi manapun. Pi pekan Kuala Ketil ja. Satgi balikla. Rinduka?”. Ain Syuhada
mengusik ibunya. Puan Ainon sudah mula mengecilkan matanya tanda marah
mendengar usikan anaknya itu.
“Selama hang belajaq kat Kolumpo
nun…takda ka boyfren?”. Soalan itu pula yang ditanya Puan Ainon. Ain Syuhada
menelan liur. ‘Hai, apa kena mengena belajar kat UMKL dengan boyfren ni’. Ain
Syuhada bermonolog sendiri.
“Chek ni bukan segak mana pun. Sapalah
mau nak buat gefren mak oii?”. Ain Syuhada merendah diri. Memang seingatnya pun
semasa bergelar mahasiswi jarang kumbang yang mahu menghimpit. Entahlah, dia
pun taktahu apa badi yang melekat pada dirinya. Akhirnya dia membuat kesimpulan
sendiri bahawa mungkin jodohnya ada di luar sana bukan di tempat dia menuntut
ilmu.
“Ishy…pantang betui orang kata
keturunan aku tak segak. Hang taudak?. Aku ni orang kampung panggil Latifah
Omar tau. Bintang felem popular. Hang tengok ni tahi lalat manis yang duk
menempek kat bawah mulut aku ni. Tahi lalat ni lah yang buat ayah hang
tergila-gila kat aku.” Bersungguh betul Puan Ainon bercerita sambil menonyoh
tahi lalat yang menempek di bawah bibirnya. Ain Syuhada sudah tergelak melihat
aksi ibunya yang begitu bersemangat membuka cerita zaman kegemilangannya.
“Itu mak. Chek ni sapa?. Zaman la ni
orang nak yang putih gebu ja. Badan mesti montok. Bukan papan lapis macam chek.
Kulit pun ala hangit ja.”
“Itulah. Dulu badan dah montok yang pi
diet teruk-teruk buat pa?Kan dah jadi papan lapis”. Perli Puan Ainon. Seingatnya
semenjak Ain Syuhada masuk ke MRSM, tubuhnya yang sebesar anak gajah dulu bertukar menjadi kurus macam papan lapis. Dia risau benar jika
anaknya itu tidak cukup makan. Tapi jawapan standard dari Ain Syuhada seperti
selalu , ‘diet’.
“Adaka pi kata badan chek montok?. Anak
gajah adalah. Mak, chek diet pasai tak mau jadi anak gajah. Baik lagi jadi
papan lapis. Tapikan papan lapis pun orang tak nak?”. Suara Ain Syuhada yang meningkah kata-kata ibunya
mengendur tiba-tiba. Mungkin sedih kekurangan diri menyebabkan dirinya
rasa ‘ tak laku.’
“Hang mai sini!”. Puan Ainon sudah
menarik tubuh anaknya itu menghadap cermin muka yang berbentuk empat segi
panjang itu. Ain Syuhada mengikut saja kehendak ibunya itu.
“Hang tengok sini. Hidung mancung ni
ala anak mami tau. Ikut tok abah hang mamu Penang. Ini kurus bukan papan lapis.
Kurus ni mahai tang sini, tang sini.” Puan Ainon sudah menunjuk ke arah dada
dan punggung Ain Syuhada yang berisi itu.
Ain Syuhada cepat-cepat menepis tangan
ibunya yang menunjuk ke dadanya. Segan pula dibuat begitu walaupun niat ibunya
itu mahu menunjukkan keistimewaan yang ada pada dirinya.
“Iyolah…Puan Ainon. Anak Puan Ainon ni
cantik, molek. Anak mami Penang katakan”. Akhirnya Ain Syuhada terpaksa akur
dengan kehendak ibunya. Puan Ainon sudah tersenyum puas kerana anaknya itu
tidak lagi menjadikan kekurangan diri sebagai satu isu lambat bertemu jodoh.
“Mak hang oii. Awatnya hingar sangat
sampai ke jalan dengaq suara macam guruh ni.” Terdengar suara ayahnya di ruang
tamu menegur ibunya.
“Ha…mak. Tu Nordin Ahmad dah balik.
Mata ayaq mak.” Ain Syuhada mengusik ibunya dengan menggelar ayahnya Nordin
Ahmad kerana merupakan pasangan yang serasi untuk Latifah Omar dalam setiap
filem lama keluaran Cathay Keris itu.
Puan Ainon cepat-cepat keluar ke ruang
tamu. Ain Syuhada juga mengekori ibunya dari belakang. Terlihat ayahnya
menjinjit beg plastik penuh dengan barangan basah untuk di masak tengahari ini.
“Banyaknya ayah beli. Nak buat kenduri
ka?” Ain Syuhada mengusik pula ayahnya kerana melihat barang basah yang dibeli ayahnya
luar biasa banyaknya.
“La…hang taktau ka? Abang hang
sekeluarga nak mai sini. Dari pagi tadi lagi depa bertolak dari Kolumpo tu.
Agaknya pukul 1 petang satgi sampai la kot. Ish…tak sabar la nak jumpa cucu.”
Terang Encik Ismail. Ain Syuhada bersorak riang kerana dia juga merindukan anak
saudaranya yang berusia 5 tahun dan 2
tahun itu.
“Emm..kalau nak harap anak hang..taktau
bila ayah nak dapat menantu lagi?”
“Ish…ayah ni. Kalau tak sabar sangat
suruhla Muaz kawin dulu. Chek ni nak kena tunggu orang meminang. Kalau Muaz tu,
dia pi minang orang.” Ain Syuhada sudah memuncungkan mulutnya kerana terasa
dengan kata bapanya.
“Tak boleh langkah bendul na. Muaz tu
belajar pun tak habis lagi. Kerja pun ntah mana hala lagi. Nak bagi anak orang
makan pasir?”. Encik Ismail sudah mengeluarkan fatwanya. Ain Syuhada hanya
mengangguk sahaja kerana kalau ayahnya sudah mengatakan A jangan sesekali
mengubah menjadi Z.
Petang itu terasa begitu meriahnya
rumah mereka kerana menerima kedatangan anak sulung pasangan Puan Ainon dan
Encik Ismail. Paling gembira sekali buat Ain Syuhada kerana kakak iparnya telah
merekomen kerja buatnya di Kuala Lumpur itu.
“Personal Asistant? Apa kebendanya
kerja tu?”. Puan Ainon lorat bertanya pada menantunya Melissa. Risau juga
kerana dia tidak memahami makna kerja itu dalam bahasa omputih. Dan paling
risau kerana satu-satu anak daranya itu akan bekerja di Kuala Lumpur ibukota
yang mempunyai pelbagai cerita itu.
“Pembantu peribadi mak. Saya ni
setiausaha bos besar kat tempat kerja saya tu. Dia minta saya cari P.A untuk adiknya
yang baru balik dari luar negeri. Adik dia ni special sikit mak. OKU.” Terang
Melisa isteri kepada Azman anak sulungnya yang menetap di Kuala Lumpur.
“OKU? Apa tu. Ish…tak pahamla mak”. Puan
Ainon mula mengerutkan dahinya mendengar istilah-istilah yang pelik itu.
“Orang kelainan Upaya”. Ujar Encik
Ismail menghuraikan maksud OKU itu pada isterinya.
“Betullah tu. Adik bos saya ni buta.
Kebetulan saya teringat kat Ain yang menganggur ni. Abang Man pula kata dia
baru habis kontrak jadi guru ganti pelajar buta. Elok sangatlah kalau saya bagi
kerja tu kat dia.” Puan Ainon sudah terangguk-angguk. Lapang dadanya apabila
Ain Syuhada dapat kerja. Tidak perlu lagi digelar penganggur kehormat.
“Ain, kalau dah duduk di rumah abang
long tu, buat perangai elok-elok. Jangan menyusahkan Kak Melissa kamu ni”.
Pesan Puan Ainon pada anak perempuan kesayangannya itu. Ain Syuhada pantas
menggangguk. Hatinya melonjak keriangan kerana dapat kerja. Berdebar pun ada
kerana dia bakal berkerja dengan orang OKU ini. Tidak sabar rasanya menunggu
minggu depan untuk memulakan kerjanya sebagai pembantu peribadi atau dalam
bahasa omputihnya Personal Asistant.
No comments:
Post a Comment