Bab1
“Kau manusia yang paling aku
benci di muka bumi ni!”. Jerit Ain Syuhada bersama esak tangis. Baju uniform
sekolah yang dipakainya sudah lencun dengan lumpur sawah. Memang dia meluat
betul dengan sikap samseng Aidil Zafran
Mustafa yang sentiasa mencari pasal dengannya. Lelaki itu hanya ketawa mengekek
melihat Ain Syuhada yang berkubang bersama basikalnya di dalam lumpur sawah.
Puas betul hatinya kerana berjaya menolak minah skema itu. Terasa dendamnya
pagi tadi berbalas.
Kalau
tidak kerana aduan Ain Syuhada pada Cikgu Azman mengenai dirinya dan
kawan-kawan yang ponteng kelas, tentu Ain Syuhada tidak menerima nasib begini.
Sakit punggungnya masih terasa lagi apabila dia menerima 2 rotan dari guru
disiplin itu kerana menghisap rokok di belakang bangunan makmal Biologi pagi
tadi. Ini semua kerana aduan Ain Syuhada menyebabkan dia tertangkap basah
ketika sibuk menghembus asap rokok bersama gengnya itu. Pelajar Tingkatan 2 itu
dirasakan melampau kerana tidak menghormati dirinya sebagai pelajar senior di
SMK Tanjung Puteri ini.
“Ada
aku kisah?”. Ejek Aidil berserta memek muka yang memualkan Ain Syuhada. Aidil
ketawa terbahak-bahak melihat wajah Ain yang berselut itu. Sudah seperti kerbau
yang berkubang layaknya. Ain memuncungkan bibirnya. Geram. Bukan niatnya saja-saja
hendak mencari pasal, tapi sudah tugas sebagai seorang pengawas sekolah. Memang
wajib dia melaporkan jika ada mana-mana pelajar yang melanggar disiplin tidak
kira junior atau senior. Tugas tetap tugas.
Ain
Syuhada cuba keluar dari petak sawah dengan susah payahnya kerana lumpur yang
melekat dikasutnya meyukarkan langkahnya. Dia terkial-kial menolak basikalnya
keluar dari petak sawah itu. Aidil Zafran masih lagi ketawa sambil menekan
perut melihat tubuh sebesar anak gajah itu cuba keluar dari petak sawah. Rasa
amarah makin membuak-buak dihati Ain Syuhada. Sedang elok dia berjaya keluar
dari petak sawah, dia meraba mencari sesuatu di dalam beg sandangnya. Akhirnya
dia meraba racun serangga yang berbentuk spray dipesan ibunya itu yang baru
dibelinya di Kedai Runcit Pak Abu. Serta merta timbul idea jahat dikepalanya.
Dia membuka penutup botol racun serangga yang berjenama Redinsect itu lalu disemburnya ke muka Aidil Zafran.
Rasakan sakitnya seperti sakit hatinya kala ini. Aidil Zafran yang ketawa mengekek
itu berhenti ketawa serta merta. Sebaliknya dia menjerit sambil menekup mukanya
dengan kedua belah telapak tangannya sambil mengaduh kesakitan.
“Padan
muka”. Ain Syuhada ketawa puas.
“Sakitlah,
bodoh!”. Jerit Aidil Zafran. Dia mengerang kesakitan sambil berguling-guling di
tanah. Ain Syuhada terus ketawa. Puas hatinya melihat Aidil Zafran meraung
kesakitan.
“Aku
tak nampak apa-apala!”. Jerit Aidil Zafran lagi sambil membuka matanya
seluas-luasnya.
“Kalau
kau buta lagi bagus. Takdalah nak menyemak buat masalah di sekolah lagi”. Balas
Ain Syuhada lalu mengayuh basikalnya pergi. Dibiarkan saja Aidil Zafran
mengerang kesakitan di situ.
Ain
sedang menyanyi kecil sambil menggoyangkan pinggulnya mengikut irama lagu dangdut
Amelina. Sambil melipat kain, dia menyanyi riang kerana puas dapat mengenakan
Aidil Zafran petang tadi. Ketukan di pintu bertalu-talu membuatkan dia berhenti
melipat kain. Tersembul wajah ibu di balik pintu.
“Bertuah
punya budak. Kita yang mengetuk pintu bagai nak roboh, dia boleh buat pekak
je”. Marah-marah manja Puan Ainon.
“Ya,ada
apa yang boleh saya bantu Puan Ainon?”. Ain Syuhada buat muka selamba.
“Banyaklah
Puan Ainon. Awatlah yang hang buka radio kuat- kuat. Mak ketuk pintu pun hang
tak dengaq”.
“Awatnya?.
Mak nak apa? Chek duk tengah syok dengar lagu dangdut ni, mak kacau daunla.”
“Pedulilah
kacau daun ka, bunga ka. Mak dengan ayah hang nak pi hospital. Nak pi tengok
cucu tok penghulu. Nanti adik hang balik dari mengaji, hang suruh dia bagi
makan ayam itik kat reban no”. Pesan Puan Ainon.
“Pasai
apa dengan cucu Tok Penghulu”. Ain Syuhada mula cuak. Teruk sangat ke mata
Aidil Zafran sampai ke hospital bagai.
“Tu la
pasai. Kesian kat Aidil. Dahla baru mai
duk sini. Sapalah buat tahana (aniaya) kat dia. Katanya Pakcik Sood jumpa dia kat
tengah jalan sambil duk pejam mata,
tangan tergagau-gagau. Mata pun dia tak
boleh buka. Duk kata pedih. Dah hantaq pi hospital Sungai Petani. Tu yang mak
dengan ayah nak pi tengok”. Terang Puan Ainon panjang lebar sambil membetulkan
seledangnya yang melorot ke bahu.
Ain
Syuhada melongo seperti ayam berak kapur. Dia terasa menyesal kerana
tindakannya petang tadi membuatkan Aidil Zafran masuk hospital. Dia berdoa
dalam hati agar Aidil Zafran tidak apa-apa.
“Hoi!
mak nak pi dah ni. Yang hang duk berangan apa?”. Jerkah Puan Ainon mematikan
lamunan Ain Syuhada. Terasa semangatnya terbang mendengar suara ibu yang
bagaikan guruh itu.
“Jangan
lupa, pesan kat adik hang tu?”. Sempat lagi Puan Ainon mengingatkan Ain Syuhada
sebelum keluar dari biliknya.
“Iyolah.
Chek ingat aih…” Jawab Ain Syuhada
mengiringi Puan Ainon sehingga ke muka pintu. Ayahnya sudah sedia menunggu di
kereta.
“Bawa
keta baik-baik na, ayah.” Jerit Ain Syuhada di muka pintu ketika kereta Proton
Saga merah itu keluar dari perkarangan rumah. Encik Ismail hanya membunyikan
hon tanda dia mendengar pesanan anak perempuannya itu.
Ain
Syuhada duduk melongo di tepi tingkap rumahnya. Dia melihat ayam-ayam
peliharaan ibunya sedang berkeliaran membawa anak berderet-deret di belakang.
Sambil-sambil itu ibu ayam siap menguis-guis tanah mungkin mencari makan. Ain
Syuhada mengeluh. Dia meraup mukanya. Rasa menyesal menyerbu ke tangkai
hatinya. Dia terasa mahu menangis. Dia takut jika apa yang dikatakan petang
tadi menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment