Bab 3
Ain
Syuhada termenung di balik jendela. Kata- kata ibunya semalam masih terpahat
kemas diingatannya. Rasa menyesal yang amat sangat mencengkam tangkai hatinya.
Dia sudah puas menangis. Hendak diluahkan pada ibunya, dia takut. Kesalahan yang dilakukan pada Aidil Zafran bukan
sedikit. Dia takut kesalahan yang dilakukannya itu boleh menyebabkan dia
ditangkap polis. Kemudian dia pasti didapati bersalah dan dimasukkan ke sekolah
juvana. Dia tidak mahu masa depannya gelap. Dia punya cita-cita yang tinggi. Kalau
sudah masuk ke sekolah juvana sudah pasti di cop sebagai budak bermasalah atau
budak ‘jahat’.
Bunyi
ketukan di pintu mematikan lamunannya. Muncul Puan Ainon di balik pintu. Ain
Syuhada cepat-cepat menyeka air mata yang mengalir di pipi.
“Awat
Ain?. Dari semalam lagi mak tengok hang ni monyok je. Ni, pasai apa yang hang
teriak?”.Soal Puan Ainon risau. Tangannya mengelus lembut rambut ikal Ain
Syuhada yang melepasi bahu itu.
“Chek
tak sihat mak.” Bohong Ain Syuhada. Dia tidak mahu Puan Ainon tahu apa yang
bergelodak di hatinya kala ini.
“Hang
segugut ka?”. Ain Syuhada hanya menggangguk. Dia tersenyum kelat kerana
membohongi ibunya. Nasib baiklah dia memang keuzuran minggu ini cuma dia jarang menghidapi segugut.
“Nanti
mak pi ambik minyak angin.” Kalut Puan Ainon berlalu hendak mencari minyak
angin. Cepat-cepat Ain Syuhada menghalang niat ibunya itu.
“Chek
dah sapu minyak dah”. Puan Ainon tidak jadi berlalu. Sebaliknya dia duduk di
birai katil setelah Ain Syuhada menarik tangannya memintanya duduk.
“Mak
betul ka apa yang mak kata semalam?”. Soal Ain Syuhada lagi. Puan Ainon
mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“Pasal
Aidil Zafran tu?”. Sambungnya lagi.
“Hang
ni, pasai apa?. Dari semalam duk tanya banyak kali. Betullah tu. Tok Penghulu
kata nak hantar dia pi luar negeri. Mak ayah dia kata putus macam tu. Kalau
ikut tok penghulu dia nak cucu dia belajar kat sini ja”.
“Luar
negeri tu kat mana mak?”.
“Ishk…hang
ni…banyak tanyalah. Mak taktau. Hang pi tanya ayah hang. Pasal semalam dia yang
banyak sembang dengan Tok Penghulu dan ayah Aidil tu masa depa pi makan. Mak
ngan mak dia duk jaga Aidil ja. Mak tau takat tu ja. Tu pun ayah hang yang habaq”.
Ain Syuhada terdiam apabila melihat reaksi ibunya yang sedikit beremosi. Dia
takut jika terlalu menyoal ibunya akan mula syak yang bukan-bukan. Biarlah
setakat ini saja dia tahu serba sedikit pasal Aidil Zafran. Nanti dia akan
bertanya pada ayahnya pula yang lebih tenang dan sabar melayan karenahnya.
“Ish…mak
lupa lak. Ni ha petang ni abang long hang balik dari Kolumpu. Katanya cuti 2
hari. Ada hal nak bincang pasal nak merisik bakal menantu mak tu. Satgi hang
tolong mak siang ikan sembilang tu. Buat
asam pedas johor maunya menjilat sehingga ke siku.” Puan Ainon sudah
ketawa lucu. Ain Syuhada ikut tersenyum.
“Hai
mak… sejak bila pandai buat asam pedas johor ni?”.
“Amboi…amboi…amboi…Ain
Syuhada oii…hang lupa ka ayahnya hang tu asal mana?” Soal Puan Ainon bercekak
pinggang.
Pantang
baginya anak sendiri lupa asal usul. Ain Syuhada ikut ketawa melihat gelagat ibunya
yang mencuit hati. Dia memang tidak lupa asal usul ayahnya yang berasal dari
Johor itu. Cuma sengaja dia hendak mengusik ibunya.
Selesai
menyiang ikan sembilang di dapur, Ain Syuhada ke belakang dapur. Dia memetik
pucuk ubi untuk dibuat ulam dan beberapa cili padi yang tumbuh segar di kebun
kecil milik ayahnya. Encik Ismail sedang sibuk membuat beberapa batas untuk
menanam beberapa jenis sayur yang sudah dibeli benihnya di Pekan Kuala Ketil
pagi tadi.
“Ayah
tak hangat ka duk buat batas tengahari
buta ni?”. Soal Ain Syuhada memulakan mukadimah untuk berbicara dengan ayahnya.
Hendak bertanya terus tentang Aidil Zafran nanti apa pula kata ayahnya. Tak
fasal-fasal dikatakan anak dara gatal.
“Ish…hangat
apanya. Redup je…angin duk tiup sakan. Tak hangat pun. Nape Ain, ada benda nak
tanya ayah ka?”. Serkap Encik Ismail. Walaupun sudah berbelas tahun tinggal di
Kedah setelah pencen askar, namun loghat Johornya masih lagi tebal dilidah.
“Ayah
nak ayaq dak?Nanti Ain ambik”. Ain Syuhada sudah mula menapak untuk ke dapur.
“Eh…tak
payahlah!. Tu ha mak hang dak letak sejag ayaq sirap ais. Nape dengan kamu ni
Ain. Ayah tengok macam ada yang tak kena je?”. Encik Ismail berhenti dari
mencangkul tanah. Ain Syuhada menayang sengih sambil tangannya mencarik-carik
pucuk ubi yang dikutipnya tadi.
“Ishh…kamu
ni Ain. Pucuk ubi tu nak dibuat ulam. Yang duk pi carik sampai halus macam tu
nape? Ain ada masalah ka?”. Ain Syuhada berhenti dari mencarik pucuk ubi itu
apabila tersedar dari tingkahnya itu. Dia sedang menimbang sama ada hendak
bertanya atau tidak mengenai Aidil Zafran.
“Bila
ayah tengok kamu, teringat pulak kat cucu tok penghulu. Kesian pun ada.” Encik
Ismail meletakkan cangkulnya di tepi batas. Dia langsung duduk di atas pangkin
yang terletak di bawah pohon mempelam yang sedang berbuah lebat. Ain Syuhada
terus menerpa duduk di sebelah ayahnya. Dia menuang sirap ais ke dalam gelas
lalu disuakan kepada ayahnya. Rasa berbunga di hatinya kerana dia tidak perlu
bertanya sebaliknya ayahnya sendiri memulakan bicara. Kalau ayahnya sudah mula
bercakap, maka panjangnya akan menjadi berjela-jela. Tidak perlu bertanya
dengan macam-macam soalan sebaliknya ayahnya sendiri akan bercerita tanpa
diminta.
----------------------
Aidil
Zafran duduk di pangkin kayu yang menghadap sawah padi di tepi rumah datuknya.
Suasana petang yang redup dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa memberikan
rasa damai di hatinya. Sudah seminggu dia berkeadaan begitu. Semenjak keluar
dari hospital, petang-petang begini banyak dihabiskan masanya dengan bermenung.
Abahnya sudah kembali ke Kuala Lumpur kerana urusan syarikat sudah banyak
tertangguh. Tinggal mamanya sahaja di sini menemaninya dan cuba memujuknya
untuk menerima cadangan abahnya yang sudah siap merencana masa depannya.
“Ehem…ehem…”.
Dia menoleh mencari pemilik suara yang sedang mengalami sakit kerongkong. Dari
nada suara itu dia pasti milik seorang gadis yang seakan dikenalinya.
“Siapa?”.
Dia bertanya sambil berkalih duduk.
“Saya…err…saya…”.
Suara yang seperti teragak-agak dan bernada takut itu seolah berada dekat
dengannya. Dia cuba menggagau dengan tangannya jika benar ada orang disisinya.
“Siapa?...Kenalkan
diri tu. Aku kan dah buta. Mana aku tau saya tu siapa”. Nada suaranya sudah
sedikit meninggi. Memang geram kerana kedamaian hatinya diusik dengan kehadiran
seseorang yang tidak dikenali.
“Saya
Ain…Ain Syuhada!”. Ulang suara itu masih lagi takut-takut.
Aidil
Zafran pantas berdiri. Mendengar nama itu sahaja dia menjadi amat marah.
Nafasnya terasa sesak. Dia cuba berjalan dengan laju seolah seperti manusia
yang sempurna. Dia tidak mahu bertemu dengan manusia yang memusnahkan masa
depannya. Namun baru beberapa langkah,
dia sudah jatuh tersungkur kerana tersadung akar pokok yang berselirat di situ.
Tongkat pemberian datuknya terlepas dari genggamannya.
Ain
Syuhada terasa amat bersalah sekali. Bukan niatnya hendak mengejutkan Aidil
Zafran. Tetapi rasa bersalah yang menghempap kepalanya perlu diringankan
sedikit jika dia dapat memohon maaf dari Aidil Zafran. Dia tahu, tidak mungkin
dan amat mustahil sekali Aidil Zafran akan memaafkannya dengan mudah. Mendengar
cerita dari ayahnya tengahari tadi membuatkan perasaan bersalahnya semakin
menebal. Dia perlu meminta maaf dari Aidil Zafran dengan apa cara sekalipun.
“Sukalah
kan? Puaslah hati kau kan? Hajat kau nak tengok aku buta ni dah tercapailah
kan? Buat apa kau datang cari aku?. Nak gelakkan aku pula”. Kata-kata Aidil
Zafran seperti mesin gun yang memuntahkan peluru itu terasa merobekkan hatinya.
Ain
Syuhada cepat-cepat menyeka air mata yang mengalir. Dia mendapatkan Aidil Zafran yang jatuh lalu
cuba membangunkannya semula.
“Sudah…Tak
payah nak buat baik. Aku boleh bangun sendiri”. Aidil Zafran menepis tangan Ain
Syuhada yang cuba memegang lengannya. Tangannya sudah mengagau-gagau mencari
tongkat kayu pemberian datuknya. Itu saja tongkat yang ada buat sementara ini
kerana tongkat putih yang menjadi simbol
untuk orang buta baru sahaja ditempah dari MAB Kuala Lumpur.
Ain
Syuhada buat tuli. Badannya yang gempal itu memudahkannya menarik badan Aidil Zafran lalu membangunkannya dengan
sekali tarikan sahaja. Kemudian dia menolak Aidil Zafran kembali duduk di pangkin yang
ditinggalkan sebentar tadi.
“Kau
ni kenapa?Nak berlagak tak tentu pasal. Aku datang sini nak minta maaf”. Ain Syuhada menyinga. Marah benar dengan
tindakan bodoh sombong Aidil Zafran yang menolak hasratnya untuk membantu mana
patut. Tubuhnya yang gempal itu dihempaskan ke pangkin lalu duduk di sebelah
Aidil Zafran. Berkeriut bunyi pangkin
kerana menampung tubuhnya yang sebesar anak gajah itu.
“Kau
ingat mudah aku nak maafkan kau? Aku buta tau tak?Masa depan aku gelap. Kau
rampas penglihatan aku Ain. Aku dah tak macam dulu. Aku dah tak boleh buat apa
yang aku nak. Semua kena minta tolong orang. Nak masuk toilet pun kena orang
pimpin…”. Nada suara yang meninggi tadi semakin mengendur, akhirnya esak tangis yang bernada sendu pula
kedengaran di cuping telinga Ain Syuhada.
Sungguh
dia terasa amat bersalah sekali. Tidak pernah seumur hidupnya melihat seorang
lelaki menangis seperti ini. Kalau adapun hanya Muaz sahaja yang menangis
begitu, itupun ketika usianya masih kanak-kanak kerana protes kemahuannya tidak
dituruti. Ain Syuhada turut merasa sebak. Air matanya juga turut meluncur laju
melihat Aidil Zafran menangis.
“Aku
betul-betul menyesal, Aidil. Aku tak sangka tindakan bodoh aku tu menyebabkan
kau jadi macam ni. Aku betul-betul menyesal. Aku minta maaf, Aidil”. Sepenuh
hati Ain Syuhada memohon maaf. Dia berteleku di hadapan Aidil Zafran sambil
menyusun sepuluh jari memohon maaf. Walaupun perlakuannya itu sudah tidak
bermakna lagi buat Aidil Zafran, dia tidak peduli asalkan beban yang terhempap
di kepalanya itu dapat diringankan sedikit.
“Sudah
tak da maknanya. Penglihatan aku tak dapat dikembalikan lagi walau seribu tahun
kau minta maaf pada aku Ain. Dunia aku hancur. Masih ada harapan lagikah buat
orang macam aku ni Ain?. Aku dah tak dapat lihat keindahan dunia ni lagi.
Aku dah tak macam dulu. Aku dah tak
boleh berdikari. Hidup aku perlu bergantung pada orang lain Ain. Malah wajah
mama, abah aku pun dah tak boleh aku lihat lagi Ain.Kau rasa semua ni adilkah
untuk aku?”. Aidil Zafran memaut lututnya sambil menggerakkan badan.
Puas
rasa hatinya kerana meluahkan apa yang dipendamnya selama seminggu dia di
hospital pada Ain Syuhada. Dia benar-benar putus asa. Kalaulah dia hilang pertimbangan sebagai orang Islam,
tentu dia sudah tidak bernafas lagi. Tidak perlu meneruskan hidup yang
dirasakan sia-sia sahaja. Namun dia cepat-cepat beristigfar mengingatkan kembali
asal dirinya. Siapa Maha Penciptanya?.
“Kau
cakaplah apa yang boleh aku buat asal kau maafkan aku”. Ain Syuhada masih lagi
belum berputus asa. Dia benar-benar mengharapkan Aidil Zafran memaafkannya.
“Kalau
kau jadi hamba tebusan aku seumur hidup pun takkan dapat aku maafkan Ain. Aku
minta satu perkara saja Ain.” Aidil Zafran berjeda. Satu keluhan dilepaskan
dari bibirnya yang comel itu. Ain Syuhada pantas berdiri dari duduk berteleku
di hadapan Aidil Zafran. Wajahnya sedikit ceria apabila mendengar permintaan
Aidil Zafran itu.
“Apa
saja asal kau sudi maafkan aku.”
“Jangan
muncul di hadapanku lagi. Aku tak mahu dengar nama kau lagi. Apa saja yang
berkaitan dengan kau, aku tak mahu tahu. Aku sakit, jiwaku sakit setiap kali
aku ingat apa yang kau buat pada aku Ain”. Aidil Zafran bangun lalu berjalan dengan teratur meninggalkan Ain Syuhada yang masih termanggu di pangkin itu. Setiap
langkah Aidil Zafran yang berjalan menggunakan tongkat diperhati dengan
pandangan kosong oleh Ain Syuhada. Dia duduk di pangkin sambil menangis
kesedihan kerana betul-betul menyesal dengan apa yang berlaku.
“Mama…mama…tokwan!”.
Laung Aidil Zafran di muka pintu memanggil ibunya dan datuknya setelah dia
berjaya menapak sejauh itu dari tempat dia melepak ke rumah datuknya. Muncul
Puan Azizah bersama ayahnya Haji Darus.
“Kenapa?”.
Soal Puan Azizah.
“Mama,
Aidil setuju dengan kehendak abah. Aidil akan ke UK. Tapi dengan syarat, tok
wan ikut sama. Boleh tokwan?”. Tanya Aidil Zafran dengan senyuman.
Haji
Darus mengucap syukur kerana doanya dimakbulkan Allah. Dia mahukan yang terbaik
buat Aidil Zafran cucunya. Puan Azizah terus memeluk anaknya kerana gembira
dengan persetujuan Aidil Zafran untuk ke UK. Dia yakin di sana nanti Aidil
Zafran akan dapat memahami dunia orang
kelainan upaya penglihatan kerana kemudahan yang terbaik terdapat di sana.
No comments:
Post a Comment