Tuesday 15 January 2013

OKu Sayang Bab 16


Bab 16
Ain Syuhada anggun dengan busana rekaan Razwani itu.  Dia melihat kebaya pendek  rona putih gading tersemat dibadannya. Memang mewah dengan sulaman dan labuci yang mengindahkan lagi rekaan busana ini. Layah yang menghiasi kepalanya dengan tudung rona sama  mencantikkan lagi si pemakai.  Ain Syuhada membiarkan saja mak andam membuat final touch. Kala ini dia hanya pasrah sahaja menerima calon menantu pilihan ayah. Matanya pun sudah surut bengkaknya kerana dia sudah tiada kudrat lagi untuk mengerah airmata mengalir lagi. Melihat pada busana yang tersarung di badannya dan deretan hantaran yang dibawa petang tadi dia sudah mengagak calon menantu ayah tentu kaya orangnya. Sekeping cek yang bernilai 20ribu terletak elok di dalam kotak yang dihiasi bunga pahar. Mungkin ayah sanggup menerima calon menantu duda anak lima dan tua itu kerana kekayaannya. Ain Syuhada terasa diri dijual pula. Namun dia cepat-cepat beristigfar dalam hati. Tidak baik dia menganggap ayah begitu. Sebenarnya semua ini berpunca dari dia juga. Jika dia tidak terburu-buru dalam soal Rayyan Aziz tentu nasibnya bukan begini.
Azman dan Melissa menjenguk ke biliknya. Mereka memberi sebuah senyuman untuknya. Dia membalasnya walau nampak seperti terpaksa.
“Marilah keluar, pengantin lelaki dah sampai. Dah sampai masa untuk akad nikah ni?”. Azman bersuara pada Ain Syuhada. Melissa sudah memegang tangan Ain Syuhada supaya dia keluar dari biliknya. Wajah Melissa direnungnya. Melissa hanya senyum meleret sahaja. Hmm…macam suka je aku kena kawin paksa dengan orang tua?. Ain Syuhada sudah berprasangka bukan-bukan. Namun dia gagahkan kaki juga untuk melangkah keluar dari biliknya.
Saat dia keluar dari biliknya dan melangkah untuk duduk di atas bantal yang terletak di ruang tamu. Dia melihat Datuk Adila, Datuk Adam Malik sedang tersenyum ke arahnya. Seorang wanita sebaya maknya juga berada dalam kelompok itu. Mungkin Puan Azizah mamanya  Aidil Zafran. Eh…dia seperti tersedar sesuatu. Kenapa kaum kerabat Aidil Zafran ada di sini. Dia mengalih pandang pula pada lelaki yang berada di hadapan ayahnya dan tok kadi yang berada di sebelah mereka. Dia terasa mahu pitam. Kakinya lembik tidak dapat menampung berat badannya. Melissa yang berada di sebelahnya mencengkam kuat lengannya agar segera berjalan ke arah bantal yang terletak di sebelah pelamin indah itu.Akhirnya dia berjaya duduk juga dibantal itu.
 “Aidil Zafran?”. Dia menyoal Melissa yang setia disebelahnya. Melissa mengangguk.
“Dialah calon suami Ain.” Terasa seperti adrenalinnya bergerak laju. Dia nak buat apa?. Cabut lari?. Gila! Di tengah orang ramai ini. Saat itu dia nampak ayahnya dan tok kadi bergerak ke arahnya. Dia sudah berdebar-debar. Nak buat apa ni?
“Ain”. Suara lembut Encik Ismail membuatkan dia kembali tenang. Tok kadi di sebelah membawa borang yang perlu ditandatanganinya.
“Ain sudi tak jadi isteri Aidil Zafran Mustafa”. Soal Encik Ismail lagi. Ain Syuhada mengangkat muka melihat wajah tua Encik Ismail. Dia menelan liur berkali-kali. Andai dia menjawab tidak, bagaimanakah reaksi ayahnya itu. Matanya menyorot pula ke arah ibunya Puan Ainon. Wanita itu hanya senyum sugul. Mungkin masih susah hati memikirkan perkara yang lepas. Dia menghela nafas.
Ain Syuhada hanya mengangguk lemah. Encik Ismail sudah senyum. Tok kadi disebelah menyuakan borang untuk ditandatanganinya. Dia menurunkan tandatangan bersama azam di hati. Dia nekad untuk menjadi isteri yang baik buat Aidil Zafran. Dia redha dengan jodoh ketentuan Ilahi ini.

Aidil Zafran hanya berteleku di birai katil. Bilik pengantin yang semestinya dihiasi indah ini terasa tidak dapat mententeramkan jiwanya kala ini. Sejak di kampung Ain Syuhada lagi dia sudah menahan rasa. Kalau tidak disebabkan pernikahan yang sudah termeterai. Tentu dia akan meninggalkan Ain Syuhada begitu saja. Biar padan muka!  Rasakan sakitnya kerana membuat aku  buta begini. Tapi bila memikirkan layanan ayah dan ibu mertuanya padanya membuatkan dia berbolak balik. Sakit hatinya pada Ain Syuhada dapat dikendurkan dengan layanan baik mertuanya itu. dan dia terpaksa menjerut rasa sehingga selesai majlis resepsi mereka di Hotel Golden Palace ini. Lepas ni, kau rasalah Ain Syuhada!. Aku tak akan biarkan kau bahagia!. Dia sudah nekad untuk membuatkan hidup isterinya itu tidak bahagia. Biar rasa seperti hidup dineraka. Dia sudah ketawa jahat.
Ain Syuhada masuk ke bilik pengantin yang berhias indah. Penat hidupnya sejak dua minggu ini kerana majlis resepsi perkahwinannya. Hari ini dia terasa lega seleganya kerana segalanya sudah selesai. Tapi dia merasa gerun untuk bersemuka dengan Aidil Zafran. Dua minggu ini mereka terpaksa hidup dalam kepuraan untuk menyenangkan hati semua orang. Namun Ain Syuhada tidak lupa. Dia masih terbayang-bayang saat Aidil Zafran mengamuk apabila rahsia sudah bukan rahsia lagi.
“Kenapa kau tak cakap kau Ain Syuhada, budak yang buat aku buta macam ni?”. Soal Aidil Zafran pada malam pertama mereka. Ain  Syuhada diam tidak menjawab. Dia hanya menunduk dibirai katil melihat jari-jemarinya yang berhias inai. Nampaknya malam pengantinnya tidak akan seindah pengantin lain. Dia pasrah.
“Kau sengaja nak perangkap aku kan?. Kau jangan ingat bila aku dah kawin dengan kau. Aku dapat maafkan kau?. Aku akan pastikan kau hidup merana Ain.” Aidil Zafran sudah menyinga. Habis dibuangnya bantal yang menghiasi katil pengantin mereka. Mungkin dia terlalu marah pada Ain Syuhada lalu dilampiaskan pada bantal itu. Agaknya kalau dia nampak dengan aku sekali dihumbannya. Fikir Ain Syuhada lagi.
Ain Syuhada diam lagi. Dia tahu ini salahnya. Tidak memberitahu perkara sebenar. Tapi mana dia tahu yang dia dipinang Aidil Zafran. Niatnya hanya membantu sebagai P.A  Aidil Zafran bukan melarat sampai menjadi isteri pula. Kalau dia tahu dari awal lagi dia beritahu perkara sebenar. Ini bila dah sampai hendak akad nikah baru dia tahu siapa bakal suaminya itu.
“Ok. Fine. Kau dengar sini Ain. Lepas nikah aku akan ke UK. Kau bagitahu pada keluarga kau yang kau ikut aku ke sana”. Dia memberi arahan pula. Ain Syuhada masih lagi diam.
“Kau dengar tak dengan apa yang aku cakap”. Tengking Aidil Zafran. Ain Syuhada mengurut dada kerana terkejut dengan tengkingan itu.
“Ya bos, saya dengar”. Jawabnya terketar-ketar. Aidil Zafran senyum.
“Ha…sebelum aku lupa. Depan semua orang kau panggil aku abang. Tapi depan aku je kau panggil bos. Faham!”.
“Baik bos”. Ain Syuhada menjawab perlahan.
“Aku nak tidur. Kau tidur bawah.” Ain Syuhada hanya akur dengan arahan Aidil Zafran. Dia mengambil narita lalu dibentangkan di bawah katil.  
Ulang tayang peristiwa yang berlaku di kampungnya berulang lagi di rumah keluarga Aidil Zafran. Tempat tidurnya hanya di bawah katil bukan di atas katil bersama Aidil Zafran. Namun dia redha, pasrah dengan apa yang berlaku. Dia nekad dalam hati. Aidil Zafran akan ditawannya juga satu hari nanti. Kalau tidak, apa guna dia menjadi isteri Aidil Zafran yang sah.

“Bos, bangun. Subuh dah nak habis ni. Bos tak nak solat ke?Tak kan nak subuh gajah kut”. Ain Syuhada mengerakkan tubuh Aidil Zafran. Perlahan lelaki itu membuka matanya. Dia mengeliat sebentar.
“Kenapa kau tak kejutkan aku awal-awal. Tak pasal-pasal aku kena subuh gajah”. Marah Aidil Zafran seraya bingkas bangun menuju ke bilik air. Ain Syuhada masih setia memegang lengannya untuk memimpin ke bilik air.
“Tepilah. Ini bilik aku. Aku tahulah bilik air kat mana. Kau jangan nak pegang aku pulak”. Ain Syuhada menarik tangannya dari memegang lengan Aidil Zafran. Niat murninya itu terbantut bila diherdik sebegitu oleh Aidil Zafran. Ain Syuhada hanya  memandang saja Aidil Zafran menuju ke bilik air.
Selesai saja mengambil wuduk, Aidil Zafran membentangkan sejadah yang tersidai di ampaian. Dia memang sudah peka dengan susun atur dalam bilik tamu yang juga biliknya ini.
“Bos, mama panggil makan. Sarapan dah sedia”. Ain Syuhada bersuara setelah dia menunggu Aidil Zafran selesai solat.
“Hah…aku ingat kau dah berambus dari bilik ni. Ada lagi. Hmm..aku tahulah. Nanti aku turun”. Aidil Zafran bersuara kasar. Ain Syuhada hanya mengurut dada menasihatkan hati supaya bersabar. Setelah bergelar isteri ini hanya tekingan dan herdikan Aidil Zafran saja yang menjadi santapan telinganya. Hilang sudah bosnya yang lemah lembut bila bertutur dulu. Ain Syuhada meraup mukanya sambil berdoa kepada Allah agar diberikan kesabaran yang tinggi.
“Macamana perancangan kamu nak ke UK tu jadi ke?”. Soal Puan Azizah pada anak bongsunya itu.
“Jadilah ma…tak kan sebab dah kawin Aidil nak cancel pula. Lagipun bukan lama mana pun 6 bulan je. Aidil bawa Ain sama…sambil kerja boleh honeymoon sekali. Tak gitu sayang?”. Ain Syuhada menoleh memandang Aidil Zafran yang masih leka menyuap bihun kemulutnya. Hmm…salah dengar ke dia panggil aku sayang!
“Betul ke Ain?”. Soal Puan Azizah pula pada menantunya itu. Sejuk dia memandang wajah manis menantunya itu. Sekali pandang macam pelakon bollywood pun ada. Maklumlah menantunya ini ada darah keturunan DKK.
“Ahh..ha..betullah tu mama”. Balas Ain Syuhada tergagap-gagap. Kakinya sudah ditendang oleh Aidil Zafran kerana lidahnya yang tergagap-gagap tidak pandai berbohong itu. Dia hanya tersenyum pada mertuanya sambil menahan sakit. Apa hal pulak main tendang-tendang ni. Ingat bola ka? Ain Syuhada sudah marah dalam hati dengan sikap semborono suaminya itu.
“Mama harap dapatlah Ain jaga Aidil. Tolong dan bantu mana patut. Almaklumlah Aidil tu macam tu. Terbaliklah pulak kan?. Sepatutnya suami kena jaga isteri”. Sayu pula mendengar suara Puan Azizah begitu. Ain Syuhada memegang tangan Puan Azizah.
“Mama jangan risau. Ain akan jaga abang selagi hayat dikandung badan”. Janjinya pada Puan Azizah. Aidil Zafran hanya tersengih. Hmm…macamlah aku nak bawa dia ke UK. Kirim salam je jawabnya.
“Nak mama hantarkan ke airport nanti?”.
“Eh…tak payahlah. Aidil boleh pergi sendiri dengan Ain. Ala ma…KLIA tu dekat je…lagipun Aidil kan ada Ain…Jangan risaulah”. Aidil Zafran pantas menolak pelawaan mamanya. Nanti rosak pulak program kalau Puan Azizah bertegas hendak menghantar mereka ke airport.
“Adila mana ma?”. Soal Aidil Zafran hairan. Selalunya apabila mereka bersarapan pasti kakak dan abang iparnya turut serta.
“Oh…lupa pulak bagitahu. Adila kena segera ke pejabat. Ada mesyuarat tergempar. Abang kamu pula seperti biasalah kena fly ke Europe pulak seminggu”. Aidil Zafran cuma mengangguk. Faham benar dengan kerjaya abang iparnya sebagai juruterbang pesawat MAS itu.

2 comments: