Saturday 26 January 2013

Mr. Hotter Guy Bab 5


Bab 5
Aku mengekor je langkah  Encik Luqman Hakimi a.k.a Mr. Hotter Guy seperti yang digelar Shira tu. Sekali dia  langkah, dua kali aku kena menapak. Maklumlah dia tinggi macam zirafah, aku pula ketot comel macam itik gembo-gembo ikut belakang.
Setiap kali aku bertembung dengan sesiapa je dilaluan kami berjalan mesti aku tersenyum. Senyum itukan satu sedekah. Kurang-kurang kalau aku senyum pada 100 orang yang ada kat sini. Percuma saja aku dapat kumpul pahala. Pada makcik cleaner yang sibuk mengemop lantai aku sapa dengan salam. Tersenyum makcik itu menjawab salam aku. Bahagia rasanya.
“Cik adik ni tak lenguh ke senyum pada semua orang, kenal ke dengan makcik cleaner tu sampai bagi salam bagai”.
 Tiba-tiba dia mencelah masa kaki aku selamat masuk dalam Merc SLK miliknya. Terpegun juga aku bila kali pertama masuk dalam kereta mewah ini. Kalau tak kerana dapat kerja jadi secretary  rasanya sampai sekarang tak merasa nak naik kereta mewah macam ini. Ish…tiba-tiba boleh pula aku rasa bangga dengan kemewahan orang kaya. Bukan aku jaki ke dengan orang kaya-kaya ni…
“Encik tahu tak?. Senyuman itu satu sedekah. Dan memberi salam itu sunat. Saya ni tak kaya macam encik nak hulur sedekah dalam bentuk wang pada orang miskin. Dengan senyuman tu dapat juga saya kumpul pahala. Lagi satu pasal saya bagi salam tu, kan bagus kita sesama Islam saling mendoakan kesejahteraan dan kedamaian dalam hidup”. Panjang lebar aku berkisah. Terdiam sekejap dia dengar mulut aku yang tak henti mengomel. Kemudian dia senyum pula. Aku pula yang hairan dengan perangai Mr. Hotter Guy ini. Sweet juga bila dia senyum. Kenapa aku tak perasaan eh…
“Betullah cik adik ni banyak cakap. Apa saja saya kata ada je idea nak menjawab. Bagus!”. Dia sudah mengulas. Aku pula yang terdiam. Gaya cakap ini macam puji ke keji. Aku pula yang pening memikir.
“Kita nak kemana?”. Aku soal pula. Encik Luqman tidak membalas. Diam je sampai aku pun tak pasti kemana dia nak bawa aku. Betul ke kami keluar atas urusan kerja?. Aku mula rasa was-was.
Keluar saja dari Merc SLK dia dah mula tarik tangan aku. Digenggam kuat-kuat. Aku pula yang terkedu. Tangannya yang panas melekap ditanganku itu menghantar satu isyarat yang tak enak bagi aku. Dengan sekuat hati aku tarik dengan pantas. Aku sudah bagi satu jelingan pula. Dahla dalam lif tadi disentuh jari aku. Ini berani-berani genggam tangan aku pula. Betullah mamat kaya bajet hensem ni kerek, tak tahu adab. Nak je aku lempang.
“Encik ni kenapa sentuh saya?. Jalan sama-sama tak sentuh tak boleh ke?”. Aku sudah meninggikan suara. Dia hanya sengih je. Ish…geram betul.
“Saja…nak test kulit. Lembut ke tidak?”. Dia balas sambil ketawa. Aku rasa dia ni memang tak ada adab. Agaknya tak pernah belajar kut perkara paling asas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Haram bersentuhan.
“Saya rasa cik abang ni kena pergi belajar agamalah. Dahla kerek, tak tahu adab pulak. Dulu kat sekolah tak belajar Pendidikan Islam ke?”. Sengaja aku cakap begitu. Harap-harap dia sedar walau aku tahu dia tak kisah pun dengan apa aku cakap.
“Habis tu yang awak keluar berdua-duaan dengan saya…tak salah?”. Dia soal aku balik. Aku jeling tajam padanya. Kata tadi keluar makan atas urusan kerja. Aku ingat memang betul apa yang dia cakap. Rupanya main-mainl. Aku angkat kaki, mula patah balik keluar dari perkarangan Hotel Sunway ini. Aku punyalah percaya yang dia nak makan dengan client sambil bincang urusan kerja. Nampaknya memang dia sengaja nak cari pasal dengan aku.
Luqman Hakimi hanya melihat saja secretary barunya melangkah pergi dengan muka masam mencuka. Dia sengih.
“Lembut juga tangannya”. Dia senyum gatal.
Kaki sudah melangkah masuk ke Hotel Sunway. Sebenarnya tak ada pun dinner dengan client. Saja dia umpan secretary barunya dengan alasan palsu. Niat hati nak test secretary baru tu. Jenis senang ayat tak?. Tapi tak semudah disangka. Garang juga cik adik tu. Hmm…bagus. Mencabar tu!. Dia angkat kening pula. Masuk je ke dalam restoran Sunway itu tangan sudah melambai pada teman baiknya Mokhtar yang tak lekang mengepit buah hatinya Suraya. Dia je yang berlenggang sorang. Kalau tak sebab cik adik tu lari  macam tu je, nak juga dia kepit macam Mokhtar tengah kepit Suraya dicelah ketiak itu.
“Hai…jarang Mr. Hotter Guy nak berlenggang sorang. Tak ada teman ke?. Andrea mana?”. Soal Mokhtar tatkala Luqman Hakimi sudah melabuhkan punggungnya di kerusi tempat mereka berkumpul itu.
“Bosan dengan Andrea tu. Nak juga sesekali tukar teman. Tadi memang aku bawa, tiba-tiba angin kus-kus dah datang. Terus dia blah macam tu je”.
Mokhtar sudah terangkat kening. Hairan benar Mr. Hotter Guy boleh kalah dengan perempuan ini. Selalu dengan ayat power dan umpan duit senang je pelanduk nak masuk jerat. Pelik!. Pelanduk bukan jenis materialisik kut. Ini mesti pelanduk genius!. Mokhtar sudah tersengih-sengih.
“Tak apalah sekali sekala sorang pun okey jugak…waiter!”. Luqman Hakimi sudah memanggil waiter untuk memesan minuman. Sebenarnya dalam hati malu jugak dengan Mokhtar. Dia mana pernah kalah dengan perempuan. Ini Luqman Hakimilah the hotter guy okey.


Aku masuk ke Bangunan Corporations dengan muka merah padam. Sakit hati betul dengan mamat kaya bajet hensem ni. Hish…lepas ni cik Nurin ye…ingat!. Hati-hati!. Dia tu jenis pantang tengok perempuan dahi licin. Mesti nak test power!. Hah…power apa!!!.
Hei…cik Nurin ni melalut bukan main jauh. Aku tepuk kepala pula. Kaki dah melangkah masuk ke perut lif, nasib baik sempat lagi tapau nasi bungkus. Bolehlah melantak sekejap sebelum sembahyang Zohor. Ada setengah jam lagi sebelum waktu rehat tamat.
Lepas makan dengan gelojohnya di pantry bertemankan Cik Hindun tea lady kat office ni, aku terus minta diri nak ke bilik solat pula. Ada 15 minit lagi sebelum masa rehat tamat. Hari pertama kerja tak boleh tunjuk rekod buruk masuk kerja lambat. Aku langkah kaki panjang-panjang menuju ke bilik solat. Hish…ketot punya pasal buat aku kena langkah luas-luas. Nasiblah ketot campur comel…dalam pada tu sempat lagi puji diri sendiri.
Selesai membaca doa, aku buka telekung dengan pantas dan kusidai ke ampaian yang disediakan diruangan solat itu. Lepas tu cepat-cepat aku pakai tudung bawal dan aku sapu lip gloss di bibir, bedak compact silky girl tu aku sapu ala kadar je. Kaki sudah melangkah keluar hendak memakai kasut yang aku letak diluar bilik solat tadi.
Baru tubuh aku pusingkan hendak melangkah, aku dengar suara orang mengaduh dibilik wuduk yang terdapat di ruangan solat lelaki pula. Oleh kerana aku ini memang jenis prihatin, aku jengolkan kepala mengintip siapa yang mengaduh di bilik wuduk lelaki itu.
Mata membuntang luas bila aku lihat lelaki sebaya pakcik-pakcik yang tukang sapu kat luar office tu sedang duduk mengaduh. Kesian pun ada, aku lirik mata kiri kanan tengok ada tak orang lelaki yang boleh aku minta tolong angkatkan pakcik itu. Tapi lengang, maklumlah jam dah tepat pukul 2 petang. Mesti semua orang dah masuk kerja. Aku je yang jadi pak pacak kat sini tonton adegan sedih. Hendak tak hendak terpaksa aku papah juga orang tua ini. Kesian dia dengan selipar jambannya, baju kemeja yang dah comot kerana basah.
“Pakcik tak apa-apa?”. Ramah aku soal bila tubuh kecilnya aku papah melangkah ke ruang solat lelaki. Dia tak terkata apa hanya menyeringai tahan sakit. Mesti kakinya  terseliuh agaknya bila dia dah tak boleh berdiri dengan betul. Aku sandarkan tubuhnya di dinding.
“Pakcik tunggu sekejap ye. Saya panggilkan orang kat luar. Nanti boleh dia orang bawa pakcik pergi klinik ke?.
“Pakcik boleh tahan sakit lagi. Pakcik belum solat Zohor. Biar pakcik solat dulu”. Dia balas kataku dengan nafas yang tersekat. Aku pula yang jadi sebak tengok dia. Bagus betul pakcik ni sebab dalam sakit-sakit pun dia boleh bertahan demi untuk menunaikan ibadat pada ALLAH. Aku puji sikapnya dalam hati.
“Saya rasa wuduk pakcik dah terbatal tu, tadi saya dah tersentuh pakcik”. Memang pun sebab aku nak papah dia punya pasal mesti aku dah tersentuh kulitnya.
“Macam nilah, anak tolonglah panggil Pak Berahim peon kat ofis ni. Mesti dia boleh tolong pakcik”. Laju aku mengangguk tanda aku faham dengan arahannya itu. Aku hayun langkah pula cari Pak Berahim peon yang dia cakap tu. Mesti pakcik ni pun peon kat ofis ni jugak.
“Kak Hindun kenal tak mana satu Pak Berahim peon ofis ni?”. Aku tanya Kak Hindun tea lady ofis ini yang baru nak melangkah keluar dari bilik pantry.
“Cuba cari kat bilik fail”. Huh…penat nak mencari satu hal. Kesian kat pakcik tadi. Mesti lama dah dia tunggu. Tanpa lengah aku sudah berlari anak mencari Pak Berahim kat bilik fail. Nasib baik masa mula masuk kerja benda pertama yang aku buat adalah mengenali semua bilik yang terdapat di level 7 ini.
“Pak Berahim?”. Aku soal pada lelaki yang sebaya pakcik yang sakit tadi.
“Ya saya. Ada apa nak?”. Sejuk hati aku bila dia bahasakan aku anak. Sama macam pakcik sakit tadi.
“Ada pakcik jatuh kat bilik wuduk tadi. Dia suruh saya panggil pakcik Berahim tolong dia”. Senafas aku jawab. Pak Berahim sudah berdiri. Fail yang ada ditangannya diberikan pada aku. Kalut dia berlalu pergi. Aku pula yang pelik.
“Terima kasih nak, tolong pakcik simpan fail tu ye?”. Prihatin betul Pak Berahim pada kawannya ye?. Memang orang-orang susah ni kebanyakan prihatin sesama sendiri. Aku puji pula orang-orang susah yang seangkatan dengan aku. 

Sunday 20 January 2013

Mr. Hotter Guy Bab 4


Bab 4
            Puan Sri Khalida agak pelik melihat gelak tawa yang menghiasi meja makan tempat suami dan anaknya itu bersarapan. Dia turun ke bawah masih dengan baju tidurnya lagi. Sibuk dengan dinner party Datin Shima sehingga dia pulang lewat semalam. Pagi ini pun matanya masih lagi kuyu kerana menahan kantuk. Luqman Hakimi dah suaminya saling berbalas tawa. Apa sangat yang lucunya sampai suara ketawa mereka mengganggu tidurnya.

            “Baru bangun Ida?”. Soal Tan Sri Hisyam. Dia tidak membalas. Sebaliknya sudah duduk dikerusi setentang suaminya. Dia menyedok mee goreng ke dalam pinggan. Rasa lapar pula. Lepas makan sambung lagi tidur.

            “Sudah-sudahlah dinner party tu Ida. Awak tu dah tua…kubur kata mari rumah kata pergi. Bilanya nak berubah”. Tan Sri Hisyam sudah menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Sesal  dengan gelagat isterinya yang tak mahu berubah.

            “Awak tak payah nasihatkan saya. Tahulah saya. Cepat makan, cepat pergi pejabat”. Puan Sri Khalida buat endah tak endah saja dengan rasa yang diluah suaminya. Tan Sri Hisyam hanya menarik nafas berat. Dia sudah berdiri dari meja makan. Malu sebenarnya. Didepan Luqman Hakimi maruahnya sebagai suami terasa direndahkan.

            “Jom Luqman”. Dia sudah mengajak Luqman Hakimi untuk turut serta pula. Luqman Hakimi segera bangun dari kerusi.

            “Pergi dulu ma. Asalammualaikum”. Dia ucap begitu pada Puan Sri Khalida. Terangkat kening Puan Sri. Mimpi apa anaknya ini. Selama ini ke pejabat tak pernah pun bagi salam.

            “Okey…see U. Good bye”. Puan Sri Khalida sudah separuh menjerit sebagai menjawab salam dari Luqman Hakimi itu.

Tan Sri Hisyam yang mendengar jeritan halus dari isterinya itu hanya menggeleng kepala saja. Susah betul nak lentur rebung yang dah jadi buluh itu. Sekilas dia pandang wajah Luqman Hakimi di sisi. ALHAMDULILAH, nampaknya sinar keinsafan sudah mula mewarnai wajah anaknya itu.


Aku menilik beberapa kali baju kurung berbunga kecil yang menghiasi tubuh comelku ini. Nampak padan dengan tudung bawal yang sedondon dengan rona baju kurungnya itu. Aku posing beberapa kali di depan Shira.

“Macamana okey tak?”. Shira sudah senyum sengih. Dia mengangkat tangan lalu jari ibu dan telujuk membentuk huruf O. Digoyang beberapa kali tanda okey. Aku sudah senyum tanda puas hati dengan pendapat Shira itu.

“Nanti kau pergi kerja. Kalau ada mamat kaya bajet hensem tu datang. Dia tanya nama aku atau apa-apa pasal aku, kau jawab je tak tahu eh. Ingat jawab tak tahu je”. Beberapa kali aku pesan pada Shira. Lega rasanya dapat lari dari mamat kaya bajet hensem tu. Lepas ni tak jumpa dah…tak dapatlah nak dengar dia lulus ke tidak syarat aku itu. Hah…tak apalah. Janji dapat lari dari orang kaya-kaya ini.



Aku berdiri di depan Bangunan Berjaya Corporation yang setinggi 10 tingkat itu. Mata tak habis melihat puncak tingkat paling atas bangunan ini. Kagum pun ada. Teruja pun ada. Akhirnya aku berjaya juga menjadi sebahagian staf Berjaya Corporations ini. Aku melangkah masuk ke dalam bangunan ini. Nampak je pintu lif yang sudah terbuka elok, menonong je aku masuk.

Hari pertama kena tunjuk salah satu  sikap profesionalisme iaitu tepati masa. Jari aku tekan ke angka 6 iaitu Jabatan Sumber Manusia. Tak sedar manusia yang ada di belakang aku turut tekan angka yang sama. Eh…bukan dia tekan angka yang sama, dia tekan jari aku pula. Sepantas kilat aku mengalih pandang. Nak je aku bagi jurus jelingan maut. Sesedap rasa sentuh aku, walau sentuh satu jari aku…tetap dikira sentuh juga.

“Sorry”. Terluah kata itu. Suara serak-serak basah itu buat aku pandang atas makhluk ini. Tinggilah pulak nak banding aku yang ketot comel ini. Hish…perasan betul.     

“Hah…Encik Luqman Hakimi Abdullah Hisyam”. Lancar je aku sebut nama penuh dia. Memang dah terakam dalam otak aku saat aku tengok isi dalam wallet yang dia serah pada aku dulu.

“Eh…cik adik. Kerja sini pulak ke?”. Dia soal aku. Laju saja aku mengangguk.

“Dah satu bangunan ni, tak boleh ke saya nak tahu nama cik adik?”.

“Baca dulu Surah Al-Fatihah”. Aku ungkit syarat yang aku tetapkan kelmarin. Dengan lafaz bismilah, lancar je dia membaca Surah Al-Fatihah lengkap dengan tajwidnya. Aku pula yang menganga kerana kagum, tak sampai 24 jam dia sudah boleh membaca dengan hebatnya.

“Hah…okey?”. Dia soal aku balik. Aku senyum. Kagum.

“Nama cik adik?”. Belum aku jawab, lif dah berdeting. Serentak pintu lif terbuka. Menonong aku keluar, terus lupa nak bagi tahu nama penuh aku. Hmm…nampaknya macam tak boleh lari je dari mamat kaya bajet hensem ni. Aku toleh sekejap. Pintu lif sudah tertutup. Nasiblah…tak dapat aku nak bagi tahu nama penuh aku.

“Asalammualaikum”. Aku ucap salam pada penyambut tetamu yang setia berada dimeja menyambut tetamu. Sapaanku dibalas dengan sebuah senyum. Aku kenalkan diri kepada penyambut tetamu yang bernama Farah itu.

“Oh…staff baru kat sini ye?”. Ramah Farah menyoal. Aku hanya mengangguk macam belatuk. Hari pertama tak boleh nak tunjuk ramah sangat. Esok-esok bila aku dah kenal semua staff kat tingkat 6 ni, baru aku boleh keluarkan gen ramah aku ni.

“Jemputlah duduk. Sekejap nanti Puan Liza masuk. Dia senior secretary kat sini. Dia akan tunjukkan posisi jawatan Cik Nurin yang sebetulnya”. Ramah Farah bercerita sebelum dia meminta diri untuk berlalu. Aku balas dengan senyuman manis pula. Duduklah aku tercongok di dalam bilik berpenghawa dingin ini. Rasanya bilik tetamu kot sebabnya bilik ini lengkap dengan perabot dan ruang untuk bersengang. Aku hanya memerhati je ruang bilik ini. Kelibat Puan Liza yang aku tak kenal tu tak juga muncul. Rasa rimas dan berdebar cepat saja menerpa hatiku kala ini. Bab menunggu ini yang buat aku rasa kurang senang.

“Cik Nurin”. Satu suara yang menerpa gegendang telingaku buat aku bangun secara automatik. Aku pandang pada empunya suara yang bertanya nama aku tadi.

“Puan Liza?”. Aku soal pula. Harap-harap memang inilah Puan Liza. Dia mengangguk. Aku tarik senyum pula. Hilang terus rasa rimas dan berdebar yang singgah dihatiku sebentar tadi.

“Marilah saya tunjukkan meja Cik Nurin. Tapi bukan ditingkat 6 ini. Sebab sini Jabatan Sumber manusia. Bilik CEO ditingkat 7”.

“Maksudnya saya kerja dengan CEO?”. Aku soal lagi untuk kepastian. Sebabnya jawatan yang aku pohon dulu jelas tertera Setiausaha Sumber Manusia. Kenapa tertukar pula?.

“Yup Cik Nurin. Sebenarnya setiausaha Sumber Manusia dah terisi. Tiba-tiba setiausaha CEO pula yang berhenti mengejut. Itu pasal posisi Cik Nurin pun bertukar. Tapi apapun Cik Nurin akan kerap ke sini juga, sebab apa-apahal berkaitan dengan staf memang terpaksa berurusan dengan Sumber Manusia”.

Oh…barulah aku faham keadaan yang sebenarnya. Apa-apa pun aku tak kisah asalkan aku dapat kerja yang bersesuaian dengan kebijaksanaanku ini.

“Panggil Nurin sudahlah Puan Liza”. Rasa formal sangat bercik-cik dengan aku. Nak rasa mesra dan dekat tak boleh berformal sangat. Itu pendapat aku je.

“Okey Nurin. Mulai hari ini awak SU untuk CEO  kat sini. Encik Luqman Hakimi Tan Sri Abdullah Hisyam”. Aku sudah kerut kening pula bila dengar nama itu. Macam pernah dengar tapi dimana eh?..tiba-tiba ingatan rasa blank sekejap.

“Sebenarnya Encik Luqman anak CHAIRMAN Berjaya Corporation Tan Sri Abdullah Hisyam. Baru 6 bulan pegang jawatan ni coz selama ni masih kat oversea”. Aku hanya pasang telinga dengar Puan Liza bercerita.

“Kak Liza nak pesan sikit ni”. Mata Puan Liza sudah meliar memerhati sekeliling. Aku pula dah pasang telinga. Cara cakap macam nak bergosip je.

“Apa tu Kak Liza?”. Lega sesangat bila Puan Liza dah bahasakan dirinya ‘Kakak’. Lebih mesra.

“Hati-hati sikit dengan Encik Luqman. Dia tu kerek dan kasanova sikit, nak banding Tan Sri Abdullah Hisyam memang berbeza sungguh karektor. Tan Sri very humble and sporting person”. Puan Liza rancak bercerita. Rasanya bukan bercerita lagi dah tapi bertukar menjadi gossip lah pulak. Aku terangguk-angguk lagi.

Entah-entah mamat kaya bajet hensem tu anaknya Tan Sri Abdullah Hisyam. Tiba-tiba je ingatan aku kembali normal. Mataku membulat, hah…memang aku tak syak lagi. Aisyeh…nampaknya tak boleh lari lagi dari mamat kaya bajet hensem tu.

Aku masuk dengan langkah yakin ke dalam pejabat Chief Executive Officer. Tertera namanya yang bertinta emas di muka pintu masuk pejabatnya. Aku tegak berdiri serupa askar hendak memberi tabik hormat pada ketuanya. Wajahnya aku tak nampak dengan jelas sebab dia selindungkan dibalik fail peribadi aku.

“Nurin Kamila binti Hisyam…hmm…sedap nama tu”. Pujian pertama yang aku dengar dari dia. Senyum sampai ke telinga. Tak sia-sia mak pilih nama itu untuk aku.

“Umur 24 tahun. Asal Kedah. Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Perniagaan dari UMKL.” Aku dengar dia memperincikan satu persatu cv aku yang dibacanya itu. Namun mukanya tetap terlindung dibalik fail peribadi aku.

“Dah kawin?”. Tiba-tiba dia tanya soalan cepumas. Aku rasa memang aku letak status aku yang masih bujang ini dalam cv aku, kenapa tanya lagi.

“Belum bos”. Aku jawab selunak mungkin. Dia terus letakkan fail peribadi aku. Mata sudah ditalakan padaku. Membulat dan melekat terus ke mataku. Terkejut barangkali. Mungkin tak sangka gadis salegirl dah naik taraf jadi secretary.

“Cik adik!”. Dia panggil dengan intonasi terkejut. Aku hanya tersenyum. Nak kata apa lagi. Kali ini memang tak boleh lari lagi sebabnya aku dah berkerja dengannya pula.

“Waktu rehat nanti keluar makan dengan saya”. Arah dia.

“Hah!”. Aku terkejut mendengar arahan pertama dari dia. 'Keluar makan dengan bos' termasuk ke dalam cv secretary ni. Aku tertanya sendiri. Ini arahan atas urusan kerja ke peribadi. Kalau peribadi aku boleh tolak. Kalau urusan kerja tak boleh, dah langgar etika kerja ni.

“Urusan kerja ke peribadi?”. Dengan beraninya aku menyoal. Yelah aku tak mahu dia menyalahgunakan kuasanya padaku. Lagipun diakan kasanova. Mana tahu dia sengaja nak test aku ke? Ceh…perasan sungguh. Macamlah aku masuk dalam senarai gadis yang boleh menggegarkan imannya. Stop dreaming Cik Nurin?!.

“Kerjalah…saya pun tahulah cik adik oii…tak boleh menyalahgunakan kuasa dengan sesuka hati”. Lega aku dengar dia kata macam tu.

Thursday 17 January 2013

Mr. Hotter Guy Bab 3


Bab 3
“Hai…saya Luqman Hakimi…boleh berkenalan. Nama siapa eh?”. Aku mengangkat muka memandang siapa gerangannya lelaki yang bersuara serak-serak basah ini. Sekali mata aku bertatapan hati sudah mula rasa jengkel. Hmm…mamat kaya bajet hensem rupanya.
“Asalammualaikum!”. Aku balas begitu. Sudahlah terjah masuk tak bagi salam, main bedal je. Tak ada adab langsung sebagai seorang Muslim. Bukankah kita sesama Muslim ini wajib menyapa dengan ungkapan salam. Maksud salam itu ialah saling mendoakan semoga kita beroleh kesejahteraan dan kedamaian. Hmm…benda yang mudah pun tak diamalkan. Pangkah terus!
“Er…aaa…Waalaikumusalam”. Teragak-agak dia jawab salam aku. Hah…tahu pun!. Sunat bagi kita untuk menghulur salam dan wajib bagi orang yang mendengar untuk membalas salam yang kita ucapkan. Benda yang paling asas pun susah nak diamalkan. Agak-agak kalau aku suruh dia baca Al-Fatihah ni lepas ke tidak.
“Boleh saya tahu cik adik nama apa?”. Masih lagi berusaha nak tahu nama aku. Mamat kaya bajet hensem tak habis memerhati aku yang sedang ralit menyusun Kristal-kristal cantik di rak display. Soalannya itu aku tak layan. Sebenarnya aku alergik dengan orang-orang kaya ni. Pelik pun ada juga, apsal dia susah payah nak tahu nama aku.? Ada agenda tersembunyi ke?.
“Kalau saya bagitahu nama saya, kenapa?. Cik Abang nak buat apa?”.
“Saja nak berkenalan. Boleh cik adik?”. Aku kerut dahi mendengar permintaannya itu.  Oh itu…agenda tersembunyi rupanya!.
“Boleh…tapi ada syarat”. Saja aku letakkan syarat. Sebenarnya aku malas nak layan. Kalau dia boleh lepas syarat mudah aku ni. Terpaksalah aku bagitahu nama aku. Tapi tengok pada cara confirm gagal ni.
“Apa syaratnya?”.
“Baca Surah Al-Fatihah lengkap dengan fasihahnya”. Lancar aku menyebut. Dia pula sudah menganga. Mesti tak sangka aku letakkan syarat macam itu. Saja aku nak uji. Kalau Al-Fatihah pun dia tak lepas baca, macamana dengan solatnya. Antara syarat sah sembahyang kena baca Surah Al-Fatihah. Kalau tak tahu juga…maknanya solatnya selama ini. Hish…boleh pulak aku berprasangka. Tak baik Nurin.
“ALHAMDULILAHIRABBILALAMIN tu ke?”. Dia soal aku balik. Aisyeh…Surah Al-Fatihah tak akan tak tahu. Budak sekolah tadika pun tahu baca Al-Fatihah.
“Hah…betullah”. Aku balas pula. Senyum sudah terukir di bibir. Telinga sudah aku pasang dengan antena yang jelas. Nak dengar dia baca Surah Al-Fatihah. Tapi penat aku tunggu. Dia tergagap-gagap kat situ.
“Esok boleh cik adik…”. Hah…aku pula yang menganga. Tak akan tak khatam lagi kot. Ni kalau nak nikah Surah wajib kena tahu ni!. Nampak gaya nak nikah pun tak lepas. Hish…Nurin ni melalut apa sampai nikah pula. Aku sudah tersengih. Melalut pula yang bukan-bukan.
“Kalau camtu. Esok datang lain. Esok je lah saya bagitahu nama penuh saya. Kalau Encik Luqman Hakimi dapat baca Surah Al-Fatihah dengan jayanya. Saya akan jawab apa aje soalan yang encik nak tahu pasal saya”. Sengaja aku cakap begitu. Bukan apa nak bagi sumber inspirasi untuk dia berusaha. Yakin sangat aku, tak akan dalam masa tak sampai 24 jam dia boleh baca Surah Al-Fatihah dengan fasih dan lengkap tajwidnya. Kita tunggu esok!. Hati aku pula yang tak sabar.
Dia berlalu pergi dengan muka yang ketat. Tahu tak apa!. Ingat senang-senang nak mengorat salegirl macam aku. Ingat muka kacak, duit penuh dalam poket aku pandang. Ini Nurin Kamila ye…nak cari pakwe atau calon suami kena ada ilmu agama penuh didada. Bukan ilmu dunia je…ilmu akhirat lagi penting tahu!.


Luqman Hakimi duduk melongo di atas gazebo yang menghadap kolam renang milik keluarganya saat ini. Peristiwa petang tadi bermain lagi dikepalanya. Sungguh dia tak sangka gadis salegirl berwajah cantik ala-ala gadis Timur Tengah itu hendak memberi syarat sebegitu pula. Mencabar sungguh!. Malu pun ada. Sebabnya selama hayatnya berusia 26 tahun ini hal-hal akhirat memang dia pandang enteng. Dunia juga yang dikejar. Rasanya macam nak menyerah kalah je!. Entah apa-apa syarat. Tak membangun minda betul. Cemuh Luqman Hakimi.
Tapi bila fikir pasal Andrea dia mula rasa gelabah. Hish…nak buat apa ni. Akhirnya dia berdiri, menuju ke bilik abahnya Tan Sri Hisham. Pastinya petang-petang begini, abahnya sudah duduk di sejadah membaca Al-Quran. Nampaknya terpaksalah dimancungkan hidung dan disorongkan pipi untuk mengadap wajah abah kesayangannya itu.
“Asalammualaikum abah!”. Dia memberi salam selepas pintu diketuk beberapa kali. Hah…cepat aje dia praktikan apa yang diperolehi petang tadi. Ini gadis salegirl punya penangan.
“Waalaikumusalam. Masuklah Luqman”. Terdengar suara Tan Sri Hisyam menjemput anak sulungnya masuk. Dia pun hairan sebenarnya. Kalau setiap kali menyapa pun dia lebih suka menggunakan sapaan omputih. Jarang benar nak menyapa dengan memberi salam. Namun Tan Sri Hisyam bersyukur dalam hati. Walau perubahan tidak banyak, sikit pun jadilah.
Luqman Hakimi duduk di sisi abahnya yang masih berteleku di depan Al-Quran yang terbuka luas. Mungkin abahnya sedang membaca Al-Quran barangkali.
“Abah!”. Panggilnya. Namun sedikit teragak.
“Ada apa Luqman?”.
“Kalau saya nak minta sesuatu, abah jangan gelak ye”. Tan Sri Hisyam sudah mengangkat kening. Dengar cara Luqman cakap macam besar sangat masalah yang menimpanya ini.
“Kalau kena caranya, abah boleh bagi”.
“Ajar Luke baca Surah Al-Fatihah dengan betul tajwidnya”. Balas Luqman Hakimi menunduk. Malu sebenarnya nak bertentang mata dengan abah sendiri.
Tan Sri Hasyim sudah mengulum tawa. Memang dia nak ketawa pun. Tapi bila lihat wajah Luqman Hakim yang menunduk. Dia tak jadi ketawa. Pelik memang pelik. Tak pernah Luqman Hakimi nak minta dia ajar perkara-perkara berkaitan agama ini. Jauh panggang dari api. Serupa isterinya juga. Suka pada hiburan walau usia makin menginjak ke senja. Dia rasa bersalah sesangat. Dia gagal sebagai ketua keluarga untuk mendidik isteri dan anaknya sendiri.
Tapi permintaan mengejut Luqman Hakim ini benar-benar buat dia terkejut. Tergamam sekejap!. Apakah doanya yang tak kunjung padam pada ALLAH sudah menemui jalannya?. Dia bersyukur sangat-sangat andai apa yang didoakan selama ini dimakbulkan ALLAH.
“Boleh. Abah boleh ajar. Luqman nak belajar apa lagi. Nak belajar solat?. Abah sedia Luqman”. Tan Sri Hisyam sudah menguntum senyum. Dalam hati terasa lega. Seperti ALLAH menurunkan seribu ketenangan buatnya. Luqman Hakimi memerhati wajah tua abahnya. Niat asal nak belajar baca Surah Al-Fatihah je. Tapi kalau dia belajar memantapkan solatnya pun okey juga. Takut nanti gadis salegirl letak syarat nak solat jemaah pula. Haru tu!.


Aku dan Shira sudah tergolek di atas katil bujang yang kami kongsi bersama. Sebenarnya tak sabar nak lihat apa yang terkandung dalam surat yang tertulis besar perkataan Berjaya Corporation itu. Rasanya sebulan lepas aku menghadiri temuduga untuk jawatan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia di Berjaya Corporation. Lepas tu senyap terus. Aku andaikan memang aku tak ada rezeki. Alih-alih hari ini pula aku dapat surat dari syarikat itu. Mungkin nak bagitahu aku berjaya atau aku telah gagal dalam temuduga jawatan itu.
Dengan lafaz Bismilah aku mengoyakkan sampul surat itu. Mataku tertera membaca satu persatu  setiap perkataan yang ditulis. Sampai kepada perkataan ‘Congratulations’ aku sudah tersengih. Terus aku melompat dari katil. Syukur yang tak terhingga pada ALLAH. Akhirnya aku berjaya juga dapat jawatan itu. Lepas ini bolehlah aku balik kampung jumpa Tok Wan dan Mak aku.

“Nurin dah dapat kerja!”. Tanpa malu aku dah separuh menjerit keriangan. Shira yang berada disebelahku sudah tersenyum tawar.
“Hmm…nanti aku kerja soranglah. Kau dah dapat kerja”. Dia bernada sendu. Aku perhatikan wajah Shira yang sudah kelat itu.
“Tak apa Shira. Kau jangan risau. Nanti bila aku dah masuk kerja, ada je jawatan kosong. Aku inform kat kau”. Aku sudah berjanji. Kerja pun belum lagi aku dah siap nak carikan kerja untuk Shira pula.
“Aku ni belajar setakat SPM je…apa kerja yang sesuai dengan aku”.
“Tak apa…nanti pandailah aku carikan jawatan yang sesuai untuk kau. Kerani fail ke? Komputer kau tahu tak?”. Pantas Shira mengangguk.
“Macam tu senanglah”. Aku sudah mengorak senyum pula.
Seronok sebenarnya. Akhirnya kerja yang aku cari sepadan dengan kebijaksanaan aku muncul juga. Aku tak jadi nak tidur. Tengok pada surat tu esok aku dah kena lapor diri. Alamak! Aku tak prepare apa pun. Kalut aku buka almari baju. Adalah dua tiga pasang baju kurung yang masih elok untuk aku pakai esok. Nanti kena shoping cari baju yang sesuai. Nasib baik ada juga simpanan aku selama berkerja jadi salegirl tu. Tak adalah nak menyusahkan tok wan dan mak lagi nak minta duit.

Mr. Hotter Guy Bab 2


Bab 2
            Luqman Hakimi tak habis tersenyum. Bebayang gadis yang melintas didepan keretanya pagi tadi terlayar lagi dimatanya. Tak sangka gadis yang manis senyuman itu bekerja di Kedai Cenderamata Heart The Curve ini. Rasa nak ucap terima kasih je pada Andrea yang mendorongnya ke kedai itu. Kalau tidak tentu gadis yang mula mendapat tempat dihatinya itu tidak ketemu. Kecilnya dunia dirasakan saat ini.
            “Why Luke?...Why U smile like that. Don’t say that salegirl make U heart like bam..bom..bang”. Andrea sudah mula sakit hati bila Luqman Hakimi tak habis tersengih sejak keluar dari Kedai Cenderamata Heart itu tadi.
            “If I say yes. What are U want to do?”. Luqman Hakimi galak menyoal Andrea calon menantu pilihan mama alias Puan Sri Khalida itu.
            “Nothing!”. Balasnya ringkas. Namun dalam hati usah cakaplah. Sudah membahang rasa marah. Tak mungkin Luke si hotter guy in Malaysia merangkap boyfriend dan kad kredit bergeraknya ada hati dengan salegirl kampung tu. Hish…never!.
            “I feel that salegirl make me crazy.” Sengaja Luqman Hakimi cuba membakar hati Andrea. Nak lihat aksi Andrea calon menantu mama cemburu atau tidak.
            “I tak fikir U boleh buat dia jatuh hati pada U”. Andrea sudah mencabar. Sebenarnya sengaja dia berkata begitu. Tak mungkin Luqman Hakimi ada hati pada salegirl kampung tu. Bukan taste dia pun. Taste Luke gadis macam dia!. Pretty and hot!.
            “Kalau I berjaya pikat dia U nak buat apa?”
            “I tinggalkan U”. Andrea menjawab yakin.
Luqman Hakimi sudah membulatkan mata. Nampaknya pucuk dicita ulam yang dia dapat. Andrea memang tak termasuk dalam senarai gadis yang boleh menggetarkan naluri kelakiannya. Buat stok pegang-pegang dan pandang-pandang bolehlah. Lebih pada tu memang buat dia rasa nak muntah je. Dia tahu dia pun bukan kuat iman pun. Tapi tak adalah selama berkenalan dengan perempuan jenis Andrea ni nak bawa ke tempat tidur. Gila apa!. Tak pasal status Tan Sri Abdullah Hisyam terbang melayang macam angin je ditiup gossip buruk pasal kelakuan anaknya. Tapi buat dia musykil sampai ke hari ini apa yang Andrea dah guna-gunakan mamanya sampai Andrea boleh dibuat calon menantu. Huh…sungguh tak sesuai!.
“Okey…done!”. Tanpa banyak fikir Luqman Hakimi sudah membalas.
Suka sebenarnya dapat membebaskan diri dari Andrea yang sudah serupa pacat menghisap darahnya. Kemana saja asyik hendak bershoping je. Sudah banyak wangnya yang dilaburkan buat Andrea tanpa sebarang faedah pun. Namun nak jaga hati mama punya pasal, segala kemahuan Andrea diturut.
“Tapi kalau U gagal pikat dia, U kena kawin dengan I”. Andrea menetapkan syarat pula. Ingat senang begitu je dia nak lepaskan lubuk emas itu. Dia bukan bodoh sangat nak menetapkan syarat yang tidak membawa untung buat dirinya. Luqman Hakimi pula yang tidak keruan. Andai dia gagal, nampaknya dia akan terikat terus dengan pacat ini seumur hidupnya. OMG!...macamanapun dia mesti memang pertaruhan ini.


Aku membelek jam dipergelangan tangan yang sudah menginjak ke angka 10 malam. Nampaknya kerja sudah beres. Tunggu masa hendak balik saja. Lepas pastikan segala kerja untuk hari ini beres, aku dan Shira mula melangkah keluar dari Kedai Cenderamata Heart ini. Urusan menutup kedai terserah pada Madam Chia sendiri.
“Nanti sampai rumah, kita singgah beli burger Abang Zek kejap. Dahlama tak makanlah. Kempunan”. Ujar Shira. Aku hanya mengangguk tanda setuju dengan permintaan Shira itu.
Abang Zek membuka warung burgernya di tingkat bawah Flat Seri Cempaka tempat aku menyewa ini. Dahlama aku  menyewa semenjak zaman belajar lagi. Cuma sekarang aku menyewa dengan Shira dan 2 budak UMKL yang masih belajar  di sini. Kawan-kawan lama semua dah balik kampung. Hanya aku je yang masih bertahan duduk di Kuala Lumpur ini. Matlamat aku selagi tak dapat kerja yang bersesuaian dengan tahap kebijaksanaan aku. Memang aku tak akan balik kampung. Dah banyak kali Tok Wan dan Mak telefon suruh aku balik. Tapi U know me! Stubborn girl.
Alkisahnya kenapa aku jaki dengan orang-orang kaya ni. Sebenarnya ada hubung kait dengan diri aku juga. Bapa aku tinggalkan mak aku masa aku masih dalam kandungan lagi. Nanar mak aku ditinggalkan gantung tak bertali. Rupanya mak aku adalah isteri kedua yang dikahwini secara rahsia oleh bapa aku. Lepas isteri pertama dapat hidu yang bapa aku nikah lain, terus dia gunakan kuasa veto minta bapak aku tinggalkan mak aku. Rupanya bapak aku ni menantu orang kaya. Sebab tu aku benci sangat dengan orang kaya. Apa dia orang ingat dengan kekayaan yang ada boleh buat sesuka hati pada orang miskin macam kami. Aku pun tak pernah tahu rupa bapa aku tu macamana. Maklumlah dia tinggalkan mak  aku masa aku  dalam perut mak aku lagi.
Lepas tu mak dan tok wan aku pindah ke Kedah. Beli tanah dan hidup ditempat baru. Ramai juga yang berkenan dengan mak aku dan berhajat nak buat bini. Tapi mak aku dah tawar hati. Lagipun dia tak mahu aku berbapa tiri. Nasib baik aku ada tok wan. Dia je tempat aku bermanja. Tempat aku menumpang kasih seorang ayah. Kesian mak dan aku!. Sebab apa yang berlaku pada mak aku itulah buat aku alergik dengan orang kaya. Bagi aku mereka ini memang sengaja nak susahkan hidup orang susah yang sedia payah macam hidup aku ini.
Terlopong mulut Shira bila aku berhikayat kisah kenapa aku tak suka dengan orang kaya. Banyak kali aku teguk air masak dalam gelas kerana kering tekak bercerita perihal aku pada Shira. Selama ini memang aku tak pernah buka mulut pun bercerita kisah  hidup aku pada sesiapa pun. Entah kenapa hari ini rajin pula mulut aku bercerita. Habis 2 biji burger Abang Zek aku baham sambil ralit bercerita pada Shira.
“So lepas ni jangan tanya lagi pasal apa aku tak suka orang kaya?”. Aku sudah beri amaran pada Shira pula. Terkebil-kebil makcik itu mendengar arahan aku.
“Kalaulah tiba-tiba ada anak orang kaya jatuh hati dengan kau…apa kau nak buat?”. Aku ketawa berdekah-dekah mendengar soalan cepumas dari Shira. Memang cepumas sungguh sebabnya tak akan ada anak orang kaya yang boleh jatuh hati dengan aku. Merepek sungguh soalan.
“Kau ni mamai ke apa?. Cuba fikir logik. Tang mana celah anak orang kaya nak jatuh hati dengan aku. Kerja pun kat kedai cenderamata je. Jadi salegirl. Sapa nak pandang”. Aku balas untuk soalan tak logik dari Shira. Terkulat-kulat minah tu kena sembur dengan aku. Yalah buat aku moody je untuk soalan yang tak berapa nak bijaksana itu.
Lepas penat bercerita dan mengisi perut aku masuk ke dalam bilik yang aku kongsi dengan Shira. Apa lagi perut dah kenyang, solat Isyak pun dah selesai. Tinggal nak buat tahi mata je lagi. Esok kena bangun macam biasa. Pastikan sebelum pukul 10 pagi dah terpacak depan Kedai Cenderama Heart untuk memulakan tugas semula.
“Hish…bilalah kerja yang bersesuaian dengan kebijaksanaan aku ni nak menjelma!”. Dalam pada itu sempat pula aku bermonolog.
Kemudian aku menadah tangan membaca Surah 3 Qul, Ayatul Kursi dan doa tidur sebelum mata dipejamkan. Bukan apa, mak dah pesan dari kecil lagi. Kalau nak hindar mimpi buruk dan gangguan syaitan wajib amalkan apa yang aku baca tadi. INSYAALLAH, kita pasti dapat tidur dengan berkualiti sekali.



Luqman Hakim menelek wajah dan tubuhnya dicermin. Sesekali dia membuat aksi seperti Mr. Universe nak masuk bertanding. Badannya tegap, muka kacak, tinggi ala-ala model, duit banyak. Pendek kata tak ada yang kurang. Kalau nak pikat minah salegirl tu kacang je.
“Sekali petik mudah je dia tergolek depan kaki aku.” Bangga dan yakin betul dia dapat memikat gadis salegirl itu.
Dengan sekali lompat dia sudah terguling di atas tilam empuk bersaiz king itu. Tangan diletakkan dikepala. Mula membayangkan strategi hendak memikat gadis salegirl itu. Dia pun tak tahu dalam banyak-banyak gadis kenapa dia boleh sahut cabaran Andrea hendak memikat salegirl itu. Sebab dah jatuh hati dengan senyuman dia masa kat traffic light pagi tadi ke?. Hmm…susah betul nak faham dengan hati ini. Luqman Hakimi memegang dadanya pula. Rasa debaran yang menggila saat ini bila setiap kali otak fikir pasal gadis salegirl itu.
“Tapi dia salegirl je…tengok cara macam orang susah. Tak educated mana pun. Hish…bukan taste aku tu!”. Dia merungut pula.
‘Tapi ini je cara kau nak lepas dari Andrea. Ala…lupakanlah pasal tu. Pikat je sampai dapat. Bila dah dapat, kau memang dah menang dalam cabaran ini. Soal gadis salegirl tu kau fikirla nanti. Buat apa nak serabut perut pula’. Hah…muncul pula kata hati yang memberi idea-idea yang bernas. Luqman Hakimi sudah memejamkan mata pula. Sekarang saat untuk tidur. Esok mulakan misi mengorat gadis salegirl. Dia senyum pula.

Mr. Hotter Guy Bab 1


Bab 1

Luqman Hakimi memberhentikan Mercedes SLK rona silver itu betul-betul di depan lampu isyarat yang sudah bertukar warna kepada merah itu. Nasib baik dia tidak tersasar membrek mengejut, kalau tidak pasti dia mendapat kompuan RM300 kerana melanggar lampu isyarat. Ada 30 saat dia perlu menanti sehingga lampu isyarat itu bertukar semula ke warna hijau.

Pandangan matanya dihala ke hadapan melihat beberapa orang menyeberangi jalan menggunakan lintasan kuda belang di depannya itu. Dalam banyak-banyak orang ramai yang lalu lalang itu matanya tertancap pada gadis comel yang memimpin seorang pejalan kaki yang bertongkat putih. Pasti pejalan kaki itu seorang OKU penglihatan. Luqman Hakimi meneka. Senyuman gadis itu terasa meresap terus ke dasar hatinya, bila gadis itu dengan selamba melambai-lambai kepada semua kereta yang berhenti kala ini. Sesekali terlihat gadis itu seolah-olah bercerita pada lelaki yang dipimpinnya. Penuh gaya dengan mulut yang tak henti bercakap dan tangan digawangkan itu.

Luqman Hakimi terus melihat sehingga gadis itu selamat sampai bersama lelaki yang dipimpinnya hingga ke seberang jalan. Kemudian gadis itu menghala ke arah yang bertentangan pula. Luqman Hakimi masih galak memerhati. Betapa indahnya dirasakan pagi ini kerana mata melihat sesuatu yang mengasyikkan buatnya. Senyuman gadis itu terasa melekat dihatinya. Dia senyum lagi. Tak mungkin akan ketemu lagi senyuman semanis kurma itu.

Bunyi hon yang membingitkan telinga membuatkan Luqman Hakimi tersedar dari khayalannya. Dia lihat sekilas lampu isyarat yang sudah bertukar warna hijau itu. Hmm…patutlah bertubi-tubi bunyi hon membingitkan telinganya, rupanya dia menganggu lalu lintas. Semua manusia pagi ini berebut untuk ke tempat kerja. Termasuk juga dengan dirinya ini. Tanpa membuang masa dia menekan pedal minyak Merc SLK miliknya membelah jalanraya menuju ke destinasinya. Namun senyum masih tidak lekang dibibir bila wajah gadis tadi bermain-main dimatanya.



Aku masih mengelap beberapa Kristal yang berbentuk burung dan hati itu. Shira masih sibuk di kaunter melayan pelanggan yang beratur hendak membayar cenderamata yang dibeli. Aku teruskan kerja kerana beberapa Kristal kaca ini perlu diletakkan dirak display secepat mungkin. Nasib baik pelanggan tidak ramai hari ini. Tak adalah aku kalut sangat hendak mengelap Kristal dan melayan pelanggan lagi. Maklumlah Kedai Cenderamata Heart milik Madam Chia ini tak ramai pekerja. Termasuk aku dan Shira serta anak buah Madam Chia adalah 4 orang.

Nak buat macamana, terpaksa kerja kuli walau gaji ciput. Dah banyak permohonan kerja aku minta bersesuaian dengan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia yang kugenggam selepas konvokesyen tahun lepas. Satu pun tak dapat. Tinggal habuk je yang kugenggam kala ini. Nak balik kampung rasanya tak memadai. Lagi tak ada kerja. Lebih baik aku teruskan misi mencari kerja di Kuala Lumpur ini.

“OMG!”. Aku dengar suara wanita melatah. Serentak itu ada barangan kaca yang terhempas. Aku segera menuju ke arah wanita yang sudah tertonggek mengutip serpihan Kristal berbentuk burung 2 ekor itu dilantai.

“Miss…apa yang dah berlaku?”. Aku menyoal. Serentak itu wanita pantas berdiri. Dia buat wajah selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku terus menerpa melihat Kristal kaca yang bersepai dilantai. Aku kutip serpihan Kristal itu lalu aku unjukkan pada dia. Namun wanita berbaju sendat dan tidak cukup kain itu buat muka bodoh je. Aku pula yang rasa nak naik hantu. Tapi bila fikirkan slogan ‘customer always right’  aku maniskan muka. Nak buat macamana dia pelanggan aku. Kena layan dengan baik walau dah sah-sah dia buat silap.

“Miss!”. Aku tinggikan suara memanggil wanita itu yang sudah melangkah hendak meninggalkan kedai ini. Ini kalau dia tak bayar siapa nak bayar. Tak akan aku pula?. Tak pasal gaji yang tinggal ciput kena potong lagi. Ini bukan salah aku!. Dia mengalih postur tubuhnya lalu memandang aku.

“One broken consider sold”. Aku ucap begitu. Namun wanita yang berbedak dan make up tebal berinci-inci itu buat muka tak bersalah. Aku pula yang rasa panas hati. Dia tarik muncung pula, dah serupa itik serati. Dahla muka serupa tepung gomak, dengan tak aslinya kerana nampak sangat plastik hasil cucuk botox sana sini.

“What?”. Dia ulang tanya. Hish…dahla buruk…pekak pulak tu!. Gerutu aku dalam hati.
“Miss dah pecahkan Kristal ni. Miss kena bayar. Lagipun setiap barangan Kristal yang mudah pecah memang kami letak ayat peringatan di situ. One broken consider sold”. Aku ulang lagi ayat peringatan. Namun dia tetap mengeras disitu. Tak adapun riak bersalah.

“Kalau I tak nak bayar?”. Hish…ni macam ayat mencabar ni.
“Miss tak boleh buat macam tu. Miss dah pecahkan, wajib kena bayar”. Aku sudah naikkan volume suara beberapa desebel. Ni kalau bakal hilang kerja sebab bertekak dengan customer nasiblah Nurin Kamila ye…Huh...hati dah memberi peringatan pula!.

“You think I tak mampu bayar. Setakat barang murah macam ni I mampulah”. Wanita tepung gomak itu sudah bercekak pinggang. Shira yang berada di kaunter bayaran sudah memanjangkan leher melihat aku yang sedang berdiplomasi dengan pelanggan yang tak faham bahasa ini. Nasib baik kaunter bayaran sudah cerah dari pelanggan. Kalau tidak, bakal tak lakulah kedai Cenderamata Heart ni sebab salegirlnya garang-garang belaka.

“Kalau Miss dah kata macam tu bayarlah. Buat apa nak bertekak dari tadi”. Bidas aku. Dia sudah kecilkan matanya melihat aku. Marahlah tu!.  Hmm…macamlah aku takut sangat dengan aksi mata kecilnya itu. Kemudian dia hentakkan kasut tingginya yang setebal 4 inci itu dilantai. Macam aku heran…boleh blah. Aku pusingkan tubuh. Langkah aku hayun ke kaunter bayaran. Kristal yang pecah itu aku masukkan dalam kotak. Kemudian aku tekan harganya pada mesin bayaran.

“Honey…pay that bill okay?”. Tiba-tiba dia sudah mengeluarkan arahan. Serentak mata aku menghala pada lelaki yang berkaca mata hitam persis model itu berjalan ke arahku. Dia keluarkan wallet dari jeans Mustangnya. Tapi mata tak habis merenungku. Aku faham sangat walau dia berselindung dibalik kaca mata hitam itu sebabnya dia suakan terus wallet itu padaku.

“Sir…cash or card credit. Which one sir?”. Aku tanya lagi sambil walletnya aku buka. Berderet kad kredit serta wang kertas RM100 setebal 5cm itu. Hmm…jaki betul aku kalau orang kaya bajet hensem berlagak sombong depan aku. Heran sangat dengan kaya dan hensemnya itu. Pantang tok nenek kalau kena sergah dengan orang kaya-kaya ini. Wajib mandi bawah jambatan ni!. Ish…teruk betul aku melalut.

“Oh…err…cash”. Dia rampas walletnya dari tangan aku. Apa dia fikir aku ni hadap sangat dengan wang ringgitnya tu. Sorry eh…Mr. Luqman Hakimi!. Sempat pula aku baca namanya pada Kad Pengenalan yang terdapat dalam walletnya itu.

“Shira take over please”. Aku keluarkan arahan pula pada Shira yang jadi pemerhati disebelahku tadi. Aku hayun langkah masuk bilik stor. Tak boleh berlama dikaunter bayaran tadi. Peluh dah memercik didahi ni gara-gara tahan marah dengan mamat kaya bajet hensem dengan teman wanita tepung gomaknya itu.

Aku menyanyi-nyanyi kecil lagu Selena Gomez ‘Love U Like A Love Song’ masuk pula Shira dengan senyum sengihnya.

“Kau masuk sini, sapa yang jaga kaunter?”. Aku soal pula. Mulut sambung menyanyi sambil tangan masih mengelap barangan Kristal itu.

“Vivian!”. Balas Shira. Oh…anak buah Madam Chia. Desisku dalam hati.

“Hah…duk tercegat apa, tolong aku lap Kristal ni lagi bagus”. Arahku lagi. Shira sudah duduk bersila disampingku. Tangannya sudah mula menari-nari di atas Kristal berbentuk hati itu dengan tuala bersih good morning sambil muka dimaniskan melihat aku.

“Senyum-senyum ni ada maknalah tu!”. Aku buat spekulasi pula. Shira sudah terangguk-angguk.

“Kau tahu siapa tadi wanita seksi tu?”. Shira soal aku.

“Siapa?”

“Model dan pelakon yang tengah naik tu. Kau tak kenal ke?”. Aku geleng kepala.

“Tak pernah tengok berlakon pun. Drama apa? Cerekarama apa?’.Galak aku menyoal sebab aku ni peminat tegar drama Melayu.

“Dia pelakon filemlah…drama tak main”. Balas Shira. Aku cemikkan bibir. Hmm…patutlah aku tak kenal sebab aku ni bukan kaki wayang.

“Boyfriend dia kau kenal?”. Shira soal lagi. Apa punya soalanlah. Kalau dah pelakon tu pun aku tak kenal inikan pula teman lelakinya. Aku jungkit bahu pula.

“Hotter guy tu. Anak orang kaya. Konglomerat Berjaya Corporations”. Balas Shira.

Aku garu telinga yang tiba-tiba rasa gatal. Malas betul kalau bergosip pasal kisah orang kaya. Tak ada faedah. Baik bercerita pasal pemanasan global ke?. Bajet 2012 ke ada juga faedahnya. Menambahkan ilmu pengetahuan. Aku buat tuli bila Shira sudah start enjin bergosip kisah-kisah retis di dalam dan luar Negara pula. Aku hanya terangguk-angguk macam belatuk sedangkan satu apa yang dicerita Shira tak masuk dalam kepala otakku.