Saturday, 28 September 2019

SAYANGKU MRS.CELIK BAB 5






Bab 5
            “Jane mana, Ain?”. Soal Puan Ainon saat mereka sekeluarga sedang duduk di meja makan.
            “Kat bilik, tidur. Kesian dia, mak. Sejak balik dari kubur, asyik teriak ja. Sembab  dah muka dia”. Ain Syuhada mengadu. Muaz yang berada di sebelah buat-buat tak dengar. Malas nak masuk campur hal Jane, musuhnya dalam diam.
            “Pi panggil dia makan. Nanti masuk angin pulak”. Puan Ainon mengarah. Ain segera angkat punggung untuk masuk ke dalam bilik.
            “Eh, nanti... biaqla dia tidur. Nanti hang bawa sepinggan nasi masuk bilik. Kesian budak tu, biaq dia makan kat sana. Orang tengah sedih, entah nak makan pun tak lalu. Biaqlah dia tenangkan fikiran dulu”. Encik Ismail mencelah. Ain yang baru hendak masuk ke bilik, segera patah balik duduk semula di kerusi makan.

            “Hal Jane tu macamana, bang?”. Puan Ainon menyoal usai mereka duduk di beranda menikmati angin malam.
            “Entahlah. Tok Darus dah hantaq orang pi Napoh. Dengaq kata arwah Wirat asal sana”.
Puan Ainon memuncung tidak puas hati. Kalau sudah jumpa keluarga arwah Wirat, tentu Jane akan berpindah ke sana. Tak dapatlah jumpa Jane lagi, sedangkan Puan Ainon sudah mula sayangkan Jane. Yalah, anak perempuannya cuma Ain Syuhada seorang. Kalau Jane dapat jadi anak angkatnya, tentu berganda rasa gembira. Dia cukup berkenan dengan sikap Jane yang baik pekerti dan tingkah laku ditambah pakej cantik serupa gadis Thailand. Putih melepak dengan muka manisnya.
            “Kalau jumpa keluarga Wirat, tentu Jane kena duk sana. Tak dapatlah jumpa Jane lagi”.
            “Dah nak buat macam mana, kita kena terimalah. Lagi pun Jane memang kena tinggal dengan waris dia. Kita ni bukan sapa-sapa, Non”. Encik Ismail putus kata. Dia pun memang sukakan Nuraisya Prija Jane. Baik budaknya, ringan tulang pulak tu.
            “Kalau Jane tak ada sapa-sapa, abang ingat nak ambik dia jadi anak angkat. Kita kena mohon dengan JKM lah”.
            “Hat tu saya suka. Memang saya berkenan dengan budak Jane tu”. Puan Ainon sudah senyum mekar. Seronoknya kalau dia dapat jadikan Jane sebagai anak angkatnya. Susah payah isi borang sana sini pun tak apa. Asal Jane dapat jadi anak angkatnya.
            “Muaz tak sokong. Muaz tak setuju”. Tiba-tiba Muaz mencelah.
Sudah lama dia berdiri di balik pintu mendengar perbualan orang tuanya. Geram rasa hati apabila mendengar niat Puan Ainon dan Encik Ismail. Mana mungkin dia boleh terima Jane menjadi sebahagian keluarganya. Anak Siam itu tak perlu ada dalam keluarganya. Sekarang pun tak perlu. Tapi disabarkan hati kerana memikirkan Jane tak akan berlama tinggal di sini. Namun tak sangka pulak, abah dan ibunya ada hati hendak menjadikan Jane sebagai anak angkat.
Eh, mana boleh!. Dia anak bongsu Encik Ismail dan Puan Ainon. Selamanya dia mahu pegang title itu. Tak perlu ada jin ke Jane ke yang hendak mencelah dalam keluarga mereka?. 
“Hey, budak ni!. Menyampuk cakap orang tua pulak.” Suara Puan Ainon sudah meninggi. Geram pulak rasa hati kerana Muaz menyampuk tiba-tiba. Tak pernah anak-anak Puan Ainon tak beradab sebegini.
“Hang duk bang dengaq kami cakap, ka?”. Puan Ainon sudah bangun dari kerusi. Dia meluru ke arah Muaz. Telinga Muaz dipiat kerana kurang adab.
“Adoi, mak ni…sakitlah”. Muaz sudah terpisat-pisat menahan sakit.
Tangan Puan Ainon dipegang bagi menghalang emaknya terus memiat. Mahu putus barangkali kalau dibiarkan saja. Puan Ainon bukan kira, garangnya mengalahkan singa kelaparan. Amboi, Muaz bukan main lagi mengata emaknya dalam hati. Syurga tu!.
“Lain kali jangan duk buat kelaku lagu ni. Mak tak suka”. Balas Puan Ainon seraya menarik tangannya semula. Telinga Muaz disapu perlahan. Dalam marah-marahnya pun timbul sayang pada Muaz. Yalah, kasih sayang emak. Marah tu sebab sayang.
“Pasai apa yang hang tak suka sangat dengan Jane tu?”. Encik Ismail menyoal. Muaz yang masih berdiri hanya menekur memandang lantai. Tak akan hendak diberitahu yang si Jane tu musuhnya di sekolah. Alih-alih nanti mesti abahnya akan menasihat pula.
“Orang lelaki mana boleh buli orang perempuan. Orang lelaki kena jaga orang perempuan. Kena jadi pelindung. Sebab itu, Allah angkat orang lelaki jadi ketua keluarga, jadi pemimpin.”. Selalu kata-kata itu diulang-ulang Encik Ismail kalau mereka selesai sembahyang jemaah di surau kampung. Abang Azman pun akan ikut mengangguk macam burung belatuk. Teringat pula pada Abang Azman yang berada di USM Kubang Kerian kerana menyambung pengajian dalam bidang perubatan.
“Muaz tak kira, Muaz memang tak suka kalau abah dengan mak nak ambik Jane jadi anak angkat.” Muaz beri kata putus sebelum berlalu pergi meninggalkan kedua orang tuanya tercengang sesama sendiri.
Encik Ismail sudah menggaru kepala yang tidak gatal. Puan Ainon pula mengerut kening kerana keliru dan tidak faham dengan perangai Muaz.
“Isy..Muaz ni mana pernah buat kelaku macam ni”. Desis Puan Ainon masih berteka teki.

Jane yang baru keluar dari biliknya hendak ke dapur, segera berpatah balik. Tergamam mendengar bantahan Muaz itu. Tidak disangka, Muaz benar-benar anggap dia musuh. Perangai kebudak-budakan yang tak boleh minta diskaun langsung. Jane duduk di birai katil memikir masa depan. Akhirnya dia meraup muka dan melepas nafas panjang. Pasrah dan reda pada ketentuan Ilahi selepas ini.
“Jane!”. Lembut suara Ain Syuhada memanggil sambil menatang dulang berisi sepinggan nasi dan segelas air kosong. Jane memandang sayu.
‘Baiknya hati Kak Ain. Lepas ni mesti dia rindu tak dapat jumpa Kak Ain lagi’. Monolognya. Hati sudah mendayu pilu untuk mengulangi kesedihan yang tak berkesudahan ini.
“Ni, kak dah bawa nasi. Jane makanlah. Tak elok biaq perut kosong, nanti masuk angin susah pulak”. Ain Syuhada meletakkan dulang di atas meja belajarnya.
“Jane tak dak seleralah. Jane tak lalu makan”.
“Eh, tak bolehlah macam tu. Kena makan juga sikit”. Ain Syuhada ambil pinggan berisi nasi lalu dibawa kepada Jane. Nasi itu dijemput dengan jari-jemarinya.
“Mai akak suap”. Jane pandang wajah Ain Syuhada yang penuh keikhlasan itu. Kolam mata sudah bergenang dengan air. Terharu Jane rasa dengan kebaikan hati Ain Syuhada.
“Nganga mulut tu”. Arah Ain Syuhada lagi. Jane menurut.
Nasi yang berisi isi ikan kembung goreng itu dimamah perlahan. Sangat sedap walau hidangan itu biasa-biasa saja. Sedap kerana disuap dengan penuh keikhlasan oleh Ain Syuhada. Sudahnya luruh juga air mata Jane kerana sebak.
“La, pasai apa menangis ni!”. Ain Syuhada menyoal pelik. Jane tanpa dapat ditahan air mata terus memeluk erat tubuh Ain Syuhada walau pun tangannya tidak sampai kerana saiz badan Ain yang besar itu.
“Lepas ni tentu Jane rindu dengan kak.” Jane menangis semahu-mahunya.
“Hey, pasai apa kata macam tu?”. Ain memandang pelik. Kenapa nak rindu pulak sedangkan mereka tinggal sebumbung?. Hari-hari jumpa, kut.
“Jane tak mungkin boleh duk sini dah. Tok Penghulu Darus nak cari keluarga arwah abah di Napoh. Kalau Jane tak ada sapa-sapa, Jane kena duk rumah anak yatim. Lepas ni, kita dah tak jumpa, kak Ain”. Tersedu-sedu Jane berkisah perihal hatinya. Itu yang dibimbangkan Jane. Tumpah simpati Ain pada gadis sunti ini. Dia sendiri pun tak tahu apa yang boleh dibantu untuk meleraikan kesedihan dalam hati Jane ini.
“Sabaq na…sabaq. Kak Ain tau, Jane kuat. Ingat, makin tabah kita tempuhi ujian yang Allah berikan, maka makin kuatlah iman kita terhadapNYA, Jane”. Ain Syuhada terus memberikan kata semangat. Kemudian dia mengangkat kening, terfikir sendiri kata-kata yang diucapkan buat meredakan kekusutan yang melanda Jane. Ya, kata-kata itu juga sesuai ditujukan buat dirinya. Sekarang ini pun dia perlu bersabar menghadapi kerenah Aidil Zafran. Penat, hari-hari bergaduh dengan budak lelaki dasar musibat itu.


No comments:

Post a Comment