Saturday, 28 September 2019

KAU DUDA AKU JANDA BAB 6





Bab 6
            Sudah dua helai baju Hana sudahkan jahitan karipap pada lehernya. Namun batang hidung Izham tidak juga muncul. Baju tidur satin berwarna hitam itu dibetulkan di tubuh. Baju tidur pertama yang dibeli untuk meraikan makna ikatan pernikahan mereka dahulu. Harap Izham masih ingat pada kenangan romantis yang mereka ciptakan bersama sehingga lahirnya Rizqin.
            Bunyi deruan enjin kereta buat Hana meluru ke pintu utama. Dia mahu menyambut Izham dengan lirikan senyuman. Rambut lurus separas bahu itu dilurut perlahan. Tak mahu nampak berselerak. Dia cium bau badan sendiri. Wangi. Dia puas hati kerana losyen Nivea yang masih berbaki itu masih kuat baunya.
            “Abang dah balik”. Ujarnya lembut seraya tersenyum manja melihat wajah Izham di muka pintu. Terkejut Izham kerana disambut isteri waktu pagi dinihari sebegini.
            Izham pandang atas bawah-atas bawah diri Sofia. Masih cantik seperti dulu. Cuma badannya agak berisi sedikit. Tapi semua itu sudah membangkitkan rasa dalam jiwanya. Teringat pada kulit putih melepak Sofia tadi.
            Izham rangkul tubuh Hana lalu dibawanya ke sofa panjang di ruang tamu. Hana hanya menurut. Tak salah mengikut rentak Izham kerana sudah lama dia mengabaikan keinginan Izham.
            Baru beberapa minit menyulam cinta, Hana menyerah kalah. Izham bangun dengan rasa hampa.
            “Hana minta maaf, abang”. Hanya itu yang mampu Hana ucapkan. Menitis air matanya kerana tidak berdaya. Izham berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Jelas ada rasa marah tertera di wajahnya.

            “ABANG NAK KEMANA?”. Soal Hana sewaktu melihat Izham menuju ke arah pintu utama.
            “Makan dulu, bang?”. Pelawa Hana lagi. Namun Izham masih diam membisu. Tak akan sebab perkara semalam, marah Izham masih berbekas.
            “Makan dulu, bang”. Ulang Hana lagi.
            “Aku tak ada selera”. Balas Izham lalu menutup pintu rumah. Kalau Izham marah, gaya bahasa dia bercakap pun sudah lain. Hilang panggilan awak-saya sudah diganti dengan aku-kau sahaja.
Hana mengeluh hampa. Rasa bersalah perihal semalam terbit di jiwanya. Bukan dia tak mahu membahagiakan Izham. Tapi dia tidak berdaya. Melahirkan Rizqin dan menguruskan rumahtangga membuatkan dia cepat letih. Stres dan letih telah membunuh keinginannya. Hana ingin menjerit, meluahkan rasa peritnya selama ini. Dia ingin bersuara meluahkan apa yang terbuku di hatinya semenjak menjadi isteri Izham. Bukan ini yang dia mahu. Bukan ini yang didamba pada lelaki idamannya sejak di bangku sekolah itu. Hana sentuh pipinya, peristiwa pahit itu terlayar di depan mata.
“Pantang bagi aku, isteri yang pandai menjawab”. Suara Izham naik tinggi.
“Hana cuma suarakan apa yang Hana rasa, abang”.
“Apa yang kau tak puas hati lagi, Hana?”. Mencerlung mata Izham pandang Hana geram.
“Kau dah tinggal di Kuala Lumpur. Duduk di rumah dua tingkat ni. Bersuamikan aku pengurus bank. Bersuamikan lelaki yang terpelajar. Nak banding dengan kau, setakat SPM pun tak lulus. Apa lagi yang kau tak puas hati?”. Tempik Izham. Geram sungguh rasa hatinya apabila Hana meninggi suara tak puas hati dengan duit nafkah yang dihulur sebanyak RM200 sebulan itu.
“Bila mak abang minta sampai seribu sebulan, abang ikutkan je. Tak pernah abang merungut. Hana ni isteri abang, RM200 tu tak cukup nak berbelanja. Tak cukup untuk beli keperluan Hana. Tambah-tambah Hana dah mengandung, bang”. Rayu Hana mohon simpati. Bukan Hana berdengki. Tetapi Izham tidak adil dalam soal pemberian nafkah.
“Kau tu patut bersyukur. Mujur juga aku bagi duit. Kalau aku tak bagi duit langsung, kau nak kata apa?. Kau tu tak bekerja. Buat apa nak duit banyak-banyak. Kau tu duduk di rumah ja, makanlah apa yang ada. Tak perlu nak bermewah-mewah. Masa di kampung pun kau hidup susah juga”.
“Tapi Hana ni isteri abang. Wajib abang bagi nafkah secukupnya. Berdosa kalau abang tidak berlaku adil. Sanggup abang nak bersoal jawab dengan ALLAH nanti”. Luah Hana geram. Kerja saja sebagai pengurus bank, tapi bab kira-kira wang untuk nafkah isteri tak pandai pula.
“Pang!”. Satu tamparan keras hinggap di pipi Hana.
Mujur lagi tak sampai dia jatuh terjelepuk. Hampir juga dia hilang imbangan untuk berdiri. Pecah tangis Hana kerana terkejut dengan tamparan Izham. Sampai hati Izham sanggup mengangkat tangan dalam keadaan dia sedang berbadan dua.
“Kalau kau tak nak sakit, kau jangan bagi aku marah!”. Izham pergi meninggalkan Hana yang masih menangis kerana terkejut.
Sejak itu, Hana tak berani lagi melawan kata-kata Izham. Tak berani untuk mempertahankan haknya. Biarlah dipendam saja rasa kecewa di dalam sanubari. Berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Allah itu ada untuk membalas setiap ketidakadilan dalam rumah tangganya itu.

1 comment: