Saturday, 28 September 2019

SAYANGKU MRS.CELIK BAB 4






Bab 4
            “Jane, lekaih pi bersiap. Pakcik nak bawa Jane pi hospital. Tengok abah Jane”. Encik Ismail yang baru balik dari mesyuarat JKK kampung terkocoh-kocoh memberitahu. Jane yang  sedang duduk berbual dengan Puan Ainon di ruang tamu segera bangun.
            “Pasai apa, pakcik?”. Soalnya kalut.
            “Ha, takpa. Jane pi bersiap dulu. Ainon pun sama. Jom kita pi hospital”.
            “Pasai apa, bang?”. Puan Ainon berbisik perlahan setelah melihat Jane masuk ke dalam bilik Ain Syuhada.
            “Hospital telefon tadi masa abang tengah mesyuarat. Wirat dah tak ada”. Muka Puan Ainon berubah. Mata menala ke arah bilik Ain Syuhada. Riak wajahnya sedih. Tak tahu bagaimana penerimaan Jane setelah mendapat khabar berita ini.
            “Kesian Jane, bang!”. Suara Puan Ainon bernada sendu.
            “Dah sampai masa, Non. Dahlah pergi bersiap. Abang tunggu kat bawah”. Beritahu Encik Ismail lagi.

            Jane pelik melihat Tok Penghulu Darus sudah menanti di hospital bersama dengan beberapa orang AJK kampung. Encik Ismail hanya beriak biasa, tetapi Puan Ainon sudah bergenang air matanya. Sedih memikirkan nasib Jane selepas ini.
            “Makcik…”. Jane pandang lama wajah Puan Ainon.
            “Pasai apa makcik sedih ni?”. Jane kalut menyoal. Janganlah ada sesuatu perkara yang tak elok berlaku. Tetapi akalnya cepat saja memproses apabila melihat situasi orang yang menunggu di hospital ini.
            “Abah…abah…abah”. Jane terketar-ketar menyeru panggilan untuk Wirat.
            “Abah Jane, pakcik”. Jane tarik tangan Encik Ismail yang masih beriak tenang itu.
            “Abah Jane?”. Sambung Jane dengan pandangan tanda tanya melihat wajah Encik Ismail. Air mata sudah bergenang.
            “Sabar Jane. Allah lebih menyayangi abah”.
            “Makcik, abah Jane dah tak ada”. Jane menangis semahunya. Puan Ainon memeluk kejap tubuh Jane. Dia ikut menangis kerana sedih memikirkan untung nasib gadis sunti itu.
            “Sabar, Jane. Makcik ada ni. Jane kena kuat,kena tabah”. Puan Ainon terus memujuk. Luluh hatinya mendengar suara sayu Jane menangis hiba.
            “Makcik, Jane dah yatim piatu”. Jane terus mengongoi kesedihan.

            Encik Ismail mendapatkan Tok Penghulu Haji Darus yang sedang berbual dengan AJK kampung untuk menyelesaikan masalah arwah Wirat itu.
            “Macam mana Tok hal Wirat ni?”. Soal Encik Ismail bimbang.
            “Tak apa. Pihak hospital akan selesaikan urusan mandi dan kapan jenazah. Nanti kita bawa balik kampung untuk solat dan kebumikan arwah”. Terang Tok Penghulu panjang lebar. Riaknya tenang sahaja. Mungkin sudah biasa mengendalikan hal seumpama ini.
            “Ya , tok. Hal Wirat tu saya tak kisah sangat. Tapi hal si Jane ni, macam mana?. Si Wirat ni langsung tak ada sedara mara ka?”.
            “Tok dah hantaq orang pi Napoh. Dengar cerita arwah Wirat tu orang sana. Mungkin sedara mara dia masih ada lagi.” Encik Ismail hanya mengangguk tanda faham.
            “Tapi, buat sementara waktu ni hang kena jaga dululah budak Jane tu. Kalau tak jumpa sedara mara dia, nampaknya kena serah pada Jabatan Kebajikan Masyarakatlah pulak.” Sambung Tok Darus lagi.
            “Kalu tak jumpa jugak keluarga dia, kami ingat nak buat Jane anak angkatlah”. Encik Ismail mengusulkan cadangan.
            “Baguih tu, tapi kena mohon kat JKM.”
            “Yalah, kami usaha”.

            JANE terkaku di atas tikar mengkuang mengadap kubur Wirat yang sudah ditimbus sedikit demi sedikit. Hatinya walang kerana memikirkan diri yang keseorangan di dunia ini.
            “Abah, Jane tak nak hidup lagi. Jane nak mati!”. Mulutnya merintih kesedihan, merintih kesayuan.
            “Sabaq Jane, ingat Allah.” Puan Ainon memeluk kejap tubuh gadis sunti itu. Luluh hatinya mendengar Jane merintih sedih. Sebak rasa hati kerana memikirkan gadis sekecil ini terpaksa menghadapi dugaan yang besar.
            “Jane kena selalu sedekahkan Al-Fatihah untuk abah, untuk mak. Baca Yassin untuk depa, supaya depa tenang kat sana. Bukan Jane sebut yang bukan-bukan, nak”. Puan Ainon menitipkan nasihat seraya mengusap perlahan belakang Jane. Puas dia memujuk supaya gadis kecil itu terus tabah, terus kuat untuk menghadapi ujian daripada Ilahi.
            “Makcik, Jane tak dak sapa-sapa dah.” Jane terus merintih.
            “Jane tak leh cakap macam tu. Jane kena ingat, Allah tu ada. Jane ada makcik, ada pakcik. Makcik akan jaga Jane, sayang Jane macam makcik jaga dan sayang  anak-anak makcik”. Puan Ainon terus memujuk. Badan Jane terus dipeluk dengan kejap dan erat supaya rasa sedih yang bermukim di hati Jane dapat diluruhkan dengan segera.
            Selesai sahaja bacaan talkin ditamatkan, semua orang yang berada di tanah perkuburan mula beransur balik. Tok Darus dan Encik Ismail bersalaman dengan tok imam serta AJK masjid sebelum mereka minta diri.
            “Tok pun minta diri dulu. Dah lewat petang ni. Nak tengok cucu tok tu dah ada kat rumah ke belum. Anak Mus tu pun boleh tahan budaknya. Kalau tak ditengok, merambu mana hala pula pun tak tau”. Tok Penghulu Haji Darus pula minta diri.

Hari pun dah lewat petang. Risau pula memikirkan Aidil Zafran di rumah. Cucunya itu kena dipantau selalu kerana kedegilan dan kenakalannya itu. Mustafa sudah tak dapat membendung kenakalan anaknya yang suka merempit di bandar, sebab itu Aidil Zafran dihantar ke kampung untuk Tok Darus tengok-tengokkan. Mungkin dengan berada di kampung, Aidil Zafran dapat dibentuk oleh ayahnya pula.
“Yalah.” Encik Ismail sambut huluran salam Penghulu Haji Darus sebelum orang tua itu berlalu pergi.
“Non, jom kita balik. Ain kat rumah sorang-sorang tu. Muaz jom balik”. Encik Ismail ajak isteri dan anaknya Muaz balik. Ain Syuhada di rumah keseorangan. Dia tidak dapat ikut ke kuburan kerana uzur.
“Jane, jom balik”. Puan Ainon memapah Jane untuk segera bangun. Lambat-lambat Jane bangun. Kakinya sudah terasa lembik untuk berdiri lagi. Sayup rasa hati untuk meninggalkan abahnya di situ.
“Makcik, abah…”. Jane pandang sejenak pada kuburan Wirat.
“Jom kita balik, Jane. Nanti kita mai balik”. Puan Ainon memujuk lembut. Bahu gadis kecil itu dipeluk kejap. Jane terus berjalan, sekejap-sekajap dia toleh pandang pada kuburan Wirat seolah-olah berat untuk meninggalkan tempat itu.
“Sabaq na”. Encik Ismail pula memujuk. Kasihan melihat gadis kecil itu. Sudahlah yatim piatu, sebatang kara pula di kampung ini.

No comments:

Post a Comment