Saturday 28 September 2019

KAU DUDA AKU JANDA BAB 2





Bab 2
            Bau haruman CK itu buat Hana terjaga daripada tidurnya. Rizqin di sisi sudah nyenyak tidur. Bunyi enjin kereta dihidupkan membuatkan Hana bingkas bangun. Nyalaan lampu kereta yang semakin mengecil itu membuatkan Hana faham sendiri yang Izham keluar malam seperti selalu. Esok cuti hujung minggu, Izham seperti biasa akan keluar dengan kawan-kawan sekerjanya.
            Hana tarik kain selimut kecil menyelimuti Rizqin. Televisyen yang menayangkan drama Melayu dalam slot Samarinda itu ditutup. Rasanya sudah setengah jam dia terlelap. Asalnya hendak menyusukan Rizqin membuatkan dia terus terlelap sekali. Dia faham sangat keadaan  dirinya  yang cepat letih dan lesu kerana menjaga Rizqin. Dan layanannya pada Izham sudah tak sekerap dulu. Dia hilang nafsu disebabkan keletihan menguruskan rumahtangga sendirian. Izham langsung tidak membantu. Air matanya menitis lagi. Sedih memikirkan rumah tangga yang makin pudar serinya. Izham  pula semakin menjauhkan diri.
            “Abang nak kemana ni?”. Soalnya saat melihat Izham berwangi-wangian dengan memakai baju kasual.
            “Tak payah menyibuk!”. Balas Izham jengkel.
            “Saya nak bagi tahu abang. Barang dapur banyak yang dah abis.”
            “Habis tu?”.
            “Hana nak minta duit sikit nak beli barang dapur”. Minta Hana hati-hati. Risau kalau Izham menyinga. Izham kalau bab duit memang terlalu berkira.
            “Baru dua minggu lepas, saya bagi awak RM100. Awak buat apa dengan duit tu. Saya bukannya makan banyak pun. Setakat nak beli barang makan untuk kita berdua, tak akan duit banyak tu dah habis”. Hana telan liur. Tak akan dia perlu buat buku kira-kira hendak ditunjukkan wang RM100 itu dibelanja ke mana. Zaman sekarang, wang sebanyak itu apalah yang boleh dibeli.
            “Barang dapur makin mahal, bang.” Jawab Hana.
Izham bukan tahu, harga barang dapur yang makin mahal. Dia tak pernah ambil tahu. Dari sejak kahwin sehingga dah beranak seorang, hanya RM 200 itu saja yang diberi buat belanja Hana beli barang dapur sebulan. Pandai-pandailah dia uruskan belanja seharian. Mujur juga Hana ambil upah menjahit leher baju kurung jiran sebelah rumahnya. Sehelai dibayar RM10. Kalau seminggu Hana dapat jahit 5 helai, dapatlah duit itu dia buat belanja mereka makan. Izham tak pernah bertanya cukup ke tidak wang yang diberi buat Hana.
            Kadang kala pernah terlintas di fikiran Hana rasa menyesal kerana tersilap memilih suami. Diakah yang tersilap memilih kerana terbuai dengan rupa kacak Izham dan kerjaya Izham sebagai pegawai bank atau sebab dia memang mencintai Izham semenjak di bangku sekolah lagi.
            Bunyi loceng pintu rumahnya buat lamunan Hana berselerakan. Dia segera mengelap tangan yang basah usai mencuci pinggan. Lega kerana urusan di dapur sudah selesai. Pintu utama dibuka perlahan. Terjengul muka Normah jiran sebelah.
            “Baju kurung yang kak hantar dah siap?”. Tanya Normah di muka pintu.
            “Siap dah, kak”. Laju Hana menjawab.
            “Akak nak bagi lagi 10 helai. Boleh tak Hana siapkan dalam seminggu?. Bos tempat kerja akak berkenan sangat dengan jahitan Hana. Kemas katanya”.
            “Masuk dulu, kak” Pelawa Hana. Normah melangkah masuk ke dalam rumah Hana. Mata melirik memandang sekeliling, terlihat anak Hana sedang tidur beralaskan toto di ruang tamu.
            “Kenapa dibiar budak tu tidur kat situ?”.
            “Tadi dia merengek lapar. Lepas susukan terus lelap. Tak sempat nak bawa ke bilik”. Jawab Hana.
            “Akak tunggu sekejap. Hana nak ambil baju yang dah siap”. Sambung Hana lantas menghilang ke dalam bilik. Hana muncul membawa beg kertas berisi baju kurung.
            “Banyak ke baju kat tempat kerja akak tu”.
            “Dah kerja kat butik, banyaklah bajunya. Bos akak suruh tanya lagi kalau Hana boleh jadi pekerja tetapnya. Dia sanggup bayar upah Hana secara tetap. Bukan bayar RM10 untuk sehelai baju”.
            “Hana tak berani, kak. Takut nanti tak dapat siapkan seperti yang dijanjikan. Hana tak boleh ambik banyak-banyak. Nak menjahit pun kena tengok mood Rizqin juga. Kalau dia okey je, cepatlah Hana boleh jahit. Kalau asyik merengek je, tak sempat Hana nak menjahit. Kadang nak lepas hajat pun tak sempat kak”. Balas Hana ketawa.
            Normah ikut ketawa juga. Faham dengan keadaan Hana sebab dia pun ibu kepada tiga orang anak. Sudah ada pengalaman menjaga anak kecil. Bezanya sekarang anaknya semua sudah besar dan bersekolah menengah.
            “Mana suami Hana?.” Mata Normah melilau mencari. Bukan dia nak menyibuk. Tapi setiap kali dia datang ke rumah Hana, tak pernah sekali pun dia terserempak dengan suami wanita muda ini.
            “Dah keluar kak. Jumpa kawan”. Balas Hana senyum.
            “Akak bukan nak menyibuk Hana.  Tapi sekali-sekala tu elok juga kita kena ambil tahu pasal suami. Kena tunjukkan yang kita cemburu. Zaman sekarang ni, banyak sangat babi yang suka menyondol kebun orang. Tambah-tambah kebun yang subur hasil tanamannya”. Berkerut dahi Hana cuba hadam cakap Normah. Apa kaitannya cemburu dengan babi yang suka menyondol kebun orang. Tak nampak kaitannya pun.
            “Tak apalah, Hana. Akak minta diri dulu. Hana pun nampak letih sangat. Pergilah rehatkan diri dan tidur.” Ujar Normah minta diri. Lagi pun dia rasa bersalah pula kerana mengajar Hana yang bukan-bukan. Tengok pada Hana, dia pasti sangat Hana bukan jenis isteri yang suka sakitkan hati suami. Jenis isteri stok-stok mithali yang tak banyak cekadak macam dia.


No comments:

Post a Comment