AKU DUDA, KAU JANDA
Moga yang lebih baik
mewarnai hidup kita
By
Danisyarahmat
“Saya nikah dengan awak sebab 3 perkara". Luah
Khalil tidak beriak. Wanita yang berada di sisinya hanya memandang sayu. Sudah
pasrah pada ketentuan Ilahi.
"Sebab pertama, saya mahukan anak segera. Anak awak
meluru peluk kaki saya masa di mahkamah tempoh hari, buat saya jatuh
hati." Khalil pandang pula pada wajah polos yang sedang menikmati kek keju
di hadapannya itu. Menyeringai anak kecil itu tersengih dengan baris gigi
tersusun rapi. Wanita itu masih diam tidak menjawab. Dia sudah terbiasa diajar
tidak membalas kata-kata kaum Adam.
"Sebab kedua, saya mahu buktikan pada bekas isteri
saya yang saya mampu bahagiakan wanita lain. Bukan hidup saya berakhir bila
mana dia melangkah meninggalkan saya untuk lelaki lain". Jari-jemarinya
dikepal kuat menunjukkan dia masih marah pada kisah semalam.
"Sebab ketiga ialah awak bekas isteri lelaki yang
rampas isteri saya." Khalil bangun meninggalkan wanita itu bersama anaknya
yang masih menikmati kek keju.
Hatinya sakit mengingatkan bekas isterinya yang mesra
berpeluk dengan lelaki lain. Tidak ada
secalit kesedihan dalam hati wanita yang pernah dicintai sepenuh jiwa itu
walaupun lafaz talak tiga sudah dilepaskan.
Bab 1
“Apa yang awak buat satu hari kat rumah?. Rumah
berselerak. Awak tak bersiap. Serupa Hantu Kak Limah dah saya tengok”. Hilang
selera hendak menikmati makan malam apabila memandang wajah isteri yang sudah
hilang serinya.
Berbaju kelawar yang kusam dan rambut sentiasa disanggul
tinggi itu, sudah serupa wanita di dalam pantang. Tapi isterinya sudah setahun
habis pantang bersalin anaknya, Rizqin. Namun fesyen bajunya di rumah tetap tak
berubah. Izham mendengus hampa. Kenapa teruk sangat penampilan Hana sehingga
dia yang memandang pun tidak bernafsu?.
“Anak abang lasak. Baru dapat kaki. Itu yang ligat
memunggah satu rumah. Tak sempat saya nak berkemas, bang. Nak membuang pun tak
sempat kalau dia dah mengamuk”. Balas Hana lembut. Dia sudah penat berkemas.
Tetapi si Rizqin ni, lasaknya bukan main. Kadang dia nak berlama di dalam bilik
mandi pun tak sempat. Bukan dia tak ingin nak bersiap menyambut kepulangan
Izham dari pejabat. Tapi dia penat menghadapi kerenah di rumah seharian.
“Awak ni dah tak ada baju lain ke nak pakai?. Asyik
berkelawar 24 jam. Sakit mata saya tengok”. Balas Izham lagi menyudahkan
suapannya. Tangan dibasuh. Lalu pinggan makan dibiarkan di atas meja. Itu kerja
Hana untuk mengemas nanti.
Dia sudah penat bekerja di pejabat. Hana bukan buat apa
pun di rumah. Setakat hendak jaga Rizqin seorang bukan susah pun. Maknya di
kampung boleh saja menjaga mereka lima beradik. Rumah kemas, maknya cantik
juga. Tapi kenapa Hana tak boleh jadi seperti emaknya. Hana cuma duduk di
rumah. Bukan bekerja sepertinya.
Hana angkat pinggan Izham ke sinki. Baru membuka pili
air, suara Rizqin merengek sudah kedengaran.
“Hana, tengok Rizqin ni!”. Suara Izham sudah meninggi.
Terkocoh Hana menutup pili air lalu ke ruang tamu semula.
“Awak tengok apa yang dia nak”. Kata Izham. Mata sudah
fokus pada telefon bimbit di tangan.
“Abang tengoklah Rizqin sekejap. Hana nak kemas dapur”.
Arah Hana lembut.
Dia belum lagi menjamah makanan. Ingatnya selepas dah
masak, bolehlah dia jamah sedikit. Tapi Rizqin sudah melalak lapar. Terpaksa
dia susukan Rizqin dulu sehingga anak itu tertidur. Kemudian ke dapur untuk
menjamah nasi. Belum pegang pinggan, Izham sudah balik dari pejabat. Dia
sediakan makan Izham dulu sementara suaminya itu mandi. Izham tak suka kalau
makanan semua sejuk. Jadi, Hana kena pastikan makanan yang dihidang untuk Izham
itu masih panas.
“Saya penat”. Balas Izham. Mata masih fokus pada telefon
bimbit.
“Saya belum makan lagi, abang”. Beritahu Hana minta
simpati.
“Awak tak payah makanlah. Diet. Tengok badan tu dah berlemak
sana sini. Saya tengok pun tak bernafsu”. Izham bangun lalu menuju ke bilik
tidur.
Tumpah air mata Hana melihat sikap Izham. Ke mana
perginya Izham yang dicintainya dulu. Izham langsung tak pandang dirinya lagi
selepas beranakkan Rizqin. Dia tahu dirinya dah tak secantik dulu. Bukan dia
tak berusaha untuk kecilkan badannya semula. Tapi entahlah, badannya tak juga
surut walau dia sudah kurangkan makan.
Akhirnya Hana cempung Rizqin dalam dakapannya. Mula
memujuk dan menyusukan anak itu. Nanti kalau Rizqin dah tidur dapatlah dia
kemaskan apa yang patut. Mungkin juga badannya susah hendak kecil kerana
makannya tak menentu. Kadang lewat malam baru dia dapat makan dengan tenang.
SOFIA
PANDANG SYILING. Tidurnya masih lagi tidak berteman. Khalil seminggu lagi baru
balik. Sunyinya hidup bersuamikan lelaki bekerjaya di lautan biru itu. Rumahnya
serba lengkap. Apa dia nak, semua Khalil akan usahakan. Cuma Khalil saja yang
tiada di sisi saat dia memerlukan seorang teman. Khalil yang terlalu obses dengan
kerja jurutera pelantar minyak itu kadang kala buat Sofia rasa ingin lari
sahaja. Ingin cari lelaki lain sebagai peneman sunyinya. Namun dia cepat-cepat
sedar diri kerana Khalil itu lelaki yang dicintai sejak zaman mereka di
universiti lagi. Khalil tak ada yang kurang. Cuma Khalil sibuk dengan kerja.
Baru
berangan-angan, telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Sofia capai telefon yang
berada di meja kopi itu.
“Keluar!”.
Sofia bersuara teruja. Kawan sepejabat yang masih bujang mengajaknya keluar.
Seronok juga berjimba malam-malam begini. Khalil bukan
tahu dan kalau dia tahu pun dia tak akan
marah. Sofia tahu sangat sikap Khalil. Lagipun Khalil terlalu sayangkan dan
percayakan dia asalkan dia pandai jaga diri. Khalil seorang suami yang very
understanding.
Sofia bangun dari perbaringan. Mula mencari baju apa yang
sesuai untuk dipakai. Mata menilik satu persatu baju yang tergantung di dalam
almari sehingga mata jatuh pada baju berwarna merah menyala itu.
Lebar senyum Sofia. Baju merah itu pasti akan menarik perhatian
semua orang nanti. Sofia memang suka menarik perhatian orang.
No comments:
Post a Comment