Bab
2
“Tok tak boleh bagi Jane duk
sorang-sorang. Bahaya. Nanti jadi apa-apa sapa pun tak tau”. Tok Darus sudah
memujuk Nuraisya Prija Jane yang agak keberatan untuk tinggal bersama keluarga
Encik Ismail.
“Tak pa, Jane dah besaq boleh hidup
sendiri”.
“Hish, tak bolehlah lagu tu. Makcik
ada, Kak Ain pun ada. Kami boleh jaga Jane elok-elok sampai abah Jane keluar
hospital”. Puan Ainon pula memujuk. Dia sudah berada di sebelah Jane. Tangan
Jane diraih lalu diusap perlahan.
“Jane jangan risau, na. Kak Ain ada.
Jane anggaplah macam kak sendiri”. Jane perhatikan wajah-wajah di depannya ini.
Ada kemesraan di situ. Kemudian pandangan Jane beralih pula pada Muaz, teman
sekelas atau selayaknya musuh dalam diam. Sudah lama dia geram dengan sikap
Muaz yang suka mengejeknya.
Ingin saja dia menolak pelawaan itu.
Tetapi memandangkan Puan Ainon, Ain Syuhada dan Encik Ismail manis saja wajah menanti
jawapannya, hendak tak hendak Jane terpaksa bersetuju. Akhirnya Jane
menggangguk perlahan.
Tok Darus mengucap syukur. Lega,
akhirnya masalah Jane dapat diselesaikan buat sementara waktu.
“Dah, jom masuk. Ain angkat beg Jane
masuk dalam bilik”. Puan Ainon sudah mengarah Ain Syuhada membawa beg Jane ke
dalam bilik mereka.
Muaz yang masih berdiri di jenang pintu hanya mematungkan diri. Tapi pandangan
mata masih tajam memerhati ke arah Jane.
Timbul idea jahat untuk mengenakan Jane, rakan sekelasnya itu. Geram jatuh
selut belum hilang sakitnya lagi.
“Ha, Muaz pi masuk. Pi tolong mak apa yang patut. Abah nak sembang
dengan Tok Darus sat. Budak-budak tak elok dengaq orang tua-tua sembang”. Encik
Ismail sudah menghalau Muaz masuk ke dalam rumah. Tak selesa hendak berbual
kalau Muaz ada di situ sedang memasang telinga. Tak manis juga pada pandangan
orang tua-tua. Nanti dikata orang, tak pandai mendidik anak tentang adab
susila.
“Tok jemputlah minum ayaq. Air teh ja. Tu cekodok tu rasalah. Pisang
masak baru ambik dari kebun pagi tadi. Manis tu, tok”. Encik Ismail sudah
mempelawa Tok Darus menjamu selera. Kemudian matanya melilau mencari kelibat
cucu Tok Darus.
“Cucu Tok pi mana?. Tak nampak pun”. Encik Ismail sekadar berbasi-basa.
Aidil Zafran anaknya Mustafa sebaya dengan dia. Sejak sekolah lagi memang
Mustafa itu cerdik budaknya, sebab tu berjaya sebagai ahli perniagaan.
“Biasalah, Mail oii. Budak muda, mana nak lekat di rumah. Pi merambu
dengan kawan-kawan sekampung. Tok pun pening dengan dia. Susah nak lentur,
keteqaq. Baran pun ada juga. Tak taulah ikut perangai sapa. Mus dulu elok ja,
Tok bela.”
“Sabaqla tok, dalam setandan pisang mana ada hat elok semua. Tu lah
cabaran untuk kita orang tua-tua nak bentuk orang muda bagi jadi elok”. Tok
Darus hanya menghela nafas panjang. Kemudian dia mencicip air teh yang masih
berasap tipis itu.
“Hmm..hal Wirat ni macam mana pulak?. Berapa lama nak duk kat hospital
tu?”. Encik Ismail terus menyoal tentang masalah anak kariah pula.
“Hat Tok bimbang ni pasal si Wirat. Tengok gaya macam tak lama. Doktor
pun habaq tadi, bersedia.” Tok Darus merenung jauh. Sedang memikir masalah si
Wirat ini. Kalaulah ajal Wirat sudah sampai, bagaimana pula dengan Jane?.
“Tak ada sedara mara ka?”. Tok Darus menggeleng.
“Yang tok tau, bini si Wirat tu asal Siam Bangkok. Wirat bawa dia mai
Malaysia lepas depa kahwin. Terputus hubungan dengan sedara kat sana sebab kahwin
tak dapat restu mak bapak bini dia”. Encik Ismail tekun mendengar. Cinta punya
pasal lautan api sanggup diredah.
“Wirat pun tak ada sedara mara kat sini”. Encik Ismail menambah.
“Pakat-pakat nak lari dari keluarga sebab keluarga tak restu. Hat jadi masalah,
kalau jadi lagu ni lah.” Tok Darus sudah menggeleng kerana buntu memikirkan
masalah si Wirat.
“Kalau jadi apa-apa…”. Encik Ismail berjeda sebentar.
“Nampak gaya Jane tu kena hantaq duk rumah anak yatim lah. Biar jabatan
kebajikan masyarakat buat keputusan”. Tok Darus memutuskan begitu. Encik Ismail
hanya bungkam. Tak ada buah fikiran yang hendak diberikan lagi bagi
menyelesaikan masalah si Wirat ini.
Ain Syuhada memerhati langkah Jane yang lambat-lambat itu. Wajah Jane
nampak muram mungkin sedih dengan keadaan diri. Kalaulah dia di tempat Jane,
tak tahulah. Dapatkah setabah Jane?. Syukur kerana dilahirkan dalam keluarga
yang cukup kaya dengan kasih sayang walau tidak kaya harta benda.
Jane membuka beg pakaiannya. Baju dikeluarkan lalu diletakkan di atas
rak baju yang kosong.
“Kak Ain, Jane minta maaf kalau menyusahkan keluarga kak”. Jane duduk di
birai katil sambil menahan sebak. Sedih memikirkan kehidupannya yang tidak
sempurna seperti keluarga lain. Ibunya sudah meninggal setahun yang lepas kerana
kemalangan. Dia pula menjadi cacat. Abah pula terus menjadi pemabuk kerana
menghukum diri di atas kehilangan ibu.
“Sabaqlah, Jane. Ada sebab ALLAH menguji hambanya itu. Jane kuat, sebab
tu Jane dipilih untuk mengharungi ujian ini.” Ain Syuhada duduk di sebelah
Jane. Tubuh kecil gadis sunti itu dipeluk erat.
“Jane tak kuat kak. Jane tak ada sapa-sapa. Jane cuma ada abah ja. Kalau
abah tak ada…”. Kata-kata Jane mati di situ. Badannya sudah terhinggut-hinggut
menahan tangis.
“Jane, teriaklah puas-puas. Kak pinjamkan bahu untuk Jane teriak”. Ain
Syuhada usap perlahan belakang tubuh Jane untuk meredakan kegusaran yang
melanda.
No comments:
Post a Comment