Bab 6
Sudah dua helai baju Hana sudahkan
jahitan karipap pada lehernya. Namun batang hidung Izham tidak juga muncul.
Baju tidur satin berwarna hitam itu dibetulkan di tubuh. Baju tidur pertama
yang dibeli untuk meraikan makna ikatan pernikahan mereka dahulu. Harap Izham
masih ingat pada kenangan romantis yang mereka ciptakan bersama sehingga
lahirnya Rizqin.
Bunyi
deruan enjin kereta buat Hana meluru ke pintu utama. Dia mahu menyambut Izham
dengan lirikan senyuman. Rambut lurus separas bahu itu dilurut perlahan. Tak
mahu nampak berselerak. Dia cium bau badan sendiri. Wangi. Dia puas hati kerana
losyen Nivea yang masih berbaki itu masih kuat baunya.
“Abang
dah balik”. Ujarnya lembut seraya tersenyum manja melihat wajah Izham di muka
pintu. Terkejut Izham kerana disambut isteri waktu pagi dinihari sebegini.
Izham
pandang atas bawah-atas bawah diri Sofia. Masih cantik seperti dulu. Cuma
badannya agak berisi sedikit. Tapi semua itu sudah membangkitkan rasa dalam
jiwanya. Teringat pada kulit putih melepak Sofia tadi.
Izham
rangkul tubuh Hana lalu dibawanya ke sofa panjang di ruang tamu. Hana hanya
menurut. Tak salah mengikut rentak Izham kerana sudah lama dia mengabaikan
keinginan Izham.
Baru
beberapa minit menyulam cinta, Hana menyerah kalah. Izham bangun dengan rasa
hampa.
“Hana
minta maaf, abang”. Hanya itu yang mampu Hana ucapkan. Menitis air matanya
kerana tidak berdaya. Izham berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Jelas ada rasa
marah tertera di wajahnya.
“ABANG
NAK KEMANA?”. Soal Hana sewaktu melihat Izham menuju ke arah pintu utama.
“Makan
dulu, bang?”. Pelawa Hana lagi. Namun Izham masih diam membisu. Tak akan sebab
perkara semalam, marah Izham masih berbekas.
“Makan
dulu, bang”. Ulang Hana lagi.
“Aku tak
ada selera”. Balas Izham lalu menutup pintu rumah. Kalau Izham marah, gaya
bahasa dia bercakap pun sudah lain. Hilang panggilan awak-saya sudah diganti
dengan aku-kau sahaja.
Hana mengeluh hampa. Rasa bersalah perihal semalam terbit
di jiwanya. Bukan dia tak mahu membahagiakan Izham. Tapi dia tidak berdaya.
Melahirkan Rizqin dan menguruskan rumahtangga membuatkan dia cepat letih. Stres
dan letih telah membunuh keinginannya. Hana ingin menjerit, meluahkan rasa
peritnya selama ini. Dia ingin bersuara meluahkan apa yang terbuku di hatinya
semenjak menjadi isteri Izham. Bukan ini yang dia mahu. Bukan ini yang didamba
pada lelaki idamannya sejak di bangku sekolah itu. Hana sentuh pipinya,
peristiwa pahit itu terlayar di depan mata.
“Pantang bagi aku, isteri yang pandai menjawab”. Suara
Izham naik tinggi.
“Hana cuma suarakan apa yang Hana rasa, abang”.
“Apa yang kau tak puas hati lagi, Hana?”. Mencerlung mata
Izham pandang Hana geram.
“Kau dah tinggal di Kuala Lumpur. Duduk di rumah dua
tingkat ni. Bersuamikan aku pengurus bank. Bersuamikan lelaki yang terpelajar.
Nak banding dengan kau, setakat SPM pun tak lulus. Apa lagi yang kau tak puas
hati?”. Tempik Izham. Geram sungguh rasa hatinya apabila Hana meninggi suara
tak puas hati dengan duit nafkah yang dihulur sebanyak RM200 sebulan itu.
“Bila mak abang minta sampai seribu sebulan, abang
ikutkan je. Tak pernah abang merungut. Hana ni isteri abang, RM200 tu tak cukup
nak berbelanja. Tak cukup untuk beli keperluan Hana. Tambah-tambah Hana dah
mengandung, bang”. Rayu Hana mohon simpati. Bukan Hana berdengki. Tetapi Izham
tidak adil dalam soal pemberian nafkah.
“Kau tu patut bersyukur. Mujur juga aku bagi duit. Kalau
aku tak bagi duit langsung, kau nak kata apa?. Kau tu tak bekerja. Buat apa nak
duit banyak-banyak. Kau tu duduk di rumah ja, makanlah apa yang ada. Tak perlu
nak bermewah-mewah. Masa di kampung pun kau hidup susah juga”.
“Tapi Hana ni isteri abang. Wajib abang bagi nafkah
secukupnya. Berdosa kalau abang tidak berlaku adil. Sanggup abang nak bersoal
jawab dengan ALLAH nanti”. Luah Hana geram. Kerja saja sebagai pengurus bank,
tapi bab kira-kira wang untuk nafkah isteri tak pandai pula.
“Pang!”. Satu tamparan keras hinggap di pipi Hana.
Mujur lagi tak sampai dia jatuh terjelepuk. Hampir juga
dia hilang imbangan untuk berdiri. Pecah tangis Hana kerana terkejut dengan
tamparan Izham. Sampai hati Izham sanggup mengangkat tangan dalam keadaan dia
sedang berbadan dua.
“Kalau kau tak nak sakit, kau jangan bagi aku marah!”.
Izham pergi meninggalkan Hana yang masih menangis kerana terkejut.
Sejak itu, Hana tak berani lagi melawan kata-kata Izham.
Tak berani untuk mempertahankan haknya. Biarlah dipendam saja rasa kecewa di
dalam sanubari. Berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Allah itu ada untuk
membalas setiap ketidakadilan dalam rumah tangganya itu.