Saturday, 28 September 2019

SAYANGKU MRS. CELIK BAB 6





Bab 6
            “Jane!”. Seru Puan Ainon menjerit nama Prija Jane di balik tingkap nako. Melilau matanya mencari kelibat gadis kecil itu. Rasanya sudah lama gadis itu ke belakang rumah memberi ayam itik makan.
            “Ain!”. Seru Puan Ainon pulak. Dia yang sibuk menggoreng bihun untuk sarapan pagi terjerit-jerit memanggil nama anak perempuannya itu.
            “Awat, mak?”. Ain yang baru sudah mandi itu menyoal dengan kepalanya masih berbalut tuala.
            “Hang pi tengok Jane tu sat. Tadi dia pi belakang bagi ayam itik makan. La ni nak harap Muaz, penyegan dah adik hang tu. Baloq liat. Asal cuti hujung minggu ja, pagi-pagi lesap. Batang hidung pun tak nampak”. Panjang leteran Puan Ainon meluahkan perasaan tentang perangai anak bongsu kesayangannya itu. Baru dia perasan, sejak Jane ada di rumah ni, Muaz suka sangat menghilangkan diri.
            “Yalah…Ain pi tengok”. Ain Syuhada terus ke pintu dapur memakai selipar dan mula melangkah ke arah reban yang menempatkan ayam dan itik milik abahnya itu.
            “Jane…Jane…!”. Seru Ain Syuhada terjenguk-jenguk mencari kelibat gadis Siam itu. Besen berisi nasi untuk ayam dan itik terletak elok di atas tanah. Tapi, kelibat Jane langsung tak nampak. Ain Syuhada terus mencari lagi sehinggalah dia ternampak sebelah selipar di muka pintu stor tempat abahnya meletak perkakas berkebun.
            “Jane!”. Panggilnya lagi. Pintu stor yang berkunci itu ditolak kuat.
            “Isy..tak akan Jane duk dalam ni kut. Dia cari apa kat dalam ni. Main aci nyorok ka?”. Ain Syuhada berteka-teki sendiri. Tapi hatinya masih ragu-ragu memandangkan ada sebelah selipar di depan pintu stor ini. Hatinya mula tidak sedap. Ain Syuhada berlari anak menapak ke pintu dapur semula mencari emaknya.
            “Mak!”. Seru Ain di muka pintu dapur. Puan Ainon yang baru sudah meletakkan semangkuk besar bihun goreng di bawah tudung saji segera menoleh.
            “Ha, awatnya?. Jumpa dah ka?. Mai ajak dia makan sekali”. Ain Syuhada mengerut kening serba salah. Tak tahu hendak diam atau beritahu saja apa yang dia rasa. Ain Syuhada betulkan semula ikatan kain tuala yang membalut kepalanya.
            “Ain tak jumpa dia, mak. Tapi Ain…”. Kata-kata Ain terhenti di situ. Jari-jemarinya ligat bermain di dagu seolah-olah sedang berfikir.
            “Ha, tapi apanya?. Duk terpacak depan pintu dapur tu pasai apa. Nak jadi guard ka?.” Puan Ainon melangkah ke arah Ain yang berada di muka pintu. Matanya meliar mencari kelibat Jane. Risau pula hatinya kerana batang hidung Jane pun tidak nampak. Pagi-pagi lagi Jane sudah bangun menolongnya di dapur. Kemudian menawarkan diri untuk memberi ayam dan itik makan pula. Puan Ainon suka sangat dengan sikap Jane yang pandai mengambil hati dan ringan tulang itu.
            “Cek nampak selipar kat depan pintu stor. Tapi pintu stor kunci”.
            “Dah tu?”. Puan Ainon menyoal.
            “Tak akan Jane menyorok dalam stok pulak kan?”. Ain Syuhada menggaru keningnya kerana berfikir.
            “Dahlah, jom kita pi tengok. Hang duk kerut kening kat sini pun tak jadi gheja jugak”.
            “Stor kuncilah, mak”.
            “Hmm, tak apa…mak ada kunci”. Puan Ainon terus mengambil kunci yang tergantung di para kabinetnya. Kemudian kedua beranak itu langsung melangkah ke arah stor yang terletak berdekatan dengan reban ayam itik itu.
            Puan Ainon terus membuka pedal ayam menggunakan kunci yang dibawanya. Sebaik pintu stor terbuka, kedua pasang mata anak beranak itu terbelalak terkejut. Puan Ainon sudah menjerit kerisauan.
            “Jane!”. Jeritnya lantang. Ain Syuhada yang berada di sebelah sudah menangis ketakutan.
            “Dah, pi cari abah. Lekaih pi cari abah!”. Jerit Puan Ainon lagi. Ain Syuhada segera berlari keluar. Tuala yang membalut kepala dilempar ke atas tanah. Basikal disorong keluar daripada bawah rumah. Kemudian dia mengayuh basikal sekuat hati menuju ke masjid. Pagi-pagi begini tentu abah masih lagi berbual-bual di masjid dengan Tok Penghulu Haji Darus.
            Sambil mengayuh basikal, sambil Ain Syuhada berdoa di dalam hati. Moga Jane tidak apa-apa, walaupun muka gadis kecil itu sudah pucat tak berdarah. Air mata sudah merembes keluar.
Ya, ALLAH!. Ain sayang Jane. Janganlah ALLAH ambik nyawanya lagi. Dalam sendu sedan Ain Syuhada terus berdoa.


No comments:

Post a Comment