Dapatkan novel terbaru daripada saya...boleh order di P2U atau Karyaseni...Kemungkinan hujung bulan ni dah ada di pasaran. Dapatkan okay!!!
Friday, 22 November 2013
Friday, 27 September 2013
Mr. hOTTER Guy Bab 29
Bab 29
Luqman Hakimi tersengih saat melihat
cik adik sayang menunduk merenung lantai di hadapannya itu. Dia berdiri dari
kerusi yang didudukinya lalu melangkah menuju ke arah Cik Nurin Kamila yang
masih menunduk itu.
“Hmm…tahu takut. Ingatkan nak buat
keras kepala. Kau jangan ingat dapat lari dari aku”. Katanya sinis. Dia duduk
menyandar di mejanya. Namun mata masih merenung tubuh setiausahanya yang menunduk
itu. Gadis itu hanya kaku berdiri, sedikit pun tidak mahu mengangkat muka
melihatnya. Malah diam tidak membalas kata-katanya. Dia jadi panas hati.
“Hey..bila aku cakap, pandang aku!.
Jangan nak berlagak jadi patung”. Suaranya sudah meninggi. Geram pula melihat
tingkah setiausahanya yang diam tak berkutik itu. Pantas Nurin Kamila
mengangkat muka. Mata sudah tertala pada lelaki gila seks di depannya itu. Hati
sudah membuak perasaan benci. Kalau tak difikirkan kontrak yang
ditandatanganinya itu, tak ingin dipandang muka lelaki gatal itu.
“Kalau dah miskin tu, buat cara
miskin. Kalau dah tak mampu nak bayar 30k…jangan nak berlagak tunjuk keras
kepala depan aku.” Tanpa perasaan, Luqman Hakimi terus-terusan menghina. Puas
rasa hati kalau dapat menyakitkan hati setiausahanya itu.
Sekurang-kurangnya rasa sakit di kepala
akibat hentakan fail 4 inci itu dapat dihilangkan dengan menyumpah seranah
gadis di depannya itu.
Tapi makin dimarah, makin sakit pula
hatinya. Gadis itu masih bersikap selamba. Kebal telinga agaknya walau dicaci
maki, malah dihina kemiskinannya, gadis itu masih berani merenungnya tanpa ada
perasaan sedih atau malu.
‘Hish…nak buat apa lagi bagi dia
bereaksi. Sakit pula hati aku tengok dia keras hati macam tu. Macam tak ada
perasaan aku hina dia’. Dia bermonolog dalam hati. Kali ini dia mendekat ke
tubuh setiausahanya yang berdiri kaku itu. Tapi gadis itu tetap tidak
berganjak. Seolah mencabar dirinya pula. Tanpa rasa malu, dia pegang kepala
gadis itu, lalu dibenamkan sebuah kucupan di bibir yang sudah lama diidamkan
itu. Baru puas rasa hati, baru setimpal dengan sakit yang menyinggah di
kepalanya itu. Baru berbayar dengan rasa sakit yang dia tanggung itu.
AKU menolak sekuat hati tubuh lelaki
gila seks yang sudah mendekat di tubuhku. Senget benget jadinya tudung aku
kerana ditarik kuat lelaki itu.
“Jahanam!”. Jeritku bersama satu
tamparan yang menyinggah di pipinya. Aku sapu berkali-kali bibir yang menerima
ciuman tanpa rela dari dia. Kalau tadi aku boleh bersabar dengan hinaan dia, namun
dengan apa yang dia dah buat pada aku, memang aku tak boleh sabar. Kalau hari
tu, dia terima hentakan fail setebal 4 inci, kali ini dia terima pula tamparan
wanita dari aku.
“Awak ni gila!”. Herdikku. Air mata
yang cuba kutahan sudah merembes keluar. Hinanya rasa diri ini diperlakukan
sebegitu oleh lelaki yang ku anggap majikan ini. Dia mengesat bibirnya yang
sedikit terluka kerana tamparan aku tadi. Kalau lepas ini dia nak pecat aku
pun, memang itu yang aku hendak sangat. Memang itu yang kutunggu selama ini.
“Kau jangan ingat boleh blah dari
sini. Selagi kau tak habis kontrak, aku boleh buat sesuka hati. Ingat tu!.” Dia
melampiaskan kemarahan. Aku terus keluar dari biliknya dengan wajah yang
menyingga. Memang sakit hati. Ingatkan dengan apa yang berlaku tempohari dia
akan meminta maaf dari aku. Tapi lain pula jadinya. Dia memang melampau. Apa
yang perlu kubuat untuk lari dari dia. 4 bulan masih terlalu lama buat aku. Macam-macam boleh jadi. Kalau
hari ini dia boleh cium secara paksa. Esok-esok apa pula yang dia nak buat. Aku
menghela nafas berat. Kaki sudah laju melangkah ke arah lif. Air mata yang
merembes keluar aku lap segera. Tak mahu orang yang melihat berfikir yang
bukan-bukan. Hanya pada Shira tempat untukku luah perasan.
Aku berlari masuk saat pintu lif
terbuka luas. Ku tekan butang 6 di mana tingkat Shira berkerja itu. Hati memang
tak sabar hendak bertemu Shira. Aku pulas cincin yang menghiasi jari manisku
sambil menunggu lif turun ke tingkat
bawah. Sesekali wajah Shahril Aiman bermain dimindaku. Perlukah ku adukan
masalahku ini padanya?.
Dia
kan tunang aku? Bakal jadi suamiku juga.
Tapi
Nurin…perlukah kau beritahu segalanya. Kau bukan kenal pun dia. Baru jadi
tunang. Takut nanti dengan masalah kau ni, tak pasal-pasal dia minta putus
tunang. Tak pasal-pasal dia kata kau tu yang menggatal dengan bos. Hati orang
bukan dapat kita baca!. Aku kesat
lagi air mata yang merembes keluar walau
puas kuseka tadi. Aku beristigfar
panjang,cuba mencari kekuatan dengan apa yang ku fikir tadi.
“Anak
tak apa-apa?”. Suara yang menegur di belakangku buat aku pantas menoleh.
“Eh...pakcik
bilik wuduk”. Segera aku menyapa sambil tangan cepat saja menyeka air mata yang
mengalir. Tak mahu pakcik itu perasan yang aku tengah bersedih.
“Panggil
pakcik je…tak payah bilik wuduk tu…tak pun pakcik Hisyam”. Balasnya. Aku
tersenyum mendengar omelannya.
“Kenapa
anak menangis. Tensen dengan bos ke?”. Soalnya lagi. Aku tidak terkata hanya
mengangguk saja.
“Macam
tulah kerja nak. Kita ni kuli, kena banyak bersabar walau kena herdik. Telinga
kena tebal, hati kena kebal. Baru boleh kerja lama kat sini”. Dia giat
menasihat pula. Aku hanya tersenyum. Terpujuk mendengar motivasinya. Pintu lif
terbuka luas tanda sudah sampai ke tingkat 6. Segera aku minta diri. Hati yang
tadinya serabut, sudah semakin kurang serabutnya setelah bertembung dengan
pakcik Hisyam tadi. Nasihatnya buat aku rasa tenang.
“KAU
tak boleh terus bersabar je Nurin. Aku takut nanti macam-macam pulak dia buat
kat kau”. Shira sudah mengepal penumbuk. Nampak sangat dia memang terlalu marah
dengan apa yang menimpaku tadi.
“Habis
nak buat apa?. Aku bukan ada duit nak bayar?”
“Kita
adu kat polis. Kau ni dah kena gangguan seksual tahu”.
“Kau
rasa ada orang nak percaya?. Dia orang banyak duit. Takutnya nanti dia pusing
cerita, aku pula yang kena masuk lokap. Orang banyak duit ni macam-macam dia
boleh reka cerita.” Shira sudah garu kepala memikirkan masalah aku. Kesian pula
melihat sahabat baikku ini memerah otak mencari jalan untuk menolongku. Aku
pula tak habis mengesat air mata yang mengalir. Agaknya kalau aku masih kerja
di Kedai Cenderamata Heart itu, tentu semuanya bukan begini. Walau gaji kecil,
tapi hati sentiasa tenang dan gembira.
‘Nurin, masa tak boleh diundur. Kita bukan
ahli nujum yang boleh meramal masa depan’. Kata hati sudah berbisik. Aku raup
muka dengan telapak tangan lalu beristigfar perlahan.
“Kita
adu pada bapak dia, Tan Sri Hisyam. Staf kat sini cakap, bapak dia very humble
person. Mesti dia percaya cakap kau”. Shira sudah ceria wajahnya. Mungkin lega
kerana dapat mencari penyelesaian untuk masalah aku ini.
“Boleh
ke? Ingat senang nak jumpa Chairman. Kita ni kuli batak je. Bukan pegawai
atasan!’. Soalku tidak yakin.
“Muka
Chairman pun tak pernah kenal, bagaimana nak jumpa dan adu masalah yang besar
ini?. Masalah berkaitan dengan perilaku anaknya pula. Agak-agak, siapa dia nak
percaya, anak tunggalnya itu atau kuli batak macam kita ni”. Sambungku lagi
sambil renung muka Shira yang bersemangat itu.
“Hei…kawan!.
Belum cuba belum tahu. Kita jumpa dulu. Dan terangkan perihal sebenar. Kalau
dia tak percaya pun, alih-alih kita kena pecat je. Kau pun sukakan dapat blah
dari sini”. Shira cuba memotivasikan aku pula. Aku sudah senyum kelegaan. Betul
juga kata Shira. Aku tak rugi apa-apa. Kalau Chairman tak percaya, aku bakal
kena pecat. Memang itu yang aku nak sangat.
“Tapi…kau
pun hilang kerja. Pasal aku, kau pula yang terlibat”. Balasku sedih. Shira
hanya mengangkat kening.
“Jangan
risau pasal aku. Bumi ALLAH ini luas. Rezeki ada di mana-mana. Aku pun tak
ingin kerja dengan syarikat yang menindas pekerjanya sesuka hati”. Ujar Shira
bersemangat. Minah ni, benar-benar kawan sejati. Aku peluk tubuh Shira
seeratnya. Bahagia memiliki sahabat yang sehati sejiwa ini.
Mr. Hotter Guy Bab 28
Bab 28
“Seronok pergi Penang?”. Soal Shira
saat aku rebahkan badan di sofa sambil mata ditalakan ke tv bersaiz 14 inci
itu. Aku angguk malas pada pertanyaan Shira itu. Sebenarnya badan masih letih,
maka minda pun turut letih juga. Selesai
saja urusan pertunangan ala sempoi pada pagi itu. Petangnya, aku dah mula naik
bas untuk balik semula ke Kuala Lumpur. Kalau ikutkan hati memang aku tak nak
balik ke sini. Tapi memikirkan mana nak ku cari 30k itu buat aku teruskan juga
niat aku yang tinggal separuh hati ini. Bila detik hitam itu bermain di mataku, hatiku
jadi tidak keruan. Sekilas aku menilik pula cincin belah rotan yang tersarung
di jari manisku. Aku pusing-pusingkan cincin itu, namun pandangan mata masih
melekat di kaca tv.
“Weh…cincin apa ni?”. Shira sudah memegang
tanganku. Matanya tertancap pada cincin yang tersarung di jari manisku. Segera
aku menarik tanganku dari pegangan Shira. Cuba hendak sembunyikan dari
pengetahuannya.
“Mana ada?”. Sangkalku.
“Wei…nak tipu pun. Agak-agaklah..aku
bukan buta.” Dia terus sambar tanganku lalu mata tak habis merenung cincin
belah rotan yang pudar warnanya.
“Cincin belah rotan ni. Tak akan kau
bertunang kot? Bila masa kau bertunang ni?. Tapikan...apasal cincin kau buruk
sangat”. Dalam Shira bersoal macam-macam, sempat pulak dia mengutuk cincin
tunang aku. Segera aku jeling dia sekilas. Minah ni!...memang tak sayang mulut.
Sesedap rasa saja mengutuk cincin pemberian bakal ibu mertuaku.
“Ha..ah…aku dah bertunang semalam”.
Balasku dengan wajah selamba. Membulat mata Shira terkejut mendengar jawapanku.
“Biar betul?.” Dia soal aku tak
percaya. Aku angguk lagi.
“Dengan siapa?”
“Aiman tak kisah”.
“Hah…”. Dia tenung wajahku pula.
Matanya merenung aku tajam. Cuba mencari kepastian di situ. Cara pandang memang
dia macam tak berapa nak percaya dengan kata-kataku.
“Betul…aku tak tipu. Kalau tak
percaya…tanya mak aku”.
“Cercita kat aku…macamana kau boleh
terjebak dengan Aiman tak kisah ni?”. Shira kemaskan duduk. Memang bersemangat
sungguh cara Shira itu untuk mendengar aku berkisah bagai.
“Aku tak ada pilihan Shira. Ini saja
cara yang aku buat untuk lari dari bos”. Kataku perlahan. Berkerut dahi Shira
tidak faham dengan apa yang aku terangkan.
“Hish…apa kes ni sampai nak lari
dari bos ni?”. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, aku lap perlahan.
Aku tunduk merenung jari manisku yang dihiasi cincin belah rotan ini. Adakah
keputusan yang kubuat ini betul-betul dapat menyelamatkan aku dari si hotter
guy yang gatal, jahat dan gila itu?. Aku melepaskan keluhan. Aku renung dalam
anak mata Shira yang duduk didepanku ini. Aku pejam mata, lalu aku tarik nafas
dan hembus perlahan. Aku buka mata. Rasa
sedikit tenang untukku mula berhikayat bagai pada Shira yang tak sabar untuk
mendengar.
TERKEJUT Datin Shima menerima
kedatangan Puan Sri Khalida yang mengejut itu.
Dia baru sahaja berkira-kira untuk bertemu tetamu yang satu ini, tak sangka pula Puan Sri sudah berada di
halaman rumahnya ini. Macam ada telepati pula. Dia bermonolog sendiri.
“Jemput masuk, Puan Sri. I baru
terfikir nak jumpa you. Tak sangka pula you sendiri datang rumah I”. Ujar Datin
Shima berbasi-basa. Puan Sri Khalida tidak menjawab. Dia terus duduk di sofa
kulit tanpa dipelawa terlebih dahulu. Mukanya serius dan tegang seolah sedang
memikirkan satu masalah yang besar.
“I nak tanya you sesuatu. Dan I nak
you jawab betul-betul”. Puan Sri Khalida membuka mulut. Soalan yang keluar dari
mulutnya buat jantung Datin Shima berdegup pantas. Gelabah wanita itu mendengar
suara Puan Sri Khalida yang tegas dan keras itu.
“Apa hal Puan Sri? Penting sangat
ke? Kalau kena dengan soalannya, I pasti jawab dengan betul”. Balas Datin Shima
sambil mengerut dahi. Tak pernah pula selama bersahabat dengan Puan Sri
Khalida, dia melihat wanita ini tegang. Mungkin masalah yang melanda Puan Sri
Khalida bukan masalah kecil atau boleh dibuat main-main. Dia rasa simpati. Tapi
rasa simpatinya sekejap saja bertandang bila fikirannya menerawang kepada masalah
melibatkan Luqman Hakimi dan anaknya Andrea. Puan Sri Khalida nak batalkan peminangan?. Dia
berteka teki sendiri. Tiba-tiba Datin Shima pula yang rasa tegang.
“Betul ke Zaimah dah mati? Betul ke
orang upahan you tu buat kerja?”. Soal Puan Sri Khalida serius. Matanya
mencerlung tajam melihat Datin Shima yang agak resah itu. Tak sangka pula selepas
berpuluh tahun, Puan Sri Khalida hendak mengungkit peristiwa lama yang makin
dilupakan itu. Ingatkan masalah melibatkan Luke dan Andrea. Diam tak diam,
Datin Shima menarik nafas lega.
“Kenapa you? Benda dah lama. Kenapa
you ungkit balik. You tak percaya ke? I ni bestfriend you tau…tak akan I nak
menipu pulak”. Giliran Datin Shima pula menyoal. Pelik mendengar soalan Puan
Sri Khalida mempertikaikan perkara yang pernah sama-sama mereka lakukan 25
tahun yang lalu.
“Habis tu…kenapa suami I mati-mati
marahkan I. Dia kata Zaimah masih hidup lagi. I yang sengaja sembunyikan
perkara sebenar dari dia. Apa ni?. Macamana Zaimah boleh hidup pula. Bukan
orang upahan you bakar rumah dia dengan dia-dia sekali dah jadi abu dalam
kebakaran tu?”. Bagai peluru mesin gun, Puan Sri Khalida menyoal bertubi-tubi.
Terkesima Datin Shima tidak dapat membalas setiap
tujahan soalan itu. Memang dia dan Datin Shima sama-sama merancang kemalangan
itu dan orang upahan Datin Shima yang melaksanakan tugasan. Dia sendiri rasa
lega yang amat apabila melihat kuburan Zaimah. Alih-alih si suami mengkhabarkan
madunya itu masih hidup. Memang dia terkejut. Memang dia marah. Memang dia tak
puas hati. Habis selama ini rancangan yang dibuat 25 tahun dahulu adalah
sia-sia.
“Betul you. I sendiri tengok dengan
mata kepala I masa Bakar dan konco-konconya bakar rumah tu. I tengok api
menjulang tinggi saat rumah itu dimamah api. Tak akan I nak tipu pula. You
sendiri pun ada bersama I. Tak akan you dah lupa kut?”. Datin Shima
bersungguh-sungguh mempertahankan kata-katanya. Memang dia nampak dengan mata
kepalanya sendiri. Tak akan matanya dah rabun kut. Itu, peristiwa yang berlaku
25 tahun yang lepas. Dia masih muda belia lagi saat itu. Matanya masih elok dan
dia tidak nyanyuk untuk mengingati peristiwa itu. Puan Sri Khalida terdiam.
Otaknya ligat berfikir. Antara kata-kata Datin Shima dan suaminya itu, siapa
yang benar dan siapa yang salah. Seingatnya selepas dia dan Datin Shima
sama-sama melihat rumah Zaimah di kampung mula marak dengan api yang menjulang
mereka segera tinggalkan tempat itu. Selebihnya orang suruhan Datin Shima yang
menyelesaikan semuanya.
“Habis tu, apa yang suami I cakap tu
tak betul?”. Suaranya yang meninggi tadi sudah mengendur semula. Dia tatap
wajah Datin Shima sambil tangannya menongkat kepala. Pening memikirkan
teka-teki yang melanda ini. Datin Shima hanya mengangkat bahu. Tak tahu hendak
cakap apa lagi.
“Kita cari Bakar. Kita cari dia.
Hanya dia je yang tahu perkara sebetulnya!”. Arah Puan Sri Khalida pula. Dia
sudah tersenyum. Lega memikirkan
kekusutan yang dialaminya ini dapat diselesaikan jika mereka ke temu
Bakar. Datin Shima sudah cemberut wajahnya. Gila hendak mencari Bakar. Semenjak
peristiwa itu, dia tak pernah berurusan lagi dengan Bakar. Dia tak mahu ada
sebarang hubungan lagi. Takut andai peristiwa 25 tahun itu terbongkar dengan
dia sekali bakal masuk penjara. Tak dapat dibayangkan seorang wanita berpangkat
dan ibu kepada pelakon terkenal terlibat dalam skandal dan menghiasi muka depan
surat khabar. Hish…minta dijauhkan.
“Mana nak cari you?. I tak pernah
jumpa Bakar selepas peristiwa itu. I pun tak tahu entah
hidup atau mati si
Bakar tu. Tak payah risaulah you. Memang Zaimah dah mati. I rasa suami you tu
sengaja nak uji you. Sengaja nak mainkan perasaan you”. Datin Shima cuba
berlembut. Cuba memujuk Puan Sri Khalida membatalkan niatnya.
Cari
bala dan tak ada kerja agaknya hendak mencari Bakar dan membuka pekung yang
sudah lama membusuk di dalam dada masing-masing. Gerutu Datin Shima lagi, tak
puas hati. Semua itu diluahkan dalam hatinya saja. Cari nahas kalau terang-terangan
diluahkan pada Puan Sri Khalida. Alamat
niatnya itu tak akan kesampaianlah jawabnya. Puan Sri Khalida hanya menarik
nafas. Tapi dia memang yakin dengan kata-kata suaminya itu. Tak pernah
sekalipun Tan Sri Hisyam mengungkit soal Zaimah. Cuma sejak kebelakangan ini
saja, nama Zaimah mula disebut. Dia keliru sendiri.
“I
kelirulah Shima. I takut kalau apa yang Tan Sri cakap tu betul. Tak dapat I
bayangkan kalau Zaimah masih hidup. Tan Sri dah ugut I. Dia nak cari Zaimah
sampai jumpa. Kalau I tak dapat terima Zaimah, tahulah dia nak ajar I macamana.
I tak nak Luke menderita nanti. Kalau Zaimah masih hidup dan punya anak,
macamana dengan kedudukan Luke. Mesti semua harta ini akan berpindah pada
Zaimah nanti. Luke hanya anak angkat. Dia tak ada hak, Shima…”. Luah Puan Sri
Khalida. Dia menekan berkali-kali kepalanya. Mungkin pening atau kusut
memikirkan masalah yang bakal melanda nanti. Datin Shima ikut berubah air
mukanya. Risau juga andai apa yang dikatakan Puan Sri Khalida itu betul. Kalau
Luqman Hakimi sendiri tiada apa-apa hak pada harta milik Tan Sri Hisyam, buat
apa dia bersusah payah untuk menyatukan Andrea dengan Luke nanti.
“Tak
ada apalah you. I yakin suami you tu sengaja nak uji you. Dah tak payah risau.
Buat apa nak fikir perkara yang tak pasti. Jom kita pergi kelab. Jumpa member
sambil hibur hati. Tak adalah you nak fikir yang bukan-bukan lagi”. Datin Shima
sudah menarik tangan Puan Sri Khalida supaya bangun. Tanpa banyak soal, Puan
Sri Khalida hanya menurut. Dia perlu tenangkan hatinya yang kusut. Bertemu
dengan kawan-kawan di kelab, sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hatinya.
Akhirnya dia mengekor Datin Shima.
Andrea
yang tadinya hendak turun ke tingkat bawah, terbantut langkahnya saat mendengar
perbincangan Puan Sri Khalida dengan ibunya. Berkerut-kerut dahinya cuba
mentafsir setiap kata-kata yang keluar dari mulut mamanya si Luke. Siapa
Zaimah? Dia berteka teki sendiri. Kalau betul apa yang didengarnya tadi, satu
senyuman sudah tergaris di bibirnya. Tak disangka lelaki hati kering yang
sentiasa berlagak itu hanya anak angkat. Bukan anak kandung konglomerat
terkenal itu. Selama ini berlagak dengan harta kekayaan orang tua angkatnya
saja.
“Huh…hotter
guy konon. Hampeh!...lepas ni kau jangan nak berlagak lagi dengan aku Luke. You
are not hotter guy…but hopeless guy…”. Andrea gelak sakan.
“Kalau
selepas ini, lelaki hati kering itu cuba nak hina-hina aku. Tahulah apa aku nak
buat”. Andrea melangkah turun ke tingkah bawah. Dalam hati, sudah tak sabar nak
berjumpa Ariel Zen.
“So,
lepas ni mummy tak boleh nak paksa-paksa aku. Siapa pilihan aku, mummy kena
terima. Ariel Zen seratus kali lebih baik dari mamat hati kering tu”. Dia
bercakap pada diri sendiri. Kemudian ketawa lagi. Kaki sudah melangkah keluar
dari rumah dan menuju ke arah kereta Ford Fiesta rona merah itu.
“Darling
I coming”. Dia ketawa lagi sambil membayangkan tubuh sasa Ariel Zen dalam
pelukannya itu.
Mr.Hotter Guy Bab 27
Bab 27
Mokhtar
tak habis dengan ketawanya sampai menekan perut. Luqman Hakimi menarik muka.
Sakit hati memikirkan ketawa sahabatnya itu yang tak berkesudahan. Tujuan dia
bertandang ke rumah sahabatnya itu sekadar untuk meluahkan rasa sakit hati
dengan apa yang berlaku di Penang. Sebaliknya ketawa perlian pula yang dia
dapat. Kalau tahu begini lebih baik dia balik terus ke rumah dan tidur. Hilang
penat. Hilang stress.
“Itulah…gelojoh
sangat. Kan aku dah pesan. Mana boleh praktik sekaligus. Step by step okey.
Sendiri cari pasal sendiri tanggunglah bro”. Mokhtar mengulas pula. Tawa
dibibirnya masih lagi bersisa. Sesekali tangannya merayap ke atas kepala Luqman
Hakimi. Cuba mencari benjolan di situ.
“Woo…woo…apa
kau buat ni?”. Segera Luqman Hakimi menolak kasar tangan Mokhtar yang
menyinggah di kepalanya.
“Jangan
salah faham bro, aku nak raba benjol kepala kau ni. Jangan belit-belit. Aku
lurus bro…bukan bengkok”. Mokhtar segera menarik tangannya dari hinggap di
kepala Luqman Hakimi. Nak tergelak lagi melihat reaksi Luqman Hakimi yang
menggelabah semacam. Niatnya sekadar hendak mengetahui setakat mana sakitnya
kepala sahabatnya itu kena ‘kungtau’ dengan Cik Nurin Kamila.
“Sakitlah
bro. Dia ketuk kepala aku dengan fail setebal 4 inci. Pening kepala tak hilang
lagi…tahu!”. Luqman Hakimi memicit kepalanya yang terasa sengal. Sesekali dia
memejam matanya. Mengingat kembali apa yang cuba dilakukan semalam terhadap
Nurin Kamila.
“Habis
tu…rancangan kau? Gagal ke masih ada peluang lagi?”.
“Entahlah…dia
cakap nak berhenti”.
“Hmm…gagallah
tu. Nampaknya tak dapatlah kau nak elak dari Andrea”. Mokhtar sengih. Dia
menelan tawa. Tak mahu sahabatnya itu kecil hati pula andai dia ketawa lagi
melihat kegagalan Luqman Hakimi.
“Dia
ingat senang nak berhenti. Kalau nak berhenti kena bayar 30k…dia mampu ke?”.
Soal Luqman Hakimi sedikit riak. Dia tak fikir Nurin Kamila akan berhenti dan
dia pasti tak akan mampu setiausahanya itu membayar 30k. Dia tahu sangat
kemampuan setiausahanya itu. Malah dia tahu latar belakang Nurin Kamila yang
hanya anak orang miskin.
“Bukan
lama mana lagi cabaran kau dengan Andrea nak berakhir. Tak sampai 4 bulan lagi,
sempat ke?. Menyerah kalah je. Lagipun Andrea tu pun okey apa?. Namanya tengah
meletop-letop sekarang ni. Aktres terkenal Malaysia. Rugi kalau kau tolak”.
Luqman
Hakimi mengecilkan matanya. Menghantar isyarat yang dia memang tidak suka nama
Andrea disebut-sebut. Kalau Andrea terkenal seluruh dunia pun tak akan
dihadapnya perempuan itu untuk menjadi pasangan hidupnya. Bukan dia tak tahu
niat Andrea. Bukan betul-betul pun inginkan dia. Hanya mahu menumpang kekayaan
dan kemasyhuran nama keluarganya. Bukan ikhlas pun. Semuanya mempunyai agenda
tersendiri.
“Selagi
tak berakhir 6 bulan tu…aku masih ada peluang. By hook or by crook, Nurin
Kamila mesti menjadi galang gantinya. Kalau dulu aku memang nak main-main. Tapi
sekarang…aku serius. Dengan benjol yang aku dapat ni…dia mesti jadi milik aku.
Baru puas hati!” Luqman Hakimi mengepal penumbuk. Sakit hati memikirkan habuan
yang dia dapat di atas kepalanya. Tak pernah dalam hayatnya ini, dia dikalahkan
dengan seorang gadis. Gadis kampung yang miskin dan tak punya apa-apa
kelebihan. Dia mencemik. Geram dan sakit hati.
“Maksud
kau?”. Mokhtar menyoal tidak faham. Cuak pula mendengar sahabatnya bercakap
sebegitu. Serius dan bersungguh-sungguh. Setahunya Luqman Hakimi jenis yang tak
ambil kisah. Kalau tak dapat bunga yang ini, banyak lagi bunga yang menanti.
“Aku
mana pernah kalah?. Mana pernah dimalukan macam ni?. Sekali petik, awek dah
tersungkur di hujung kaki. Yang ini, benar-benar mencabar. Bukan high class
pun. Awek kampung je”. Ucapnya tidak
puas hati. Mokhtar yang mendengar hanya menjongket kening. Tak sangka
sahabatnya itu benar-benar serius dengan apa yang dimaksudkannya itu. Dia pun
pelik. Nampaknya Cik Nurin Kamila bukan gadis sebarangan. Kalau tidak masakan
Luqman Hakimi nekad untuk memiliki gadis itu.
WAJAH
Datin Shima cemberut tatkala membaca tajuk besar di muka hadapan Majalah Glam
itu. Terakam aksi Andrea yang sedang dipeluk oleh Ariel Zen dari arah belakang.
Bibir Ariel Zen seolah-olah sedang mencium pipi mulus anaknya itu. Manakala
Andrea pula memberi wajah ceria dengan sebuah senyuman yang mengghairahkan.
Tagline ‘Pasangan Filem Badai Rindu dilamun cinta’ benar-benar membuatkan Datin
Shima panas hati.
“Apa
semua ni Drea? Betul ke apa yang ditulis
ni?”. Soal Datin Shima seraya melemparkan Majalah Glam di hadapan Andrea yang
sedang bersarapan itu. Andrea hanya melihat dengan ekor matanya saja sambil
menghirup kopi yang suam-suam kuku itu. Terasa sedapnya tatkala air kopi itu
menuruni tekaknya. Sudah lama dia tidak merasa sarapan pagi di rumah sendiri.
Semenjak nama sudah dipuncak kerana filem lakonannya meletop di pawagam, Andrea
seakan tidak punya masa untuk bersantai dan beristirehat lagi. Sebaliknya
masanya lebih banyak digunakan untuk mempromosikan filem dan dirinya sahaja.
Namun dia puas kerana cita-citanya untuk berada di puncak telah tercapai.
“Mummy
ni…benda ni semua gosiplah…jangan percayalah”. Jawabnya malas. Dia menyelak
helaian Majalah Glam, mencari berita utama mengenai dirinya dan Ariel Zen itu.
Senyuman galak terukir di bibirnya. Mata tak habis membaca setiap baris ayat
yang menceritakan kisahnya dan Ariel Zen. Teringat kembali segala aksi semasa
mereka memberikan pose terbaik untuk Majalah Glam sebulan lepas. Andrea menarik
nafas, lalu kembali menghirup air kopi yang masih bersisa. Seronoknya saat
mengingati detik manis bersama Ariel Zen.
“Tapi
mummy tengok Drea macam suka je dengan mamat ni?”
“Mummy…mamat
tu nama Ariel...!”. Andrea bersuara manja. Cuba membetulkan panggilan Datin
Shima buat Ariel Zen itu.
“Whatever…betul
gossip?. Mummy tak nak rancangan mummy nak satukan Drea dengan Luke gagal
pulak. Gosip macam ni tak bagus Drea. Nanti apa pula kata Puan Sri. Mummy rasa
cukuplah Drea berlakon. Tak payah involve lagi”. Putus Datin Shima. Bimbang
juga rasa hatinya kalau Andrea beralih arah. Manalah tahu Andrea terpengaruh
dengan dunia glamour, dah tak mahu mengejar Luqman Hakimi lagi sebaliknya mahu
mengejar dunia glamour pula.
“Mummy…Drea
baru nak rasa glamour. Nama Drea tengah naik ni…banyak tawaran berlakon buat
Drea. Tak akan nak stop macam tu je. Ishkk…kalau dah Luke tak ingin..buat apa
Drea nak tersua-sua mom…Elok kita lupakan je niat kita tu. Malaslah nak fikir
pasal Luke yang hati kering tu”. Andrea menjuih bibir. Bila diingat kembali.
Rasa menyesal pula mengejar Luke yang sikit pun tak ada hati padanya. Rasanya
ada juga faedah mengejar Ariel Zen. Sekurang-kurangnya dia tidak bertepuk
sebelah tangan.
“No…never.
Cuba Drea fikir. Luke tu pewaris Berjaya Corporations. Senang hidup Drea
nanti.” Andrea menjuling matanya ke atas. Bosan mendengar omelan Datin Shima.
Asyik hendak mengejar harta orang, sedangkan mereka bukan orang susah pun.
Harta mereka pun dah berlambak. Apa lagi yang hendak dikejar dengan harta orang
lain. Akhirnya Andrea bangun dari kerusi makan. Perut dah kenyang, hati pula
senang. Malas hendak berlawan kata dengan Datin Shima.
“Okeylah
mom…Drea nak bersiap. Pukul 2.00 petang ada fotoshot dengan Majalah Wanita
pula”. Dia sudah menapak hendak ke tingkat atas semula. Datin Shima menarik
muka. Terasa dengan sikap acuh tak acuh Andrea tentang topik yang dibincangkan
itu. Nampaknya Andrea sudah mula berubah hati. Dia tak mahu apa yang diidamkan
menjadi sia-sia. Sebelum semuanya terlepas, dia perlu cepat-cepat menjodohkan
Andrea dengan Luke.
“TADAA…”.
Ariel Zen meletakkan sepinggan makaroni bakar yang baru dikeluarkan dari oven.
Dua gelas kosong diisi dengan air coke bersama ketulan ais buat santapan mereka
pada petang itu. Tersenyum Andrea kerana bahagia dilayan laksana puteri. Ariel
Zen bukan sahaja kacak dan pandai mengambil hatinya, malah lelaki kacukan
melayu cina itu juga pandai memasak.
“Rasalah…sedap
tak?”. Soal Ariel Zen sambil menyuap Andrea sepotong macaroni bakar itu. Mulut
mengunyah mata terpejam. Begitu asyiknya Andrea cuba menghayati masakan jejaka
itu. Dengan Ariel Zen, dia rasa bebas. Tak perlu berpura-pura menjadi wanita
sopan. Dia rasa tenang menjadi dirinya. Berbeza dengan Luke, dia perlu berlakon
untuk memancing hati lelaki itu.
“Sedap..pandai
you masak”. Puji Andrea ikhlas. Ariel Zen senyum gembira. Bahagia dipuji. Dia
memang sudah lama tertarik hati dengan Andrea model dan pelakon terkenal ini.
Apabila digandingkan sebagai pasangan hero dan heroin dalam Badai Rindu, dia
memang tidak lepaskan peluang. Akan diguna sebaik mungkin untuk menambat hati
heroinnya itu.
“You
dah baca cerita pasal kita dalam Glam?”. Soal Andrea pula. Ariel Zen pantas
mengangguk. Dia menapak ke arah TV bersaiz 56 inci itu. Kemudian dia menunduk
membuka laci Kabinet TV. Majalah Glam dikeluarkan lalu dia duduk di sebelah
Andrea.
“Cantik
la you !”. Puji Ariel Zen sambil mata tak
habis menilik wajah Andrea yang terpampang di muka depan Majalah Glam itu.
Sengih Andrea kerana suka dipuji begitu.
“Really?”.
Dia pura-pura menyoal. Sengaja buat-buat tidak percaya dengan pujian Ariel Zen
itu.
“Betul.
I tak tipu. You memang cantik. Bertuah siapa yang jadi kekasih you!’. Ariel Zen
menggiat pula. Sekadar hendak melihat reaksi Andrea. Alangkah bahagianya kalau
Andrea mengaku yang dia tak punya siapa-siapa dalam hidupnya. Pasti dia tidak
akan lepaskan peluang untuk menakluk hati wanita cantik didepannya ini.
Andrea
tidak membalas, sebaliknya dia hanya senyum saja mendengar pujian dari Ariel
Zen itu. Saat ini dia pun tak pasti dengan kehendak hatinya sendiri. Masihkah
Luqman Hakimi yang bertakhta di hatinya atau dia lupakan terus lelaki itu.
Namun memikirkan kehendak ibunya Andrea jadi keliru sendiri. Dia bukan bodoh
untuk memahami rasa hati yang ditunjukkan oleh Ariel Zen terhadapnya. Cara
layanan, pujian dan pandangan mata hero ‘Badai Rindu’ itu membuatkan dia yakin
lelaki itu memang mempunyai perasaan padanya. Hanya dia saja yang berpura-pura
tidak mengerti.
Thursday, 12 September 2013
Mr.Hotter Guy Bab 26
Bab 26
“Alhamdulilah…terima
kasih Nurin. Terima kasih sebab penuhi hajat mak”. Emak peluk aku dengan
sepenuh hati. Aku senyum walau senyum aku kelihatan kelat. Cincin belah rotan
yang kurang sinarnya itu aku tilik dengan sekali pandang saja. Sebenarnya berat
hati nak menerima pinangan dari Puan Munirah yang datang secara tiba-tiba itu.
Asalnya aku sekadar hanya memenuhi permintaan emak untuk menerima kedatangan
tetamu istimewa hari ini. Emak pun tak memaksa kalau hati aku tak berkenan.
Entah kenapa, bila aku pandang saja wajah Shahril Aiman, ada rasa di situ. Satu
rasa yang aku sendiri tak pasti. Adakah ini yang dikatakan jodoh?
“Saya
tahu mungkin Nurin rasa berat hati nak terima semua ini. Tapi percayalah saya
yakin Nurin adalah jodoh yang ditetapkan buat saya. Rasanya apa yang berlaku di
Penang semuanya telah direncanakan oleh ALLAH…saya sendiri yakin dengan gerak
hati saya. Memang awak jodoh saya Nurin”. Terdiam aku tatkala dia menuturkan
kata itu sewaktu aku sibuk di dapur mengemaskan pinggan mangkuk usai kami
menjamu selera tadi. Hati…usah cakaplah. Riuh bergendang dan bertabla. Rasa macam
seluruh tubuh terkena renjatan elektrik. Nak kata suka…sukalah jugak. Mana pernah
lagi ada lelaki yang bercakap dengan aku serius begini?.
Aku
menjeling sedikit mencari kelibat emak dan Puan Munirah yang tadi ada bersamaku.
Tapi hampa. Ternyata emak dan Puan Munirah sudah ke atas semula. Pasti hendak menyambung bicara yang tertangguh
kerana makan tadi. Hanya aku dan dia di
dapur kala ini.
“Err…”.
Aku gugup. Tak tahu hendak balas kata.
“Err..mak…err…tokwan”.
Hanya itu yang terluah dari bibirku. Malu dan takut bermain dalam minda. Malu kerana
ditinggalkan berdua dengan dia. Takut pula dicop sebagai anak dara gatal berdua
dengan lelaki yang tidak dikenali.
‘Nurin…malu
dan takut konon!!!. Habis semalam tu bukan kau dan dia berdua sajakan sepanjang
perjalanan dari Penang sampai dah selamat pun kau tiba di rumah ini.’ Hati ini
tak habis-habis hendak menempelak. Tak pernah nak berkompromi dengan aku.
“Oh…mak
Nurin dan Tok wan yang bagi peluang saya bercakap secara peribadi dengan Nurin.
Jangan bimbang. Semuanya dalam pengetahuan depa”.
Aku
tarik nafas lega apabila mendengar dia kata begitu. Nampaknya emak dan tok wan
sengaja memberi sedikit ruang untuk kami berkenalan. Tok wan pula, awal-awal
lagi sudah minta izin hendak ke kebun. Semuanya seolah seakan memberi ruang
untuk aku mengenali lelaki yang sedang duduk santai di kerusi makan sambil
menghadap aku yang sedang membasuh pinggan mangkuk ini.
“Terima
kasih pasal semalam. Boleh tak awak rahsiakan dari mak dan tokwan. Mereka tak
tahu pun saya balik dengan siapa semalam?”. Pintaku teragak-agak. Dia
mengerutkan dahi tanda tidak faham. Mungkin pelik dengan permintaanku yang
tidak dijangka itu.
“Tolonglah…boleh
tak?”. Aku ulang lagi permintaanku ini. Mestilah aku mengharapkan dia
merahsiakan kebenarannya. Kalau emak dan tok wan tahu, barangkali aku dibelasah
secukupnya. Mana pernah mereka mengajar aku seberani itu ikut orang yang tak
dikenali. Lelaki pulak tu dan dalam situasi yang boleh mengundang perkara yang tak
diingini.Akhirnya dia mengangguk dengan senyum tersungging di bibirnya. Lega rasa
hatiku saat sebuah senyuman terlakar dibibirnya.
“Hah…sebelum
saya lupa…minta balik kad kerja saya. Nanti tak pasal saya tak boleh masuk kem
kerana tak ada pass masuk”. Kali ini dia pula minta kad kerja yang diberikan
padaku semalam. Hampir saja aku lupa untuk memulangkan kepadanya kalau dia tak
ingatkan aku.
“Ohh…tunggu
sat. Saya ambik kat dalam bilik”. Segera aku tinggalkan dia lalu menaiki tangga
untuk ke atas. Aku masuk ke bilik dan mata melilau mencari kad kerjanya yang
aku belek pagi tadi. Senyum terukir di bibir tatkala mata menangkap kad kerja
yang terletak elok di atas meja solek bersebelahan dengan Nokia murah aku.
Segera aku capai. Baru hendak melangkah keluar, Nokia murah melalak pula. Terus
aku gapai dan mata terpaku pada nombor yang tertera. Terasa semput nafasku dan
mata membulat melihat nombor itu lagi.
“Hish…dia
ni memang tak akan bagi aku hidup senang”. Aku mengomel seraya aku tekan butang
merah. Segera aku off telefonku. Puas hati kerana dia tak akan ganggu aku lagi.
Namun aku terkedu sekejap. Sampai bila aku nak mengelak dari dia. Esok-esok
muka itu juga yang aku hadap hari-hari. Selagi tak disahkan jawatan, memang aku
kena kerja dengan dia jugak. Apa pilihan yang aku ada?. Nak bayar 30k tu…mana
nak cekau duit. Aku bukan orang berduit pun. Kalau ada 30k pun tak akan aku nak
bagi macam tu je kat dia. Orang miskin macam aku ni dengan 30k tu macam-macam aku boleh buat. Akhirnya
aku terduduk di birai katil, menarik nafas dengan panjang lalu aku beristigfar
berulang kali. Kad kerja Shahril Aiman yang ada dalam pegangan aku tilik tanpa
perasaan. Teringat pula pada apa yang kami bualkan tadi. Mungkin dia jodoh yang
ALLAH kirimkan buat aku. Mungkin dia satu-satunya penyelamat aku dari mr.hotter
guy berhati binatang itu. Hanya ini pilihan yang aku ada. Selamatkan diri
dengan menjadi tunangan Shahril Aiman. Pasti si hotter guy tak akan
berani-berani menganggu aku lagi kerana aku milik orang.
‘Nurin…fikir
masak-masak!. Betulkah dengan apa yang kau buat? Ini soal hidup?. Bolehkah kau
habiskan hayat dengan Shahril Aiman tu?!!!’. Kata hati giat menasihat pula.
‘Bolehkah
kau cintakan dia?’. Hati menambah lagi. Aku pejam mata. Muka aku raup
berkali-kali. Aku tarik nafas panjang lalu lepaskan perlahan.
“Aku
yakin dengan apa yang aku buat. Memang ini jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku.
Cinta selepas nikah itu lebih indah. Dan dia memang jodoh terbaik yang ALLAH
ciptakan buat aku”. Aku menjawab bagi setiap persoalan yang bermain di benakku
tadi. Lantas aku berdiri dari birai katil. Kemudian menapak keluar dari bilik.
Kad kerjanya yang berada dalam tangan aku genggam dengan erat. Yakin dengan
keputusan yang aku buat.
Puan
Munirah tak habis dengan senyum. Sesekali dia melihat wajah anak teruna
sulungnya itu yang manis sentiasa. Tadi bukan main dia mengelat, alih-alih dia
pula yang tak sabar nak beristerikan Nurin Kamila.
“Apa
yang Man cakap kat dapur tadi sampai Nurin terima pinangan Man tu?”. Puan
Munirah menyoal pula. Tak disangka hajat asal hendak merisik dah jadi bertunang
pula. Kesian pada Nurin kerana cincin belah rotan yang sudah pudar warna
emasnya dan murah itu menjadi mangsa disarung ke jari. Kebetulan hanya cincin
itu saja yang tersarung di jari Puan Munirah. Hendak disarung cincin berlian
bermata satu itu, sungguh dia tak akan beri kerana itu cincin pemberian arwah
suami tersayang. Cincin yang mempunyai nilai sentimental yang tak akan luput
dari ingatan selagi hayat di kandung badan.
“Tak
ada apa mak…Man pun tak sangka yang dia terima pinangan Man. Tapi Man syukur
sangat mak. Entah kenapa sekali tengok, hati Man berdebar kuat. Man rasa memang
dia jodoh Man. Tak pernah Man rasa pada mana-mana perempuan yang Man kenal
mak”. Luah Shahril Aiman dengan bersungguh. Namun mata masih tertumpu pada
pemanduannya. Sesekali saja dia melihat wajah ibunya kerana berbual.
“Mak
sarung cincin mana satu buat bakal menantu mak tu?”. Kalut dia menyoal pula.
“Man
tu yang tak menyempat. Gelojoh sangat. Kesian Nurin, cincin belah rotan zaman
mak bertunang dengan ayah tu yang sempat mak sauk. Zaman tok nadok…Warna pun
dah pudar. Nanti masa akad nikah, Man bagilah yang elok dan mahal sikit kat
Nurin tu.”
“Hai…mak…Man
tengok ada cincin belian mata satu yang mahal kat jari manis mak tu, awat tak
sarung yang tu je. Mak ni pun berkira jugak dengan Man ye?”. Shahril Aiman
sengaja mengusik ibunya. Menduga hati ibu kesayangannya itu. Spontan satu
cubitan menyinggah di lengan anaknya sulungnya itu.
“Man…kerat
18 pun mak tak akan bagi. Cincin ni pemberian arwah ayah sebelum dia tutup
mata. Satu-satunya pemberian ayah yang mak akan simpan buat kenangan seumur
hidup. Yang ini satu-satu harta berharga buat mak.” Terang Puan Munirah
bersungguh-sungguh. Ada riak sedih terlukis di wajahnya. Kenangan bersama suami
tercinta segera terlayar di depan mata.
“Man
minta maaf mak…Man gurau je. Man tahu cincin tu banyak kenangannya pada mak”.
Shahril Aiman segera memegang tangan ibunya lalu dibawa ke bibir. Di cium
dengan seikhlas mungkin tanda dia benar-benar tidak berniat dengan apa yang
dikatakannya tadi. Puan Munirah kembali senyum. Tangannya seraya mengusap
rambut Shahril Aiman anak sulungnya itu. Dengan Shahril Aiman memang kasih dan
sayangnya tidak berbelah bagi. Pada Shahril Aiman, ada wajah suami tercinta di
situ. Buat penyejuk mata kala hati sedang bergundah.
Mr.Hotter Guy Bab 25
Bab 25
“Kita nak kemana ni
mak?”.
“Jomlah.
Ikut je arah jalan yang mak tunjuk ni.
Ha…pusing masuk ikut jalan mini tar ni!”. Arah Puan Munirah pada anaknya yang
sedang memandu. Shahril Aiman tidak membantah, sebaliknya dia mengikut saja
arahan Puan Munirah walau timbul sedikit rasa pelik dalam jiwanya. Jalan yang
dilalui seakan seperti semalam saja dilewatinya. Cuma dia sedikit keliru kerana
keadaan semalam amat berbeza dengan keadaan hari ini yang terang benderang itu.
“Mak…cuba
mak bagitahu Man…kita nak kemana ni?. Dari tadi duk rahsia?”.
“Mak
nak bawa kamu jumpa bakal jodoh kamu. Kalau mak habaq awai-awai…ada saja kamu
nak bangkang nanti”. Balas Puan Munirah senyum. Serta-merta Shahril Aiman
memberhentikan keretanya. Dia memandang wajah ceria Puan Munirah. Terkejut
mendengar apa yang dikatakan ibunya.
“Mak…!”.
Dia menjerit manja. Nak marah tak sampai hati kerana ini hajat ibunya. Dia
hanya mampu memandang dengan perasaan terkilan. Kenapalah dalam soal urusan
yang penting ini, ibunya membuat keputusan sendiri.
“Okey…Man
ikut kata mak. Tapi mak jangan paksa kalau Man tak berkenan nanti”. Shahril
Aiman sudah memberi amaran pula. Puan Munirah hanya tersenyum. Kemudian dia
membuka pintu kereta hendak keluar dari perut
Vios milik anak sulungnya itu. Terjongket kening Shahril Aiman melihat
reaksi ibunya.
“Eh…tak
kan mak merajuk kut…pasai apa yang mak turun kat sini pulak?. Man minta maaf
mak”. Shahril Aiman cepat-cepat memohon maaf. Risau juga dia andai kata-katanya
tadi mengguris hati ibunya.
“Tak
ada maknanya mak nak merajuk. Dah sampai Man. Jomlah”. Pelawa Puan Munirah.
Shahril Aiman tidak terkata. Nampaknya kali ini memang dia tak boleh lari lagi.
Mahu atau tidak, terpaksalah dia mengadap dan bertentang mata dengan bakal
calon menantu pilihan ibu. Namun dia
mengerutkan dahinya. Rumah kayu separuh batu itu macam pernah dilihat
semalam. Sama seperti rumah milik Nurin Kamila.
“Mak…!”.
Dia panggil Puan Munirah yang sudah berjalan masuk ke perkarangan rumah separuh
batu itu.
“Ada
apa?”. Soal Puan Munirah pelik melihat gelagat Shahril Aiman yang tergaru-garu
kepalanya.
“Calon
menantu mak tu nama apa?”. Puan Munirah senyum. Hatinya berbunga mekar.
Nampaknya berminat juga anak sulungnya itu hendak tahu nama bakal calon menantu
pilihannya itu.
“Nurin
Kamila”. Membulat mata Shahril Aiman. Senyum sudah mekar di bibir. Serta merta
dia berjalan menyaingi Puan Munirah.
“Awat
mak tak habaq awai-awai?.”
“Dah
kamu tak tanya?”. Puan Munirah soal balik dengan tandatanya. Shahril Aiman
senyum lagi. Kali ini Puan Munirah pula yang tergaru kepala melihat reaksi
anaknya yang seakan teruja itu.
Kalau
Nurin Kamila yang itu, dengan rela hati hari ini juga dia hendak masuk melamar.
Dah tak payah nak risik bagai lagi. Pakat jadi terus, kan senang. Dia
bermonolog pula.
“Mak
bawa ka cincin?”. Dia soal lagi.
“Kata
nak mai tengok dulu. Cincin apa mak tak bawala. Aikkk…awat yang Man galak lebih
ni?”. Shahril Aiman bantai ketawa bila mendengar ibunya menggelar dia galak
terlebih.
“Kira
jadilah mak. Nanti mak bincang terus tarikh tunang dan nikahnya. Kalau buat
sekaligus senang. Tak payah Man nak cuti banyak kali.”
“Man!”.
Suara Puan Munirah sudah meninggi. Pening pula memikirkan permintaan anaknya
yang berubah tiba-tiba.
“Kita
mai nak tengok dulu…nak meminang tu kena adat bagai. Cincin pun mak tak bawa.
Mana boleh main redah je”. Puan Munirah sambung kata. Cuba menolak permintaan
anaknya yang tak pernah dibuat orang itu.
“Man
tak kira. Mak buat la macamana pun. Janji dia jadi isteri Man”. Puan Munirah
sudah tergeleng kepala. Nampaknya anaknya bukan galak terlebih lagi tapi dah
sampai tahap tak menahan sabar pula. Hmm…nak tak nak…terpaksalah dia melamar
tanpa membawa sirih junjung bagai. Tak mengikut adat, tapi menerjah ikut suka
hati.
TAN SRI
Hisyam merenung tajam ke arah isterinya yang baru melangkah masuk ke
dalam rumah. Tanpa salam Puan Sri Khalida terus menonong ke arah tangga untuk
ke tingkat atas. Sedikit pun dia tidak bertanya khabar pada suaminya yang
tercongok di depan mata.
“Ida…”.
Panggilan Tan Sri Hisyam mematikan langkahnya. Dia memandang wajah suaminya
yang serius itu. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Kenapa hari ini Tan
Sri Hisyam berubah laku?. Memanggil namanya pun dengan nada keras. Tak pernah
dia menatap wajah serius si suami yang
berubah tiba-tiba . Nampaknya akan ada perbalahan yang bakal muncul nanti. Hmm…dia nak lihat sejauh mana si suami
itu akan menang dalam perbalahan ini. Telah Puan Sri Khalida dalam hati.
“Hmm…ada
apa?”.
“Duduk
sini. Saya ada benda nak cakap”. Arah Tan Sri Hisyam. Puan Sri Khalida terus
mengubah posisi lalu duduk di sofa kulit mengadap suaminya itu.
“Awak
terus terang dengan saya Ida. Tak perlu nak selindung lagi. Saya dah tahu
wayang awak”. Puan Sri Khalida kerut
dahi. Pelik pula dengar perkataan yang keluar dari mulut si suami. Wayang apa
pula yang dimainkan?. Wayang kulitkah?.
“Ish…cuba
awak cakap direct. Tak payah nak belit-belit. Saya tak ada masa nak layan
bahasa bunga-bunga awak tu?”. Kali ini suaranya sudah sedikit meninggi. Geram
pula jadinya. Sudahlah letih belum hilang lagi kerana menghadiri aktiviti kelab
dengan teman-teman. Sekarang ini, dia ditujah pula dengan kata-kata kiasan dari
si suami. Bikin panas saja hatinya.
“Betul
Zaimah dah mati?”. Soal Tan Sri Hisyam. Terbelalak mata Puan Sri Khalida.
Terkejut. Kenapa si suami membangkitkan isu orang yang dah mereput dalam kubur
itu?
“Betullah.
Tiap-tiap tahun awak melawat kuburnya. Tak akan saya nak menipu. Awak sendiri
yang tengok rumahnya terbakarkan jadi abu?”.
“
Memang saya tak nafikan semua tu. Tapi manusia boleh menipu Ida. Masa kejadian
tu berlaku saya kat Jepun. Awak je yang kat sini. Macam-macam awak boleh buat
untuk menipu saya”. Tan Sri Hisyam berdiri dari kerusi yang didudukinya. Dia
bercekak pinggang. Matanya sudah mencerlung memandang wajah isterinya itu.
Kalau tak difikirkan sabar, mahu saja dilanyak tubuh gempal didepannya itu.
Puan Sri Khalida menelan liur. Kecut. Tak pernah lagi dia melihat si suami yang
naik minyak tiba-tiba. Kali ini Tan Sri Hisyam memang betul-betul tengah marah.
Merah mukanya menahan sabar.
“Apa
lagi yang awak cari pada Zaimah tu?. Dia dalam kubur pun, awak masih tak
percaya. Masih termimpi-mimpi. Apa lebihnya dia? Apa kurangnya saya”. Puan Sri
Khalida tidak mahu mengaku kalah. Dia tatap wajah si suami yang merah itu
dengan berani.
“Lebihnya
dia sebab dia baik hati, memahami. Tak pernah meninggi suara. Hormat saya
sebagai suami. Awak kejam Ida. Awak yang buat dia macam tukan? Awak yang bakar
rumahnya?. Awak yang sengaja mencipta kematian palsu Zaimahkan? Awak cemburu
sebab dia mengandungkan anak saya?. Awak cemburu sebab awak mandul!”. Habis
dimuntahkan apa yang terpendam selama ini dalam hati sanubarinya. Kesabarannya
sudah hilang batasnya. Hari ini dia perlu mengajar isteri yang sudah melebihi
tahapnya. Sudah jadi seperti kaduk naik junjung.
“Memang
saya cemburu. Memang saya mandul. Memang saya yang buat semua tu. Memang saya
bakar rumahnya. Memang Zaimah tak mati lagi. Saya yang buat semua tu. Saya ugut
dan paksa dia tinggalkan awak. Saya benci bila tahu dia mengandung. Saya tercabar
dengan apa yang dia ada”. Puan Sri Khalida sudah menekup mukanya. Dia menahan
tangis. Dia memang rasa tercabar bila tahu madunya itu telah mengandung. Selama
ini dia mencabar suaminya. Mencabar keupayaan si suami. Akhirnya dia yang malu
sendiri apabila mengetahui dia yang tidak berupaya untuk melahirkan zuriat buat
menyambung generasi.
“AstagafiruAllah…Ida…apa
lagi yang kurangnya?. Awak ada Luqman…awak berharta. Awak ada saya…kalau nak
bandingkan dengan Zaimah. Dia tak pernah rebutkan saya dari awak. Walaupun dia
berhak ke atas saya. Dia tak pernah hendak hidup bermewah walau dia bersuamikan
saya. Dia tahu batasnya sebagai madu awak. Selama ini siapa yang selalu
mencabar keupayaan saya? Bukan awak? . Kenapa awak nak cemburu kalau Zaimah
boleh mengandung?. Patutnya awak terima dengan hati terbuka kerana generasi
kita akan berkembang Ida?”. Tan Sri Hisyam sudah mengendur suaranya. Tidak jadi
hendak marah. Rasa kasihan pula yang bertandang dalam hatinya melihat si isteri
yang bersedih itu. Tentu pahit untuk seorang wanita menerima kenyataan yang dia
tidak boleh melahirkan zuriat buat si suami.
“Itu
generasi awak. Bukan generasi saya. Awak ingat semudah itu saya nak terima anak
dari keturunan Zaimah yang low class tu. Mimpilah. Saya tak akan terima sama
sekali. Saya tak akan benarkan sesiapa pun merampas hak yang sepatutnya menjadi
milik Luke”.
“Cuba
bawa mengucap Ida. Luke tu tetap anak kita walau dia anak angkat. Saya tak akan
sia-siakan dia. Harta kita tetap milik Luke. Dia tetap penyambung generasi
empayar Berjaya Corporations”. Balas Tan Sri Hisyam lembut. Sungguh, jauh di
sudut hatinya, Luqman Hakimi tetap dianggap anak walau bukan dari darah daging
sendiri. Mereka membela dan mendidik dari tapak kaki sebesar dua jari hingga
dah besar panjang begini. Malah layak untuk menjadi bapa orang. Tapi kasih
sayang buat Luqman Hakimi tetap tidak kurang walau sebesar zarah pun tiada
bezanya.
“Boleh
percayakah kata-kata awak?. Awak tak ingat pada birthday Luke yang ke 4 tahun.
Kesian dia menunggu awak untuk sambut sama-sama. Sudahnya awak tak
muncul-muncul juga kerana sibuk melayankan isteri muda awak tu”. Puan Sri
Khalida mengesat air mata yang merembes keluar. Sakit hatinya memikirkan
perkara yang lepas. Selepas mendapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna
lagi. Tan Sri Hisyam seakan alpa dengan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa
kepada keluarga mereka.
“Bukan
saya sengaja Ida. Zaimah hampir keguguran hari tu. Saya terpaksa temankan dia
di hospital. Cubalah memahami keadaan saya waktu itu”. Tan Sri Hisyam masih memujuk.
Sumpah!. Dia bukan sengaja lupa pada tanggungjawab. Namun keadaan Zaimah pada
waktu itu memang perlukan perhatian.
“Sudahlah…lelaki
semuanya sama. Pandai beralasan. Walau apapun awak jangan ingat saya boleh
maafkan awak. Saya tetap tak dapat terima Zaimah dalam hidup saya. Awak jangan
mimpi saya akan terima Zaimah”. Puan Sri Khalida masih tetap dengan
pendiriannya. Masih degil. Yang pasti bayang Zaimah pun dia tak mahu lihat.
Tan
Sri Hisyam menghela nafas berat. Walau rahsia bukan rahsia lagi, isterinya itu
tetap tidak berubah. Tetap tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukannya.
“Kalau
awak tetap berkeras, jangan ingat saya akan berlembut Ida. Sudah puas saya ikut
telunjuk awak selama ini. Kalau awak sayangkan rumahtangga kita, awak tetap
kena terima Zaimah. Walau apapun yang berlaku, saya tetap akan cari Zaimah dan
anak saya. Faham?!!!”. Tan Sri Hisyam sudah kembali duduk di sofa. Mencerlung
semula matanya memandang Puan Sri Khalida. Rasa simpati yang menyinggah
benaknya tadi, cepat saja terlerai dengan kedegilan isterinya itu. Puan Sri
Khalida hanya merengus geram. Tak disangka, Tan Sri Hisyam sudah pandai hendak
tunjuk berani. Nampaknya taringnya sudah tidak tajam lagi hendak menakutkan
suaminya itu. Akhirnya dia bangun dari sofa berangkai dua itu
kemudian menapak laju ke arah tangga. Dia mahu segera merebahkan badan di
bilik. Sakit hatinya makin menambah dengan kata-kata yang didengari dari mulut Tan Sri Hisyam itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)