Bab 2
Bau
haruman CK itu buat Hana terjaga daripada tidurnya. Rizqin di sisi sudah
nyenyak tidur. Bunyi enjin kereta dihidupkan membuatkan Hana bingkas bangun.
Nyalaan lampu kereta yang semakin mengecil itu membuatkan Hana faham sendiri
yang Izham keluar malam seperti selalu. Esok cuti hujung minggu, Izham seperti
biasa akan keluar dengan kawan-kawan sekerjanya.
Hana
tarik kain selimut kecil menyelimuti Rizqin. Televisyen yang menayangkan drama
Melayu dalam slot Samarinda itu ditutup. Rasanya sudah setengah jam dia
terlelap. Asalnya hendak menyusukan Rizqin membuatkan dia terus terlelap
sekali. Dia faham sangat keadaan dirinya yang cepat letih dan lesu kerana menjaga
Rizqin. Dan layanannya pada Izham sudah tak sekerap dulu. Dia hilang nafsu
disebabkan keletihan menguruskan rumahtangga sendirian. Izham langsung tidak
membantu. Air matanya menitis lagi. Sedih memikirkan rumah tangga yang makin
pudar serinya. Izham pula semakin
menjauhkan diri.
“Abang
nak kemana ni?”. Soalnya saat melihat Izham berwangi-wangian dengan memakai
baju kasual.
“Tak
payah menyibuk!”. Balas Izham jengkel.
“Saya
nak bagi tahu abang. Barang dapur banyak yang dah abis.”
“Habis
tu?”.
“Hana
nak minta duit sikit nak beli barang dapur”. Minta Hana hati-hati. Risau kalau
Izham menyinga. Izham kalau bab duit memang terlalu berkira.
“Baru
dua minggu lepas, saya bagi awak RM100. Awak buat apa dengan duit tu. Saya
bukannya makan banyak pun. Setakat nak beli barang makan untuk kita berdua, tak
akan duit banyak tu dah habis”. Hana telan liur. Tak akan dia perlu buat buku
kira-kira hendak ditunjukkan wang RM100 itu dibelanja ke mana. Zaman sekarang,
wang sebanyak itu apalah yang boleh dibeli.
“Barang
dapur makin mahal, bang.” Jawab Hana.
Izham bukan tahu, harga barang dapur yang makin mahal.
Dia tak pernah ambil tahu. Dari sejak kahwin sehingga dah beranak seorang,
hanya RM 200 itu saja yang diberi buat belanja Hana beli barang dapur sebulan. Pandai-pandailah
dia uruskan belanja seharian. Mujur juga Hana ambil upah menjahit leher baju
kurung jiran sebelah rumahnya. Sehelai dibayar RM10. Kalau seminggu Hana dapat
jahit 5 helai, dapatlah duit itu dia buat belanja mereka makan. Izham tak
pernah bertanya cukup ke tidak wang yang diberi buat Hana.
Kadang
kala pernah terlintas di fikiran Hana rasa menyesal kerana tersilap memilih
suami. Diakah yang tersilap memilih kerana terbuai dengan rupa kacak Izham dan
kerjaya Izham sebagai pegawai bank atau sebab dia memang mencintai Izham
semenjak di bangku sekolah lagi.
Bunyi
loceng pintu rumahnya buat lamunan Hana berselerakan. Dia segera mengelap
tangan yang basah usai mencuci pinggan. Lega kerana urusan di dapur sudah
selesai. Pintu utama dibuka perlahan. Terjengul muka Normah jiran sebelah.
“Baju
kurung yang kak hantar dah siap?”. Tanya Normah di muka pintu.
“Siap
dah, kak”. Laju Hana menjawab.
“Akak
nak bagi lagi 10 helai. Boleh tak Hana siapkan dalam seminggu?. Bos tempat
kerja akak berkenan sangat dengan jahitan Hana. Kemas katanya”.
“Masuk
dulu, kak” Pelawa Hana. Normah melangkah masuk ke dalam rumah Hana. Mata
melirik memandang sekeliling, terlihat anak Hana sedang tidur beralaskan toto
di ruang tamu.
“Kenapa
dibiar budak tu tidur kat situ?”.
“Tadi
dia merengek lapar. Lepas susukan terus lelap. Tak sempat nak bawa ke bilik”.
Jawab Hana.
“Akak
tunggu sekejap. Hana nak ambil baju yang dah siap”. Sambung Hana lantas
menghilang ke dalam bilik. Hana muncul membawa beg kertas berisi baju kurung.
“Banyak
ke baju kat tempat kerja akak tu”.
“Dah
kerja kat butik, banyaklah bajunya. Bos akak suruh tanya lagi kalau Hana boleh jadi
pekerja tetapnya. Dia sanggup bayar upah Hana secara tetap. Bukan bayar RM10
untuk sehelai baju”.
“Hana
tak berani, kak. Takut nanti tak dapat siapkan seperti yang dijanjikan. Hana
tak boleh ambik banyak-banyak. Nak menjahit pun kena tengok mood Rizqin juga.
Kalau dia okey je, cepatlah Hana boleh jahit. Kalau asyik merengek je, tak
sempat Hana nak menjahit. Kadang nak lepas hajat pun tak sempat kak”. Balas
Hana ketawa.
Normah
ikut ketawa juga. Faham dengan keadaan Hana sebab dia pun ibu kepada tiga orang
anak. Sudah ada pengalaman menjaga anak kecil. Bezanya sekarang anaknya semua
sudah besar dan bersekolah menengah.
“Mana suami
Hana?.” Mata Normah melilau mencari. Bukan dia nak menyibuk. Tapi setiap kali
dia datang ke rumah Hana, tak pernah sekali pun dia terserempak dengan suami
wanita muda ini.
“Dah
keluar kak. Jumpa kawan”. Balas Hana senyum.
“Akak
bukan nak menyibuk Hana. Tapi
sekali-sekala tu elok juga kita kena ambil tahu pasal suami. Kena tunjukkan
yang kita cemburu. Zaman sekarang ni, banyak sangat babi yang suka menyondol
kebun orang. Tambah-tambah kebun yang subur hasil tanamannya”. Berkerut dahi
Hana cuba hadam cakap Normah. Apa kaitannya cemburu dengan babi yang suka
menyondol kebun orang. Tak nampak kaitannya pun.
“Tak
apalah, Hana. Akak minta diri dulu. Hana pun nampak letih sangat. Pergilah
rehatkan diri dan tidur.” Ujar Normah minta diri. Lagi pun dia rasa bersalah
pula kerana mengajar Hana yang bukan-bukan. Tengok pada Hana, dia pasti sangat
Hana bukan jenis isteri yang suka sakitkan hati suami. Jenis isteri stok-stok
mithali yang tak banyak cekadak macam dia.
No comments:
Post a Comment