Bab 32
“Kenapa abah tukarkan SU Luke?
Kenapa gantikan dengan Jamilah SU abah sendiri?”. Kalut dia menyoal sebaik saja
kaki melangkah masuk ke bilik Chairman Berjaya Corporations itu. Tan Sri Hisyam
yang sedang menilik beberapa dokumen hanya mempamer satu sengihan di bibirnya.
Tak pernah lagi dia melihat reaksi Luqman Hakimi yang cepat melatah.
“Kalau iya pun. Duduklah dulu.
Kita bincang elok-elok”. Jawab Tan Sri Hisyam tenang. Luqman Hakimi baru tersedar yang tingkahnya tadi agak
keterlaluan. Agaknya apa yang bermain di minda abahnya mengenai tingkahnya
tadi. Harap-harap abahnya tidak dapat meneka mengenai perasaan galaunya kala
ini.
Dia menarik kerusi lalu duduk
menghadap Tan Sri Hisyam yang kelihatan tenang itu. Kemudian dia menarik nafas
supaya kekalutan yang menyinggah benaknya dapat dikurangkan. Entah kenapa, bila
ingatkan apa yang berlaku diluar tadi bersama Nurin Kamila, detak hatinya
dipalu keras. Kalau benarlah cincin yang tersarung di jari manis cik adik
sayang itu adalah cincin tunang. Hish…makin payahlah dia hendak mendapatkan
gadis itu. Alamat cabarannya dengan Andrea terpaksa berkubur begitu saja.
Nampaknya dia terpaksa mengangkat bendera putih untuk mengisytiharkan dia kalah
dalam cabaran itu. Oh…sungguh dia sakit hati kerana tak mahu menerima hakikat
kekalahan selagi semangat perjuangan belum lagi padam.
“Luqman…Luqman…”. Panggil Tan Sri
Hisyam mematikan khayalannya.
“Yes…ada apa?”
“Apa yang dikhayalkan?. Abah
tanya, apa yang kamu tak puas hati pasal pertukaran SU tu?”. Soal Tan Sri
Hisyam lembut. Pelik pula lihat wajah Luqman Hakimi yang seolah-olah khayal, seperti
memikirkan masalah yang berat. Berkali-kali dia memanggil nama anaknya itu baru
lelaki muda itu tersedar.
“Oh…kenapa abah tukarkan SU Luke?
Dia ada repot pasal kelakuan Luke ke sampai abah sanggup tukarkan dia. Dia ada
cerita yang Luke buat benda tak senonoh pada dia?.” Soal Luqman Hakimi
bertubi-tubi. Tan Sri Hisyam sudah mengangkat kening. Terkejut mendengar
pertanyaan demi pertanyaan yang keluar dari mulut Luqman Hakimi. Tidak disangka
anaknya mempunyai perangai seburuk ini. Patutlah baru beberapa bulan di Berjaya
Corporations, setiausaha lamanya minta berhenti kerja.
“Apa yang Luqman dah buat?”.
“Err…”. Luqman Hakimi sedikit gelabah.
Sedar dia terlepas kata.
“Apa yang Luqman dah buat?”. Tan
Sri Hisyam menyoal lagi. Kali ini nada suaranya sedikit tegas.
“Er…tak ada apa-apa. Tak ada
apa-apa”. Dia menyangkal semahunya.
“Abah tak sangka. Perangai Luqman
seburuk ini. Patutlah setiausaha lama Luqman berhenti kerja. Rupanya anak abah
suka ambil kesempatan. Sekarang abah nak tanya apa yang Luqman dah buat pada
Nurin Kamila?”.
“Tak ada apa-apa. Mana Luke buat
benda tak elok pada dia?”. Luqman Hakimi masih cuba menyembunyikan perkara
sebenar. Cuba menutup pekung di dada.
“Kalau tak buat apa-apa. Kenapa
Luqman soal abah macam tu tadi?. Jangan bohong Luqman. Abah bukan sehari dua
kenal kamu. Abah tahu kalau kamu bohong”. Ugut Tan Sri Hisyam pula. Melihat
reaksi Luqman Hakimi yang sedikit gelabah dan tidak mahu bertentang mata
dengannya apabila bercakap, dia tahu sangat yang anaknya itu sedang berbohong.
Luqman Hakimi hanya membatukan
diri. Dah tak tahu bagaimana nak mengelakkan diri. Salah dia juga kerana
menyoal soalan yang bukan-bukan tadi pada abahnya. Akhirnya soalan itu menjerat
dirinya sendiri.
“Baik..kalau Luqman tak nak
bagitahu perkara sebenar. Biar abah sendiri yang tanya Nurin Kamila. Jangan
menyesal kalau abah ambik tindakan pada Luqman nanti. Ingat!. Abah paling
berkuasa di syarikat ini”. Kali ini Tan Sri Hisyam sudah mengeluarkan kenyataan
berbaur ugutan. Dia hendak tahu setakat mana anaknya ini sanggup berbohong.
“Luke terpaksa abah. Hanya dia je
penyelamat Luke”.
“Maksud Luqman?. Abah tak faham”.
“Luke bertaruh dengan Andrea.
Kalau Luke dapat memenangi hati Nurin dan menjadi tunangnya dalam masa terdekat
ni, maka Luke tak perlu berkahwin dengan Andrea. Lagipun memang Luke tak
sukakan Andrea. Hanya dengan cara ni je Luke dapat lepaskan diri dari dia,
abah”. Ujar Luqman Hakimi panjang lebar. Datuk Hisyam hanya menggelengkan
kepala. Tak disangka cetek betul pemikiran anaknya itu sehingga sanggup buat
perkara yang sia-sia. Malahan terpaksa menjadikan Nurin Kamila sebagai kambing
hitam pula.
“Luqman…luqman…Kenapa sanggup
main-main dengan perasaan orang lain?. Banyak cara lain lagi yang Luqman boleh
elak dari Andrea. Bukan dengan mainkan perasaan orang”. Marah Tan Sri Hisyam.
Kalau dulu jika dia tidak tahu siapa Nurin Kamila sebenarnya. Mungkin dia akan
bersikap tidak masuk campur untuk mempertahankan gadis itu. Namun sekarang, dia
tak akan membiarkan satu-satu permata hati yang dimiliki dipemainkan orang
sesuka hati.
“Abah fikir…bolehkah Luke
lepaskan diri dari dia. Mama sendiri suka nak jodohkan Luke dengan dia. Luke
tak suka abah. Perkara yang paling penting dalam hidup Luke pun mama nak masuk
campur”. Balas Luqman Hakimi tidak puas hati.
“Semua tu serah pada abah.
Tahulah macam mana abah nak bereskan. Kalau dulu abah terlalu berlembut dengan
mama kamu. Sekarang, jangan harap. Dah terlalu banyak abah bagi muka pada mama
kamu. Sampai dia naik lemak dan lupa batasan seorang isteri”.
“Betul…abah dapat tolong Luke?”.
Roman wajah Luqman Hakimi sudah sedikit ceria. Tan Sri Hisyam membalas dengan senyuman.
“Ya…tapi bersyarat”.
“Syarat?”.
“Kamu kena terima apa yang abah
tetapkan. Nurin Kamila bukan setiausaha kamu lagi.”
“Oh…kalau yang tu syaratnya,
dengan senang hati saya turuti abah’. Balasnya girang. Ingatkan apalah syarat
yang diletakkan oleh Tan Sri Hisyam itu. Rupanya semudah ABC saja. Dia bangun
dari kerusi yang didudukinya. Hati sudah berlagu riang. Langkah sudah dihayun
untuk keluar dari bilik abahnya. Hari ini dia rasa beban yang ditanggung sudah
tiada lagi. Nampaknya tak perlu dia terikat lagi dengan Andrea. Lepas bala.
Desisnya dalam hati.
AKU melangkah masuk ke bilik fail
tempat Shira berkerja itu dengan perasaan yang berbelah bagi. Masuk kali ini
entah berapa kali aku berulang alik ke tempatnya bekerja itu. Tidak lain tidak
bukan, aku lakukan semata-mata untuk menuntut kemaafan darinya. Minah itu asyik
menyusun fail tanpa mempedulikan aku yang serupa tunggul sedang berdiri di
sebelahnya. Sedikit pun dia tidak membalas senyuman aku yang seperti kerang
tiada bau ini. Sedas dia menjeling aku dan sambung kerjanya. Dia buat aku
serupa halimunan yang tidak wujud di depan matanya itu. Haish…susahnya kalau
nak memujuk makcik seorang ni. Rajuknya kalah budak-budak.
“Beb…sudah-sudahlah lancar perang
dingin tu!. Pitam dah aku asyik ulang alik nak minta maaf kat kau.” Ujarku
sambil kerut kening. Suara pun sudah naik lemau kerana terlalu banyak memujuk
minah seorang ini. Dia toleh tengok aku. Kemudian dia tarik muncung dan sambung
kerja lagi.
“Shira…sudah-sudahlah”. Aku ulang
ayat yang sama.
“Hmm…tahu takut…”. Balasnya
ringkas. Membulat mataku mendengar ayat yang keluar dari mulut Shira. Minah itu
sudah mengulum senyum melihat aku. Kemudian dia ketawa dengan mulut yang
ternganga luas. Aku pula yang rasa panas berangin. Rupanya selama ini sengaja
dia nak main-mainkan aku. Sengaja nak mendera perasaan aku dengan melancar
mogok 24 jam tidak bercakap denganku.
“Hish…rasakan-rasakan”. Beberapa
cubitan sudah singgah dilengan Shira. Memang geram sangat. Dahla kepala aku
serabut berdepan dengan lelaki itu. Shira pula nak menambah perasa pada kepala
aku ini.
“Wooi…sakitlah makcik. Ingat
lengan aku ni kusyen ke…yang sesedap rasa kau cubit”.
“Sapa suruh mainkan aku. Sakit
jiwa tau tak…kalau housemate merangkap roommate buat tak layan”. Balasku
separuh menjerit.
“Saja ler…aku nak main-main.
Bestlah kau yer…dari setiausaha CEO dah jadi setiausaha Chairman. Rezeki tu…tak
sia-sia kita jadi samseng Kampung Dusun semalam”.
“Memanglah rezeki. Tapi aku tetap
tak dapat lari dari dia. Tadi dia datang menyerang aku. Marah betul. Dia fikir
pertukaran aku ni pasal aku dah adukan perkara buruk dia kat Chairman tu”.
“Ah…jangan layanlah…janji kau bukan
under dia lagi. Kerja bawah chairman lagi best. Aku dengar ramai staf kat sini
suka benar dengan cara Chairman. Patutnya kau bersyukur. Bertuah dapat kerja
dengan orang baik-baik ni”. Shira menitipkan semangat buat aku. Lega rasa hati
bila lihat Shira sudah kembali normal. Ceria sentiasa. Hilang serabut kepala
aku sejak semalam gara-gara Shira lancar mogok tak nak bersuara.
“Weh..kerja-kerja juga. Jam dah
masuk pukul 5. Kau overtime ke?”. Soal aku tatkala lihat Shira masih ligat
menyusun fail-fail di rak yang disediakan. Pukul 5 bermaksud kerja sudah habis.
Masa untuk bungkus segala apa yang patut.
“Aha..la..sibuk susun fail, tak
sedar masa kerja dah habis. Okeylah Nurin…aku nak susun satu rak ni je bagi
siap. Kau tunggu aku kat lobby je lah.”
“Okey…aku nak ke bilik solat
dulu. Nanti siapa sampai dulu…dialah yang tunggu”.
“Okey”. Balas Shira sepatah. Aku menghayun
langkah keluar dari bilik kerja Shira. Saat ini rasa tenang sangat bila Shira
sudah kembali ceria. Langkah kuteruskan menuju ke bilik solat.
best nak lagi.
ReplyDelete