Bab 30
Bulat
mata Tan Sri Hisyam sebaik saja dia melihat foto-foto yang diberikan penyiasat
upahannya itu buat tatapan matanya. Dia meraup muka berkali-kali. Istigfar tak
habis-habis diulang-ulang sebut di bibirnya. Kemudian dia peluk pula tubuh
Berahim yang masih setia di sisi.
“Alhamdulilah…Berahim.
Alhamdulilah…” Dia raup mukanya lagi. Ada air mata yang mengalir di pipi tuanya
itu. Berahim yang setia di sisinya, hanya menepuk mesra bahu Tan Sri Hisyam.
Dia turut tersenyum kegembiraan melihat wajah ceria sahabatnya itu. Selama
bekerja di sini, inilah kali pertama dia melihat wajah Tan Sri Hisyam yang ceria
seperti bulan penuh itu.
“Saya
ke kampungnya di Sungai Petani 2 hari lepas. Sempat saya tanya pada orang-orang
kampung di situ. Memang tak syak lagi, Puan Zaimah dan ayahnya berpindah ke
situ dan membeli tanah 25 tahun yang lepas. Masa tu Puan Zaimah sedang
mengandung anak sulungnya…Tan Sri”. Terang Bakri penyiasat upahan itu panjang
lebar.
“Saya
sempat ambil gambar Zaimah sekeluarga. Itu pun secara curi-curi. Dengan khabar
anaknya baru saja dilamar. Cuma saya tak pasti sama ada lamaran itu diterima
atau tidak”. Sambung Bakri lagi. Tan Sri Hisyam
beralih duduk pula menyandar di
kerusinya. Dia masih mengamati foto-foto yang ada ditangannya. Wajah Zaimah
masih seperti dulu, tidak berubah sedikit pun walau ada garis tua menghiasi dahi
isterinya itu.
“Nanti
kita ke kampungnya Berahim. Aku dah tak sabar nak jumpa mereka. Aku dah tak
sabar nak jumpa anakku”. Balasnya pula.
“Sabar…Tan
Sri. Cuba Tan Sri amati betul-betul wajah anak Tan Sri ini”. Arah Berahim pula
pada salah satu foto yang terdampar di atas meja Chairman itu. Pantas mata Tan
Sri Hisyam menala ke arah foto yang ditunjukkan Berahim.
“Ya
ALLAH…Berahim…hebatnya takdir ALLAH”. Tiba-tiba terletus kata-kata itu dari
mulut Tan Sri Hisyam. Sungguh tak disangka, gadis yang disapanya di dalam lif
tadi adalah anak gadisnya sendiri, Nurin Kamila Hisyam. Patutlah setiap kali
dia bertentang mata dengan gadis itu seperti ada satu rasa yang amat payah
untuk ditafsirkan. Dalam wajah itu ada wajah Zaimah. Sesungguhnya hanya ALLAH
saja yang maha mengetahui. Dia beristigfar lagi.
“Bakri..terima
kasih atas siasatan awak itu. Nah…bayaran untuk khidmat awak”. Tan Sri Hisyam
hulurkan cek buat khidmat Bakri selama ini. Tersungging senyuman puas hati dari
Bakri apabila menilik jumlah kosong yang tertera pada cek yang diberikan Tan
Sri Hisyam itu. Memang berbaloi. Desisnya dalam hati.
“Tan
Sri nak saya teruskan siasatan berkenaan peristiwa kebakaran tu. Nak saya cari
siapa dalangnya?”. Soal Bakri pula. Andai dia meneruskan siasatan, tentu
bayaran yang akan diterima berkali-kali ganda lumayan. Dia sengih pula. Pantas
Tan Sri Hisyam menggeleng.
“Buat
masa ni…cukuplah dulu. Bila saya perlukan khidmat awak. Saya akan inform.
Apapun saya ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat awak. Memang bagus”. Puji
Tan Sri Hisyam lagi. Kemudian mereka berjabat tangan tanda urusan sudah
selesai. Tan Sri Hisyam memberi isyarat mata pada Berahim supaya mengiringi
Bakri keluar dari pejabatnya. Dia terus kembali menatap foto-foto yang
terdampar di atas mejanya. Baru tangan hendak mencapai foto milik Nurin Kamila,
pantas pintu pejabatnya ditolak kasar dari luar. Berahim dan Bakri yang baru
hendak memegang tombol pintu turut terkejut dengan tolakan kasar pintu pejabat
milik Chairman Berjaya Corporations itu.
Tan Sri
Hisyam turut terkejut melihat wajah yang ada di depannya itu. Segera tangannya
mencapai semua foto yang ada di atas mejanya lalu disembunyikan di dalam laci
mejanya.
“Maaf…Tan
Sri…saya dah halang. Tapi mereka tak peduli. Habis dirempuhnya saya Tan
Sri…”Adu wanita berbadan gempal merangkap setiausaha Tan Sri Hisyam itu.
“Tak
apa. Milah. Awak boleh keluar.” Arah Tan Sri Hisyam.
“Berahim…iring
Bakri keluar”. Berahim hanya mengangguk. Sebelum keluar sempat lagi Berahim
menghadiahkan sebuah senyuman buat gadis comel bersama temannya itu.
“SAYA nak jumpa Chairman”. Pinta
Shira pada wanita bertubuh gempal yang duduk di meja khusus tertulis ‘ Jamilah
Kasim’. Barangkali setiausaha Chairman
agaknya.
“Atas urusan apa ye?...dah buat
temujanji”. Soal Jamilah. Shira menggeleng. Aku yang ada di sisi Shira, turut
menggeleng.
“Kalau macam tu…maaflah. Kamu
berdua tak boleh jumpa kalau tak buat temujanji dulu”.
“Tak boleh puan”.
“Ehem…bukan puan tapi cik”.
Wanita bernama Jamilah itu membetulkan panggilan yang diutarakan Shira.
Hmm…nasiblah kalau terpanggil ‘puan’. Maklumlah pada tanda namanya tak ada pula
diletakkan gelaran di situ.
“Maaf puan…err…cik…tapi ini
urgent”. Kali ini aku pula yang bersuara. Sudah sampai tahap merayu. Memang aku
dah tak boleh tahan lagi memikirkan apa yang berlaku pada aku pagi tadi. Kalau
lama-lama dibiarkan, aku rasa lelaki gila 18sx itu akan sampai tahap kronik tak
dapat dibendung pula. Aku yang bakal menjadi mangsanya nanti.
“Ish…tak faham bahasa agaknya.
Saya kata tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah meninggi suara. Shira dan
aku hanya melopong. Percuma saja kena tengking hari ini. Aku sudah mula hendak
melangkah balik. Sia-sia saja rasanya perancangan kami hendak jumpa Chairman,
sedangkan depan setiausahanya lagi kami sudah ditengking sebegini. Apatah lagi
hendak berdepan dengan Chairman.
“Sudahlah…Shira. Jomlah kita
balik ke tempat masing-masing. Sia-sia saja. Nampaknya aku kena tawakal sajalah”. Balasku sambil menarik
lengan Shira supaya beredar dari situ. Shira masih berat untuk melangkah.
Sebaliknya dia tarik lengan aku, menonong aku mengikut langkahnya yang laju.
“Kalau tak boleh cara elok, kita
rempuh je. Ya tak ya pun, memang kita bakal kena pecat nanti”.
“Hish…nak kemana ni? Saya kata
tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah main tarik-tarik tangan Shira. Aku
yang ada di sebelah hanya jadi pemerhati.
“Kau masuk je Nurin…biar aku je
berdepan dengan Cik Jamilah tembam ni” Arah Shira pada aku yang sedikit blur
ini. Baru nak melangkah Cik Jamilah sudah menghadang di depan pintu bilik
Chairman pula. Serupa kami sedang main konda-kondi. Shira yang tak sabar itu
terus merempuh tubuh gempal Cik Jamilah. Terduduk minah itu atas lantai. Segera
Shira pulas tombol sambil menarik tangan aku untuk segera masuk ke bilik
Chairman. Kalau lihat tingkah kami memang serupa samseng Kampung Dusun
layaknya.
“Pakcik!”. Hanya perkataan itu
saja terluah dari bibirku. Terkejut melihat Pakcik Hisyam duduk menyandar di
kerusi Chairman Berjaya Corporations itu. Segak bergaya dengan kot dan tali
leher yang menghiasi tubuhnya. Memang sekali pandang, sudah hilang gayanya
sebagai peon di syarikat ini. Aku kalih pandang pada Pak Berahim yang berada di
balik pintu. Terkejut melihat lelaki itu turut berada di situ. Tapi Pak Berahim
hanya bersikap selamba. Dia menghadiahkan aku sebuah senyuman sebelum dia
melangkah keluar bersama kenalannya itu. Aku pula yang terkaku di situ. Kenapa
mesti pakcik Hisyam peon syarikat ini yang duduk di kerusi Chairman itu?. Aku
keliru sendiri. Penat otak memikir, adakah aku yang silap membuat andaian
selama ini. Shira yang berada di sebelah sudah menyiku lenganku.
“Cakaplah…kan Chairman kat depan
tu?”. Desak Shira. Aku pandang Shira sambil kerut kening.
“Chairman ke?. Bukan peon
syarikat ni?”. Aku soal Shira semula inginkan kepastian. Berderai ketawa Shira
tanpa dapat dikawal lagi. Memang hodoh sungguh lihat muka Shira yang
berkerut-kerut ketawakan aku. Ini, kalau bakal mak mertua tengok, sahih cancel
jadi menantu. Desisku menahan marah.
“Ada
apa yang boleh saya bantu?”. Soalnya mesra. Aku masih lagi keliru. Betul ke
Pakcik Hisyam ini chairman Berjaya Corporations?. Aku masih berteka-teki
sendiri.
“Saya
nak jumpa Chairman!”. Balasku. Pakcik Hisyam hanya tersenyum. Barangkali lucu
melihat aku yang terkulat-kulat tidak
pasti dengan siapa aku bercakap ini. Shira di sebelah sudah terjegil biji mata
sambil berdeham. Marah barangkali kerana aku masih tidak mempercayai
kata-katanya tentang lelaki yang berada di hadapan kami ini.
“Sayalah
Chairman!. Kenapa? Tak percaya?”. Soalnya bertubi-tubi. Namun air mukanya masih
lagi ceria. Kalau orang lain, mesti aku sudah disembur atau diberi surat amaran
kerana tidak mengenali orang paling atas di Berjaya Corporations ini.
“Tapi…”
“Isy…betullah
mangkuk. Aku kerja satu level dengan Chairman. Hari-hari aku bertembung dengan
dia. Kau tu yang tak ambil peduli langsung dengan orang paling atas tempat kau
cari makan ni”. Sempat lagi Shira memarahi aku dengan suara yang ditahan-tahan. Cuba nak cover line konon. Tapi volume
suaranya dah serupa pakai pembesar suara. Aku alih pandang renung Shira. Ada ke
patut dipanggilnya aku mangkuk. Ingat aku ni mangkuk tingkat ke?
Pakcik
Hisyam yang ada di depan mata sudah ketawa mengekek. Lucu barangkali melihat
kami bertengkar mempersoalkan kedudukannya di Berjaya Corporations ini. Aku
pandang wajah ceria Pakcik Hisyam yang sedang ketawa itu, spontan mataku meliar
melihat sekeliling biliknya. Terbeliak
biji mata aku melihat gambar dia bersama pemegang saham Berjaya Corporation.
Bos 18sx bersama Puan Sri Khalida turut ada dalam gambar itu. Serta merta aku
tertelan air liur sendiri. Nampaknya aku sudah silap menilai orang.
No comments:
Post a Comment