Bab 26
“Alhamdulilah…terima
kasih Nurin. Terima kasih sebab penuhi hajat mak”. Emak peluk aku dengan
sepenuh hati. Aku senyum walau senyum aku kelihatan kelat. Cincin belah rotan
yang kurang sinarnya itu aku tilik dengan sekali pandang saja. Sebenarnya berat
hati nak menerima pinangan dari Puan Munirah yang datang secara tiba-tiba itu.
Asalnya aku sekadar hanya memenuhi permintaan emak untuk menerima kedatangan
tetamu istimewa hari ini. Emak pun tak memaksa kalau hati aku tak berkenan.
Entah kenapa, bila aku pandang saja wajah Shahril Aiman, ada rasa di situ. Satu
rasa yang aku sendiri tak pasti. Adakah ini yang dikatakan jodoh?
“Saya
tahu mungkin Nurin rasa berat hati nak terima semua ini. Tapi percayalah saya
yakin Nurin adalah jodoh yang ditetapkan buat saya. Rasanya apa yang berlaku di
Penang semuanya telah direncanakan oleh ALLAH…saya sendiri yakin dengan gerak
hati saya. Memang awak jodoh saya Nurin”. Terdiam aku tatkala dia menuturkan
kata itu sewaktu aku sibuk di dapur mengemaskan pinggan mangkuk usai kami
menjamu selera tadi. Hati…usah cakaplah. Riuh bergendang dan bertabla. Rasa macam
seluruh tubuh terkena renjatan elektrik. Nak kata suka…sukalah jugak. Mana pernah
lagi ada lelaki yang bercakap dengan aku serius begini?.
Aku
menjeling sedikit mencari kelibat emak dan Puan Munirah yang tadi ada bersamaku.
Tapi hampa. Ternyata emak dan Puan Munirah sudah ke atas semula. Pasti hendak menyambung bicara yang tertangguh
kerana makan tadi. Hanya aku dan dia di
dapur kala ini.
“Err…”.
Aku gugup. Tak tahu hendak balas kata.
“Err..mak…err…tokwan”.
Hanya itu yang terluah dari bibirku. Malu dan takut bermain dalam minda. Malu kerana
ditinggalkan berdua dengan dia. Takut pula dicop sebagai anak dara gatal berdua
dengan lelaki yang tidak dikenali.
‘Nurin…malu
dan takut konon!!!. Habis semalam tu bukan kau dan dia berdua sajakan sepanjang
perjalanan dari Penang sampai dah selamat pun kau tiba di rumah ini.’ Hati ini
tak habis-habis hendak menempelak. Tak pernah nak berkompromi dengan aku.
“Oh…mak
Nurin dan Tok wan yang bagi peluang saya bercakap secara peribadi dengan Nurin.
Jangan bimbang. Semuanya dalam pengetahuan depa”.
Aku
tarik nafas lega apabila mendengar dia kata begitu. Nampaknya emak dan tok wan
sengaja memberi sedikit ruang untuk kami berkenalan. Tok wan pula, awal-awal
lagi sudah minta izin hendak ke kebun. Semuanya seolah seakan memberi ruang
untuk aku mengenali lelaki yang sedang duduk santai di kerusi makan sambil
menghadap aku yang sedang membasuh pinggan mangkuk ini.
“Terima
kasih pasal semalam. Boleh tak awak rahsiakan dari mak dan tokwan. Mereka tak
tahu pun saya balik dengan siapa semalam?”. Pintaku teragak-agak. Dia
mengerutkan dahi tanda tidak faham. Mungkin pelik dengan permintaanku yang
tidak dijangka itu.
“Tolonglah…boleh
tak?”. Aku ulang lagi permintaanku ini. Mestilah aku mengharapkan dia
merahsiakan kebenarannya. Kalau emak dan tok wan tahu, barangkali aku dibelasah
secukupnya. Mana pernah mereka mengajar aku seberani itu ikut orang yang tak
dikenali. Lelaki pulak tu dan dalam situasi yang boleh mengundang perkara yang tak
diingini.Akhirnya dia mengangguk dengan senyum tersungging di bibirnya. Lega rasa
hatiku saat sebuah senyuman terlakar dibibirnya.
“Hah…sebelum
saya lupa…minta balik kad kerja saya. Nanti tak pasal saya tak boleh masuk kem
kerana tak ada pass masuk”. Kali ini dia pula minta kad kerja yang diberikan
padaku semalam. Hampir saja aku lupa untuk memulangkan kepadanya kalau dia tak
ingatkan aku.
“Ohh…tunggu
sat. Saya ambik kat dalam bilik”. Segera aku tinggalkan dia lalu menaiki tangga
untuk ke atas. Aku masuk ke bilik dan mata melilau mencari kad kerjanya yang
aku belek pagi tadi. Senyum terukir di bibir tatkala mata menangkap kad kerja
yang terletak elok di atas meja solek bersebelahan dengan Nokia murah aku.
Segera aku capai. Baru hendak melangkah keluar, Nokia murah melalak pula. Terus
aku gapai dan mata terpaku pada nombor yang tertera. Terasa semput nafasku dan
mata membulat melihat nombor itu lagi.
“Hish…dia
ni memang tak akan bagi aku hidup senang”. Aku mengomel seraya aku tekan butang
merah. Segera aku off telefonku. Puas hati kerana dia tak akan ganggu aku lagi.
Namun aku terkedu sekejap. Sampai bila aku nak mengelak dari dia. Esok-esok
muka itu juga yang aku hadap hari-hari. Selagi tak disahkan jawatan, memang aku
kena kerja dengan dia jugak. Apa pilihan yang aku ada?. Nak bayar 30k tu…mana
nak cekau duit. Aku bukan orang berduit pun. Kalau ada 30k pun tak akan aku nak
bagi macam tu je kat dia. Orang miskin macam aku ni dengan 30k tu macam-macam aku boleh buat. Akhirnya
aku terduduk di birai katil, menarik nafas dengan panjang lalu aku beristigfar
berulang kali. Kad kerja Shahril Aiman yang ada dalam pegangan aku tilik tanpa
perasaan. Teringat pula pada apa yang kami bualkan tadi. Mungkin dia jodoh yang
ALLAH kirimkan buat aku. Mungkin dia satu-satunya penyelamat aku dari mr.hotter
guy berhati binatang itu. Hanya ini pilihan yang aku ada. Selamatkan diri
dengan menjadi tunangan Shahril Aiman. Pasti si hotter guy tak akan
berani-berani menganggu aku lagi kerana aku milik orang.
‘Nurin…fikir
masak-masak!. Betulkah dengan apa yang kau buat? Ini soal hidup?. Bolehkah kau
habiskan hayat dengan Shahril Aiman tu?!!!’. Kata hati giat menasihat pula.
‘Bolehkah
kau cintakan dia?’. Hati menambah lagi. Aku pejam mata. Muka aku raup
berkali-kali. Aku tarik nafas panjang lalu lepaskan perlahan.
“Aku
yakin dengan apa yang aku buat. Memang ini jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku.
Cinta selepas nikah itu lebih indah. Dan dia memang jodoh terbaik yang ALLAH
ciptakan buat aku”. Aku menjawab bagi setiap persoalan yang bermain di benakku
tadi. Lantas aku berdiri dari birai katil. Kemudian menapak keluar dari bilik.
Kad kerjanya yang berada dalam tangan aku genggam dengan erat. Yakin dengan
keputusan yang aku buat.
Puan
Munirah tak habis dengan senyum. Sesekali dia melihat wajah anak teruna
sulungnya itu yang manis sentiasa. Tadi bukan main dia mengelat, alih-alih dia
pula yang tak sabar nak beristerikan Nurin Kamila.
“Apa
yang Man cakap kat dapur tadi sampai Nurin terima pinangan Man tu?”. Puan
Munirah menyoal pula. Tak disangka hajat asal hendak merisik dah jadi bertunang
pula. Kesian pada Nurin kerana cincin belah rotan yang sudah pudar warna
emasnya dan murah itu menjadi mangsa disarung ke jari. Kebetulan hanya cincin
itu saja yang tersarung di jari Puan Munirah. Hendak disarung cincin berlian
bermata satu itu, sungguh dia tak akan beri kerana itu cincin pemberian arwah
suami tersayang. Cincin yang mempunyai nilai sentimental yang tak akan luput
dari ingatan selagi hayat di kandung badan.
“Tak
ada apa mak…Man pun tak sangka yang dia terima pinangan Man. Tapi Man syukur
sangat mak. Entah kenapa sekali tengok, hati Man berdebar kuat. Man rasa memang
dia jodoh Man. Tak pernah Man rasa pada mana-mana perempuan yang Man kenal
mak”. Luah Shahril Aiman dengan bersungguh. Namun mata masih tertumpu pada
pemanduannya. Sesekali saja dia melihat wajah ibunya kerana berbual.
“Mak
sarung cincin mana satu buat bakal menantu mak tu?”. Kalut dia menyoal pula.
“Man
tu yang tak menyempat. Gelojoh sangat. Kesian Nurin, cincin belah rotan zaman
mak bertunang dengan ayah tu yang sempat mak sauk. Zaman tok nadok…Warna pun
dah pudar. Nanti masa akad nikah, Man bagilah yang elok dan mahal sikit kat
Nurin tu.”
“Hai…mak…Man
tengok ada cincin belian mata satu yang mahal kat jari manis mak tu, awat tak
sarung yang tu je. Mak ni pun berkira jugak dengan Man ye?”. Shahril Aiman
sengaja mengusik ibunya. Menduga hati ibu kesayangannya itu. Spontan satu
cubitan menyinggah di lengan anaknya sulungnya itu.
“Man…kerat
18 pun mak tak akan bagi. Cincin ni pemberian arwah ayah sebelum dia tutup
mata. Satu-satunya pemberian ayah yang mak akan simpan buat kenangan seumur
hidup. Yang ini satu-satu harta berharga buat mak.” Terang Puan Munirah
bersungguh-sungguh. Ada riak sedih terlukis di wajahnya. Kenangan bersama suami
tercinta segera terlayar di depan mata.
“Man
minta maaf mak…Man gurau je. Man tahu cincin tu banyak kenangannya pada mak”.
Shahril Aiman segera memegang tangan ibunya lalu dibawa ke bibir. Di cium
dengan seikhlas mungkin tanda dia benar-benar tidak berniat dengan apa yang
dikatakannya tadi. Puan Munirah kembali senyum. Tangannya seraya mengusap
rambut Shahril Aiman anak sulungnya itu. Dengan Shahril Aiman memang kasih dan
sayangnya tidak berbelah bagi. Pada Shahril Aiman, ada wajah suami tercinta di
situ. Buat penyejuk mata kala hati sedang bergundah.
best sambung ya tq.
ReplyDeleteConfuse.. Siapa heronya..Aiman atau Lukman?? Cepat sambung next n3...:')
ReplyDeletetak sabar nak tunggu next entry..
ReplyDeleteNext n3 ye
ReplyDelete