Bab 28
“Seronok pergi Penang?”. Soal Shira
saat aku rebahkan badan di sofa sambil mata ditalakan ke tv bersaiz 14 inci
itu. Aku angguk malas pada pertanyaan Shira itu. Sebenarnya badan masih letih,
maka minda pun turut letih juga. Selesai
saja urusan pertunangan ala sempoi pada pagi itu. Petangnya, aku dah mula naik
bas untuk balik semula ke Kuala Lumpur. Kalau ikutkan hati memang aku tak nak
balik ke sini. Tapi memikirkan mana nak ku cari 30k itu buat aku teruskan juga
niat aku yang tinggal separuh hati ini. Bila detik hitam itu bermain di mataku, hatiku
jadi tidak keruan. Sekilas aku menilik pula cincin belah rotan yang tersarung
di jari manisku. Aku pusing-pusingkan cincin itu, namun pandangan mata masih
melekat di kaca tv.
“Weh…cincin apa ni?”. Shira sudah memegang
tanganku. Matanya tertancap pada cincin yang tersarung di jari manisku. Segera
aku menarik tanganku dari pegangan Shira. Cuba hendak sembunyikan dari
pengetahuannya.
“Mana ada?”. Sangkalku.
“Wei…nak tipu pun. Agak-agaklah..aku
bukan buta.” Dia terus sambar tanganku lalu mata tak habis merenung cincin
belah rotan yang pudar warnanya.
“Cincin belah rotan ni. Tak akan kau
bertunang kot? Bila masa kau bertunang ni?. Tapikan...apasal cincin kau buruk
sangat”. Dalam Shira bersoal macam-macam, sempat pulak dia mengutuk cincin
tunang aku. Segera aku jeling dia sekilas. Minah ni!...memang tak sayang mulut.
Sesedap rasa saja mengutuk cincin pemberian bakal ibu mertuaku.
“Ha..ah…aku dah bertunang semalam”.
Balasku dengan wajah selamba. Membulat mata Shira terkejut mendengar jawapanku.
“Biar betul?.” Dia soal aku tak
percaya. Aku angguk lagi.
“Dengan siapa?”
“Aiman tak kisah”.
“Hah…”. Dia tenung wajahku pula.
Matanya merenung aku tajam. Cuba mencari kepastian di situ. Cara pandang memang
dia macam tak berapa nak percaya dengan kata-kataku.
“Betul…aku tak tipu. Kalau tak
percaya…tanya mak aku”.
“Cercita kat aku…macamana kau boleh
terjebak dengan Aiman tak kisah ni?”. Shira kemaskan duduk. Memang bersemangat
sungguh cara Shira itu untuk mendengar aku berkisah bagai.
“Aku tak ada pilihan Shira. Ini saja
cara yang aku buat untuk lari dari bos”. Kataku perlahan. Berkerut dahi Shira
tidak faham dengan apa yang aku terangkan.
“Hish…apa kes ni sampai nak lari
dari bos ni?”. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, aku lap perlahan.
Aku tunduk merenung jari manisku yang dihiasi cincin belah rotan ini. Adakah
keputusan yang kubuat ini betul-betul dapat menyelamatkan aku dari si hotter
guy yang gatal, jahat dan gila itu?. Aku melepaskan keluhan. Aku renung dalam
anak mata Shira yang duduk didepanku ini. Aku pejam mata, lalu aku tarik nafas
dan hembus perlahan. Aku buka mata. Rasa
sedikit tenang untukku mula berhikayat bagai pada Shira yang tak sabar untuk
mendengar.
TERKEJUT Datin Shima menerima
kedatangan Puan Sri Khalida yang mengejut itu.
Dia baru sahaja berkira-kira untuk bertemu tetamu yang satu ini, tak sangka pula Puan Sri sudah berada di
halaman rumahnya ini. Macam ada telepati pula. Dia bermonolog sendiri.
“Jemput masuk, Puan Sri. I baru
terfikir nak jumpa you. Tak sangka pula you sendiri datang rumah I”. Ujar Datin
Shima berbasi-basa. Puan Sri Khalida tidak menjawab. Dia terus duduk di sofa
kulit tanpa dipelawa terlebih dahulu. Mukanya serius dan tegang seolah sedang
memikirkan satu masalah yang besar.
“I nak tanya you sesuatu. Dan I nak
you jawab betul-betul”. Puan Sri Khalida membuka mulut. Soalan yang keluar dari
mulutnya buat jantung Datin Shima berdegup pantas. Gelabah wanita itu mendengar
suara Puan Sri Khalida yang tegas dan keras itu.
“Apa hal Puan Sri? Penting sangat
ke? Kalau kena dengan soalannya, I pasti jawab dengan betul”. Balas Datin Shima
sambil mengerut dahi. Tak pernah pula selama bersahabat dengan Puan Sri
Khalida, dia melihat wanita ini tegang. Mungkin masalah yang melanda Puan Sri
Khalida bukan masalah kecil atau boleh dibuat main-main. Dia rasa simpati. Tapi
rasa simpatinya sekejap saja bertandang bila fikirannya menerawang kepada masalah
melibatkan Luqman Hakimi dan anaknya Andrea. Puan Sri Khalida nak batalkan peminangan?. Dia
berteka teki sendiri. Tiba-tiba Datin Shima pula yang rasa tegang.
“Betul ke Zaimah dah mati? Betul ke
orang upahan you tu buat kerja?”. Soal Puan Sri Khalida serius. Matanya
mencerlung tajam melihat Datin Shima yang agak resah itu. Tak sangka pula selepas
berpuluh tahun, Puan Sri Khalida hendak mengungkit peristiwa lama yang makin
dilupakan itu. Ingatkan masalah melibatkan Luke dan Andrea. Diam tak diam,
Datin Shima menarik nafas lega.
“Kenapa you? Benda dah lama. Kenapa
you ungkit balik. You tak percaya ke? I ni bestfriend you tau…tak akan I nak
menipu pulak”. Giliran Datin Shima pula menyoal. Pelik mendengar soalan Puan
Sri Khalida mempertikaikan perkara yang pernah sama-sama mereka lakukan 25
tahun yang lalu.
“Habis tu…kenapa suami I mati-mati
marahkan I. Dia kata Zaimah masih hidup lagi. I yang sengaja sembunyikan
perkara sebenar dari dia. Apa ni?. Macamana Zaimah boleh hidup pula. Bukan
orang upahan you bakar rumah dia dengan dia-dia sekali dah jadi abu dalam
kebakaran tu?”. Bagai peluru mesin gun, Puan Sri Khalida menyoal bertubi-tubi.
Terkesima Datin Shima tidak dapat membalas setiap
tujahan soalan itu. Memang dia dan Datin Shima sama-sama merancang kemalangan
itu dan orang upahan Datin Shima yang melaksanakan tugasan. Dia sendiri rasa
lega yang amat apabila melihat kuburan Zaimah. Alih-alih si suami mengkhabarkan
madunya itu masih hidup. Memang dia terkejut. Memang dia marah. Memang dia tak
puas hati. Habis selama ini rancangan yang dibuat 25 tahun dahulu adalah
sia-sia.
“Betul you. I sendiri tengok dengan
mata kepala I masa Bakar dan konco-konconya bakar rumah tu. I tengok api
menjulang tinggi saat rumah itu dimamah api. Tak akan I nak tipu pula. You
sendiri pun ada bersama I. Tak akan you dah lupa kut?”. Datin Shima
bersungguh-sungguh mempertahankan kata-katanya. Memang dia nampak dengan mata
kepalanya sendiri. Tak akan matanya dah rabun kut. Itu, peristiwa yang berlaku
25 tahun yang lepas. Dia masih muda belia lagi saat itu. Matanya masih elok dan
dia tidak nyanyuk untuk mengingati peristiwa itu. Puan Sri Khalida terdiam.
Otaknya ligat berfikir. Antara kata-kata Datin Shima dan suaminya itu, siapa
yang benar dan siapa yang salah. Seingatnya selepas dia dan Datin Shima
sama-sama melihat rumah Zaimah di kampung mula marak dengan api yang menjulang
mereka segera tinggalkan tempat itu. Selebihnya orang suruhan Datin Shima yang
menyelesaikan semuanya.
“Habis tu, apa yang suami I cakap tu
tak betul?”. Suaranya yang meninggi tadi sudah mengendur semula. Dia tatap
wajah Datin Shima sambil tangannya menongkat kepala. Pening memikirkan
teka-teki yang melanda ini. Datin Shima hanya mengangkat bahu. Tak tahu hendak
cakap apa lagi.
“Kita cari Bakar. Kita cari dia.
Hanya dia je yang tahu perkara sebetulnya!”. Arah Puan Sri Khalida pula. Dia
sudah tersenyum. Lega memikirkan
kekusutan yang dialaminya ini dapat diselesaikan jika mereka ke temu
Bakar. Datin Shima sudah cemberut wajahnya. Gila hendak mencari Bakar. Semenjak
peristiwa itu, dia tak pernah berurusan lagi dengan Bakar. Dia tak mahu ada
sebarang hubungan lagi. Takut andai peristiwa 25 tahun itu terbongkar dengan
dia sekali bakal masuk penjara. Tak dapat dibayangkan seorang wanita berpangkat
dan ibu kepada pelakon terkenal terlibat dalam skandal dan menghiasi muka depan
surat khabar. Hish…minta dijauhkan.
“Mana nak cari you?. I tak pernah
jumpa Bakar selepas peristiwa itu. I pun tak tahu entah
hidup atau mati si
Bakar tu. Tak payah risaulah you. Memang Zaimah dah mati. I rasa suami you tu
sengaja nak uji you. Sengaja nak mainkan perasaan you”. Datin Shima cuba
berlembut. Cuba memujuk Puan Sri Khalida membatalkan niatnya.
Cari
bala dan tak ada kerja agaknya hendak mencari Bakar dan membuka pekung yang
sudah lama membusuk di dalam dada masing-masing. Gerutu Datin Shima lagi, tak
puas hati. Semua itu diluahkan dalam hatinya saja. Cari nahas kalau terang-terangan
diluahkan pada Puan Sri Khalida. Alamat
niatnya itu tak akan kesampaianlah jawabnya. Puan Sri Khalida hanya menarik
nafas. Tapi dia memang yakin dengan kata-kata suaminya itu. Tak pernah
sekalipun Tan Sri Hisyam mengungkit soal Zaimah. Cuma sejak kebelakangan ini
saja, nama Zaimah mula disebut. Dia keliru sendiri.
“I
kelirulah Shima. I takut kalau apa yang Tan Sri cakap tu betul. Tak dapat I
bayangkan kalau Zaimah masih hidup. Tan Sri dah ugut I. Dia nak cari Zaimah
sampai jumpa. Kalau I tak dapat terima Zaimah, tahulah dia nak ajar I macamana.
I tak nak Luke menderita nanti. Kalau Zaimah masih hidup dan punya anak,
macamana dengan kedudukan Luke. Mesti semua harta ini akan berpindah pada
Zaimah nanti. Luke hanya anak angkat. Dia tak ada hak, Shima…”. Luah Puan Sri
Khalida. Dia menekan berkali-kali kepalanya. Mungkin pening atau kusut
memikirkan masalah yang bakal melanda nanti. Datin Shima ikut berubah air
mukanya. Risau juga andai apa yang dikatakan Puan Sri Khalida itu betul. Kalau
Luqman Hakimi sendiri tiada apa-apa hak pada harta milik Tan Sri Hisyam, buat
apa dia bersusah payah untuk menyatukan Andrea dengan Luke nanti.
“Tak
ada apalah you. I yakin suami you tu sengaja nak uji you. Dah tak payah risau.
Buat apa nak fikir perkara yang tak pasti. Jom kita pergi kelab. Jumpa member
sambil hibur hati. Tak adalah you nak fikir yang bukan-bukan lagi”. Datin Shima
sudah menarik tangan Puan Sri Khalida supaya bangun. Tanpa banyak soal, Puan
Sri Khalida hanya menurut. Dia perlu tenangkan hatinya yang kusut. Bertemu
dengan kawan-kawan di kelab, sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hatinya.
Akhirnya dia mengekor Datin Shima.
Andrea
yang tadinya hendak turun ke tingkat bawah, terbantut langkahnya saat mendengar
perbincangan Puan Sri Khalida dengan ibunya. Berkerut-kerut dahinya cuba
mentafsir setiap kata-kata yang keluar dari mulut mamanya si Luke. Siapa
Zaimah? Dia berteka teki sendiri. Kalau betul apa yang didengarnya tadi, satu
senyuman sudah tergaris di bibirnya. Tak disangka lelaki hati kering yang
sentiasa berlagak itu hanya anak angkat. Bukan anak kandung konglomerat
terkenal itu. Selama ini berlagak dengan harta kekayaan orang tua angkatnya
saja.
“Huh…hotter
guy konon. Hampeh!...lepas ni kau jangan nak berlagak lagi dengan aku Luke. You
are not hotter guy…but hopeless guy…”. Andrea gelak sakan.
“Kalau
selepas ini, lelaki hati kering itu cuba nak hina-hina aku. Tahulah apa aku nak
buat”. Andrea melangkah turun ke tingkah bawah. Dalam hati, sudah tak sabar nak
berjumpa Ariel Zen.
“So,
lepas ni mummy tak boleh nak paksa-paksa aku. Siapa pilihan aku, mummy kena
terima. Ariel Zen seratus kali lebih baik dari mamat hati kering tu”. Dia
bercakap pada diri sendiri. Kemudian ketawa lagi. Kaki sudah melangkah keluar
dari rumah dan menuju ke arah kereta Ford Fiesta rona merah itu.
“Darling
I coming”. Dia ketawa lagi sambil membayangkan tubuh sasa Ariel Zen dalam
pelukannya itu.
No comments:
Post a Comment