Ceritaku
Saturday, 6 June 2020
Saturday, 28 September 2019
KAU DUDA AKU JANDA BAB 6
Bab 6
Sudah dua helai baju Hana sudahkan
jahitan karipap pada lehernya. Namun batang hidung Izham tidak juga muncul.
Baju tidur satin berwarna hitam itu dibetulkan di tubuh. Baju tidur pertama
yang dibeli untuk meraikan makna ikatan pernikahan mereka dahulu. Harap Izham
masih ingat pada kenangan romantis yang mereka ciptakan bersama sehingga
lahirnya Rizqin.
Bunyi
deruan enjin kereta buat Hana meluru ke pintu utama. Dia mahu menyambut Izham
dengan lirikan senyuman. Rambut lurus separas bahu itu dilurut perlahan. Tak
mahu nampak berselerak. Dia cium bau badan sendiri. Wangi. Dia puas hati kerana
losyen Nivea yang masih berbaki itu masih kuat baunya.
“Abang
dah balik”. Ujarnya lembut seraya tersenyum manja melihat wajah Izham di muka
pintu. Terkejut Izham kerana disambut isteri waktu pagi dinihari sebegini.
Izham
pandang atas bawah-atas bawah diri Sofia. Masih cantik seperti dulu. Cuma
badannya agak berisi sedikit. Tapi semua itu sudah membangkitkan rasa dalam
jiwanya. Teringat pada kulit putih melepak Sofia tadi.
Izham
rangkul tubuh Hana lalu dibawanya ke sofa panjang di ruang tamu. Hana hanya
menurut. Tak salah mengikut rentak Izham kerana sudah lama dia mengabaikan
keinginan Izham.
Baru
beberapa minit menyulam cinta, Hana menyerah kalah. Izham bangun dengan rasa
hampa.
“Hana
minta maaf, abang”. Hanya itu yang mampu Hana ucapkan. Menitis air matanya
kerana tidak berdaya. Izham berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Jelas ada rasa
marah tertera di wajahnya.
“ABANG
NAK KEMANA?”. Soal Hana sewaktu melihat Izham menuju ke arah pintu utama.
“Makan
dulu, bang?”. Pelawa Hana lagi. Namun Izham masih diam membisu. Tak akan sebab
perkara semalam, marah Izham masih berbekas.
“Makan
dulu, bang”. Ulang Hana lagi.
“Aku tak
ada selera”. Balas Izham lalu menutup pintu rumah. Kalau Izham marah, gaya
bahasa dia bercakap pun sudah lain. Hilang panggilan awak-saya sudah diganti
dengan aku-kau sahaja.
Hana mengeluh hampa. Rasa bersalah perihal semalam terbit
di jiwanya. Bukan dia tak mahu membahagiakan Izham. Tapi dia tidak berdaya.
Melahirkan Rizqin dan menguruskan rumahtangga membuatkan dia cepat letih. Stres
dan letih telah membunuh keinginannya. Hana ingin menjerit, meluahkan rasa
peritnya selama ini. Dia ingin bersuara meluahkan apa yang terbuku di hatinya
semenjak menjadi isteri Izham. Bukan ini yang dia mahu. Bukan ini yang didamba
pada lelaki idamannya sejak di bangku sekolah itu. Hana sentuh pipinya,
peristiwa pahit itu terlayar di depan mata.
“Pantang bagi aku, isteri yang pandai menjawab”. Suara
Izham naik tinggi.
“Hana cuma suarakan apa yang Hana rasa, abang”.
“Apa yang kau tak puas hati lagi, Hana?”. Mencerlung mata
Izham pandang Hana geram.
“Kau dah tinggal di Kuala Lumpur. Duduk di rumah dua
tingkat ni. Bersuamikan aku pengurus bank. Bersuamikan lelaki yang terpelajar.
Nak banding dengan kau, setakat SPM pun tak lulus. Apa lagi yang kau tak puas
hati?”. Tempik Izham. Geram sungguh rasa hatinya apabila Hana meninggi suara
tak puas hati dengan duit nafkah yang dihulur sebanyak RM200 sebulan itu.
“Bila mak abang minta sampai seribu sebulan, abang
ikutkan je. Tak pernah abang merungut. Hana ni isteri abang, RM200 tu tak cukup
nak berbelanja. Tak cukup untuk beli keperluan Hana. Tambah-tambah Hana dah
mengandung, bang”. Rayu Hana mohon simpati. Bukan Hana berdengki. Tetapi Izham
tidak adil dalam soal pemberian nafkah.
“Kau tu patut bersyukur. Mujur juga aku bagi duit. Kalau
aku tak bagi duit langsung, kau nak kata apa?. Kau tu tak bekerja. Buat apa nak
duit banyak-banyak. Kau tu duduk di rumah ja, makanlah apa yang ada. Tak perlu
nak bermewah-mewah. Masa di kampung pun kau hidup susah juga”.
“Tapi Hana ni isteri abang. Wajib abang bagi nafkah
secukupnya. Berdosa kalau abang tidak berlaku adil. Sanggup abang nak bersoal
jawab dengan ALLAH nanti”. Luah Hana geram. Kerja saja sebagai pengurus bank,
tapi bab kira-kira wang untuk nafkah isteri tak pandai pula.
“Pang!”. Satu tamparan keras hinggap di pipi Hana.
Mujur lagi tak sampai dia jatuh terjelepuk. Hampir juga
dia hilang imbangan untuk berdiri. Pecah tangis Hana kerana terkejut dengan
tamparan Izham. Sampai hati Izham sanggup mengangkat tangan dalam keadaan dia
sedang berbadan dua.
“Kalau kau tak nak sakit, kau jangan bagi aku marah!”.
Izham pergi meninggalkan Hana yang masih menangis kerana terkejut.
Sejak itu, Hana tak berani lagi melawan kata-kata Izham.
Tak berani untuk mempertahankan haknya. Biarlah dipendam saja rasa kecewa di
dalam sanubari. Berserah dan reda pada ketentuan Ilahi. Allah itu ada untuk
membalas setiap ketidakadilan dalam rumah tangganya itu.
KAU DUDA AKU JANDA BAB 5
Bab 5
Sofia
melirik teman sebelah yang tekun memandu. Sesekali dia memandang lelaki yang
menjadi kenalannya hari ini. Setelah penat berduet menyanyikan lagu cinta,
Sofia minta diri kerana hari sudah lewat benar.
“Tak
menyusahkan ke hantar I malam-malam macam ni?”. Sofia sekadar berbasa-basi.
“Taklah.
Kebetulan kita satu jalan kan, eloklah I hantar Cik Sofia balik”. Izham sengih.
Seronok kerana dapat menghantar wanita anggun malam ini.
Mana tahu, dengan pertolongan tidak seberapa akan memanjangkan lagi usia
perkenalan mereka. Tak mahu dia melepaskan peluang yang ada. Lagi pun tak salah
lelaki untuk menambahkan kenalan. Lelakikan sudah diberi kouta sampai empat.
Dia baru ada satu, tiga lagi masih kosong. Izham ketawa dalam hati. Nakal betul
akalnya berfikir sampai nak menambah kouta. Chill okey, berkawan biar seribu.
“Cik Sofia kerja dimana?”. Soalnya ingin tahu. Mana tahu
bila lapang, boleh ajak keluar lunch.
“Damansara Utama, Syarikat Astana. Secretary kat situ”.
Balas Sofia yakin.
“Hmm…boleh tak panggil I Sofi. Tak perlu cik kat depan tu. Baru mesra”.
Sambung Sofia lagi.
“Sofi…mesra.” Izham angkat kening. Tak ada hal. Mesra
lagi baik.
“Taklah jauh dengan tempat kerja I. Kalau ada masa, boleh
kita keluar lunch”. Sengaja Izham memasang jerat.
“Why not?. I anggap you dah ajak I keluar lunch, okey?”.
Balas Sofia ketawa. Entahlah, malam ini dia rasa seronok sangat. Hilang rasa
sunyi kerana sudah ada teman untuk berbicara. Mungkin tarikan magnet berlainan
jantina itu membuatkan hormon endorphin melonjak naik. Hilang rasa stress,
timbul rasa seronok di hati Sofia.
“You dah sampai kawasan rumah I, Izham?”. Kedengaran
suara Sofia berbaur hampa. Rasanya belum puas lagi dia berbicara dengan Izham,
jalan masuk ke kawasan rumahnya sudah kelihatan.
“Oh, ya ke?”. Izham melirik mata pada waze yang terpasang
di telefon bimbitnya. Seronok berbual sampai tidak sedar, dia hampir sampai ke
rumah Sofia. Tengok pada persekitaran kawasan rumah itu, buat Izham membuntang
matanya luas-luas. Mewah. Buat Izham terdetik di hati, kerja setiausaha sahaja
tapi mampu tinggal di rumah mewah sebegini. Ini Kuala Lumpur, bukan Alor Setar,
Kedah. Mahu harga rumah juta-juta di sini.
Izham yang kerja sebagai pengurus bank pun hanya mampu
tinggal di rumah teres dua tingkat sahaja.
Izham berhentikan keretanya apabila waze sudah berbunyi
menandakan dia sudah sampai di destinasi yang dituju.
“Ini rumahnya?”. Soal Izham pada Sofia.
Laju saja Sofia menganggguk. Memang rumahnya. Tapi rumah
Khalil yang sebetulnya. Kerja sebagai jurutera pelantar minyak membuatkan
Khalil mampu untuk memiliki rumah semewah ini. Apalah sangat setakat gaji 20 ke
30 ribu sebulan. Tapi dia juga yang merana kerana ditinggal sendirian tanpa
teman di sisi.
Izham turun dari kereta. Kemudian membuka pintu di
sebelah penumpang. Sengih Sofia kerana dilayan sebegitu. Kembang hatinya
seronok. Nampak Izham betul-betul gentleman.
“Tak nak jemput I masuk ke?”. Izham sekadar menduga.
Buntang mata Sofia terkejut. Tak akan dia nak ajak lelaki masuk rumah tengah-tengah
malam begini. Tambah-tambah statusnya sebagai isteri orang.
“Err…”. Kelu lidah Sofia. Izham ketawa. Suara garau Izham
kedengaran indah di telinga Sofia. Suara lelaki Izham buat Sofia rasa semacam.
“I gurau je. I tahu Sofi, dah lewat malamkan. Nanti tak
pasal kena tangkap khalwat terpaksa nikah free. I okey je”. Tambah Izham dengan
lirikan mata nakal. Sofia ketawa perlahan. Seronok pula mendengar gurauan
Izham. Rasanya sudah lama dia tidak mendengar Khalil bergurau nakal sebegini.
“Gatal”. Desis Sofia sebelum melangkah masuk. Lirikan
matanya yang menggoda menghantar isyarat pada Izham yang dia suka bergurau
nakal sebegitu.
“Isy…geramnya!”. Izham pegang dadanya.
Mata masih melihat kelibat Sofia sehingga hilang di balik
pintu pagar aluminium itu. Terbayang kulit putih melepak Sofia dan haruman rambut
Sofia yang menujah hidungnya sewaktu mereka berduet lagu cinta semasa
berkaraoke tadi. Semuanya membangkitkan satu rasa di dalam hatinya. Satu rasa
yang dia pernah ada pada Hana sewaktu mereka mula-mula bernikah dahulu. Rasa
manis yang hanya orang berumahtangga saja yang tahu.
KAU DUDA AKU JANDA BAB 4
Bab 4
Hana
meletakkan Rizqin di dalam katil bayi. Jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah
malam. Namun bayang Izham tidak juga kelihatan. Hana bangun lalu menuju ke
almari pakaian yang menyimpan bajunya. Dia melihat satu persatu baju yang ada.
Betul kata Izham, dia suka sangat berbaju kelawar 24 jam di rumah kerana baju
itu sahaja yang banyak menghuni almari empat pintu itu.
Hana
mencebik. Izham suka merungut, kompelin tak puas hati pada dia. Tapi Izham berkira
hendak hulurkan duit buat dia mencantikkan diri. Hanya sebab dia tidak bekerja
dan duduk di rumah sahaja, Izham rasa cukuplah sekadar memberi RM 200 buat
belanja sebulan. Dengan duit banyak itu, nak beli seluar dalam pun tak lepas.
Apatah lagi nak beli baju cantik-cantik dan alat mekap buat dirinya. Kalau dia
nak berjimat menjamu perut Izham dengan telur dan ikan bilis saja, nanti
dengarlah ungkitan Izham tentang duit belanja RM 200 itu. Mujur juga Rizqin
hanya minum susu badan, kalau Rizqin minum susu formula agaknya cukup tak duit
RM200 dibuat belanja sebulan.
Hana
memandang wajahnya yang terbias di meja solek itu. Nampak kelopak matanya yang
serupa mata panda itu kesan tidak tidur secukupnya. Kulit mukanya berminyak dan
kusam. Hana rasa sebak sangat. Kenapa hidupnya jadi teruk selepas bernikah
dengan Izham?. Betulkah Izham itu memang berniat untuk memperisterikannya atau
semuanya kerana terpaksa. Hana keliru sendiri. Teringat detik dirinya dipinang
Izham dulu.
“Siapa
tu, ayah?”. Soal Hana selepas melihat kenalan ayahnya minta diri untuk pulang.
“Mansor,
kawan ayah.” Balas Pak Shahdan. Hana cuba mengingat semula. Rasa macam pernah
dengar nama itu.
“Hana
ingat tak, kawan ayah masa kita duduk di kampung emak dulu?”. Hana senyum. Baru
dia teringat Mansor itu bapanya Izham, abang senior masa dia bersekolah
menengah dulu. Hana memang menaruh minat pada Izham. Tapi minat dari jauh.
Sebab Hana sedar diri yang dia tak sebijak Izham. Sekolah pun sekadar tamat
tingkatan 5 sahaja.
“Ingat
ayah. Kenapa dia datang?”. Soal Hana ingin tahu.
Rasanya sudah 5 tahun mereka terputus khabar berita
selepas berpindah tinggal di Jitra. Ayah mengambil keputusan untuk balik hidup
di kampung sendiri selepas emak meninggal dunia. Ayah bawa diri kerana sedar
dia sekadar menumpang duduk di tanah milik keluarga emak. Selepas emak
meninggal, ayah pindah duduk di Jitra. Tinggal di kampung sendiri lebih baik
dari hidup menumpang di tanah orang.
Hana pula sekadar duduk di rumah tolong menjaga makan
pakai ayah dan adik-adiknya seramai 3 orang itu. Kemudian mengambil upah
menjahit baju orang kampung kerana Hana memang minat dalam kerja menjahit ini.
“Dia datang merisik”. Balas Pak Shahdan. Hana tersengih.
Rasanya sudah lama ayah menduda. Mungkin ada yang datang untuk merisik ayah.
“Ayah setuju ke?”. Tanya Hana.
“Kalau ikut kehendak hati ayah, memang ayah setuju
sangat”.
“Kalau dah ayah kata macam tu, Hana tak ada bantahan.
Tapi, ayah kena tanya adik-adik dulu. Hana takut mereka tak boleh terima emak
tiri”. Kata Hana polos.
Pak Shahdan ketawa melihat reaksi wajah Hana yang serius
itu sambil menggeleng kepala kerana lucu dengan sikap Hana yang tidak tahu
hujung pangkal cerita.
“Buat apa merisik ayah, Hana?. Ayah dah tua. Rumah kata
pergi, kubur kata mari. Lebih baik ayah besarkan anak-anak dari menikah lain”.
Balas Pak Shahdan ketawa.
“Jadi, Pak Mansor tu datang merisik siapa?”. Soal Hana
ingin tahu.
“Dia datang merisik kamu untuk anaknya Izham yang kerja
manager bank di Kuala Lumpur tu”.
“Hah!”. Ternganga mulut Hana kerana terkejut.
Memang dia betul-betul sangat terkejut sekarang ini.
Tidak disangka lelaki yang diminati dalam diam itu, datang menyunting dirinya
untuk dibuat suri hidup. Hana pekup muka kerana malu. Tak dapat dibayangkan
hidup bersama dengan lelaki yang dicintai dalam diam itu.
Lamunan Hana terganggu apabila suara Rizqin merengek
kedengaran. Hana kembali duduk di sisi katil Rizqin seraya menepuk punggung
Rizqin perlahan. Rizqin kembali tidur apabila terasa selamat dengan tepukan
perlahan Hana. Setelah pasti Rizqin benar-benar tidur, Hana mengambil tuala.
Rasanya dia ingin berlama di dalam bilik mandi untuk menyental daki yang sudah
bertimbun di kulit mukanya. Malam ini dia mahu buktikan pada Izham yang dia
masih lagi cantik macam dulu.
Subscribe to:
Posts (Atom)