Monday, 19 August 2013

Mr.Hotter Guy Bab 20

Bab 20

Hati berdebar-debar. Mulut terkumat-kamit. Hati mula rasa tidak sedap. Kenapalah pagi-pagi begini aku menerima jelingan maut dari Puan Sri Khalida?. Otak mula berfikir yang tidak-tidak. Mula mencari di mana kesalahan yang telah aku buat sehingga begitu sekali caranya pandangan tajam Puan Sri Khalida padaku. Aku mencerna satu persatu perlakuan atau kata-kataku yang bisa membuatkan dia bertindak sebegitu. Tapi puas kufikir tak ada satupun perlakuan atau kata-kataku yang menyinggung perasaannya. Hailah…aku je yang perasan sendiri agaknya. Mana pernah aku berbicara walau sepatah perkataan pun dengan Puan Sri Khalida. Kalau bercakap pun tak pernah, bila masa pula kelakuanku menyinggung hatinya. Aku menarik nafas panjang. Penat otak dan hati berfikir yang tidak-tidak.

Pintu pejabat bos dibuka dari dalam. Kelibat wanita anggun itu muncul lagi. Pandangan matanya tetap sama macam tadi. Tatkala mata kami bertentang, dia tetap hadiahkan jelingan maut untukku. Terkebil-kebil aku menelan liur. Mata terus menunduk memandang lantai. Aku pura-pura sibuk mencari sesuatu, walau pun aku sendiri tak tahu apa yang aku cari.

Bunyi hentakan kasut makin dekat dengan aku. Serentak itu meja kerjaku diketuk perlahan. Spontan aku berhenti dari mencari sesuatu. Mata menghala ke arah empunya tubuh yang mengetuk mejaku ini.

“Hai…cari apa?. Sampai terperosok bawah meja ni?”. Soalnya. Aku tarik sengih. Cuba mengawal rasa malu.

“Cari pen…terjatuh tadi”. Bohongku. Serentak itu dia turut menunduk cuba membantuku. Terlopong aku. Memang cari bala nampaknya. Kalau tadi aku terima jelingan maut dari ibunya. Kalaulah adegan ini disaksikan oleh Puan Sri Khalida, alamat keras kejung aku di sini kerana menahan serangan mortar pula dari Puan Sri Khalida.

“Eh…buat apa Encik Luke…tak payah. Saya dah jumpa pen tu!”. Cepat-cepat aku menolak bantuannya. Tangan segera kugapai ke arah meja mengambil pen yang sememangnya terdampar di situ. Mujurlah Encik Luqman Hakimi tidak perasaan. Segera dia bangun setelah pen itu aku tunjukkan ke arah mukanya. Dia membetulkan baju kot yang tersemat ditubuhnya. Mungkin sudah sedikit renyuk kerana menunduk tadi.

“Kenapa ye Puan Sri datang sini?. Tak pernah nampak pun sebelum ni”. Waduh…dengan beraninya aku boleh menyoal soalan itu. Entah kenapa mulut ini gatal sahaja hendak bertanya soalan itu. Sebenarnya hati sudah riuh bergendang tak sabar hendak tahu tujuan mem besar itu datang ke sini. Encik Luqman Hakimi hanya senyum. Kemudian dia menggeleng.

“Nothing. Saja datang buat spot check. Nak tengok pekerja kat sini buat kerja ke makan gaji buta”. Jawabnya bersahaja. Aku menarik nafas lega. Nasib baik tadi memang aku buat kerja betul-betul. Tapikan kenapa eh…Puan Sri tengok aku serupa nak telan? Sudah!. Otak mula membuat analogi yang bukan-bukan pula. Sengaja hendak mendera perasaanku.

“Err…Puan Sri mana?” Soalku bila kelibatnya sudah tiada lagi di depan mata.

“Dah balik masa awak tengah sibuk menonggeng kat bawah meja cari pen”. Balasnya. Aku sudah menunduk bila dengar perkataan menonggeng yang keluar dari dua ulas bibirnya. Malunya. Agaknya lama mana dia mengintai aku menonggeng tadi di bawah meja. Sempat pula mata menilik baju kurung yang melekat di tubuh. Nasib baik rona kelam. Tak adalah nampak seksi kalau aku menonggeng tadi. Hmm…kerana sibuk nak menyelamatkan diri dari jelingan mata Puan Sri Khalida. Aku pula yang tak selamat kerana diintai oleh anak terunanya. Memang cari bala!.

“Boleh masuk bilik saya sekejap?. Ada hal nak bincang”. Arahnya. Aku terus mencapai diari lalu mengekor langkahnya yang panjang itu menuju ke biliknya. Muka masih menunduk. Yang kuperhati hanya tapak kakinya yang melangkah ke hadapan. Otak pula masih ligat berfikir tentang reaksi Puan Sri Khalida tadi. Gedebuk…tanpa disangka aku sudah melanggar batang tubuhnya yang berhenti tiba-tiba. Bukan setakat langgar lagi dah tapi dah terpeluk pun. Adus…malunya bukan kepalang. Kenapalah hari ini serba tak kena jadinya?. Hari malang sedunia kut bagiku.

Dia toleh tengok aku lalu dia senyum penuh menggoda. “Kalau nak peluk saya pun, jangan peluk curi. Minta kebenaran. Dengan rela hati saya serah diri”.

Weilah…aku tak teringin pun nak peluk dia. Tak sengaja. Ni semua salah otak. Asyik fikir pasal Puan Sri Khalida, aku dah terbuat adegan yang tak ingin dilihat. Nasib baik staf lain tak perasaan kerana bilik Encik Luqman Hakimi yang agak tersorok ini. Kalau tidak, mahu berbelas-belas inci rasanya tebal kulit muka aku kerana menahan malu.

“Maaf bos. Saya tak sengaja”.

“Tak apa. Saya rela dipeluk awak. Sedap!”. Dia kenyit mata pada aku. Kalau tak fikirkan dia majikan tempat aku mencari rezeki ini dah lama aku cucuk biji matanya yang tak habis mengenyit itu. Aku tarik muka. Buat semasam mungkin. Tanda aku sedang marah.

“Jangan marah. Saya gurau saja di pagi yang indah ini”. Katanya lagi sambil mengangkat kening. Aku hanya diam. Malas nak panjangkan cerita.

“Ada apa yang nak dibincangkan bos?”. Aku soal serius tatkala diri sudah berada di dalam biliknya.

“Minggu depan, awak kena teman saya ke Penang. Ada mesyuarat dengan klien di sana”.

“Kita berdua je?”.

“Yup…tak akan saya nak bawa satu opis kut. Dah awak setiausaha saya. Awaklah yang kena ikut. Ini termasuk dalam perlembagaan jawatan. Awak tahu?”. Dia sudah bernada serius. Kalau dah sampai menyebut perlembagaan jawatan, memang aku tak dapat nak elak. Aku yang menurut perintah.

“Baik bos”.

“Nanti awak tempah tiket kapal terbang. Kita akan menginap di Hotel Parkroyal, Batu Feringgi”. Aku angguk lagi. Turut perintah.


LUQMAN HAKIMI tak habis lagi membuang senyum. Cik adik sayang baru saja melangkah keluar dari biliknya. Mata tak habis merenung lenggok gadis itu menghilang dari balik pintu. Adegan menonggeng yang sedap dilihat tadi terlayar semula di depan mata. Kalau dah menonggeng pun boleh menggegarkan nalurinya. Agaknya kalau kaedah ketiga itu berjaya dipraktikkan alamat mandi tak basah tidur tak kenyanglah jadinya.

“Nurin…Nurin…kalau tak disebabkan kau tu tak sekufu dengan aku. Kau memang layak jadi calon menantu mama. Nak buat macamana?. Tak memenuhi kriteria calon menantu mama. Cantik dan bijak dah. Kaya je yang belum”. Dia mengomel lagi. Kemudian dia mengambil fail peribadi milik cik setiausahanya itu. Dia belek pula gambar Cik Nurin sayang yang berukuran pasport itu. Dia tenung dan renung setiap inci wajah cik Nurin sayang. Cantik!. Desisnya dalam hati. Spontan jarinya menyinggah ke dua ulas bibir yang comel itu. Diluar kawalan bibirnya sudah bergerak-gerak. Hmm…andai dua bibir mereka bertaut, tak dapat dibayangkan. Dia terus tutup fail. Hati sudah galak bergetar. Tinggi sungguh imaginasinya untuk menakluk cik adik sayang. Dah serupa lelaki 18 sx pun ada.

‘Luke…dah fikir masak-masak?. Nak juga jalankan misi mengorat cik adik?’. Hati sudah menyoal.

‘Mestilah!’.

‘Kau tak takut kalau dia repot polis dengan apa yang kau nak buat nanti?’.

‘Ish…Ini Luqman Hakimi okay. Anak konglomerat berjaya. Apa bukti yang dia nak dakwa aku bagai. Dia tu miskin. Perasaan malu lebih penting dari maruah. Kalau setakat 2, 3 juta aku boleh bayarlah nak tutup mulut dia’. Bangga, dia menjawab pada soalan yang dikemukakan oleh hati.

‘Kau jangan yakin sangat Luke. Takut nanti kau tu yang masuk lokap nanti. Kau tak tahu cik adik sayang tu macamana orangnya. Jangan fikir semua orang miskin itu bodoh. Jangan fikir duit boleh beli segalanya’. Hati menasihat pula.

‘Diamlah. Jangan nak nasihatkan aku. Syuhh…syuhhh…syuhh…’. Dia sudah mengusir rasa was-was yang mula nak bertapak dalam diri. Kalau ikut kata hati, rosaklah program nanti. Alamat dia bakal kalah pada cabaran Andrea. Huh…pantang betul kalau kalah pada Andrea si tepung gomak itu.


“APASAL monyok je ni?”. Shira menyoalku saat kami makan bersama di Restoran Umi ini.

“Entahlah..aku rasa tak sedap hati je. Pagi tadi Puan Sri datang ofis. Tengok dan pandang aku macam nak makan. Seriau”. Jawabku dengan mimik muka yang merisaukan.

“Hmm…tak lainlah tu. Mesti nak warning kau jangan main mata dengan anak teruna dia”. Balas Shira yakin.

“Choilah kau ni!. Ada pulak ke situ. Aku dengan Encik Luke tu macam langit dengan bumi tau. Jangan kata nak main mata. Nak pandang pun aku tak ingin”. Galak aku membidas.

“Ala…cakap bukan main lagi. Tak ingin konon. Entah…hati tu dah terkinja-kinja seronok”. Aku tarik muka. Geram dengan kata-kata Shira. Tapi minah tu bukan nak minta maaf pada aku yang dah kecil hati ini. Selamba badak saja dia sedut air sirap itu tanpa ada rasa bersalah.

“Minggu depan aku outstation. Pergi Penang dengan bos”. Terangku acuh tak acuh. Sebenarnya malas nak beritahu Shira. Kecil hati masih lagi terasa. Tapi memikirkan kami tinggal serumah. Memang wajib Shira kena ambil tahu.

“Aku harap kau jaga dirilah no. Jangan sampai nanti dari tak ingin nak main mata dengan bos. Melarat sampai ke bulan bintang pulak. Kau tu luaran je nampak keras hati. Tapi dalaman lembik macam biskut rendam air kopi”.

“Amboi kau!...analogi bagai”.

“Aku tu sayang sangat kat kau. Aku nak kau jaga diri. Aku tahu kau memang tak ada hati dengan bos. Walau aku tak berapa nak percaya sangat. Tapi di mana kita berada, diri kena jaga”. Syahdu pula dengar pesanan ringkas dari Shira. Terus lembik. Tak jadi nak terus-terusan kecil hati dengan Shira. Dialah sahabat aku dunia akhirat. Cewah!.


Mr. Hotter Guy Bab 19

Bab 19
“Saya tak buta lagi Berahim. Saya pasti dengan apa yang saya nampak?”. Luah Tan Sri Hisyam lemah. Dia cuba untuk membangunkan tubuhnya bersandar di tepi katil. Berahim, pekerja dan teman yang setia cepat-cepat mengambil 2 biji bantal lalu diletakkan di belakang tubuh Tan Sri Hisyam. Biar sahabat merangkap bos besarnya itu berasa selesa duduk bersandar sebegitu.

“Tapi…Tan Sri. Saya musykil. Selama ni bukan kubur Zaimah yang kita lawati tiap-tiap tahun. Habis tu macamana Tan Sri boleh yakin yang itu Zaimah?”. Balas Berahim agak kurang percaya.

“Entah…saya keliru Berahim. Tapi mata saya tak buta. Mana tahu kubur Zaimah tu satu pembohongan semata-mata”. Berahim sudah tergeleng kepala. Nampaknya Tan Sri Hisyam ini sudah tahap kronik merapunya. Tak mungkin selama bertahun kubur yang mereka lawati tiap-tiap hari raya menjelma hanya satu pembohongan. Namun dia tak sampai hati hendak menuturkan begitu pada majikannya kerana keadaan Tan Sri Hisyam yang belum sembuh lagi. Walaupun dia tahu Tan Sri Hisyam tak akan berkecil hati andai dia menuturkan sebegitu. Sudah lama mereka bersahabat, semenjak Berjaya Corporations ini mula bertatih lagi.  Tan Sri Hisyam bukan seorang yang mudah terasa apatah lagi dengan sahabat baik yang bersusah payah selama ini.

“Awak dah siasat latar belakang Nurin?”. Tiba-tiba dia menyoal pula mengenai Nurin, gadis yang menjadi setiausaha anaknya itu.

“Sudah..tan sri”.

“Apa hasilnya?”

“Nurin tu anak yatim. Tinggal di Kedah dengan ibu dan datuknya”.

“Siapa nama ibu dan datuknya?”. Soalnya lagi tidak sabar.

“Zaimah, datuknya Yunus”. Mata Tan Sri Hisyam sudah membulat kerana terkejut. Nama yang begitu serupa. Hatinya teruja.

“Kamu tahu alamatnya di Kedah?”. Soalnya lagi pada Berahim yang jujur menjawab. Seolah satu sesi soal siasat sedang diadakan kala ini.

Berahim tidak menjawab namun dia membalas dengan anggukan.

“Bagus. Saya tak sabar nak tahu. Biar kita sama-sama pergi menyiasat”. Tan Sri Hisyam sudah berkobar-kobar semangatnya. Rasa sakit yang menyinggah di badan sudah tiada terasa lagi. Cepat benar dia ingin bangun dari perbaringannya. Tak sedar tangan yang masih digrip dengan wayar yang berselirat.

“Tan Sri…sabar…tan sri tak sihat lagi. Nanti apa pula kata doktor?”. Berahim sudah menegah. Tangannya memegang bahu Tan Sri Hisyam cuba menghalang lelaki tua itu dari bangun mendadak.

“Aku dah sihat, Berahim. Aku tak sabar nak tahu. Dahlama aku berteka-teki sendiri. Kematian Zaimah satu kesangsian pada aku”. Balas Tan Sri Hisyam yang sudah mula meninggi suara.

“Kalau iya pun. Tan Sri kena sabar. Tunggu sampai betul-betul sembuh. Lepas tu kita sama-sama pergi menyiasat”. Berahim  berlembut. Cuba memujuk Tan Sri Hisyam agar tidak terburu-buru. Niat Tan Sri Hisyam mati mendadak. Dia beristigfar beberapa kali. Tersedar yang dia terlalu terburu-buru mengikut kata hati. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Ada kegusaran di wajahnya. Zaimah!. Diulang-ulang sebut nama itu dalam hatinya.



PUAN Sri Khalida sudah mencerlung matanya memerhati gadis molek yang sedang tekun menaip sesuatu di komputer  pejabat. Habis ditilik gadis itu dari atas ke bawah. Kemudian dia mengetap bibirnya. Rasa marah cepat saja bertandang dalam hatinya kala ini. Setakat gadis kampung ada hati nak menawan anak bujangnya. Dia berjalan pantas ke arah gadis itu. Mata sudah menyinggah ke batang tubuh gadis itu yang tiba-tiba mengangkat muka memandang ke arahnya. Gadis itu senyum namun dia membalas dengan jelingan yang maha tajam. Terkedu sekejap gadis itu. Tergamam dengan tindakannya. Kemudian dia terus menghayun langkah masuk ke bilik anak bujangnya itu dengan perasaan marah.

Luqman Hakimi tersentak apabila pintu biliknya ditolak dengan kasar dari luar. Pandangannya matanya dihala terus kepada pemilik tubuh yang berdiri di depannya kala ini. Mata sudah membulat terkejut menerima kehadiran tetamu yang tidak disangka-sangka itu.

“Mama!”. Dia separuh menjerit apabila melihat Puan Sri Khalida sudah menarik kerusi lalu duduk di hadapannya. Kedua-dua tangan disilangkan memeluk tubuh. Wajah sudah masam mencuka. Luqman Hakimi mengerut dahi. Pelik pula melihat tingkah mamanya yang tiba-tiba datang mendadak tanpa memberitahu terlebih dahulu.

“Ada apa-apa yang tak kena dengan abah ke?”. Dia pantas menyoal. Puan Sri Khalida sudah membulat matanya. Marah. Balik-balik orang tua tak sedar dek untung itu yang ditanya anak kesayangannya ini. Bukan hendak tanya khabarnya yang tercongok di depan mata. Dia menarik nafas. Kasar .

“Mama yang kat depan mata tak ditanya sihat ke tak? Sibuk pula soal pasal orang tua tu.”. Dengusnya. Luqman Hakimi sekadar tersenyum. Kemudian dia menapak memeluk tubuh mamanya.

“Mama dah kat depan mata Luke. Sihat lagi. Buat apa Luke nak tanya. Luke agak je mama datang pasal abah ke?. Mana tahu?. Mama jarang nak datang sini kalau tak ada hal yang penting”. Balas Luqman Hakimi bersahaja. Kemudian dia beralih duduk di sisi meja pula.

“Memang penting. Mama nak Luke pecat secretary Luke tu”. Puan Sri Khalida sudah mengeluarkan arahan tanpa selindung lagi. Terjongket kening Luqman Hakimi mendengar arahan mamanya secara tiba-tiba itu.

“Kenapa pula?. Kerja dia okey. Tip top. Tak pernah buat kesalahan pun. Apasal Luke nak kena pecat dia”. Luqman Hakimi mula membantah.

“Luke jangan ingat mama tak tahu pasal agenda bodoh Luke tu. Pasal pertaruhan Luke dengan Andrea. Mama nak Luke tamatkan je”. Luqman Hakimi sudah tertawa sinis.

‘Andrea!...Andrea…nampaknya kau takut kalah yang kau gunakan mama aku pula.’ Dia bermonolog pula.

“Deal is deal, mama. Andrea yang mulakan. Luke nak teruskan permainan. Siapa suruh dia berani nak mencabar Luke?. Biar dia rasa. Apahal pula sampai mama nak masuk campur urusan Luke.”

“Mama dah buat keputusan muktamad. Andrea adalah bakal isteri Luke. Tak ada orang lain lagi”. Tegas Puan Sri Khalida.

“Mama ingat Luke budak-budak ke?. Ni soal hidup Luke. Biar Luke yang tentukan”.

“Mama tak peduli. Luke anak mama sorang. Urusan hidup Luke biar mama yang tentukan”. Puan Sri Khalida sudah menggunakan kuasa vetonya pula. Luqman Hakimi menarik nafas. Sesak bila mama terlalu mengongkong kehidupannya. Kalau dibangkang, dia bakal jadi anak derhaka pula. Oh…sejahat-jahat dia, tak mahu dia digelar anak derhaka.

“Mama…Luke anak mama sorang. Luke tahu mama sayangkan Luke sesangat. Luke tak fikir Andrea tu adalah pilihan terbaik buat Luke. Belum apa-apa, mama dah terikut dengan kehendaknya. Macamana kalau dia jadi isteri Luke. Kalau dia cuba kongkong hidup Luke. Kalau dia pula yang hendak memisahkan Luke dengan mama”. Luqman Hakimi  cuba berdiplomasi pula. Dia amat berharap agar mamanya terkesan dengan apa yang dikatakannya itu.

“Tak mungkin Luke. Tak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi mama termasuk abah Luke sendiri”. Puan Sri Khalida ucap yakin.

“Habis tu, kenapa mama nak suruh Luke pecat secretary Luke kalau Andrea tak boleh pengaruhi mama. Patutnya mama fikir secara rasional. Jangan buat tindakan melulu”. Luqman Hakimi tutur lembut. Dia memegang tangan Puan Sri Khalida lalu mengusap lembut. Cuba mententeramkan emosi mamanya. Puan Sri Khalida mengeluh. Memang Andrea bukan menantu pilihan buat Luqman Hakimi. Namun dia sudah terikat dengan janji. Sudah terikat dengan budi Datin Shima. Budi harus dibalas.

“Nope…Luke mesti pecat dia. That my decision”. Luqman Hakimi menggeleng. Puan Sri Khalida memang diktator. Tiada siapa yang dapat mengubah pendiriannya. Kalau hitam katanya, maka hitamlah yang harus terjadi.

“Mama…” Luqman Hakimi bersuara lirih. Sebenarnya dia tak mahu hendak memecat Nurin Kamila. Hanya itu saja satu-satunya jalan untuk dia lari dari Andrea. Dia mengetap bibir. Sakit hati bila memikirkan Andrea sudah pandai memanipulasi mamanya pula.

“Kalau itulah permintaan mama, Luke akan ikut. Tapi selepas 6 bulan. Itupun kalau secretary Luke dah disahkan jawatan”. Balas Luqman Hakimi lemah. Puan Sri Khalida mengerut dahi pula.

“Kenapa sampai kena tunggu selama 6 bulan. Tidak bolehkan dipecat serta merta?.” Puan Sri Khalida menyoal tidak puas hati.

“Polisi syarikat ma…kalau mama nak tahu. Dulu pun memang Luke nak pecat dia. Tapi bila Puan Liza dah terangkan polisi syarikat. Luke sendiri tak boleh nak buat apa. Dia hanya boleh dipecat atau dinasihatkan meletak jawatan selepas disahkan jawatan atau sekurang-kurangnya 6 bulan berkhidmat di syarikat ini. Baru 2 bulan lebih dia kerja ma…sah jawatan pun belum lagi” Balas Luqman Hakimi kelegaan. Mujurlah polisi syarikat yang ditetapkan oleh Chairman Berjaya Corporations itu benar-benar menyelamatkan keadaan.

“Ala…semua tu boleh diubah”. Ucap Puan Sri Khalida yakin.

“Kalau mama nak ubah polisi. Mama bincang dengan abah dan lembaga syarikat. Boleh?”. Luqman Hakimi mencabar pula. Dalam hati dia bersorak kegirangan. Tak mungkin abahnya hendak mengubah polisi. Hal syarikat memang tiada siapa yang berani hendak masuk campur dan memandai mengubah apa yang telah ditetapkan.

Akhirnya Puan Sri Khalida menyandar tubuhnya di kerusi tetamu itu. Dia memejam mata. Susahnya hendak memecat secretary itu kalau dah terikat dengan polisi syarikat. Kalau soal syarikat dia memang tak berani hendak bertekak dengan Tan Sri Hisyam. Dia memang tiada hak untuk masuk campur kerana syer Tan Sri Hisyam lebih 60% berbanding miliknya dan Luqman Hakimi sendiri. Dia mengeluh.


Friday, 5 July 2013

Mr.Hotter Guy Bab 18

Bab 18


“Kau balik dululah. Aku kerja overtime hari ini. Nak prepare fail untuk mesyuarat esok”. Terang Shira tatkala telefon di meja kerjaku jawab.

“Kau nak pesan apa-apa tak?Kutla nanti lewat balik tak sempat makan?”. Soalku pula.

“Beli burger special dua. Dah gianlah. Lama tak pekena burger Abang Zack”

“Okey…nanti aku beli. Aku balik dulu ye”. Balasku sebelum ganggang telefon aku letak.


Aku menuruni perlahan-lahan tangga bangunan Berjaya Corporations sebelum kaki melangkah menuju ke perhentian bas yang tak sampai 10 meter dari bangunan pejabat. Seperti selalu perhentian bas itu memang ramai orang menunggu. Ada yang menunggu bas termasuk aku. Ada juga yang menunggu orang datang menjemput. Aku duduk di kerusi batu yang kosong. Sesekali mata meninjau kalau bas yang dinanti sudah sampai di tempat aku menunggu  ini. Sesekali aku melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul 6 petang. Nasib baik aku dah selesai solat Asar seperti selalu kerana biasanya bila sampai di rumah memang waktu Asar sudah di hujung waktu.

Sebuah kereta Ford Fiesta berwarna merah berhenti di depan aku. Bunyi hon yang ditekan membuatkan aku bingkas berdiri. Perlahan-lahan cermin kereta itu diturunkan.

“You!”. Suara perempuan memanggilku dengan kuat membuatkan aku menjengah ke arah pemandu kereta itu.

“You!”. Dia ulang lagi sambil jari sudah menunding ke arahku. Aku tenung wajah perempuan itu. Macam pernah aku lihat. Oh…si tepung gomak!. Aku kembali ingat pada wajah perempuan yang mula-mula aku jumpa masa di kedai cenderamata Heart itu.

“You…masuk. I ada benda nak cakap”. Dia sudah mengarah pula. Asalnya aku nak buat tak peduli. Tapi memandangkan bas yang dinanti para penunggu di perhentian bas ini sudah kalut membunyikan hon, nak tak nak aku terpaksa melangkah masuk ke dalam perut kereta si tepung gomak itu.

“I ada benda nak cakap dengan you. Mmmm…siapa nama you eh?. I tak tahulah”. Dia beramah pula denganku.

“Nurin Kamila Hisyam”. Balasku.

“I Andrea Dato’ Zakri”. Dia hulur tangan untuk berjabat denganku. Pelik pula aku rasa. Kenapalah si tepung gomak ini ramah semacam saja?. Aku sambut juga huluran salamnya. Yelah…dah orang nak berbaik. Buat apa aku nak mencari musuh.

“Kita singgah di mana-mana sekejap. Ada perkara I nak bincang?. Tak sesuai nak bincang dalam kereta ni”. Dia putus begitu. Aku hanya mengangkat bahu. Setuju dengan kehendaknya. Walau hati rasa walang. Entah apalah perkara yang dibincangkan. Aku tetap ikut permintaannya. Lagipun badan tengah penat selepas balik kerja. Jadi aku malas nak berfikir banyak. Ikut dan dengar sajalah apa yang nak dibincangkan itu.

Akhirnya kami berhenti singgah di Tutty Fruity yang terdapat di Bangsar ini. Selepas memilih minuman yang kami hendak, aku mengekor langkah Cik Andrea ke tempat yang agak privacy sedikit. Lega tekakku saat yogurt itu singgah di kerongkong. Hmm…sedapnya tak terkata.

“Sebenarnya apa hubungannya you dengan Luke?”. Soalan pertama yang keluar dari mulut Cik Andrea buat rasa nak  aku tersedak yogurt. Benar-benar terkejut.

“Bos dan pekerja”. Aku jawab yakin walau masih terkejut lagi.

“Betul?”. Dia tanya lagi seolah tak percaya. Aku angguk mengiyakan kata-kataku. Memang betullah aku kan setiausahanya. Setakat itu sajalah hubungan kami.

“Sebenarnya I dan Luke akan bertunang tak lama lagi. Kami dah lama bercinta”.

“Jadi?. Apa kena mengena dengan saya”. Soalku pula.

“Luke dah tak macam dulu. Dia dah berubah”. Cik Andrea sudah bersuara lirih.

“Maksud cik?”.

“I rasa dia sukakan you!”. Kali ini aku betul-betul tersedak. Terbatuk-batuk aku sehingga yogurt yang kutelan sudah terkeluar melalui hidung. Pedih, ALLAH saja yang tahu. Cepat-cepat aku mengambil tisu lalu aku lap air hidung.

“Cik Andrea ni buat lawak ke?”. Aku terkekek ketawa pula. Memang lawak sungguh. Tak akanlah si hotter guy tu boleh ada hati dengan gadis kampung macam aku ni!. Cik Andrea yang tip top ni tak akan boleh kalah dengan aku.

“Sebenarnya salah I. Semuanya salah I.” Aku kerut dahi pula bila Cik Andrea mula menyalahkan dirinya.

“Saya tak faham”.

“ I cabar Luke supaya goda you. Pikat you sampai melutut dikakinya. Pikat you sampai berjaya. I bagi tempoh 6 bulan pada Luke untuk pikat you”. Aku terlopong mendengar apa yang Cik Andrea cakap. Hailah…kenapalah aku terlibat sama dalam permainan ini. Jadinya selama ini bos baik dengan aku cuma pura-pura. Berlakon?. Isy…susah nak percaya. Hatiku berbolak balik pula.

“Cik Andrea susah saya nak percaya”. Ucapku. Dengan apa yang berlaku petang tadi memang buat aku susah nak percaya. Bos betul-betul ikhlas layan aku. Betul-betul baik dengan aku. Kalau tidak buat apa dia nak menitis air mata bagai jikalau dia cuma berlakon. Mana ada orang lelaki senang-senang nak menitiskan airmata tanpa alasan yang logik.

“Cik Andrea percayalah pada saya…hubungan saya atas dasar kerja semata-mata. Saya tahu batas saya. Tak mungkin pipit nak terbang sama enggang. Cik Andrea tak perlu risau. Kalau betul bos sukakan saya, tak semestinya saya suka pada dia.” Balasku yakin. Memang aku cari pasal kalau sukakan bos. Tak nak aku lukakan hati emak. Awal-awal lagi mak dah warning aku cukup-cukup.

Cik Andrea aku lihat tersenyum kelegaan.

“Terima kasih, Nurin”. Dia pegang tangan aku sambil tersenyum. Aku rasa terharu pulak. Tak sangka si tepung gomak ini tak adalah sombong sangat. Baik saja.

“Lepas ni I hantar you balik”.

“Eh…tak perlulah. Hantar saya kat stesen LRT Bangsar pun cukup. Saya naik LRT je. Lagipun dekat dah dengan rumah saya”. Balasku. Cik Andrea tidak membalas. Barangkali dia setuju dengan permintaanku.



ANDREA menyanyi-nyanyi kecil saat kaki melangkah masuk ke dalam banglo bertingkat dua itu. Datin Shima yang sedang asyik melihat sinetron pada petang itu pelik melihat tingkah anak kesayangannya itu.

“Happy nampak?”. Tegurnya. Andrea yang asalnya hendak menuju ke bilik sudah melencong ke arah mamanya. Seraya dia duduk di sisi Datin Shima sambil memeluk mesra tubuh gempal mamanya.

“Drea…seronok sangat”. Ucapnya. Datin Shima pandang wajah Andrea sambil kerut dahi.

“Kenapa?”

“Guess?. Siapa yang Drea jumpa tadi”.

“Ala…cakap jelah. Malas mama nak teka-teka”. Datin Shima cubit lembut pipi mulus anaknya.

“Nurin…secretary Luke”.

“What?”. Datin Shima soal terkejut.

“Yup”. Andrea mengangguk laju.

“Cuba cerita. Tak sabar mama nak tahu. Apa yang menariknya?”

“Tak lambat Luke akan kalah juga mama. Luke tu yang bodoh. Terhegeh-hegeh nak mengorat mantan salesgirl tu. Rupanya  dia sedikit pun tak ada hati. Katanya kalau Luke suka kat dia tak semestinya dia akan suka Luke. Dia cakap lagi. Drea tak perlu risau. Dia tak akan ada hati pada Luke. Dia tahu batasnya sebagai pekerja”. Terang Andrea ceria. Datin Shima menarik nafas kelegaan. Namun dalam leganya timbul juga rasa cuak.

“Drea jangan yakin sangat. Memanglah dia cakap macam tu. Tapi hati perempuan Drea. Macam kerak nasi. Lama-lama direndam dengan air. Akhirnya lembut juga”.

“Isy..mama ni. Bukan nak bagi Drea happy sikit. Ni menambah yang bukan-bukan pula”. Andrea sudah mula rasa was-was.


“Tak apa Drea. Sekurang-kurangnya Drea dah cuba. Macamana pun mama tetap nak bagitahu Puan Sri. Itu lebih selamat”. Balas Datin Shima sambil menggosok perlahan tangan Andrea. Dia berharap sangat Andrea akan jadi milik Luqman Hakimi akhirnya. Sudah lama dia memasang impian hendak berbesan dengan Puan Sri Khalida. Segala susah payahnya sama-sama bersekongkol dengan rancangan jahat Puan Sri Khalida harus dibalas. Andrea dan Luqman Hakimi harus bersatu.Tekadnya dalam hati.

Mr.Hotter Guy Bab 17

Bab 17

            “Kau nak ambillah”. Aku sudah meletakkan kotak baldu biru itu di depan mata Shira.  Terbelalak biji mata minah itu tatkala dia melihat isi dalamnya.

            “Wei…cantik ni. Gilalah kalau kau tak nak”. Shira tengok aku dengan wajah yang tak percaya. Aku buat muka selamba sambil sedut sirap limau itu berkali-kali.

            “Memang aku gila. Sebab tu aku bagi hadiah mahal ni kat kau”. Balasku serius.

            “Ish…seram aku. Baru aku tahu rupanya bff aku ni gila orangnya”. Shira sudah ketawa. Ishy…aku ni yang tengah marah berapi pasal kes pagi tadi belum lagi hilang marahnya. Makcik depan mata ini buat lawak seposen pulak.

            “Wei..makcik…ada tak orang gila mengaku yang dia tu gila?”. Marahku pada Shira yang tersengih-sengih menahan tawa.

            “Ada…kaulah!”. Dia menjawab. Seraya itu ketamku sudah mencubit pinggangnya. Terjerit kecil makcik itu menahan sakit. Tak adalah sakit mana pun. Sengaja makcik tu suka buat sound effect melebih. Semua mata yang berada di Restoran Umi ini mengalih pandang pada kami. Aku pula buat muka selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Shira pula sudah tersenyum-senyum sambil terangguk-angguk melihat semua orang kononnya cuba menutup rasa malu. Memanglah dia patut malu pasal tetiba saja dia menjerit seperti orang gila. Sekarang siapa yang gila?.

            “Apasal yang kau tak nak ni?. Benda mahal tu. Kalau akulah, hmm…kecik tapak tangan nyiru aku tadahkan”. Shira masih lagi dengan senyumnya.

            “Sebab dia paksa aku suruh terima. Ada ke suka-suka hati mak bapak dia pegang tangan aku. Isy…sakit hati tahu tak?”. Aku sudah terjegil biji mata kerana menahan marah. Shira hanya berwajah selamba. Tiada reaksi terkejut atau marah pada riak mukanya. Aku yang melebih-lebih tidak dapat menahan emosi.

            “Ala…kau sendiri yang cari pasal. Kau kau terima awal-awal tak adalah bos kita nak ambil kesempatan. Kau tu yang sebenarnya suka sangat dia ambil kesempatankan?. Cakap jelah kau dah mula syok kat dia. Kalau tidak tak adalah kau tolak lamaran ‘Aiman tak kisah’ tu kan? Betul tak aku teka?”. Shira selamba saja perli aku dengan ayat pedasnya.

            “Err…er…”Tergagap-gagap aku hendak membalas kata-kata Shira.

            “Apasal tak jawab. Selalu loyar buruk ni ada je idea nak berbalas kata dengan aku. Betulkan apa yang aku cakap”. Akhirnya aku pejam mata. Tak tahu nak balas apa. Rasa nak marah saja pada diri sendiri kerana terkulat-kulat mencari idea hendak menjawab tekaan Shira itu.

            “Sudahlah Nurin. Jomlah kita masuk pejabat. Masa rehat pun dah tinggal hujung-hujung dah ni. Nanti tercari-cari pula si hotter guy tu. Aku tahulah Nurin. Tak payah kau nak berdrama dengan aku. Konon tak suka, tapi dalam hati hanya ALLAH saja yang tahu. Tak payah poyolah sangat. Nak ambik balik hadiah kau ni. Aku tak nak!”. Shira letak kembali kotak baldu biru itu dalam telapak tanganku. Nak kata apa lagi. Memang aku dah mati kutu sekarang ni. Penat dah otak kerah idea nak berbalas kata dengan Shira. Akhirnya aku sendiri yang kalah. Nak tak hendak aku mengekor saja langkah Shira. Hmm…dalam sejarah hari ini. Boleh pula Cik Nurin Kamila Hisyam kelu lidah nak berdebat dengan minah sengal macam Shira tu.



            “NURIN…masuk bilik saya sekejap”. Baru saja aku nak melabuhkan punggung di kerusi, suara di intercom sudah berbunyi. Segera aku capai diari hendak mencatat apa yang perlu. Dalam hati macam-macam doa aku baca, minta diri dilindungi dari mamat kerek yang suka ambil kesempatan itu.

            “Ada apa bos?”. Soal aku. Dia angkat muka renung aku dalam-dalam. Berdebar-debar pula rasa hati bila dia tidak bersuara hanya panahan matanya saja merenung aku. Isy..ni yang mak tak suka…main tenung-tenung, renung-renung ni!. Hati sempat lagi bermelodrama.

            “Pasal pagi tadi. Saya minta maaf. Entahlah saya pun tak tahu apa yang mengganggu fikiran saya”.

Ceh…rasa nak marah pun ada!. Tak habis-habis minta maaf. Lepas tu buat lagi. Kata maaf dia ni murah sangat. Aku cebik mulut. Kata-kata itu hanya kukulum dalam mulut. Malas nak luahkan. Tak pasal nanti berangin satu opis ini pulak aku meletup kerana tak terkawal rasa marah.

“Saya tahu. Memang saya tak patut buat macam tu. Dah serupa gangguan seksual saya buat pada awak”. Dia cakap sambil muka sudah menunduk. Kemudian dia meraup mukanya dengan telapak tangan. Aku lihat mukanya sudah berubah keruh. Mata sudah berkaca-kaca. Aku rasa sesak nafas. Tak akan bos menangis kut!. Dashyat tu kalau Cik Nurin Kamila Hisyam boleh buat bos menangis.

“Err…err…tak apa bos. Saya dah maafkan bos.” Aku pula yang tergabra. Niat hati tadi nak buat kerek. Nak buat kering masa bos minta maaf. Tapi bila tengok wajahnya  yang keruh itu, cik hati aku sudah jadi lemau. Cepat saja aku terima kata maafnya.

“Betul awak dah maafkan saya. Ikhlas?” Dia tanya aku lagi sambil matanya dipejam-pejam. Cuba nak mengelakkan dari airmatanya melurut keluar.

“Betul bos. Saya Ikhlas”. Balasku sungguh-sungguh. Dia raup mukanya. Kemudian dia tarik nafas dalam-dalam.

“Terima kasih Nurin. Terima kasih kerana sudi maafkan saya”. Ulangnya lagi. Wajah yang tadinya keruh sudah berubah menjadi manis. Lega aku rasa.

“Err…ada apalagi bos. Kalau tak ada yang penting, saya keluar dulu”. Dia mengangguk mengiakan apabila aku minta diri untuk sambung kerja yang terbengkalai.

Keluar saja dari biliknya. Aku rasa lapang dada. Tak pernah aku rasa segembira ini. Tak sangka bos betul-betul menyesal dengan apa yang dia buat tadi. Kalau tidak kenapa dia nak bazirkan air mata hanya untuk pekerja seperti aku?. Aku tarik laci meja kerja. Aku capai kotak baldu biru itu. Jari jemari sudah membuka kotak itu tanpa paksaan. Aku ambil kerongsang mutiara itu lalu aku semat di tudung bawalku. Dalam hati aku mengucap syukur. Nasib baik Shira tak nak kerongsang ini. Kalau tidak tak pasal aku jadi buruk siku. Aku tersenyum-senyum pula.



“BAGUS juga ada eyemo ni eh. Kalau tidak teruk juga aku nak keluarkan air mata”. Luqman Hakimi mengelap matanya sambil tersenyum-senyum. Dalam hati terasa puas. Pandai juga dia berlakon sedih hanya untuk mengambil hati cik adik sayang. Senang saja nak melembutkan hati si kucing Siam itu. Tiba-tiba dia sudah menggelar setiausahanya dengan haiwan manja itu.

Idea hendak mengambil hati atau membodohkan cik adik sayang itu tetiba saja muncul dalam benaknya. Terpaksa dia berlakon begitu. Kalau tidak susah juga dia nak menjalankan kaedah ketiga iaitu ‘sleep tight’. Silap haribulan tak adanya cik adik sayang itu nak ikut dia ke hotel nanti. Terpaksa dia pura-pura menangis. Beli jiwa cik adik sayang dengan lakonannya yang mantap. Kalau tidak tak ada gunanya dia digelar ‘hotter guy’ kalau lakonan enteng sebegini pun dia tak boleh lakukan. Bangga betul rasanya kerana dapat  mempermainkan perasaan Cik Nurin Kamila.

“Lepas ni Andrea, menangislah kau kerana aku menang pertaruhan ini”. Dia bersiul keriangan.

  

Thursday, 27 June 2013

Mr.Hotter Guy Bab 16

Bab 16.

Luqman Hakimi melangkah ceria masuk ke pejabatnya hari itu. Perkara pertama yang dibuatnya adalah menuju ke arah meja milik setiausahanya itu.

“Hai…Cik Nurin!. Boleh masuk ke bilik saya sekejap?”.  Pintanya sambil menayang sengihan pada cik adik sayang yang sedikit blur itu. Mungkin setiausahanya itu terkejut  kerana melihat wajahnya yang hensem ini di depan mata.

“Ya…yup…yup…”. Tergagap-gagap setiausaha comelnya itu membalas. Kemudian dia mengenyitkan mata pula sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya. Setiausaha comelnya itu sudah terbeliak biji mata. Mungkin bertambah dos terkejutnya kerana menerima kenyitan spontan dari bos hensem pagi ini.


AKU mengurut dada berkali-kali. Entah mimpi apalah mamat kerek bajet hensem tu tetiba mengenyit mata padaku. Mahu luruh jantung barangkali kerana tak tertahan menanggung serangan dari makhluk hensem ciptaan ALLAH itu. Tanpa membuang masa, aku mengambil diari catatan lalu mengorak langkah masuk ke bilik bos. Apalah yang penting sangat, tanpa menyempat masuk ke biliknya dia sudah memanggil aku. Mungkin penting agaknya!. Fikirku berteka-teki.    

“Assalammualaikum bos”. Ucapku tatkala pintu biliknya ku buka. Dia tersenyum memandangku. Haila…mimpi apa bos malam tadi!. Jarang benar dia nak tersenyum pada aku kalau awal pagi masuk opis.

“Untuk awak”. Dia suakan padaku kotak kecil berbaldu biru itu. Serta merta aku tertelan air liur. Kotak apa ni?. Apa isi dalamnya?. Tak akan cincin melamar kot. Penat aku berteka-teki. Kalaulah tekaanku betul. Pengsan aku barangkali. Disini juga!. Sudah-sudahlah perasan cik Nurin oii…cer kau buka tengok isi dalamnya dulu. Jangan nak perasan tak tentu pasal. Otak sudah ligat menasihat pula.

“Apa ni bos?”. Aku soal teragak-agak.

“Bukalah. Saya beli khas untuk awak”. Tuturnya lembut. Alahai…gaya cakap macam nak melamar aku pun ada. Aku buka. Lalu lihat isi dalamnya. Sebentuk kerongsang dipenuhi mutiara nampak cantik pada pandangan mataku. Kalau disematkan di tudung bawalku. Memang amat cantik sekali. Tapi cepat-cepat aku tersedar. Macam rasuah pun ada. Bos nak sogok aku ke? Atas urusan apa pula?.

“Er…saya tak boleh terima bos. Rasuah ni”. Spontan, mulut tanpa insurans sudah berbicara. Serentak itu, dia ketawa berdekah-dekah. Isy…aku salah cakap ke?

“Ini bukan rasuah. Saya ikhlas. Lagipun sebagai penghargaan untuk idea awak pasal majlis kesyukuran tu”. Balasnya bersahaja. Namun sisa tawa itu masih terlukis di wajahnya. Terkulat-kulat aku menahan malu. Cepat sangat buat serkap jarang. Dah tu serkap jarang yang memalukan pulak.

“Saya tak boleh terima bos. Mahal ni”.

“Saya ikhlas Nurin. Awak patut terima hadiah tu”. Tegasnya pula. Aku serba salah. Aku bukan tak nak terima. Tapi rasanya tak berbaloi dengan idea yang kuberi. Lagipun aku tak minta apa-apa balasan untuk idea yang tak seberapa itu.

“Maaf bos”. Aku ulang lagi. Kotak berbaldu biru itu aku letak kembali di atas meja kerjanya. Serta merta dia ambil kotak itu lalu bergerak ke arahku dengan mata yang merenung tajam. Aku pula yang terkaku di situ. Dipaku terus dengan panahan mata helangnya itu.

“Saya nak awak ambil”. Tanpa dapat kuelak dia telah memegang tanganku. Kotak baldu itu diletakkan di atas telapak tanganku. Lama dia memegang tanganku. Terkejut aku tatkala tangan disentuh bos. Terpana sekejap. Rasa adrenalin bergerak laju mengepam seluruh darah ke tubuhku. Rasanya pipiku sudah blushing kerana seumur hidup tak pernah aku disentuh  seorang lelaki yang bukan mahram.

“Lepaslah”. Aku merayu. Tangan yang berada dalam genggamannya ku tarik kuat. Namun sedikit pun dia tak mahu lepaskan.

“Lepaslah”. Kali ini suaraku sedikit kuat. Namun dia masih buat tak peduli.

“Saya akan lepas, kalau awak ambil hadiah ini”. Dia mengugut aku pula. Nak tak hendak terus aku mengangguk.

“Okey. Saya ambik”. Jawabku. Namun tanganku masih lagi dalam genggamannya.

“Kan saya kata nak ambik. Kenapa pegang lagi?. Lepaslah”. Aku dah mula meradang. Dia cuma tersengih. Spontan tanganku diciumnya. Terkejut aku bukan kepalang. Memang bos ini dah tahap kurang ajar. Mukaku masam mencuka. Aku berdecit. Tanpa kata terus aku keluar dari biliknya. Kotak baldu biru itu aku campak dalam laci meja kerja. Mood sudah bertukar menjadi marah berapi. Hish…mamat kerek ni suka sangat ambil kesempatan.



Luqman Hakimi tidak henti tersenyum. Kemudian dia menelek pula wajahnya di cermin besar yang tergantung di belakang tempat duduknya. Tak habis-habis dia menayang sengih. Kening sudah terangkat-angkat kerana bangga dengan apa yang berlaku tadi.

‘Hmm…bukan setakat gold and diamond, kiss pun sudah. Huh…dua kaedah terus aku praktik. Tak adalah susah mana. Sekarang fikir macamana nak praktik kaedah ketiga pula’. Dia sudah terkekeh-kekeh ketawa. Dalam fikiran sudah memikirkan gelagat cik adik sayang yang tak adalah garang mana. Setakat garang macam kucing siam. Dua tiga kali kena belai, yang garang akan berubah jadi manja. Siap bergesel di kaki minta dibelai. Dia sambung ketawa lagi. Yang pasti Andrea bakal kalah dalam permainan ini.

‘Nasiblah cik adik sayang. Terpaksa jadi kambing hitam untuk memuaskan hati aku’. Dia bermonolog lagi.



“WHAT wrong with you Drea?. Dua tiga hari ni, mama tengok Drea macam orang susah hati. Cuba cerita pada mama.” Datin Shima renung wajah Andrea yang kusut itu. Andrea hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hendak makan pun dia tak berselera. Makanan yang sedap di depan mata pun tidak dapat menggoda hatinya. Akhirnya dia bangun dari tempat duduk tanpa menjamah apa-apa.

“Kenapa Drea?”. Datin Shima sudah mengekor langkah anaknya yang berjalan malas ke arah ruang tamu. Patah juga seleranya bila melihat wajah anak kesayangan yang kusut seperti menanggung masalah yang besar.   

“Drea tak yakin yang Luke akan jadi suami Drea dalam masa 6 bulan lagi”. Andrea duduk memeluk lutut di atas sofa berangkat tiga itu. Datin Shima menghenyakkan punggungnya duduk di sebelah Andrea. Tubuh anaknya itu dipeluk mesra.

“Kenapa anak mama cakap macam tu?”. Dia soal dengan lemah lembut.

“Drea takut Luke akan menang dalam permainan ini”. Datin Shima sudah mengerut dahi. Permainan apa pula?. Dia sudah menjadi keliru.

“Sebenarnya Luke tak ada hati dengan Drea. Tapi  Drea nak juga Luke terikat dengan Drea. Maka Drea suruh Luke mengorat salesgirl kampung. Kebetulan Drea beli cenderamata kat The Curve. Sebarang saja Drea suruh Luke mengorat awek kat situ. Lagipun Drea sakit hati sebab salesgirl tu berani-berani nak marahkan Drea”. Datin Shima sudah membulat matanya. Tak sangka Andrea boleh cipta permainan bodoh ini.

“Drea..Drea…kenapalah tak fikir dulu sebelum buat yang bukan-bukan? Kalaulah Luke dapat mengorat salesgirl tu macamana?”.

“Itulah yang buat Drea kusut sekarang ni. Yang buat Drea bertambah kusut. Salesgirl tu dah jadi secretary Luke pula. Lagilah Luke ada banyak peluang nak menang dalam permainan ini”. Andrea sudah menarik nafas pula. Datin Shima hanya menggeleng kepala. Rasa Andrea sudah jauh tersasar. Asalnya hanya satu permainan sudah menjadi sungguhan pula.

“Tak apalah Drea. Nanti mama bincang dengan Puan Sri Khalida. Dia tu diktator. Setakat nak guna kuasa vetonya. Apalah sangat posisi secretary tu. Tak lambat adalah yang kena pecat nanti”. Datin Shima sudah tersenyum.

“Thanks mama”. Andrea terus memeluk tubuh mamanya. Dia juga turut mengukir senyum.


‘Tak lama mana si salesgirl kampung itu terpaksa balik kampung tanam jagunglah jawabnya. Bakal hilang kerja. Luke..luke…kau tak akan dapat lari dari aku.’