Monday, 2 May 2016

Bab 3
Bangunan Baktisiswa penuh sesak dengan pelajar-pelajar yang singgah makan di situ. Tambahan pula pada waktu rehat pejabat. Lagi bertambah sesak jadinya.Nur Jannah dan Alice Suraya tercari-cari tempat kosong.Di satu sudut terlihat tangan Azmil melambai-lambai ke arah mereka.Nur Jannah tersenyum.Alice pula menarik muka.

Sebenarnya malas untuk bertemu Azmil yang digelarnya ‘teddy bear’ itu. Memang fizikal Azmil agak besar tapi wajahnya cute dan keanak-anakan membuatkan Azmil nampak comel seperti teddy bear.Nur Jannah menarik lengan Alice menuju ke arah Azmil.Kebetulan ada dua tempat kosong di sisi Azmil. Beg yang disandang diletakkan di atas meja. Kemudian Nur Jannah dan Alice beratur untuk membeli nasi campur.Setelah selesai membayar di kaunter, mereka menapak semula ke arah Azmil.

Azmil tersengih menampakkan baris-baris gigi yang tersusun cantik dan putih itu. Kalau buat iklan Colgate, boleh jual ni. Fikir Nur Jannah.

“Amboi…kau orang ni!.Macam selebriti. Nak cari pun susah. Tambah-tambah Si Alice ni, asyik berdating 24jam”. Bebel Azmil.

Nur Jannah senyum, Alice pula menarik muncung.
“Kau ni pun, kalu nak berletiaq, tunggu sat lagi la. Bagilah kami makan dulu”.Terang Nur Jannah dalam loghat Kedah.Kebetulan Nur Jannah dan Azmil senegeri.

Selesai makan dan membasuh tangan, mereka kembali semula ke tempat duduk. Nur Jannah membetulkan tudungnya yang melorot hampir menutup separuh dahinya.Manakala Alice pula mengelap sisa-sisa makanan yang terlekat di tudungnya yang berwarna biru.

“Kau ni…makan macam budak-budak. Mulut bocor ke?”. Usik Azmil.
Alice menjeling tajam.Geram dengan usikan Azmil.
“Malam ni, kau jangan merayap.Asyik nak berdating dengan Syahir je. Hari-hari jumpa kat Fakulti Law, tak jemu ke?”.Bebel Azmil lagi.
Alice hanya memekakkan telinga.Dia faham benar dengan sikap Azmil.Kalau membebel, kalah nenek tua.Kalah bertih yang digoreng.

Nur Jannah cuma jadi pemerhati yang tidak bertauliah.Faham benar dengan gelagat dua orang makhluk di depannya ini.Nampak macam benar-benar bergaduh.Tapi sebenarnya gaduh-gaduh sayang.Bukan dia tak tahu sikap Azmil.Memang sengaja suka sakitkan hati Alice, tapi kerana Alice juga dia rela bersusah payah menyiapkan assignment kalau Alice buka mulut minta tolong.
“Apa hal nak jumpa malam ni. Siang hari tak boleh ke?”

“Ooo…kalau aku nak jumpa, malam tak boleh. Kalau syahir pagi, petang, siang malam, tak apa?”.Sungut Azmil tak puas hati.
“Syahir tu pakwe aku. Kau tu siapa?”.Soal Alice geram.
“Aku ni hamba abdi kau”.Balas Azmil tinggi.
“Hey…sudah-sudahlah bertekak tu!. Malulah orang tengok.Macam budak-budak”. Nur Jannah ikut campur apabila melihat reaksi dua orang sahabatnya ini sudah lain macam.
“Kau kena ingat Alice. Esok dah nak kena bentang assignment …silap buat nanti, kantoi. Paper wajib lulus ni. Nanti tak pasal-pasal sangkut degree pulak”.
“La…kan kata dah settle?”.Soal Alice lagi.
“Memanglah assignment dah settle. Itu pun aku yang buat. Kau kena ingat!.Ini kerja kumpulan.Markahnya dikongsi dua. Tahu tak?”. Azmil meninggikan suara.Kiri kanan orang memerhatikan mereka, namun Azmil tetap bersikap selamba.
“Aku tahu…assignment dah settle. Apa lagi yang tak kena?”. Giliran Alice pula meninggikan suara.Dia tak mahu kalah bertekak dengan Azmil.
“Tapi kena juga buat preparation. Kena soal nanti, kau nak jawab apa. Mentang-mentang budak Law. Kau ingat paper TITAS ni, kacang?”.Azmil membeliakkan matanya tanda marah.
“Yalah…yalah. Tapi kenapa malam?. Petang ni tak boleh ke?”. Kali ini suara Alice sudah sedikit mengendur.Cuba menyejukkan perasaan Azmil yang panas tadi.

“Masalahnya, petang nanti aku ada kelas sampai pukul 6. Aku nak mandi, nak solat. Nak makan dan nak rehat. Jadi pukul 8.30 malam tu kira oraitlah”.
Alice menggaru kepalanya yang tidak gatal lalu memandang wajah Nur Jannah yang leka membaca buku di sebelah.

“Habis tu macamana Jannah, pelan kita malam ni?”. Soal Alice.
Nur Jannah mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia ikut saja apa keputusan Alice.
“Pelan apa?”Soal Azmil ingin tahu.
“Malam ni kita orang nak pergi rumah abang aku kat Hillpark”.
“Nak ikut!”.Selamba saja Azmil menawarkan diri untuk ikut serta.

“Hish…tak malu…nak ikut kita orang.Kau tu lelaki bukan perempuan.Lelaki haram okey”.Marah Alice jegil biji mata.

“Batal ajelah!.”Saran Nur Jannah.Ditutupnya buku yang dibacanya tadi.Tunak matanya menghala ke wajah Alice.Masih menanti kata putus dari sahabatnya itu.
“Tak boleh.Abang aku outstation. Masa nilah sesuai nak buat spot check”. Bantah Alice.
Azmil hanya melihat dengan mata terkebil-kebil.Tidak faham dengan pelan yang dibincangkan dua gadis di depannya ini.

“Okeylah.Malam ni pukul 8.30 malam aku tunggu kau kat dewan”. Cadang Alice.
“Dewan Tun Perak ke Dayasari. Kita bukan satu kolej?”. Tanya Azmil inginkan kepastian.
Dahulu, Azmil memang satu kolej kediaman dengan mereka. Tetapi setelah Azmil menyertai ROTU, dia telah dipindahkan ke Kolej Kediaman Dayasari.

“Dayasari lah. Aku tahulah kau tu sibuk. Lagipun, cepat sikit habis perbincangan kita kalau aku ke sana. Nak harap kau datang Astar, mampu ke kapcai buruk kau tu?”. Perli Alice, apabila teringatkan kapcai Honda 70 milik Azmil yang sudah uzur benar itu.

“Kau jangan hina kapcai aku. Astar dengan Dayasari bukan jauh. Aku kentut pun dengar”.
Nur Jannah hanya menggeleng kepala. Nampaknya pertengkaran antara Alice dan Azmil tak akan berakhir selagi mereka tidak beredar dari situ.


Bab 2
“Cinta?.Aku hanya akan bercinta selepas kahwin”. Luah Nur Jannah. Namun matanya masih tertumpu di skrin laptop milik Alice Suraya Zainal itu.

“Kalau macam tu, boringlah hidup kau.Kalau kau kahwin umur 30 tahun, so…ada lagi 8 tahun barulah nak merasa cinta.Isy…tak hendak aku.Buang masa.Kita baru 22 tahun, study pulak kat UM. So…masa nilah sesuai nak bercinta”.Alice Suraya masih lagi baring-baring di tilam empuk sambil memintal-mintal hujung rambutnya yang kerinting itu.

“Yang kau ni. Duk bersedap-sedap atas katil, kau dah siap ke asignment tu”.

Alice bangun dari katil, mundar-mandir di sekeliling Nur Jannah.Kemudian duduk di sebelah Jannah.
“Teddy bear dah siapkan”. Jawab Alice malas.

“Bagus benarlah tu. Ada assignment, cari teddy bear.Kalau nak berseronok cari Syahir. Tak kesian ke kau buat Azmil macam kuli?”.Nur Jannah berhenti menaip, lantas merenung wajah Alice Suraya Zainal di sisinya.

“Azmil…teddy bear tu?.Kesian pebendanya. Dia yang sukarela. Aku tadah tangan ajelah”.

Nur Jannah menggeleng kepala.Tidak faham dengan tindakan Alice yang sudah bangun menuju ke pantry.

‘Hmm…anak orang kaya. Cantik pulak tu. Ramailah yang hendak. Kesian Si Azmil. Banyak sangat tolong Alice. Syahir bukan baik pun, harap hensem je. Perangai Ya Rabbi. Alice pun…tak fahamlah!. Macamana boleh berkenan pada Syahir tu?’. Panjang omelan Nur Jannah di dalam hati.Berkerut-kerut mukanya membuat analisis.Tangannya masih ligat menaip assignment berkaitan Undang-undang Tanah itu. Sesekali dia tersenyum apabila teringatkan gelagat  Azmil dan Alice serupa kucing dengan anjing setiap kali bertemu.

“Ha…senyum-senyum tu ingat mata air mana pulak”. Sengih Alice muncul dari arah pantry membawa dua muk berisi air teh.
“Bukan teringat mata airlah. Tapi, ingatkan gelagat  kau dengan Azmil”.
“Ah…lagi-lagi teddy bear. Kalau berkenan, kau ambik ajelah. Aku bagi free pun tak nak”.Luah Alice memuncungkan mulutnya.
Nur Jannah senyum lagi kerana terhibur dengan gelagat Alice itu.

“Masalahnya Azmil berkenan kat kau.Bukan aku. Lagipun aku hanya akan bercinta lepas kahwin. Dengan suami sendiri, baru best”.

Bulat mata Alice mendengar pengakuan Nur Jannah.Selama  ini sahabatnya yang seorang ini amat pemalu. Jarang sekali  mahu meluahkan keinginan di hati. Tambah-tambah dalam  soal yang melibatkan lelaki.

“Kau suka kat Azmil?. Huh…tak percaya aku!”.Melopong mulut Alice.

Nur Jannah ketawa terus melihat reaksi Alice.

“Aku auta je lah. Aku tak ada pun perasaan pada Azmil tu. Aku yakin satu First College pun tak ada yang berkenan pada aku”.Nur Jannah mencuit hidung Alice yang mancung itu.

Alice mendengus halus.Barangkali tidak suka Nur Jannah mencuit hidungnya atau sikap Nur Jannah yang suka merendah diri itu. Acapkali benar, Nur Jannah suka memberikan alasan kekurangan diri jika sang pria di First College ini cuba mencuri hatinya. Dan acapkali juga Alice akan memarahi sikap rendah diri Nur Jannah yang tidak kena tempat itu.

“Mari sini!”. Alice Suraya menarik tangan Nur Jannah yang masih berteleku di depan skrin laptop miliknya. Nur Jannah hanya menurut.
“Tengok sini!”

“Tengok apa?” Soal Nur Jannah.

Dihadapan mereka cuma ada cermin besar yang menampakkan  separuh dirinya dan juga Alice.
“Kau tengok betul-betul muka kau pada cermin ni”. Tunding Alice pada cermin besar di hadapan mereka.Nur Jannah melihat ke arah cermin. Tiada ada apa yang menarik.
“Wahai cermin ajaib…siapakah yang paling cantik sekali di UM ini?”.Ucap Alice sambil kedua-dua tangannya digerakkan lagak seperti ibu tiri Snow White memuja mirror in the world.
Nur Jannah tergelak besar.Dicubitnya lengan Alice.Terjerit Alice menahan sakit tapi tetap juga berlagak seperti tadi.
“Ha…tengok tu!. Wajah kau kat cermin ni. Cermin ajaib aku ni tak pernah menipu. Kaulah yang paling cantik!”.Terang Alice sungguh-sungguh.

“Temberang!. Cermin ajaib konon!”.Nur Jannah ingin segera beredar.Tak mahu terlibat lagi dalam permainan olok-olok ini.Tapi ditahan Alice.

“Cuba kau lihat betul-betul!”.Arah Alice lagi.

Nur Jannah menurut saja. Dilihat wajahnya di cermin.Biasa saja.Tiada apa-apa yang menarik pun.Warna kulit pun ala-ala hangit je. Akhirnya Nur Jannah menjelirkan lidah. Alice tertawa besar  melihat tingkah Nur Jannah. Tangannya segera merangkul bahu Nur Jannah.

“Kau tahu tak?”.Nur Jannah mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Aku paling suka tenung wajah kau.Menatap lama-lama.Kau kata wajah kau biasa-biasa saja.Tapi aku suka wajah itu.Terutama sekali pada mata kau. Mata kau sayu sangat.Wajah innocent. Sesiapa yang tengok kau pasti sejuk hati.Kekadang kalau aku nak marah, mood aku tak stabil.Wajah kau penawarnya”.

Nur Jannah senyum mendengar pujian melangit dari Alice.

“Nak bodek ke?.Takada duit nak kasilah”.

“Isy…aku cakap betullah.Wajah kau tenang sangat.Part yang paling aku suka sekali…bila kau senyum.Manisnya macam gula.Minum kopi pahit pun tak terasa.”Luah Alice ikhlas.

Nur Jannah ketawa besar sambil menekan-nekan perutnya.Gelihati mendengar pujian Alice.Barangkali Alice buta gamaknya menilai kecantikan seseorang.Jika hendak dibandingkan kecantikan dia dengan Alice, bagai langit dengan bumi jaraknya.Sudahlah Alice cantik, berdarah kacukan Inggeris Melayu lagi. Hidup pula dalam kemewahan.Sedangkan dirinya serba kekurangan.Sudahlah miskin, ayah pula sudah lama tiada.Ibu dan adik sajalah tempat bermanja.
Tiba-tiba wajah ibu dan Sofian muncul di ruang mata.Nur Jannah melepaskan keluhan.Rindu pula untuk menatap wajah-wajah orang tersayang dalam hidupnya itu.Tapi sabarlah hati. Minggu depan saja dia akan kembali ke tempat kelahiran. Cuti mid-semester selama seminggu. Rasa tidak cukup cuti seminggu itu untuk menghabiskan masa dengan keluarga berceloteh sana sini. Banyak cerita nak dikhabarkan pengalaman selama berada  di UM ini.Bukan tidak pernah balik kampung. Sudah dua tahun berada di bumi UMKL ini pun  tapi perasaan rindu balik kampung itu tetap meluap-luap seperti pengalaman pertama kali.

“Hei…dengar tak apa aku cakap?”

Nur Jannah tersentak dari lamunan yang panjang.Dia merenung semula wajahnya di cermin.Alice sudah menarik muncung kerana tidak puas hati dengan sikap Nur Jannah yang tidak mendengar omelannya dengan tekun.

“Sorry eh…teringat kampung sekejap. Kau cakap apa?”.Soal Nur Jannah pandang wajah Alice.
Wajah yang muncung tadi kembali ceria. Alice cepat saja terpujuk dengan ucapan maaf dari Nur Jannah itu.

“Aku kata…Syahir pernah puji kau.Katanya kau ala-ala wanita Melayu terakhir”.
Nur Jannah terkejut.Tidak disangka Syahir jejaka idaman Fakulti Undang-undang itu memujinya. Tetapi rasa terkejut itu tidak lama kerana dia tidak percaya pada kata-kata Syahir jejaka romeo itu.

“Kau tahu tak?. Aku nak sangat kau jadi saudara aku. Jadi kak ipar aku. Baik hati dan sekepala dengan aku.Tapi…wanita yang baik untuk lelaki yang baik”.

Nur Jannah terkejut lagi.Dadanya diurut perlahan.Tidak percaya mendengar kata-kata gurauan dari Alice.Sampai begitu besar sekali hajatnya. Sesungguhnya dia bersyukur  kerana mempunyai sahabat seperti Alice. Sudahlah tidak berkira dengannya.Keluarganya juga baik-baik.

Bukan dia tidak kenal Tuan Zainal dan Puan Mariam, juga si cilik Faiz dan Faizi.Memang dia sudah kenal lama mereka.Faiz dan Faizi pun sudah dianggap seperti adik sendiri.Keluarga Alice banyak membantu meringankan beban kewangannya. Dia sedar, belajar di universiti tertua di kota besar ini tentu memakan belanja yang bukan sedikit. Pendapatan yang diterima hasil mengajar tuisyen buat Faiz dan Faizi tak terbanding dengan tenaga yang tidak seberapa.Sungguh benar dia terhutang budi pada Alice sekeluarga.Tak terbayar rasanya.

Sekarang Alice memasang hajat untuk menjadikan dirinya bakal kakak ipar pula.Budi yang ditabur tak tertanggung dek badan rasanya.

“Kau ni Alice…cakap macam pak lawak”.Nur Jannah beredar dari cermin besar itu lalu merebahkan badannya di katil bujang miliknya.Alice mengekori langkah Nur Jannah dan ikut baring di sebelah.Suka tidur berhimpit begitu dengan Nur Jannah.

“Aku seriuslah. Kalau abang aku tu baik, memang aku suruh abah aku hantar pinangan”.

“Bukan abang kau kat London ke?”.Soal Nur Jannah ingin tahu. Seingatnya dulu, Alice ada bercerita yang abang kandungnya itu menetap di London.

“Lupa pulak aku nak cakap. Dah dua bulan dia balik sini.Naik pangkat dan dipindahkan tempat kerja di Kuala Lumpur”.

“Alhamdulilah. Makbul juga doa kau selama ini Alice. Abah dan Cik Mariam tahu?”.

“Tahu. Mereka yang menyambut kepulangan abang masa kat airport hari tu. Tapi kau faham ajelah. Abang aku buat abah dan Mak Uda aku macam orang asing. Entahlah!.Apa lagi yang tak kena?”. Alice mengeluh mengenangkan sikap abangnya.

“Mak Uda aku tu baik orangnya. Aku bersyukur kerana abah bertemu jodoh dengan Cik Mariam.Kalau tidak…tentu hidup kami masih lagi tunggang langgang”.Luah Alice sayu.
Cik Mariam yang dipanggil Mak Uda itu adalah isteri muda yang dikahwini Tuan Zainal selepas kematian isteri pertamanya itu.

Nur Jannah kusyuk mendengar luahan hati Alice. Kasihan!.Bukan sekali dua Alice bercerita mengenai abangnya, Rais Firdausi itu. Acapkali jika ada masalah, Nur Jannahlah tempat dia meluah rasa.

Rais Firdausi, namanya saja yang didengar Nur Jannah. Orangnya tidak pernah dikenali walau dalam gambar sekali pun.Tentu kacak orangnya.Maklumlah anak kacukan Inggeris Melayu.Teka Nur Jannah dalam hati.

“Kalau abang kau baik sekalipun. Aku tak nak terimalah. Macam langit dengan bumi.Tak sekufu. Abang kau tentu kacak, aku pulak hodoh. Lagi pun tak terlarat nak balas budi”.

“Aku tak minta pun kau balas. Kita yang ikhlaslah. Kau ni…tak  ada alasan lain ke?. Balik-balik isu hodoh juga yang kau bangkitkan”.Alice geram.

“Betullah.Aku hodoh. Kulit gelap lagi”.

“Ciptaan ALLAH ni mana yang tak cantik Jannah?. Soal cantik..hodoh ini universal Jannah. Bagi kau tak cantik…bagi aku, kau cantik.Kufu ke tak sekufu ke, bukan diukur dengan harta benda dan luaran sahaja, Jannah.Tapi diukur dengan keimanan.”

Nur Jannah terdiam mendengar apa yang diungkapkan oleh Alice itu. Cakapnya tadi sekadar bergurau sahaja.Tak sangka Alice menganggap kata-katanya itu serius.

“Aku minta maaf, Ostajah Alice. Janji tak  buat lagi”. Nur Jannah pandang wajah Alice dengan mata terkebil-kebil mohon ampun.

Alice menarik senyum. Wajah Nur Jannah yang manis dan kasihan itu cepat saja membuatkan dia sejuk hati. Bahu Nur Jannah dirangkul lagi dengan penuh kasih sayang.

“Kalau kau ulang lagi pasal isu hodoh ni…aku piat telinga kau”.Nur Jannah menjerit kecil apabila jari Alice sudah mendarat di cuping telinganya.Mereka tenggelam dalam ketawa yang terlahir ikhlas dari hati masing-masing.


bab 1

Bab 1

            Shaik melangkah masuk ke perut bangunan yang tertera perkataan British Technology itu. Buat pertama kali, dia akan bertemu dengan COO syarikat itu untuk berdiskusi mengenai usahasama yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

            Punat lif ditekan untuk naik ke tingkat 7 yang menempatkan bilik COO itu. Dia sudah dimaklumkan oleh setiausaha COO syarikat British Technology mengenai pertemuan ini yang akan berlangsung di bilik COO yang berada di tingkat 7. Setelah keluar dari perut lif segera Shaik menapak mendapatkan setiausaha COO yang berada di bilik khas itu. Itupun terpaksa melalui saringan di meja penyambut tetamu sebelum Shaik dapat berjumpa dengan orang penting dalam syarikat ini.

            “Encik Shaik?”. Aida yang merupakan setiausaha COO menyambut ramah.
Shaik sekadar mengangguk memperakui namanya itu. Mujur juga Aida tidak jadi menghulurkan salaman apabila melihat janggut sejemput yang tumbuh tersusun di dagu Shaik. Mungkin roman wajah Shaik seperti pak-pak ustaz itu membuatkan Aida menghormati batas pergaulan antara mereka.

“COO dah tunggu Encik Shaik di biliknya. Sila ikut saya”. Aida mempelawa Shaik mengekorinya untuk ke bilik COO yang berada di hujung tingkat ini.

Shaik tanpa banyak soal terus mengikuti langkah Aida. Selang beberapa langkah, mereka sudah berdiri di depan pintu bilik yang agak besar dan transparent itu. Mujur bidai yang menutupi dinding bilik itu melindungi isi dalam bilik COO itu dari pandangan luar.

Setelah mengetuk pintu, terdengar suara garau di dalam mempelawa masuk. Aida membuka pintu bilik COO lalu menjemput Shaik masuk. Kemudian mengekori dari belakang.

“Mr. Rais…Ini Encik Shaik dari Cyber Technology”. Aida memperkenalkan lelaki yang berada di sisinya itu.

Rais Firdausi bangun dari kerusinya dan menghulurkan salam pada lelaki itu. Kemudian menjemput lelaki itu duduk di sofa kulit yang terdapat dibiliknya itu.

“Aida…nanti bawa masuk dua cawan kopi, okey?”. Rais Firdausi mengarahkan Aida setiausahanya itu untuk membawa minuman kepada tetamu yang datang ini. Tanpa banyak bicara, Aida sudah melangkah keluar untuk mengikuti arahan yang diberikan itu.

“Jika tak salah sayalah…ini Rais Firdausi Zainal kan?. Kita sama-sama pernah belajar satu kolej masa di London kan?”. Shaik yang lama memerhati raut wajah di depannya ini sudah mengemukakan soalan. Dari tadi lagi diamati wajah COO di depannya ini. Terasa seakan dikenali lama dulu.

“Yup…kita kenal ke?”. Rais Firdausi mengerut kening. Cuba menganalisa wajah lelaki didepannya itu pula. Dari suara seolah pernah dia bertemu muka dengan lelaki ini.
“Shaik kan?. Shaik roommate aku masa kat London tu?”. Masing-masing sudah ketawa kelucuan. Sudah lama tak bersua, wajah masing-masing sudah beza benar.

“Anak dah berapa?”. Shaik terus menyoal tanpa sempat mereka duduk di sofa yang disediakan.

Rais Firdausi terus ketawa tanpa selindung lagi. Punggung terus dilabuhkan di sofa kulit itu dengan badan terhinggut-hinggut kerana ketawa lepas. Lucu pulak mendengar pertanyaan Shaik itu. Kahwin pun belum lagi, macamana nak ada anak pula. Perkataan kahwin itu buat Rais Firdausi rasa fobia.

Perkahwinan yang bagaimana?. Bagaimana untuk mendidik Marcela jika dirinya sekadar tahu mengucap dua kalimah syahadah sahaja.Lamunannya terganggu apabila Shaik mengetuk meja dengan hujung jarinya.

“Hey…sampai mana dah kau berangan ni?”.

Rais Firdausi tersenyum.

“Kau tau tak, senyuman kau ni berbisa benar tau. Aku cam kau tadi pun sebab senyuman ni. Marcela tak marah kau balik Malaysia?”.Soal Shaik semula.

“We all dah split up. Marcela dah kahwin dengan orang lain”.

“Kau tinggalkan dia atau dia yang tinggalkan kau?”.Soal Shaik lagi. Kali ini  agak terkejut mendengar jawapan mendatar dari Rais Firdausi.

Belum pun soalan dari Shaik itu dijawab, ketukan di muka pintu membuatkan sepasang sahabat ini menghentikan perbualan mereka. Masuk Aida menatang dulang berisi dua cawan kopi untuk majikan dan tetamunya itu. Setelah meletakkan dulang di atas meja berdekatan sofa yang diduduki mereka, Aida meminta diri untuk keluar semula.

“Aku!”.Balasnya pendek memulakan perbualan yang terhenti tadi.

“Alasannya…kahwin.Marcela ajak aku kahwin. Tapi…kau tahukan aku….” Rais Firdausi mengambil sesudu kecil gula lalu dimasukkan ke dalam cawan kopi miliknya dan milik Shaik.

“Kau dah 30 tahun. Apa yang menakutkan sangat tentang kahwin?.Aku dah ada 2 orang anak pun. Kahwinlah Rais. Perkahwinan akan membuatkan hidup kau sempurna. Perkahwinan akan membetulkan apa yang telah kita kucar kacirkan selama ini.” Shaik mengeluh mengingatkan kehidupan zaman bujangnya dulu.

“Rais…sesungguhnya aku bersyukur kerana kahwin.Perkahwinan yang membawa aku ke pangkal jalan.Kahwinlah dengan perempuan yang baik-baik.Sebaik-baik perempuan adalah yang beragama”.Sambung Shaik lagi.

Rais Firdausi mengacau air kopi untuk melarutkan gula yang dimasukkan tadi. Minum seteguk dua. Kemudian dia bangun berdiri lalu melangkah menuju ke dinding biliknya yang menampakkan panorama Kuala Lumpur dari tingkat atas ini.

Dia membuang pandang ke luar tingkap menyaksikan panorama Kuala Lumpur.Dari kejauhan dia melihat menara berkembar KLCC.Banyak bangunan pencakar langit yang terdiri di Kuala Lumpur ini tidak seperti 12 tahun yang lalu.

“Please…tutup pasal topik ini. Kita kembali ke topik utama.Ada apa-apa yang aku boleh tolong untuk Cyber technology?.“ Akur dengan permintaan sahabatnya itu, Shaik membuka fail yang dibawanya bersama-sama  tadi.


FIRDAUS BUAT JANNAH




FIRDAUS  BUAT  JANNAH

Cinta biar sampai syurga

By

DANISYARAHMAT



Image result for arjun rampal

Image result for imej nurfathia