Luqman Hakimi meramas kepalanya. Habis ranap rambutnya yang disikat kemas dan disapu gel itu. Banyak kali dia melakukan perkara yang sama. Disikat dan diramas kembali. Kemudian dia mundar mandir di keliling biliknya. Dia duduk pula di birai katil. Selepas itu, dia bangun semula. Hari ini serba tak kena jadinya. Dari semalam kepala otaknya hanya memikirkan satu nama sahaja. Dia ambil jaket kulit di balik pintu almari, kemudian menapak keluar dari biliknya.
Dengan pantas dia berlari turun ke bawah hendak mengambil helmet fullface di ruangan tempat kasut.
“Nak kemana tu?”. Soal Puan Sri Khalida.
Langkah kaki Luqman Hakimi terhenti di muka pintu. Dia kalih muka pandang ibunya yang sedang memerhatikannya di hujung tangga
“Luke nak keluar ambil angin”. Jawabnya endah tak endah.
Puan Sri Khalida tidak menyoal lagi. Tahulah kemana lagi Luqman Hakimi hendak pergi. Kalau hati tengah serabut, sama ada tak lepak di Putrajaya atau ke KLCC saja anaknya itu merambu.
“Hah…awak pulak nak kemana?. Tadi Luke keluar. Awak pun nak keluar merambu jugak?”. Soal Puan Sri Khalida garang. Tan Sri Abdullah Hisyam buat tak peduli pada soalan isterinya itu. Dia berjalan selamba membawa sebuah beg pakaian melewati isterinya itu.
“Saya tanya ni?. Awak nak kemana dengan beg pakaian tu?”. Soal Puan Sri Khalida lagi. Kali ini nada suaranya sudah beralih lembut. Dia mengekor langkah suaminya sehingga ke pintu rumah.
“Ha…macam tu lah kalau nak bercakap dengan suami. Ini tidak, asyik nak tinggi suara. Saya nak bercuti ke luar bandar”. Balas Tan Sri Abdullah Hisyam. Puan Sri Khalida mencebik mendengar omelan suaminya itu.
“Hai…tak pernah sekalipun awak bercuti. Apa kes sampai nak ke luar bandar ni?”. Puan Sri Khalida curiga.
“Sebab tak pernah buatlah, saya terasa nak buat. Kenapa?. Awak nak ikut ke?”.
“Isy…tak ingin. Lainlah kalau bercuti ke Paris ke, London ke?. Naklah juga saya ikut”. Balas Puan Sri Khalida buat muka tak ingin.
Tan Sri Abdullah Hisyam hanya senyum sinis. Lega rasa hati atas penolakan Puan Sri Khalida itu. Sengaja dia menyoal untuk melihat sama ada isterinya itu berminat atau tidak atas tawarannya itu. Bimbang juga andai Puan Sri Khalida berminat untuk ikutnya bercuti ke luar bandar. Tujuannya ke luar bandar punya agenda tersendiri. Dia perlu memulih kembali hati Zaimah yang sudah hancur kerananya. Dia berharap sangat hati Zaimah sudah lembut untuk menerima kehadirannya itu. Syukur juga atas bantuan ayah mertuanya membuatkan dia yakin dengan keputusannya untuk bersua dengan Zaimah dan anaknya Nurin.
Namun dalam keterujaan untuk bertemu dengan Zaimah ada juga rasa debarnya. Bagaimana agaknya penerimaan Nurin?. Selama ini hubungan mereka baik saja sebagai majikan dengan pekerja. Dan dia berharap sangat penerimaan Nurin juga begitu atas hubungan bapa dengan anak.
“Maybe seminggu juga saya di sana”.
“Yalah…lama pun tak apa”.
“Saya pergi dulu”. Tan Sri Abdullah Hisyam minta diri. Sebelum melangkah keluar, dia hulurkan tangan pada isterinya. Puan Sri Khalida pandang pelik.
“Tak nak salam dengan saya ke?”. Tanya Tan Sri Abdullah Hisyam lembut.
Puan Sri Khalida buat muka malas. Dalam malasnya itu, dia sambut juga huluran tangan si suami. Selepas bersalam Tan Sri Abdullah Hisyam kucup dahinya. Terkedu sekejap Puan Sri Khalida. Entah kenapa, ada satu rasa yang timbul dalam hatinya. Hati yang panas dan sentiasa tegang itu terasa sejuk dengan kucupan yang diterima di dahi. Sepantas kilat juga sebuah senyuman terukir di bibirnya.
“Ha…kan bagus kalau awak selalu senyum macam tu pada saya. Manis. Sejuk rasa hati”. Puji Tan Sri Abdullah Hisyam sebelum masuk ke perut Merc. Puan Sri Khalida cemik muka. Terasa diperli pula walau itu pujian seikhlas hati dari Tan Sri Abdullah Hisyam.
“Sahak, hantar saya ke airport. Lepas tu, awak boleh balik ke rumah terus. Terpaksa susahkan awak, malam-malam macam ni.” Tulus ucapan Tan Sri Abdullah Hisyam pada Pak Sahak pemandunya itu.
“Dah kerje saya, Tan Sri.” Balas Pak Sahak ketawa.
LUQMAN Hakimi menunggang superbike Kawasaki melewati Jalan Kampung Abdullah Hukum itu. Entah kenapa, dia menunggang ke arah jalan itu pun dia tak tahu. Semuanya dilakukan dengan menurut gerak hati. Dia menunggang perlahan apabila terlihat sebuah perumahan flat yang tertulis Taman Bukit Angkasa. Dia menyusuri kawasan perumahan itu sehingga terpampang satu blok yang tertulis Cempaka. Dia memarkir superbike Kawasaki di tempat yang disediakan untuk motosikal.
Selepas pastikan semuanya selamat. Dia mengorak langkah masuk ke bangunan itu. Hati sudah berbolak balik. Debaran makin kuat saat kaki melangkah ke tingkat dua. Namun digagahkan jua. Kalau tidak mendengar sendiri dari mulut gadis itu, selamanya dia akan penasaran sendiri. Mujurlah sudah dihafal alamat rumah gadis itu di dalam kepala. Segalanya sudah direncana saat hati terguris dalam, apabila melihat gadis yang dipuja bakal menjadi milik orang.
Dengan lafaz bismilah dia mengetuk pintu rumah gadis itu. Biarlah gelap menghiasi malam, biarlah dia bakal dihalau kerana menganggu anak gadis orang. Asalkan hati tenang meluahkan apa yang dirasa.
“Beb…itu…itu...itu!”. Suara Shira tersekat-sekat. Jari tak habis menunding ke pintu rumah. Mata sudah membulat kerana terperanjat. Aku muncung bibir lihat aksi Shira yang serupa terperanjat ungka itu.
“Apasal?. Ada jerangkung ke kat luar?”. Soalku pada Shira. Minah itu angguk sambil menelan liur. Kemudian dia menggeleng. Aku pula yang pening melihat tingkah Shira itu.
Aku panjangkan langkah ke muka pintu lalu buka dengan perasaan geram. Hantu mana pula yang berani menganggu anak dara orang malam-malam begini.
“Hah!”. Baru nak menjerit menghalau hantu, aku pula yang tercekik air liur. Jantung dan hati bergetar hebat. Segera aku mahu menutup pintu rumah. Malangnya sudah dihadang dengan kakinya yang panjang dimuka pintu. Terdengar dia mengaduh menahan sakit kerana aku menolak kasar muka pintu. Aku peduli apa, kalau dah seberani itu menyerbu ke rumah anak dara orang.
“Nurin…please!. Dengar dulu!. Ada benda yang saya nak bincang”. Rayunya.
“Bincang apa lagi?”. Balasku di balik pintu. Pandang mukanya pun aku tak ingin. Yalah sudah seberani itu menyerbu ke rumah kami. Sementelah aku dan Shira, dogol saja kepala kerana tidak bertudung.
“Please…jangan kahwin dengan mamat tu. Please!!!”. Rayunya lagi. Terbeliak mataku terkejut dengan permintaannya.
“Mamat tu namanya Shahril Aiman bin Saidin. Apasal pulak saya tak boleh kahwin dengan dia?. Diakan tunang saya”. Jawabku selamba.
“Nurin…please!. I love U so much”. Dengar saja ucapan itu, getaran di jantungku seakan terhenti.
Shira yang ikut bersembunyi di belakang pintu pandang aku dengan bulat matanya. Seakan hendak terkeluar dari rongga mata. Kami saling tenung merenung kerana terkejut mendengar ucapan yang keluar dari bibir si Lelaki Panas itu.
“Encik baliklah. Tak manis datang rumah kami malam-malam macam ni”. Pintaku kasar.
“Saya tak nak balik selagi saya tak dengar apa yang awak rasa pada saya Nurin”.
“Apa yang saya rasa?”. Aku soal balik dengan perasaan yang keliru. Perlu apa lagi dia tahu apa yang kurasa waktu ini. Tentulah rasa meluat dan benci tahap petala dengan tingkahnya itu.
“Apa yang awak rasa pada cinta saya Nurin?”. Soalnya lembut. Hampir tidak terdengar di telingaku kerana terpisah dengan pintu rumah.
Shira yang tadinya tak habis merenungku sudah bertukar menjadi senyum pula. Senyum perlilah tu!. Hish…satu cubitan aku hadiahkan buatnya.
“Heh…dia soal kau apasal aku pulak yang kena cubit”. Marah Shira seraya mengusap lengannya yang berbekas kerana cubitan aku itu.
“Hadiah sebab senyum perli tu”. Balasku muncung.
“Baik aku blah masuk bilik. Nanti tak pasal satu badan aku lebam. Pasal kau orang bertekak, aku yang jadi mangsa”. Shira bingkas pergi sebelum sempat aku menghalang. Dia terus masuk bilik tanpa paling tengok aku yang masih berdiri menahan muka pintu dari diceroboh lelaki panas separa gila itu.
“Encik baliklah. Buat apa merepek malam-malam macam ni”. Halauku.
“Saya nak jawapannya. Saya tak boleh tidur kalau awak tak jawab soalan saya. I Love U Nurin. Please…jangan kahwin dengan dia”. Dia ulang lagi soalan itu. Aku tarik nafas dan hembus perlahan untuk usir rasa marah yang sudah bertandang di hati kala ini.
“Encik…cinta encik terlalu murah buat saya. Maaflah, encik!. Dengan apa yang saya lalui masa di Penang dulu…jangan harap saya boleh jatuh hati dengan encik. Encik baliklah. Tak guna nak rayu saya lagi”. Kataku tersekat-sekat.
Jeda sekejap.
“Tak lama lagi saya bakal jadi isteri Shahril Aiman, mamat tu. Cinta dan kasih saya hanya untuk dia, bakal suami saya. Dan saya nak kahwin dengan dia. Bina keluarga dan lahirkan anak-anak untuk dia. Encik doakan saja rumahtangga kami bahagia hingga ke Jannah”.Habis saja ayat itu aku luah, satu tumbukan bergegar di pintu rumahku. Kecut perutku mendengar hentaman itu.
“Saya tak peduli Nurin. Awak mesti jadi hak saya. Sampai bila-bila. Jangan harap mamat tu dapat awak”. Berdetum lagi pintu rumahku kena hentam. Marah yang tadi sudah padam kembali marak menyala. Lelaki Panas ini sudah mereng agaknya.
“Encik blah…blah dari rumah saya. Blah!!!”. Aku sudah menjerit. Shira yang tadinya berada di dalam bilik segera keluar. Terkejut barangkali mendengar suaraku yang meninggi.
“Shira!. Kau pergi cari apa saja yang boleh aku libas mamat tak faham bahasa ni”. Arahku pada Shira yang kelihatan menggelabah itu. Mungkin dia tak sangka perkara ini sudah menjadi semakin tegang.
Shira masuk bilik semula. Kemudian keluar dengan membawa sekaki payung. Tanpa membuang masa dia serahkan padaku. Payung pun payunglah…asalkan dapat halau lelaki tak faham bahasa ini.
“Encik blah”. Aku pukul kakinya yang menghadang pintu rumahku. Patah payung itu aku kerjakan. Segera pintu rumahku dapat ditutup semula apabila kakinya ditarik keluar. Pantas aku kunci pintu rumah.
“Nurin..please. Jangan kahwin dengan dia. Please saya cintakan awak”. Rayunya lagi. Kali ini suaranya sudah menjerit.
“Encik blah dari sini. Kalau tidak, saya tepon polis. Encik nak pergi atau nak dapat malu kalau esok muka encik…anak konglomerat Berjaya Corporation masuk dalam suratkhabar kerana ganggu anak dara orang”. Ugut aku.
“Okey…okey…saya pergi!. Tapi, tolonglah Nurin. Saya betul-betul cintakan awak”. Dia masih tidak mahu mengalah.
“Encik pergi saja dari sini. Encik memang tak faham bahasa. Encik dengar sini betul-betul. Encik tunggu saya gila atau hilang ingatan baru saya balas cinta encik”. Tengkingku di balik pintu. Sudah lebur sabarku kerana si Lelaki Panas yang tidak faham bahasa ini.
No comments:
Post a Comment