Bab 35
“Tak nak balik lagi ke?”. Satu
pertanyaan lembut buat aku panggung kepala dari menilik isi dokumen perjanjian
yang perlu aku siapkan minggu ini. Aku senyum pada wajah tua yang merenungku
itu. Memang prihatin sungguh Chairman ini. Aku geleng kepala tanda aku belum
mahu pulang lagi.
“Isy…dah pukul 5 lebih ni.
Syarikat ni bayar gaji pada stafnya setakat pukul 5 je…lebih pada tu tak ada.
Lagipun saya tak keluarkan arahan suruh awak stayback hari ni”. Terangnya masih
merenungku. Kali ini ditambah pula dengan sepotong senyuman.
“Tinggal sikit lagi saya nak
semak dokumen ni”. Balasku. Dia ambil lalu dibelek pula dokumen yang sudah
separuh aku semak di atas mejaku.
“Hmm…dokumen perjanjian ni minggu
depan baru saya nak. Cekap betul setiausaha saya buat kerja. Pantas”. Pujinya
pula seraya menutup dokumen itu.
“Dah…dah…jom balik. Masih banyak
masa lagi nak siapkan dokumen tu”. Dia sudah mengambil tas tanganku yang
terletak di atas meja lalu disuakan padaku. Kemudian dia menolak perlahan
kerusi yang kududuki supaya segera bangun. Aku hanya menelan liur. Kalaulah
adegan ini dilihat Mr.hotter guy. Nampak
gayanya macam betul je tohmahan yang dilemparkan padaku semalam. Nak tak nak
terpaksa aku akur pada arahan Tan Sri Hisyam itu. Kami berjalan seiringan
sehingga masuk ke perut lif.
“Nak saya hantarkan balik?”.
Pelawanya padaku saat kami dalam perut lif. Hatiku mula rasa tidak enak. Kenapa
Tan Sri Hisyam baik sangat?. Pelik pula aku rasa sampai pelawa nak hantar aku
balik. Ke…memang betul tohmahan mamat 18sx tu yang aku ni bakal jadi madu
mamanya itu. Kali ini aku pula yang rasa tak sedap hati. hisy…minta dijauhkan.
Aku tenung muka Tan Sri Hisyam yang sibuk melihat angka yang tertera menunjuk
aras mana lif sedang beroperasi. Lelaki ini dengan aku memang tak padan. Macam
anak dengan bapak. Tapi kalau dengan emak memang padan, macam pinang dibelah
kapak. Aku senyum dalam hati. Sempat lagi nak kenenkan Tan Sri Hisyam dengan
emak. Apa punya imaginasilah!!!...aku kutuk diri sendiri pula.
Usai pintu lif terbuka mataku
sudah membulat. Terkejut melihat batang tubuh lelaki di depanku ini. Bagaimana
dia tahu aku bekerja di sini?. Tujuan apa sampai ke sini dia mencari aku.
Telefon pun tidak, tiba-tiba dia sudah terpacak di depan mata.
“Nurin”. Panggilan lembut
berserta senyuman manis diberikan buatku. Terkesima aku sekejap melihat lelaki
sasa di depan mata. Memang nampak kacak dengan pakaian ala santai. Tshirt oren
berkolar dengan seluar jeans hitam. Padan benar dengan kulitnya yang putih kuning itu. Tapi sekacak
dia, kacak lagi mr. hottest guy. Entah kenapa dalam bencinya aku pada mamat
18sx itu, suka benar aku nak bandingkan dia dengan lelaki di hadapanku ini.
“Siapa ni?”. Tan Sri Hisyam
menyoal pula bila lihat aku gugup di depan Kapten Shahril Aiman ini.
“Shahril Aiman..tunang Nurin”.
Jawabnya bagi pihak aku. Tan Sri Hisyam sudah senyum melebar. Aneh…tak ada pula
rasa cemburu pada wajahnya kalau benar sangkaan aku yang dia cuba hendak
mengorat aku. Nurin…Nurin…cepat sangat prasangka yang bukan-bukan.
“Oooo..kacak betul tunang anak
ayah ya?”. Tan Sri Hisyam ketawa pula sambil berjabat tangan dengan tunangku
itu. Aku pula yang mengerut dahi…apa yang Tan Sri Hisyam merepek ni. Siapa pula
anaknya? Tak akan tersasul kut.
“Anak?”.
“Yalah…Nurin kan macam anak
saya…tak salahkan saya cakap macam tu”. Aku dan Shahril Aiman saling
berpandangan.
“Tak apalah Nurin. Saya gerak
dulu. Layan tunang elok-elok”. Sempat lagi dia berpesan sebelum melangkah
pergi. Aku masih lagi blur dengan apa yang kudengar tadi. anak…ayah…perkataan
itu berlegar-legar dalam kepala otakku ini.
“Nurin”. Sapaan itu buatkan aku
kembali ke alam nyata. Shahril Aiman masih lagi merenungku.
“Maaf…datang tak bagitahu, makcik
Zaimah yang bagitahu Nurin kerja kat sini”. Terangnya merungkaikan persoalan
yang bermain dibenakku masa mula berjumpa tadi.
“Hmm..tak apa. Kenapa datang
jumpa saya ni?. Bukan awak patutnya kerja kat Kedahkan? Cuti ke?”
“Hai…tak boleh ke datang jumpa
tunang saya?”.
“Bukan macam tu…datang
mengejut…itu yang blur-blur ni”. Jawabku.
“Saya kursus seminggu kat Subang.
Hari ni free, itu yang datang jumpa Nurin. Nak pergi rumah, saya tak tau. Mai
cari kat tempat kerjalah… senang”.
“Ada hal ke datang jumpa saya
ni?”.
“Nak ajak Nurin keluar. Nak beli
cincin tunang. Cincin yang Nurin pakai tu dah buruk”.
“Eh…tak apa aih…buruk pun cincin
jugak kan”.
“Tak sudi keluar dengan saya ke?”
“Eh..bukan tapi segan”. Jawabku
malu-malu.
“Segan apa aih…bukan lama mana
lagi dah nak jadi suami isteri. Tak sampai 2 bulan lagi. jomlah…tapi kita naik
teksilah pasal saya tak bawa kereta. Datang kursus pun tumpang Nuri”.
“Nuri?”. Aku sebut dalam
perkataan itu. Siapa pula si Nuri ni?. Hati sudah mula rasa tak sedap. Aku
pandang dia dengan perasaan cuak. Dia hanya tersenyum saja.
“Ha ah…Nuri…Helikopter
Nuri”. Balasnya bersahaja. Aku tarik
senyum. Oh…Nuri si helikopter. Apasal aku tak terfikir Nuri tu nama helikopter
untuk TUDM.
“Tak pa aikh…tu lagi bagus. Tapi
tunggu sat…nak tepon member serumah. Satgi dia tertunggu pulak.” Aku
cepat-cepat sambung kata seraya mengeluarkan handphone murahku. Tak mahu encik
tunang perasan yang aku termalu dengan persoalan Nuri itu. Nombor telefon Shira
ku dail untuk memberitahunya yang aku keluar dengan encik tunang. Nanti tak
pasal minah tu jadi tunggul kayu tertunggu aku di lobi syarikat ini.
Baru kaki hendak melangkah keluar
dari bangunan Berjaya Corporations ini, satu sapaan membuatkan langkah kaki
kami terhenti.
“Wah…hebat betul cik Nurin
ya…semalam dengan chairman…hari ini dengan mamat mana pula?”. Hisy…Encik Luqman
rupanya yang menegurku ini. Shahril Aiman yang berada di sisi sudah
terkerut-kerut kening. Mungkin pelik mendengar teguran yang keluar dari mulut
lelaki ini.
“Saya Shahril Aiman…tunang Nurin
Kamila”. Encik tunang sudah menghulur tangan untuk berjabat dengan mamat poyo
itu. Terdiam sekejap dia bila Shahril Aiman memperkenalkan diri. Aku yang
berada di sebelah encik tunang sudah senyum puas hati. Ambik kau…terdiam
sekejap. Itulah suka sangat cari pasal.
“Saya harap lepas ni encik
bos tolong berhemah sedikit bila
bercakap dengan Nurin Kamila…pasal dia milik saya”. Dush…tersentap barangkali
mamat poyo ni dibahasakan oleh Kapten Shahril Aiman. Yalah masa di Penang hari
tu dia bahasakan encik tunangku. Sekarang kena balik. Seri!...
“Kita kenal ke?”. Encik Luqman
menyoal. Sentap agaknya bila encik tunang sudah memberi amaran.
“Maybe encik bos dah lupa. Ingat
lagi mamat yang kena tegur masa makan di Hotel Park Royal?”. Muka Encik Luqman
sudah berubah. Tak sangka buah cempedak dah jadi nangka. Mamat yang ditegur itu
rupanya sudah menjadi tunangku. Hebatkan permainan takdir. Encik Luqman tidak
terkata apa. Dia sambut huluran tangan dari encik tunangku.
“Tahniah!.” Ucapnya sepatah
sebelum melangkah pergi. Aku pula yang terdiam. Betul ke dia ucap tahniah.
Rasanya telinga aku belum pekak lagi. aku harap lepas ni mamat poyo tu tak akan
menyakitkan hatiku lagi dengan kata-kata pedih dari mulutnya. Aku harap dia
percaya yang aku bukan mereka cerita dalam soal menjadi milik encik tunang ini.
“Jomlah…nanti lewat pulak. Saya
kena masuk kem semula sebelum pukul 10 malam”. Kata encik tunang padaku.
Serentak kami teruskan langkah ke perhentian teksi yang berada di depan
bangunan tempatku mencari rezeki ini.
Knp smpai bab 42 jew .. Nk tahu sambungan cter ney lg smpai habis .. Please ..
ReplyDeleteLast nurin dengan siapa....
ReplyDelete