Bab 37
LUQMAN Hakimi merenung air yang memenuhi kolam renang dari tingkat atas
biliknya. Makin direnung makin serabut pula fikirannya. Tidak tenang apabila
perkara petang tadi bermain dibenaknya. Dia keliru sendiri. Antara percaya dan
tidak memikirkan cik adik sayang sudah menjadi milik orang. Dalam soal ini,
memang benarlah Nurin Kamila bercakap benar. Dia sudah menjadi tunangan orang.
Luqman Hakimi kerut dahi lagi. Bila masa agaknya bekas setiausahanya itu sempat
bermain mata dengan mamat itu?. Dalam keadaan sesingkat itu mereka boleh
bertunangan pula. Seakan tidak percaya dengan mainan takdir ini. Dia melihat ke
awan, melihat dada langit yang dipenuhi bintang yang bergemerlapan. Bulan
memancarkan cahaya penuh. Dia senyum pula. Bulan memang cantik laksana cik adik
sayang yang sudah menjadi milik orang. Rasa sesak dadanya. Entah kenapa dia
rasa sakit hati. Entah kenapa dia rasa susah hati bila mengetahui cik Nurin
Kamila menjadi milik orang. Sudah jatuh hatikah dia pada cik adik sayang?. Dia
menggeleng kepala berkali-kali. Cuba menidakkan rasa hati.
“Jauh
mengelamun?!”. Pertanyaan Puan Sri Khalida buat khayalannya berterbangan. Dia
menoleh ke arah datangnya suara itu. Mamanya sudah dilihat tersenyum di sisi katil.
“Puas
mama ketuk pintu, Luke buat tak dengar. Itu yang mama terjah masuk ni”. Terang
Puan Sri Khalida supaya anak lelaki tunggalnya itu tidak salah faham. Bukan
sengaja hendak mengganggu privacy anak lelakinya itu.
“Luke
terpesona tengok bulan, mama. Itu yang tak dengar mama ketuk pintu. Ada hal ke
yang mama nak jumpa Luke?”. Soal Luqman Hakimi. Puan Sri Khalida yang berada di
sisi katil sudah bergerak ke arah balkoni tempat Luqman Hakimi sedang berdiri
sambil menghayati keindahan malam itu.
“Mama
tengok sejak kebelakangan ni Luke macam tegang je?. Luke ada masalah?”. Soal
Puan Sri Khalida merenung wajah Luqman Hakimi yang tampak kusut.
“Maybe
Luke penat kerja kut.” Sangkal Luqman Hakimi. Nampak sangat ke yang dia tengah
tegang sekarang ni?. Dalam hati sempat pula dia bermonolog. Adakah sebab Nurin
Kamila membuatkan dia nampak serabut. Entahlah!. Dia sendiri tidak tahu kemelut
apakah yang melanda dirinya kala ini.
“Apakata
Luke duduk sekejap. Mama ada hal nak bincang.” Terang Puan Sri Khalida lalu
menarik tangan anaknya supaya duduk di kerusi yang disediakan di balkoni ini.
Luqman Hakimi hanya menurut walau
hakikatnya hatinya terasa amat malas sekali hendak melayan kerenah mamanya itu.
“Mama
nak bincang pasal apa? Andrea?”. Soalnya acuh tak acuh. Puan Sri Khalida senyum
lagi.
“Hubungan
Luke dengan Andrea macamana? Okey?”. Soal Puan Sri Khalida tidak sabar. Luqman
Hakimi menghela nafas berat. Kenapalah mamanya tak faham tentang rasa hatinya?.
Dia memang tidak pernah ada hati pada Andrea. Kenapa mamanya tak pernah faham?.
Dia bersoal jawab sendiri.
“Ma!”.
Luqman Hakimi melihat wajah tua milik Puan Sri Khalida. Wajah itu masih cantik
walau usia sudah menginjak ke angka senja. Kemudian dia senyum. Puan Sri
Khalida ikut senyum apabila melihat anaknya tersenyum. Pasti hubungan mereka
baik-baik . Telahnya sendiri apabila melihat reaksi Luqman Hakimi.
“Ma!”.
Luqman Hakimi ulang lagi memanggil Puan Sri Khalida. Kali ini dia meraih tangan
mamanya lalu diusap dan dicium dengan penuh sayang. Puan Sri Khalida agak pelik
dengan kelakuan Luqman Hakimi yang agak berlebihan menunjukkan kasih sayangnya
pada mamanya sendiri.
“Kenapa
Luke?”
“Mama
sayangkan Luke?”. Pertanyaan Luqman Hakimi yang tiba-tiba itu membuatkan dia
tersentak. Tak pernah selama ini Luqman Hakimi mempersoalkan kasih sayangnya.
Kali ini dia pandang wajah Luqman Hakimi dengan seribu persoalan.
“Hai..kenapa
yang tiba-tiba tanya soalan pelik ini. Mama mana yang tak sayangkan anaknya
sendiri?”. Tukas Puan Sri Khalida dengan senyum yang tak lekang dibibirnya.
“Kenapa
Luke soal mama macam tu sekali. Luke fikir mama tak sayangkan Luke ke?. Soalan
macam budak-budak”. Puan Sri Khalida sambung kata pula.
“Sebab
Luke percayakan yang mama sayangkan Luke yang buat Luke tanya soalan ini.” Puan
Sri Khalida sudah kerut kening. Pening pula mendengar kata-kata Luqman Hakimi
yang berbelit-belit itu.
“Luke…
cuba cakap perkara sebenarnya. Peninglah mama dengar ayat belit-belit ni!”.
“Ma…boleh
tak urusan jodoh Luke biar Luke yang pilih dan tentukan sendiri”. Pinta Luqman
Hakimi lembut. Puan Sri Khalida tersentak mendengar permintaan Luqman Hakimi
itu. Pantas dia menarik tangannya yang berada dalam genggaman anaknya itu.
“No…”.
Sangkalnya dengan suara yang tinggi.
“Ma…Luke
tahu mama sayangkan Luke. Selama ini Luke tak pernah tolak segala permintaan
mama. Sejak dari kecil, mama yang tentukan apa yang terbaik buat Luke. Tapi
kali ini Luke minta sangat…biarlah Luke yang buat keputusan sendiri. Ini soal
teman hidup Luke. Biar Luke yang pilih kerana Luke yang nak hidup dengannya
sampai akhir hayat ma…”. Ujar Luqman Hakimi penuh pengharapan. Mukanya sudah
berubah suram. Dalam hati dia berharap sangat kali ini Puan Sri Khalida akan
berkompromi. Sudah terlalu lama mamanya menjadi diktator dalam hidupnya. Puan
Sri Khalida terdiam. Dia melihat wajah suram Luqman Hakimi. Tidak sampai hati pula hendak memaksa anaknya itu mengikut
kehendaknya memilih Andrea sebagai teman hidup. Tapi dia sudah berjanji dengan
Datin Shima. Lagipun banyak rahsianya yang disimpan Datin Shima. Kalau ikutkan
dia pun tak berkenan Andrea menjadi menantunya. Tapi keadaan yang membuatkan
dia tidak boleh memilih.
“Ma…please!”.
Luqman Hakimi masih merayu. Kali ini sudah melutut di depan Puan Sri Khalida.
Kepalanya sudah diletakkan diribaan mamanya. Perlahan tanpa sedar ada air mata
yang melurut keluar dari tubir matanya. Bukan dipinta tapi segalanya berlaku
tanpa dapat ditahan. Puan Sri Khalida terkejut apabila terasa ada air yang
menitis ditangannya. Segera dia mengangkat kepala Luqman Hakimi yang terlentuk
di ribaannya. Dia pandang wajah suram itu. Ada sisa air mata pada kedua-dua
pelupuk mata anaknya itu. Spontan hatinya merasa sebak. Sungguh dia sayangkan
Luqman Hakimi walau bukan dari darah dagingnya sendiri. Dia yang bersusah payah
mendapatkan hak penjagaan sebagai anak angkat. Dia yang bersusah payah mengutip
Luqman Hakimi dari rumah kebajikan kanak-kanak Pengasih. Anak angkat yang tidak
diketahui siapa ibu dan bapanya itu.
“Luke
tak suka pada Andrea?”. Puan Sri Khalida menyoal lagi. dia hendak tahu apa
kurangnya gadis itu di mata anak lelakinya ini. Selalu kemana saja anaknya
pergi, pasti gadis itu yang menjadi
peneman. Sudah tentu Luqman Hakimi senang dengan Andrea. Kalau tidak, kenapa gadis
itu yang diusung ke sana kemari. Kalau ikut logik akal, tentu Luqman Hakimi
suka pada Andrea. Kalau dah suka tentu timbul sayang. Dari sayang akan timbul
rasa cinta. Telahnya sendiri.
“Suka..mama”.
Jawabnya pendek.
“Habis
tu…”
“Suka
tak semestinya cinta mama”. Cepat-cepat Luqman Hakimi menyambung kata sebelum
Puan Sri Khalida dapat menyudahkan kata-katanya itu. Puan Sri Khalida melepas
keluhan. Susah juga hendak meramal hati anak muda zaman sekarang. Suka tak
semestinya cinta. Pelik pun ada.
“Luke dah ada orang lain?”.
Luqman Hakimi menggangguk laju.
“Tapi dia tunang orang”. Tutur
Luqman Hakimi perlahan. Membuntang mata Puan Sri Khalida. Terkejut mendengar
perkataan ‘tunang’.
“Luke…luke…dengan Andrea yang
solo tak berkenan…dengan tunang orang pulak boleh tersangkut. Luke ni..kenapa?.
Dah habis ke gadis dalam dunia ni sampai tunang orang pun nak dirembat?”.
“Luke dah cuba ma…Luke dah cuba
untuk lupakan dia…tapi tak boleh…macamana pun dia mesti jadi milik Luke?”.
“Siapa?”
“Setiausaha abah…”
“Nurin Kamila tu?”. Tinggi suara
Puan Sri Khalida menyoal. Luqman Hakimi diam tidak menjawab.
“Kalau budak tu…sampai mati pun
mama tak akan setuju”. Putus Puan Sri Khalida lalu bangun dari kerusi. Mukanya
sudah bertukar kelat. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik Luqman Hakimi.
Sakit rasa hati bila mendengar nama itu.
p/s: Ini adalah post saya yang terakhir..harap pembaca sekalian sabar menanti untuk melihat manuskrip ini dalam naskhah novel nanti...doakan okey agar segalanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan...terima kasih...