Sunday, 2 February 2014

Mr. Hotter Guy Bab 32

Bab 32
“Kenapa abah tukarkan SU Luke? Kenapa gantikan dengan Jamilah SU abah sendiri?”. Kalut dia menyoal sebaik saja kaki melangkah masuk ke bilik Chairman Berjaya Corporations itu. Tan Sri Hisyam yang sedang menilik beberapa dokumen hanya mempamer satu sengihan di bibirnya. Tak pernah lagi dia melihat reaksi Luqman Hakimi yang cepat melatah.
“Kalau iya pun. Duduklah dulu. Kita bincang elok-elok”. Jawab Tan Sri Hisyam tenang. Luqman Hakimi baru  tersedar yang tingkahnya tadi agak keterlaluan. Agaknya apa yang bermain di minda abahnya mengenai tingkahnya tadi. Harap-harap abahnya tidak dapat meneka mengenai perasaan galaunya kala ini.
Dia menarik kerusi lalu duduk menghadap Tan Sri Hisyam yang kelihatan tenang itu. Kemudian dia menarik nafas supaya kekalutan yang menyinggah benaknya dapat dikurangkan. Entah kenapa, bila ingatkan apa yang berlaku diluar tadi bersama Nurin Kamila, detak hatinya dipalu keras. Kalau benarlah cincin yang tersarung di jari manis cik adik sayang itu adalah cincin tunang. Hish…makin payahlah dia hendak mendapatkan gadis itu. Alamat cabarannya dengan Andrea terpaksa berkubur begitu saja. Nampaknya dia terpaksa mengangkat bendera putih untuk mengisytiharkan dia kalah dalam cabaran itu. Oh…sungguh dia sakit hati kerana tak mahu menerima hakikat kekalahan selagi semangat perjuangan belum lagi padam. 
“Luqman…Luqman…”. Panggil Tan Sri Hisyam mematikan khayalannya.
“Yes…ada apa?”
“Apa yang dikhayalkan?. Abah tanya, apa yang kamu tak puas hati pasal pertukaran SU tu?”. Soal Tan Sri Hisyam lembut. Pelik pula lihat wajah Luqman Hakimi yang seolah-olah khayal, seperti memikirkan masalah yang berat. Berkali-kali dia memanggil nama anaknya itu baru lelaki muda itu tersedar.
“Oh…kenapa abah tukarkan SU Luke? Dia ada repot pasal kelakuan Luke ke sampai abah sanggup tukarkan dia. Dia ada cerita yang Luke buat benda tak senonoh pada dia?.” Soal Luqman Hakimi bertubi-tubi. Tan Sri Hisyam sudah mengangkat kening. Terkejut mendengar pertanyaan demi pertanyaan yang keluar dari mulut Luqman Hakimi. Tidak disangka anaknya mempunyai perangai seburuk ini. Patutlah baru beberapa bulan di Berjaya Corporations, setiausaha lamanya minta berhenti kerja.
“Apa yang Luqman dah buat?”.
“Err…”. Luqman Hakimi sedikit gelabah. Sedar dia terlepas kata.
“Apa yang Luqman dah buat?”. Tan Sri Hisyam menyoal lagi. Kali ini nada suaranya sedikit tegas.
“Er…tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa”. Dia menyangkal semahunya.
“Abah tak sangka. Perangai Luqman seburuk ini. Patutlah setiausaha lama Luqman berhenti kerja. Rupanya anak abah suka ambil kesempatan. Sekarang abah nak tanya apa yang Luqman dah buat pada Nurin Kamila?”.
“Tak ada apa-apa. Mana Luke buat benda tak elok pada dia?”. Luqman Hakimi masih cuba menyembunyikan perkara sebenar. Cuba menutup pekung di dada.
“Kalau tak buat apa-apa. Kenapa Luqman soal abah macam tu tadi?. Jangan bohong Luqman. Abah bukan sehari dua kenal kamu. Abah tahu kalau kamu bohong”. Ugut Tan Sri Hisyam pula. Melihat reaksi Luqman Hakimi yang sedikit gelabah dan tidak mahu bertentang mata dengannya apabila bercakap, dia tahu sangat yang anaknya itu sedang berbohong.
Luqman Hakimi hanya membatukan diri. Dah tak tahu bagaimana nak mengelakkan diri. Salah dia juga kerana menyoal soalan yang bukan-bukan tadi pada abahnya. Akhirnya soalan itu menjerat dirinya sendiri.
“Baik..kalau Luqman tak nak bagitahu perkara sebenar. Biar abah sendiri yang tanya Nurin Kamila. Jangan menyesal kalau abah ambik tindakan pada Luqman nanti. Ingat!. Abah paling berkuasa di syarikat ini”. Kali ini Tan Sri Hisyam sudah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan. Dia hendak tahu setakat mana anaknya ini sanggup berbohong.
“Luke terpaksa abah. Hanya dia je penyelamat  Luke”.
“Maksud Luqman?. Abah tak faham”.
“Luke bertaruh dengan Andrea. Kalau Luke dapat memenangi hati Nurin dan menjadi tunangnya dalam masa terdekat ni, maka Luke tak perlu berkahwin dengan Andrea. Lagipun memang Luke tak sukakan Andrea. Hanya dengan cara ni je Luke dapat lepaskan diri dari dia, abah”. Ujar Luqman Hakimi panjang lebar. Datuk Hisyam hanya menggelengkan kepala. Tak disangka cetek betul pemikiran anaknya itu sehingga sanggup buat perkara yang sia-sia. Malahan terpaksa menjadikan Nurin Kamila sebagai kambing hitam pula.
“Luqman…luqman…Kenapa sanggup main-main dengan perasaan orang lain?. Banyak cara lain lagi yang Luqman boleh elak dari Andrea. Bukan dengan mainkan perasaan orang”. Marah Tan Sri Hisyam. Kalau dulu jika dia tidak tahu siapa Nurin Kamila sebenarnya. Mungkin dia akan bersikap tidak masuk campur untuk mempertahankan gadis itu. Namun sekarang, dia tak akan membiarkan satu-satu permata hati yang dimiliki dipemainkan orang sesuka hati.
“Abah fikir…bolehkah Luke lepaskan diri dari dia. Mama sendiri suka nak jodohkan Luke dengan dia. Luke tak suka abah. Perkara yang paling penting dalam hidup Luke pun mama nak masuk campur”. Balas Luqman Hakimi tidak puas hati.
“Semua tu serah pada abah. Tahulah macam mana abah nak bereskan. Kalau dulu abah terlalu berlembut dengan mama kamu. Sekarang, jangan harap. Dah terlalu banyak abah bagi muka pada mama kamu. Sampai dia naik lemak dan lupa batasan seorang isteri”.
“Betul…abah dapat tolong Luke?”. Roman wajah Luqman Hakimi sudah sedikit ceria. Tan Sri Hisyam  membalas dengan senyuman.
“Ya…tapi bersyarat”.
“Syarat?”.
“Kamu kena terima apa yang abah tetapkan. Nurin Kamila bukan setiausaha kamu lagi.”
“Oh…kalau yang tu syaratnya, dengan senang hati saya turuti abah’. Balasnya girang. Ingatkan apalah syarat yang diletakkan oleh Tan Sri Hisyam itu. Rupanya semudah ABC saja. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Hati sudah berlagu riang. Langkah sudah dihayun untuk keluar dari bilik abahnya. Hari ini dia rasa beban yang ditanggung sudah tiada lagi. Nampaknya tak perlu dia terikat lagi dengan Andrea. Lepas bala. Desisnya dalam hati.   
AKU melangkah masuk ke bilik fail tempat Shira berkerja itu dengan perasaan yang berbelah bagi. Masuk kali ini entah berapa kali aku berulang alik ke tempatnya bekerja itu. Tidak lain tidak bukan, aku lakukan semata-mata untuk menuntut kemaafan darinya. Minah itu asyik menyusun fail tanpa mempedulikan aku yang serupa tunggul sedang berdiri di sebelahnya. Sedikit pun dia tidak membalas senyuman aku yang seperti kerang tiada bau ini. Sedas dia menjeling aku dan sambung kerjanya. Dia buat aku serupa halimunan yang tidak wujud di depan matanya itu. Haish…susahnya kalau nak memujuk makcik seorang ni. Rajuknya kalah budak-budak.
“Beb…sudah-sudahlah lancar perang dingin tu!. Pitam dah aku asyik ulang alik nak minta maaf kat kau.” Ujarku sambil kerut kening. Suara pun sudah naik lemau kerana terlalu banyak memujuk minah seorang ini. Dia toleh tengok aku. Kemudian dia tarik muncung dan sambung kerja lagi.  
“Shira…sudah-sudahlah”. Aku ulang ayat yang sama.
“Hmm…tahu takut…”. Balasnya ringkas. Membulat mataku mendengar ayat yang keluar dari mulut Shira. Minah itu sudah mengulum senyum melihat aku. Kemudian dia ketawa dengan mulut yang ternganga luas. Aku pula yang rasa panas berangin. Rupanya selama ini sengaja dia nak main-mainkan aku. Sengaja nak mendera perasaan aku dengan melancar mogok 24 jam tidak bercakap denganku.
“Hish…rasakan-rasakan”. Beberapa cubitan sudah singgah dilengan Shira. Memang geram sangat. Dahla kepala aku serabut berdepan dengan lelaki itu. Shira pula nak menambah perasa pada kepala aku ini.
“Wooi…sakitlah makcik. Ingat lengan aku ni kusyen ke…yang sesedap rasa kau cubit”.
“Sapa suruh mainkan aku. Sakit jiwa tau tak…kalau housemate merangkap roommate buat tak layan”. Balasku separuh menjerit.
“Saja ler…aku nak main-main. Bestlah kau yer…dari setiausaha CEO dah jadi setiausaha Chairman. Rezeki tu…tak sia-sia kita jadi samseng Kampung Dusun semalam”.
“Memanglah rezeki. Tapi aku tetap tak dapat lari dari dia. Tadi dia datang menyerang aku. Marah betul. Dia fikir pertukaran aku ni pasal aku dah adukan perkara buruk  dia kat Chairman tu”.
“Ah…jangan layanlah…janji kau bukan under dia lagi. Kerja bawah chairman lagi best. Aku dengar ramai staf kat sini suka benar dengan cara Chairman. Patutnya kau bersyukur. Bertuah dapat kerja dengan orang baik-baik ni”. Shira menitipkan semangat buat aku. Lega rasa hati bila lihat Shira sudah kembali normal. Ceria sentiasa. Hilang serabut kepala aku sejak semalam gara-gara Shira lancar mogok tak nak bersuara.
“Weh..kerja-kerja juga. Jam dah masuk pukul 5. Kau overtime ke?”. Soal aku tatkala lihat Shira masih ligat menyusun fail-fail di rak yang disediakan. Pukul 5 bermaksud kerja sudah habis. Masa untuk bungkus segala apa yang patut.
“Aha..la..sibuk susun fail, tak sedar masa kerja dah habis. Okeylah Nurin…aku nak susun satu rak ni je bagi siap. Kau tunggu aku kat lobby je lah.”
“Okey…aku nak ke bilik solat dulu. Nanti siapa sampai dulu…dialah yang tunggu”.

“Okey”. Balas Shira sepatah. Aku menghayun langkah keluar dari bilik kerja Shira. Saat ini rasa tenang sangat bila Shira sudah kembali ceria. Langkah kuteruskan menuju ke bilik solat.

Mr.Hotter Guy Bab 31

Bab 31
      MASUK ke pejabat pagi ini membuatkan harinya terasa kelibang kelibut. Serba tak kena jadinya. Wajah cik adik sayang sudah digantikan dengan wajah Cik Jamilah andartu tembam itu. Patah selera, patah nafsu hendak menjamu mata hari ini. Sejak dari rumah lagi, dia sudah merangka pelbagai perkara untuk menyakitkan hati cik adik sayang. Malangnya, apa yang diinginkan tidak kesampaian.
“Bila masa yang awak jadi secretary saya ni?”. Soalan pertama diucap dengan nada tinggi bila melihat wajah Jamilah di depan mata. Baru tadi dia mengeluarkan arahan melalui interkom untuk berjumpa setiausahanya dengan kadar segera. Alih-alih di depan matanya ini bukan cik adik sayang, tapi Cik Jamilah tembam, setiausaha abahnya itu. 
“Maaf…Encik Luqman. Semua ini berlaku secara drastik. Saya pun baru dapat memo pagi ni masa masuk kerja tadi. Chairman sendiri yang keluarkan arahan. Saya hanya menurut perintah”. Balas Cik Jamilah dengan senyum sengihnya. Memang dia hanya menurut perintah. Namun dalam hati dia berasa syukur sangat dengan rezeki yang ALLAH kurniakan untuknya. Selama berkerja di Berjaya Corporation, dia tidak pernah bermimpi dapat bekerja di bawah anak bos yang terkenal dengan gelaran Hotter Guy itu. Memang rezeki. Hari-hari dapat cuci mata melihat lelaki hensem di depan mata ini.
“Habis Nurin Kamila? Secretary saya tu kat mana pulak posisi kerjanya?”. Dia menyoal lagi.
“Saya kurang pasti Encik Luqman”. Luqman Hakimi menarik nafas kasar. Sakit hati memikirkan tentang Nurin Kamila yang terlepas dari pandangannya. Ingat minah tu boleh relaks kalau dah tak kerja di bawahnya lagi. Jangan harap. Selagi masih di bawah bumbung Berjaya Corporations, dia akan menyeksa gadis itu habis-habisan. Selagi sakit di kepala, selagi sakit di hati masih berbekas, jangan harap gadis itu dapat terlepas darinya.
“Awak boleh keluar sekarang”. Dia sudah mengarah Cik Jamilah segera keluar dari biliknya. Dia sendiri sudah bangun dari kerusi kerjanya. Hati sudah tidak sabar hendak berjumpa dengan Chairman Berjaya Corporations. Atas alasan apa sewenang-wenangnya abahnya menukar posisi setiausahanya itu. Tanpa berbincang, alih-alih dia menerima setiausaha baru yang tidak memenuhi langsung  kriteria mencuci mata.

SYUKUR ALHAMDULILAH…hanya itu saja yang bermain di bibirku kala ini. Baru kaki hendak melangkah ke meja kerja, satu memo ringkas disuakan padaku oleh Puan Liza.
“Berkuaskuasa serta-merta”. Ucapnya bila memo itu aku ambil dan kubaca. Bulat biji mata kerana tak percaya. Seingatku selepas berjumpa Tan Sri Hisyam a.k.a Pakcik Hisyam yang kusangka peon Berjaya Corporations itu, tak ada pulak aku bincang mengenai pertukaran jabatan atau posisi kerja. Tak sempat pun aku bincang mengenai perangai anaknya yang serupa lelaki gila seks. Yang kupasti lepas aku tahu Pakcik Hisyam itu Tan Sri Hisyam, Chairman Berjaya Corporations terus aku lari keluar dari pejabatnya. Sebabnya aku malu sendiri. Sudah tiga kali aku bertembung dengannya di bangunan tempatku mencari rezeki ini. Namun aku masih tak tahu dialah tuan punya Berjaya Corporations. Tambah memalukan setiap kali aku lalu di depan kaunter pertanyaan, sudah sah-sah terpampang gambar setiap pemegang syer terbesar dalam syarikat ini. Tapi aku masih bersikap selamba, tak ambil kisah kerana aku fikir tak ada maknanya aku akan berurusan dengan mereka ini satu masa nanti. Natijahnya, apa yang aku fikir tak akan berlaku itu, maka itulah yang berlaku padaku semalam.
Meja kerja yang menjadi milik Cik Jamilah semalam, hari ini sudah menjadi milikku. Lega rasa hati kerana tak perlu lagi aku tatap muka lelaki 18sx itu. Meja kosong itu aku make over mengikut citarasaku ini. Hati terasa bahagia dan sebuah senyuman sudah meniti bibirku kala ini. Hilang stres gara-gara dalam minggu ini aku diserang lelaki gatal, miang dan mulut celupar itu. Baru mulut hendak berdangdut keriangan, satu dehaman buat aku berpusing tubuh 180 darjah. Aku telan liur bila lihat wajah lelaki di depanku ini.
“Seronok?.” Soalnya bercekak pinggang. Aku pandang dia tanpa berkelip.
“Jangan ingat boleh lepas dari saya Nurin. Apa yang awak dah gula-gulakan chairman sampai posisi awak ditukar dengan minah tembam tu?”. Soalnya lagi tidak puas hati.
“Mana ada?. Saya tak cakap apa-apa pun. Saya pun terkejut dapat memo pagi ni”. Balasku tergagap-gagap. Sebenarnya takut melihat reaksi mukanya yang penuh berapi itu. Takut, kalau-kalau lelaki ini buat perkara yang tak senonoh seperti semalam.
“Jangan nak berlakon terkejut sangatlah Nurin. Macam saya tak tahu. Entah apa yang awak repot pada abah saya. Entah apa yang awak dah reka cerita”. Dia menyembur prasangka pulak padaku.
Lemah semangat hatiku ini bila dituduh yang bukan-bukan, sungguhpun memang dia berkelakuan tidak senonoh terhadap aku. Tapi tak sampai pula hatiku hendak mengadu yang bukan-bukan di depan Chairman Berjaya Corporations semalam. Entah kenapa bila sepasang mataku menatap muka Tan Sri Hisyam, semangat yang berkobar-kobar hendak mengadu kelakuan buruk anaknya itu mati tiba-tiba.  Wajah tenang itu mematikan segala-galanya. Akhirnya aku keluar dari bilik Chairman itu tanpa mengadu apa-apa. Kesian pada Shira kerana bersungguh-sungguh menolong aku semalam. Kesian juga pada aku kerana sejak semalam sampai ke hari ini, Shira merajuk tak nak cakap dengan aku kerana pertolongannya telah aku sia-siakan.
“Demi ALLAH…saya tak cakap apa-apa”. Kataku cuba mempertahankan kebenaran. Matanya sudah merenung aku semacam. Dia tarik tangan aku lalu dicekak dengan kuat.
“Jangan fikir aku akan percaya”.
“Lepaslah. Kalau awak tak nak percaya. Terpulanglah”. Balasku geram. Aku cuba tarik tanganku yang berada dalam cengkamannya. Berkali-kali aku meronta, namun masih kejap dia memegang. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Kenapalah nasib aku begini?. Kenapalah aku boleh terjebak dengan lelaki ini?. Alangkah baiknya kalau dapat ku undur masa. Kalau aku tahu begini nasibku, tak mungkin aku akan menerima tawaran bekerja di sini.
‘Nurin…kita bukan ahli nujum yang boleh meramal masa depan. Kau tak percaya pada Qada dan Qadar ALLAH?’. Hati sudah mempersoalkan kepercayaanku pula.
“Encik Luke…tolonglah. Lepaskan tangan saya. Sakit.” Kataku separuh merayu. Air mata yang sudah bergenang, kini melurut ke pipi tanpa dapat kutahan. Perlahan dia lepaskan tanganku dengan wajah tidak puas hati. Kemudian dia menarik semula tanganku. Terkejut aku dengan tindakannya. Apa lagi yang dia tak puas hati agaknya?. Dia tenung jari manisku yang dihiasi cincin belah rotan pemberian Shahril Aiman itu. Kemudian dia lepas tanganku dengan kasar.
“Cincin apa ni?. Selama ni tak nampak pun awak pakai sebarang cincin”. Soalnya dengan dahi berkerut. Aku terdiam sekejap. Terkejut kerana tak kusangka selama ini dia menilik apa yang ada ditubuhku ini. Aku telan liur berkali-kali. Memanglah lelaki ini lelaki 18sx.
“Awak apa peduli?”. Marahku.
“Jangan kata itu cincin tunang, cik adik sayang”. Katanya bersama senyuman perlian. Aku tarik nafas berat. Lelaki ini memang sengaja mencari pasal hendak menyakitkan hati aku.
“Kalau ya, kenapa?. Ingat saya tak laku?. Ingat tak ada orang yang nak orang miskin macam saya”. Bidasku jengkel. Dia terus-terusan senyum.
“Kalaupun awak nak lari dari saya, jangan cakap awak dah bertunang. Sengkek betul tunang awak yer?...cincin belah rotan yang pudar dan kusam itu pun awak sanggup terima. Memang nampak sangat awak main rembat je. Memang awak ni tak laku. Asal tangkap muat je”. Kata-katanya yang menghina terasa menghiris tangkai hatiku. Kenapa lelaki ini secelupar ini?. Ikut sedap mulut menghina aku tidak laku hanya kerana menerima cincin belah rotan yang pudar warnanya.
“Sudahlah Nurin. Tak payah nak bersandiwara. Kalau ya pun awak dah bertunang, itu bukan bermakna saya tak ada peluang. Kalau awak isteri orang pun saya sanggup rampas”. Ucapnya yakin bersama senyuman sinis di bibir. Kemudian dia menapak ke arah pintu pejabat milik chairman.

Aku hanya mampu berdiri mematungkan tubuh. Nafas yang kuhela terasa tersekat-sekat. Tak pernah lagi aku bertemu dengan lelaki gila sepertinya. Sanggup hendak merampas hak orang lain. Tidakkah dia tahu, berdosa besar merampas hak orang lain walaupun aku hanya tunang orang belum lagi menjadi seorang isteri. Aku raup muka lagu ku istigfar berulang kali di dalam hati. Minta ALLAH berikan aku kesabaran untuk menghadapi ujianNYA ini.

Mr. HOtter Guy Bab 30

Bab 30
      Bulat mata Tan Sri Hisyam sebaik saja dia melihat foto-foto yang diberikan penyiasat upahannya itu buat tatapan matanya. Dia meraup muka berkali-kali. Istigfar tak habis-habis diulang-ulang sebut di bibirnya. Kemudian dia peluk pula tubuh Berahim yang masih setia di sisi.
      “Alhamdulilah…Berahim. Alhamdulilah…” Dia raup mukanya lagi. Ada air mata yang mengalir di pipi tuanya itu. Berahim yang setia di sisinya, hanya menepuk mesra bahu Tan Sri Hisyam. Dia turut tersenyum kegembiraan melihat wajah ceria sahabatnya itu. Selama bekerja di sini, inilah kali pertama dia melihat wajah Tan Sri Hisyam yang ceria seperti bulan penuh itu.
      “Saya ke kampungnya di Sungai Petani 2 hari lepas. Sempat saya tanya pada orang-orang kampung di situ. Memang tak syak lagi, Puan Zaimah dan ayahnya berpindah ke situ dan membeli tanah 25 tahun yang lepas. Masa tu Puan Zaimah sedang mengandung anak sulungnya…Tan Sri”. Terang Bakri penyiasat upahan itu panjang lebar.
      “Saya sempat ambil gambar Zaimah sekeluarga. Itu pun secara curi-curi. Dengan khabar anaknya baru saja dilamar. Cuma saya tak pasti sama ada lamaran itu diterima atau tidak”. Sambung Bakri lagi. Tan Sri Hisyam  beralih duduk pula  menyandar di kerusinya. Dia masih mengamati foto-foto yang ada ditangannya. Wajah Zaimah masih seperti dulu, tidak berubah sedikit pun walau ada garis tua menghiasi dahi isterinya itu.
      “Nanti kita ke kampungnya Berahim. Aku dah tak sabar nak jumpa mereka. Aku dah tak sabar nak jumpa anakku”. Balasnya pula.
      “Sabar…Tan Sri. Cuba Tan Sri amati betul-betul wajah anak Tan Sri ini”. Arah Berahim pula pada salah satu foto yang terdampar di atas meja Chairman itu. Pantas mata Tan Sri Hisyam menala ke arah foto yang ditunjukkan Berahim.
      “Ya ALLAH…Berahim…hebatnya takdir ALLAH”. Tiba-tiba terletus kata-kata itu dari mulut Tan Sri Hisyam. Sungguh tak disangka, gadis yang disapanya di dalam lif tadi adalah anak gadisnya sendiri, Nurin Kamila Hisyam. Patutlah setiap kali dia bertentang mata dengan gadis itu seperti ada satu rasa yang amat payah untuk ditafsirkan. Dalam wajah itu ada wajah Zaimah. Sesungguhnya hanya ALLAH saja yang maha mengetahui. Dia beristigfar lagi.
      “Bakri..terima kasih atas siasatan awak itu. Nah…bayaran untuk khidmat awak”. Tan Sri Hisyam hulurkan cek buat khidmat Bakri selama ini. Tersungging senyuman puas hati dari Bakri apabila menilik jumlah kosong yang tertera pada cek yang diberikan Tan Sri Hisyam itu. Memang berbaloi. Desisnya dalam hati.
      “Tan Sri nak saya teruskan siasatan berkenaan peristiwa kebakaran tu. Nak saya cari siapa dalangnya?”. Soal Bakri pula. Andai dia meneruskan siasatan, tentu bayaran yang akan diterima berkali-kali ganda lumayan. Dia sengih pula. Pantas Tan Sri Hisyam menggeleng.
      “Buat masa ni…cukuplah dulu. Bila saya perlukan khidmat awak. Saya akan inform. Apapun saya ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat awak. Memang bagus”. Puji Tan Sri Hisyam lagi. Kemudian mereka berjabat tangan tanda urusan sudah selesai. Tan Sri Hisyam memberi isyarat mata pada Berahim supaya mengiringi Bakri keluar dari pejabatnya. Dia terus kembali menatap foto-foto yang terdampar di atas mejanya. Baru tangan hendak mencapai foto milik Nurin Kamila, pantas pintu pejabatnya ditolak kasar dari luar. Berahim dan Bakri yang baru hendak memegang tombol pintu turut terkejut dengan tolakan kasar pintu pejabat milik Chairman Berjaya Corporations itu.
      Tan Sri Hisyam turut terkejut melihat wajah yang ada di depannya itu. Segera tangannya mencapai semua foto yang ada di atas mejanya lalu disembunyikan di dalam laci mejanya.
      “Maaf…Tan Sri…saya dah halang. Tapi mereka tak peduli. Habis dirempuhnya saya Tan Sri…”Adu wanita berbadan gempal merangkap setiausaha Tan Sri Hisyam itu.
      “Tak apa. Milah. Awak boleh keluar.” Arah Tan Sri Hisyam.
      “Berahim…iring Bakri keluar”. Berahim hanya mengangguk. Sebelum keluar sempat lagi Berahim menghadiahkan sebuah senyuman buat gadis comel bersama temannya itu.


“SAYA nak jumpa Chairman”. Pinta Shira pada wanita bertubuh gempal yang duduk di meja khusus tertulis ‘ Jamilah Kasim’. Barangkali  setiausaha Chairman agaknya.
“Atas urusan apa ye?...dah buat temujanji”. Soal Jamilah. Shira menggeleng. Aku yang ada di sisi Shira, turut menggeleng.
“Kalau macam tu…maaflah. Kamu berdua tak boleh jumpa kalau tak buat temujanji dulu”.
“Tak boleh puan”.
“Ehem…bukan puan tapi cik”. Wanita bernama Jamilah itu membetulkan panggilan yang diutarakan Shira. Hmm…nasiblah kalau terpanggil ‘puan’. Maklumlah pada tanda namanya tak ada pula diletakkan gelaran di situ.
“Maaf puan…err…cik…tapi ini urgent”. Kali ini aku pula yang bersuara. Sudah sampai tahap merayu. Memang aku dah tak boleh tahan lagi memikirkan apa yang berlaku pada aku pagi tadi. Kalau lama-lama dibiarkan, aku rasa lelaki gila 18sx itu akan sampai tahap kronik tak dapat dibendung pula. Aku yang bakal menjadi mangsanya nanti.
“Ish…tak faham bahasa agaknya. Saya kata tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah meninggi suara. Shira dan aku hanya melopong. Percuma saja kena tengking hari ini. Aku sudah mula hendak melangkah balik. Sia-sia saja rasanya perancangan kami hendak jumpa Chairman, sedangkan depan setiausahanya lagi kami sudah ditengking sebegini. Apatah lagi hendak berdepan dengan Chairman.
“Sudahlah…Shira. Jomlah kita balik ke tempat masing-masing. Sia-sia saja. Nampaknya aku  kena tawakal sajalah”. Balasku sambil menarik lengan Shira supaya beredar dari situ. Shira masih berat untuk melangkah. Sebaliknya dia tarik lengan aku, menonong aku mengikut langkahnya yang laju.
“Kalau tak boleh cara elok, kita rempuh je. Ya tak ya pun, memang kita bakal kena pecat nanti”.
“Hish…nak kemana ni? Saya kata tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah main tarik-tarik tangan Shira. Aku yang ada di sebelah hanya jadi pemerhati.
“Kau masuk je Nurin…biar aku je berdepan dengan Cik Jamilah tembam ni” Arah Shira pada aku yang sedikit blur ini. Baru nak melangkah Cik Jamilah sudah menghadang di depan pintu bilik Chairman pula. Serupa kami sedang main konda-kondi. Shira yang tak sabar itu terus merempuh tubuh gempal Cik Jamilah. Terduduk minah itu atas lantai. Segera Shira pulas tombol sambil menarik tangan aku untuk segera masuk ke bilik Chairman. Kalau lihat tingkah kami memang serupa samseng Kampung Dusun layaknya.
“Pakcik!”. Hanya perkataan itu saja terluah dari bibirku. Terkejut melihat Pakcik Hisyam duduk menyandar di kerusi Chairman Berjaya Corporations itu. Segak bergaya dengan kot dan tali leher yang menghiasi tubuhnya. Memang sekali pandang, sudah hilang gayanya sebagai peon di syarikat ini. Aku kalih pandang pada Pak Berahim yang berada di balik pintu. Terkejut melihat lelaki itu turut berada di situ. Tapi Pak Berahim hanya bersikap selamba. Dia  menghadiahkan aku sebuah senyuman sebelum dia melangkah keluar bersama kenalannya itu. Aku pula yang terkaku di situ. Kenapa mesti pakcik Hisyam peon syarikat ini yang duduk di kerusi Chairman itu?. Aku keliru sendiri. Penat otak memikir, adakah aku yang silap membuat andaian selama ini. Shira yang berada di sebelah sudah menyiku lenganku.
“Cakaplah…kan Chairman kat depan tu?”. Desak Shira. Aku pandang Shira sambil kerut kening.
“Chairman ke?. Bukan peon syarikat ni?”. Aku soal Shira semula inginkan kepastian. Berderai ketawa Shira tanpa dapat dikawal lagi. Memang hodoh sungguh lihat muka Shira yang berkerut-kerut ketawakan aku. Ini, kalau bakal mak mertua tengok, sahih cancel jadi menantu. Desisku menahan marah.   
      “Ada apa yang boleh saya bantu?”. Soalnya mesra. Aku masih lagi keliru. Betul ke Pakcik Hisyam ini chairman Berjaya Corporations?. Aku masih berteka-teki sendiri.
      “Saya nak jumpa Chairman!”. Balasku. Pakcik Hisyam hanya tersenyum. Barangkali lucu melihat aku  yang terkulat-kulat tidak pasti dengan siapa aku bercakap ini. Shira di sebelah sudah terjegil biji mata sambil berdeham. Marah barangkali kerana aku masih tidak mempercayai kata-katanya tentang lelaki yang berada di hadapan kami ini.
      “Sayalah Chairman!. Kenapa? Tak percaya?”. Soalnya bertubi-tubi. Namun air mukanya masih lagi ceria. Kalau orang lain, mesti aku sudah disembur atau diberi surat amaran kerana tidak mengenali orang paling atas di Berjaya Corporations ini.
      “Tapi…”
      “Isy…betullah mangkuk. Aku kerja satu level dengan Chairman. Hari-hari aku bertembung dengan dia. Kau tu yang tak ambil peduli langsung dengan orang paling atas tempat kau cari makan ni”. Sempat lagi Shira memarahi aku dengan suara yang ditahan-tahan.  Cuba nak cover line konon. Tapi volume suaranya dah serupa pakai pembesar suara. Aku alih pandang renung Shira. Ada ke patut dipanggilnya aku mangkuk. Ingat aku ni mangkuk tingkat ke?
      Pakcik Hisyam yang ada di depan mata sudah ketawa mengekek. Lucu barangkali melihat kami bertengkar mempersoalkan kedudukannya di Berjaya Corporations ini. Aku pandang wajah ceria Pakcik Hisyam yang sedang ketawa itu, spontan mataku meliar melihat sekeliling biliknya. Terbeliak  biji mata aku melihat gambar dia bersama pemegang saham Berjaya Corporation. Bos 18sx bersama Puan Sri Khalida turut ada dalam gambar itu. Serta merta aku tertelan air liur sendiri. Nampaknya aku sudah silap menilai orang.