Monday, 3 March 2014

Mr.Hotter Guy Bab 37

Bab 37
LUQMAN Hakimi merenung air  yang memenuhi kolam renang dari tingkat atas biliknya. Makin direnung makin serabut pula fikirannya. Tidak tenang apabila perkara petang tadi bermain dibenaknya. Dia keliru sendiri. Antara percaya dan tidak memikirkan cik adik sayang sudah menjadi milik orang. Dalam soal ini, memang benarlah Nurin Kamila bercakap benar. Dia sudah menjadi tunangan orang. Luqman Hakimi kerut dahi lagi. Bila masa agaknya bekas setiausahanya itu sempat bermain mata dengan mamat itu?. Dalam keadaan sesingkat itu mereka boleh bertunangan pula. Seakan tidak percaya dengan mainan takdir ini. Dia melihat ke awan, melihat dada langit yang dipenuhi bintang yang bergemerlapan. Bulan memancarkan cahaya penuh. Dia senyum pula. Bulan memang cantik laksana cik adik sayang yang sudah menjadi milik orang. Rasa sesak dadanya. Entah kenapa dia rasa sakit hati. Entah kenapa dia rasa susah hati bila mengetahui cik Nurin Kamila menjadi milik orang. Sudah jatuh hatikah dia pada cik adik sayang?. Dia menggeleng kepala berkali-kali. Cuba menidakkan rasa hati.
           
“Jauh mengelamun?!”. Pertanyaan Puan Sri Khalida buat khayalannya berterbangan. Dia menoleh ke arah datangnya suara itu. Mamanya sudah dilihat  tersenyum di sisi katil.
           
“Puas mama ketuk pintu, Luke buat tak dengar. Itu yang mama terjah masuk ni”. Terang Puan Sri Khalida supaya anak lelaki tunggalnya itu tidak salah faham. Bukan sengaja hendak mengganggu privacy anak lelakinya itu.

            “Luke terpesona tengok bulan, mama. Itu yang tak dengar mama ketuk pintu. Ada hal ke yang mama nak jumpa Luke?”. Soal Luqman Hakimi. Puan Sri Khalida yang berada di sisi katil sudah bergerak ke arah balkoni tempat Luqman Hakimi sedang berdiri sambil menghayati keindahan malam itu.

            “Mama tengok sejak kebelakangan ni Luke macam tegang je?. Luke ada masalah?”. Soal Puan Sri Khalida merenung wajah Luqman Hakimi yang tampak kusut.

            “Maybe Luke penat kerja kut.” Sangkal Luqman Hakimi. Nampak sangat ke yang dia tengah tegang sekarang ni?. Dalam hati sempat pula dia bermonolog. Adakah sebab Nurin Kamila membuatkan dia nampak serabut. Entahlah!. Dia sendiri tidak tahu kemelut apakah yang melanda dirinya kala ini.

            “Apakata Luke duduk sekejap. Mama ada hal nak bincang.” Terang Puan Sri Khalida lalu menarik tangan anaknya supaya duduk di kerusi yang disediakan di balkoni ini. Luqman Hakimi  hanya menurut walau hakikatnya hatinya terasa amat malas sekali hendak melayan kerenah  mamanya itu.

            “Mama nak bincang pasal apa? Andrea?”. Soalnya acuh tak acuh. Puan Sri Khalida senyum lagi.

            “Hubungan Luke dengan Andrea macamana? Okey?”. Soal Puan Sri Khalida tidak sabar. Luqman Hakimi menghela nafas berat. Kenapalah mamanya tak faham tentang rasa hatinya?. Dia memang tidak pernah ada hati pada Andrea. Kenapa mamanya tak pernah faham?. Dia bersoal jawab sendiri.

            “Ma!”. Luqman Hakimi melihat wajah tua milik Puan Sri Khalida. Wajah itu masih cantik walau usia sudah menginjak ke angka senja. Kemudian dia senyum. Puan Sri Khalida ikut senyum apabila melihat anaknya tersenyum. Pasti hubungan mereka baik-baik . Telahnya sendiri apabila melihat reaksi Luqman Hakimi.

            “Ma!”. Luqman Hakimi ulang lagi memanggil Puan Sri Khalida. Kali ini dia meraih tangan mamanya lalu diusap dan dicium dengan penuh sayang. Puan Sri Khalida agak pelik dengan kelakuan Luqman Hakimi yang agak berlebihan menunjukkan kasih sayangnya pada mamanya sendiri.

            “Kenapa Luke?”

            “Mama sayangkan Luke?”. Pertanyaan Luqman Hakimi yang tiba-tiba itu membuatkan dia tersentak. Tak pernah selama ini Luqman Hakimi mempersoalkan kasih sayangnya. Kali ini dia pandang wajah Luqman Hakimi dengan seribu persoalan.

            “Hai..kenapa yang tiba-tiba tanya soalan pelik ini. Mama mana yang tak sayangkan anaknya sendiri?”. Tukas Puan Sri Khalida dengan senyum yang tak lekang dibibirnya.

            “Kenapa Luke soal mama macam tu sekali. Luke fikir mama tak sayangkan Luke ke?. Soalan macam budak-budak”. Puan Sri Khalida sambung kata pula.

            “Sebab Luke percayakan yang mama sayangkan Luke yang buat Luke tanya soalan ini.” Puan Sri Khalida sudah kerut kening. Pening pula mendengar kata-kata Luqman Hakimi yang berbelit-belit itu.

            “Luke… cuba cakap perkara sebenarnya. Peninglah mama dengar ayat belit-belit ni!”.

            “Ma…boleh tak urusan jodoh Luke biar Luke yang pilih dan tentukan sendiri”. Pinta Luqman Hakimi lembut. Puan Sri Khalida tersentak mendengar permintaan Luqman Hakimi itu. Pantas dia menarik tangannya yang berada dalam genggaman anaknya itu.

            “No…”. Sangkalnya dengan suara yang tinggi.

            “Ma…Luke tahu mama sayangkan Luke. Selama ini Luke tak pernah tolak segala permintaan mama. Sejak dari kecil, mama yang tentukan apa yang terbaik buat Luke. Tapi kali ini Luke minta sangat…biarlah Luke yang buat keputusan sendiri. Ini soal teman hidup Luke. Biar Luke yang pilih kerana Luke yang nak hidup dengannya sampai akhir hayat ma…”. Ujar Luqman Hakimi penuh pengharapan. Mukanya sudah berubah suram. Dalam hati dia berharap sangat kali ini Puan Sri Khalida akan berkompromi. Sudah terlalu lama mamanya menjadi diktator dalam hidupnya. Puan Sri Khalida terdiam. Dia melihat wajah suram Luqman Hakimi. Tidak sampai hati  pula hendak memaksa anaknya itu mengikut kehendaknya memilih Andrea sebagai teman hidup. Tapi dia sudah berjanji dengan Datin Shima. Lagipun banyak rahsianya yang disimpan Datin Shima. Kalau ikutkan dia pun tak berkenan Andrea menjadi menantunya. Tapi keadaan yang membuatkan dia tidak boleh memilih.

            “Ma…please!”. Luqman Hakimi masih merayu. Kali ini sudah melutut di depan Puan Sri Khalida. Kepalanya sudah diletakkan diribaan mamanya. Perlahan tanpa sedar ada air mata yang melurut keluar dari tubir matanya. Bukan dipinta tapi segalanya berlaku tanpa dapat ditahan. Puan Sri Khalida terkejut apabila terasa ada air yang menitis ditangannya. Segera dia mengangkat kepala Luqman Hakimi yang terlentuk di ribaannya. Dia pandang wajah suram itu. Ada sisa air mata pada kedua-dua pelupuk mata anaknya itu. Spontan hatinya merasa sebak. Sungguh dia sayangkan Luqman Hakimi walau bukan dari darah dagingnya sendiri. Dia yang bersusah payah mendapatkan hak penjagaan sebagai anak angkat. Dia yang bersusah payah mengutip Luqman Hakimi dari rumah kebajikan kanak-kanak Pengasih. Anak angkat yang tidak diketahui siapa ibu dan bapanya itu.

            “Luke tak suka pada Andrea?”. Puan Sri Khalida menyoal lagi. dia hendak tahu apa kurangnya gadis itu di mata anak lelakinya ini. Selalu kemana saja anaknya pergi, pasti  gadis itu yang menjadi peneman. Sudah tentu Luqman Hakimi senang dengan Andrea. Kalau tidak, kenapa gadis itu yang diusung ke sana kemari. Kalau ikut logik akal, tentu Luqman Hakimi suka pada Andrea. Kalau dah suka tentu timbul sayang. Dari sayang akan timbul rasa cinta. Telahnya sendiri.

            “Suka..mama”. Jawabnya pendek.

            “Habis tu…”

            “Suka tak semestinya cinta mama”. Cepat-cepat Luqman Hakimi menyambung kata sebelum Puan Sri Khalida dapat menyudahkan kata-katanya itu. Puan Sri Khalida melepas keluhan. Susah juga hendak meramal hati anak muda zaman sekarang. Suka tak semestinya cinta. Pelik pun ada.

“Luke dah ada orang lain?”. Luqman Hakimi menggangguk laju.

“Tapi dia tunang orang”. Tutur Luqman Hakimi perlahan. Membuntang mata Puan Sri Khalida. Terkejut mendengar perkataan ‘tunang’.

“Luke…luke…dengan Andrea yang solo tak berkenan…dengan tunang orang pulak boleh tersangkut. Luke ni..kenapa?. Dah habis ke gadis dalam dunia ni sampai tunang orang pun nak dirembat?”.

“Luke dah cuba ma…Luke dah cuba untuk lupakan dia…tapi tak boleh…macamana pun dia mesti jadi milik Luke?”.

“Siapa?”

“Setiausaha abah…”

“Nurin Kamila tu?”. Tinggi suara Puan Sri Khalida menyoal. Luqman Hakimi diam tidak menjawab.


“Kalau budak tu…sampai mati pun mama tak akan setuju”. Putus Puan Sri Khalida lalu bangun dari kerusi. Mukanya sudah bertukar kelat. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik Luqman Hakimi. Sakit rasa hati bila mendengar nama itu.


p/s: Ini adalah post saya yang terakhir..harap pembaca sekalian sabar menanti untuk melihat manuskrip ini dalam naskhah novel nanti...doakan okey agar segalanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan...terima kasih...

Mr. Hotter Guy Bab 36

Bab 36
            Kami sampai di sekitar Jalan TAR bila azan Maghrib berkumandang. Kesian encik tunang kerana terpaksa bayar mahal pada pemandu teksi kerana gara-gara terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Memang wajib pun, mana-mana jalan di Kuala Lumpur ini akan mengalami kesesakan kalau waktu habis kerja. Almaklumlah semua warga KL sepakat hendak balik ke rumah masing-masing. Terperangkap dalam kesesakanlah jawabnya.

            “Nurin…saya nak singgah solat Maghrib dululah”. Terangnya sewaktu kami melintasi masjid yang terdapat di Jalan Tunku Abdul Rahman ini.

            “Jomlah sekali”. Aku senyum saat dia mempelawaku turut serta untuk menunaikan solat. Nak cakap malu, tak cakap kang nanti dia fikir aku ni jenis manusia malas solat. Tapi aku tengah cuti ni.

            “Tak apalah. Awak pergilah. Saya tunggu sini”. Balasku sambil melabuhkan punggung di kerusi batu yang terdapat di luar masjid ini. Senyum meleret aku hadiahkan untuknya. Harap dia fahamlah dengan senyuman aku tu.

            “Nurin ABC ya?. Saya masuk dulu. Tunggu sekejap okey.” Lega aku rasa kerana dia faham juga yang aku sedang ABC atau ALLAH Beri Cuti kala ini.


            Kami singgah makan Restoran Minang yang terdapat dalam bangunan Arked MARA ini. Aku menilik sekejap cincin pemberian encik tunang yang kami pilih di TOMEI tadi. Ringkas rekaannya tapi cantik pada pandangan mataku.

            “Maaflah Nurin…saya tak mampu nak beli cincin yang mahal buat tunang saya ni. Kerja askar ja, gaji pun tak adalah banyak mana.” Kata Shahril Aiman saat kami selesai makan. Aku pandang wajahnya sekilas. Mata kami bertatapan. Aku pandang ke arah lain. Malu rasanya renung tenung anak teruna orang lelama. Lagipun syaitan sukalah kalau kami berzina mata.

            “Isyhh…keikhlasan bukan diukur dengan kemewahan Encik Shahril Aiman”. Dia senyum segaris bila dengar ayat yang kulafaz.

            “Bertuah saya dapat memiliki awak Cik Nurin Kamila”. Dia puji aku pula. Hmm…lelaki!. Kata-kata memang sentiasa manis macam gula.

            “Ini bukan kata-kata manis. Tapi ini memang kata-kata serius dari hati saya. Saat pertama kali jumpa di hotel tu, hati saya kuat mengatakan jodoh saya dah sampai. Tengok awak saja buat hati saya terdetik, awaklah jodoh yang dikirimkan ALLAH itu.” Ucapnya sungguh-sungguh. Aku jadi terkaku sekejap. Jantung dipalu kuat. Tak pernah detak jantungku bergetar hebat. Dari air mukanya aku yakin dia bukan main-main dalam soal hati dan perasaan.

            “Saya harap kita sama-sama melestarikan rumahtangga yang bakal kita dirikan ke syurga ya..cik Nurin Kamila”. Seperti akur janji pula dia lafaz sebaris ayat itu. Aku tidak terkata apa sekadar mengangguk, mengiakan akur janji yang dilafazkannya itu.

            “Awak…” kata-kataku mati di situ.

            “Ada apa Nurin?. Kalau ada benda nak bincang…cakaplah. Saya sedia mendengar”.

            “Lepas kita nikah nanti, awak tak halang kalau saya masih nak bekerja?”. Dia angkat kening, lalu dihela nafas yang berat.

            “Kalau Nurin kerja jugak…kita jadi suami isteri hujung minggu jelah. Saya di Kedah, Nurin di KL. Kenapa Nurin tak nak berhenti?”. Soalannya itu buat aku mati kutu hendak menjawab. Memang aku perlukan kerja. Asalnya tak ada niat pun aku nak tamatkan zaman dara aku secepat ini. Kalau tak pasal mamat 18sx, tak adalah aku terjebak sejauh ini.

            “Tak apalah. Biar saya yang minta ditukarkan ke KL. Kalau permohonan saya lulus, Nurin tak perlu berhenti kerja. Doa-doalah agar segalanya dipermudahkan. Okey?”. Aku angguk lalu senyum. Leganya bila dengar dia putus kata begitu. Aku perlukan kerja untuk membalas jasa emak dan tok wan. Walau aku tahu jauh di sudut hati mereka tak perlukan wang ringgit untuk balasan di atas jasa mereka. Namun aku sebagai anak, itu perlu pada hematku. Tambah-tambah sudah bertingkat-tingkat aku menuntut ilmu, maka untuk apa aku sia-siakan kerja yang  sudah kugengam ini.

            “Awak…”. Kali ini dia pula yang menyebut panggilan itu padaku. Aku lihat mukanya sekilas.

            “Ada apa?”. Soalku.

            “Saya harap awak jawab dengan hati yang tulus ya?”. Aku sudah mengangkat kening. Macam main soal jawab je. Soalan apalah yang hendak ditanya itu sampai aku perlu menjawabnya dengan hati yang tulus.

            “Awak…betul-betul ikhlas terima saya sebagai bakal suami awak?”. Soalan cepumas yang ditanya itu buat aku tercekik air liur. Soalan senang yang aku rasa amat payah untuk menjawabnya.

            “Awak fikir?”. Aku soal dia balik. Saja nak tahu apa yang difikirkan untuk soalan yang dituju padaku itu. Dia tarik senyum.

“Awak betul-betul nak tahu ke?”. Waduh…memang sekarang ini kami sedang main permainan soal-menyoal, monologku apabila soalan aku dijawab oleh dia dengan soalan juga.

“Saya fikir, awak tak ikhlas terima saya…betul?”. Aku telan liur lagi untuk soalan serkap jarang dari dia.

“Awak…keikhlasan seseorang bukan boleh dilihat dengan mata kasar. Saya pun tak mampu nak menunjukkan keikhlasan itu bagaimana. Kalau saya kata saya ikhlas, awak boleh pertikaikan kerana macam saya kata tadi, keikhlasan tak boleh dilihat dengan mata kasar. Tapi awak boleh anggap saya ikhlas, bila saya sarung cincin tunang ini di jari manis saya. Maknanya saya sedia terima awak sebagai bakal suami saya.” Tuturku yakin. Entah bagaimana, pandai pula aku menyusun kata-kata untuk menyakinkan encik tunang yang berada di depanku ini.

“Okey. Saya percaya”. Balasnya girang. Kemudian dia menilik sekejap jam  dipergelangan tangannya.

“Hmm…dah hampir pukul 9 malam. Jomlah saya hantar awak balik”. Katanya lantas bangun dari kerusi yang didudukinya itu.

“Eh…tak payahlah. Nanti lewat pulak awak masuk kem”. Pintasku. Bukan aku tak sudi dia menghantarku balik tapi kesian pulak nanti dia terkejar  teksi sana sini hanya kerana nak hantar aku balik.

“Hish…tak boleh. Saya kena hantar awak sampai depan pintu rumah. Pastikan awak selamat sampai. Baru rasa lega. Nak tidur pun nyenyak.” Aku jungkit bahu. Dah Kapten Shahril Aiman beria nak hantar aku balik, tak perlulah aku nak menolak sakan. Maknanya encik tunang ni sayang juga pada aku bakal isterinya ini. Cik Nurin…cuba habaq mai…ada ka bakal suami yang tak sayang bakal isteri. Ini bukan kahwin paksa tau. Ini kahwin rela. Maknanya sayanglah cik Nurin oiii…kata hati sudah mula membebel.
           

KETUK saja muka pintu, Shira sudah tersengih menyambutku pulang. Terjengul kepalanya dan matanya sudah melirik ke arah luar pintu seperti mencari kelibat seseorang. Aku yang berada di depan muka pintu turut berbuat perkara yang sama. Walau pelik dengan gelagat Shira entah kenapa aku turut bertingkahlaku seperti minah tu.

“Hish…yang kau terjenguk-jenguk tu…perli aku ke?”. Shira sudah mencubit lenganku. Terkejut aku dibuatnya sehinggakan beberapa beg kertas yang kupegang sudah terlepas dari pegangan.

“Taklah…aku tercari-cari jugak apa yang kau cari sampai terjuling biji mata tu”. Jawabku seraya mengutip beg-beg kertas yang terdampar di lantai depan muka pintu rumah.

“Mana encik tunang?”. Soal Shira teruja.

“Kenapa tak jemput encik tunang masuk rumah?”. Sambung Shira lagi. Aku sudah kerut dahi. Aku tahulah Cik Shira ni teruja nak berkenalan dengan tunangku, tapi agak-agaklah. Tak akan sampai aku nak jemput masuk rumah. Tak manislah menjemput lelaki bukan mahram ke rumah anak gadis seperti kami ini.

“Isy..kau ni Shira…tahulah tunang aku hensem. Tak sabar kau nak kenal. Tapi agak-agaklah beb. Tak akan aku nak jemput dia masuk rumah. Dia hantar aku balik sampai bawah rumah pun aku dah cuak. Banyak mata makcik-makcik bersidang kat bawah flat kita ni dah pandang semacam. Tak pasal nanti hal kita jumpa lelaki jadi bahan gossip persidangan makcik-makcik tu”. Luahku setelah punggung ku henyakkan ke kusyen di ruang tamu. Aku sudah mengurut perlahan betis yang terasa kejang. Penat juga berjalan dengan encik tunang sambil membeli-belah. Tak perasan begitu asyiknya membeli barang persiapan kahwin sampai siang sudah bertukar menjadi malam. Nasib baik aku ABC…bolehlah bermalas-malasan dulu sebelum aku membersihkan diri.

Shira tarik muncung. Merajuklah tu!. Tak dapat nak tengok encik tunangku secara ‘live’.
“Ala Shira…masa aku kahwin nanti kau jadi pengapit ya…masa tu tengok puas-puas my future husband sampai terkeluar biji mata. Aku izinkan”. Kataku sambil tangan sudah mengeluarkan setiap isi dalam beg kertas yang kubawa tadi. Shira yang tarik muncung sudah tersengih melihat setiap isi beg yang kukeluarkan. Matanya sudah bercahaya melihat kain rona putih gading yang kutayangkan padanya.

“Cantik tak kain ni?. Kain baju nikah aku ni”.

“Weilah…cantiknya. Tengok jenis kain, mahal jugak ni.” Shira sudah membuat penilaian berdasarkan sentuhannya pada kain rona putih gading itu.

“Ya ke?”. Soalku sambil mengangkat kening. Aku ni kalau bab fabrik kain jenis mahal ke murah ke, aku memang tak pandai. Almaklumlah selama ni kalau aku beli baju pun semua dah jenis siap dan murah. Berjimat punya pasal, sebab dulukan aku ni hanya jurujual di kedai cenderamata je. Bila dah jadi setiausaha baru nak upgrade sikit pasal pemakaian, itu pun aku berkira jugak soal harganya pasal nak berjimat cermat. Membazirkan amalan syaitan…

“Bila nak dilangsungkan majlis kau tu?”.

“ Dalam 2 bulan lagi”. Balasku bersahaja. Shira tenung aku macam nak telan.

“Apasal kau tenung aku macam nak makan?”. Soalku hairan. Aku salah jawab ke untuk pertanyaan Shira tu?.

“Kau ni betul ke nak kahwin dengan Aiman tak kisah tu?. Tengok cara kau jawab soalan aku macam hendak tak hendak je. Ke kena kahwin paksa ni?”.

“Habis tu?. Aku nak jawab macamana lagi?. Nak tergedik-gedik, terlompat-terlompat macam kera.”

“Aku tak nampak macam kau happy nak kahwin Nurin. Macam kena paksa adalah. Dah habis fikir ke dengan keputusan kau nak kahwin ni, Nurin?”. Soalan Shira tu buat aku garu kepala. Memang nampak sangat ke macam aku terpaksa kahwin dengan Aiman tak kisah tu?. Aku memang nak kahwin dengan dia. Tapi ikhlaskah aku atau aku hanya nak lari dari gangguan si hotter guy  tu?.

Aku bangun dari kusyen yang kududuk lalu melangkah hendak masuk ke bilik. Soalan dari Shira benar-benar buat emosiku terganggu. Bebayang si hotter guy sudah bermain ditubir mata. Ya ALLAH, kenapa mesti dia yang kuingat!.


Mr Hotter Guy Bab 35

Bab 35
“Tak nak balik lagi ke?”. Satu pertanyaan lembut buat aku panggung kepala dari menilik isi dokumen perjanjian yang perlu aku siapkan minggu ini. Aku senyum pada wajah tua yang merenungku itu. Memang prihatin sungguh Chairman ini. Aku geleng kepala tanda aku belum mahu pulang lagi.

“Isy…dah pukul 5 lebih ni. Syarikat ni bayar gaji pada stafnya setakat pukul 5 je…lebih pada tu tak ada. Lagipun saya tak keluarkan arahan suruh awak stayback hari ni”. Terangnya masih merenungku. Kali ini ditambah pula dengan sepotong senyuman.

“Tinggal sikit lagi saya nak semak dokumen ni”. Balasku. Dia ambil lalu dibelek pula dokumen yang sudah separuh aku semak di atas mejaku.

“Hmm…dokumen perjanjian ni minggu depan baru saya nak. Cekap betul setiausaha saya buat kerja. Pantas”. Pujinya pula seraya menutup dokumen itu.

“Dah…dah…jom balik. Masih banyak masa lagi nak siapkan dokumen tu”. Dia sudah mengambil tas tanganku yang terletak di atas meja lalu disuakan padaku. Kemudian dia menolak perlahan kerusi yang kududuki supaya segera bangun. Aku hanya menelan liur. Kalaulah adegan ini dilihat  Mr.hotter guy. Nampak gayanya macam betul je tohmahan yang dilemparkan padaku semalam. Nak tak nak terpaksa aku akur pada arahan Tan Sri Hisyam itu. Kami berjalan seiringan sehingga masuk ke perut lif.

“Nak saya hantarkan balik?”. Pelawanya padaku saat kami dalam perut lif. Hatiku mula rasa tidak enak. Kenapa Tan Sri Hisyam baik sangat?. Pelik pula aku rasa sampai pelawa nak hantar aku balik. Ke…memang betul tohmahan mamat 18sx tu yang aku ni bakal jadi madu mamanya itu. Kali ini aku pula yang rasa tak sedap hati. hisy…minta dijauhkan. Aku tenung muka Tan Sri Hisyam yang sibuk melihat angka yang tertera menunjuk aras mana lif sedang beroperasi. Lelaki ini dengan aku memang tak padan. Macam anak dengan bapak. Tapi kalau dengan emak memang padan, macam pinang dibelah kapak. Aku senyum dalam hati. Sempat lagi nak kenenkan Tan Sri Hisyam dengan emak. Apa punya imaginasilah!!!...aku kutuk diri sendiri pula.

Usai pintu lif terbuka mataku sudah membulat. Terkejut melihat batang tubuh lelaki di depanku ini. Bagaimana dia tahu aku bekerja di sini?. Tujuan apa sampai ke sini dia mencari aku. Telefon pun tidak, tiba-tiba dia sudah terpacak di depan mata.

“Nurin”. Panggilan lembut berserta senyuman manis diberikan buatku. Terkesima aku sekejap melihat lelaki sasa di depan mata. Memang nampak kacak dengan pakaian ala santai. Tshirt oren berkolar dengan seluar jeans hitam. Padan benar dengan  kulitnya yang putih kuning itu. Tapi sekacak dia, kacak lagi mr. hottest guy. Entah kenapa dalam bencinya aku pada mamat 18sx itu, suka benar aku nak bandingkan dia dengan lelaki di hadapanku ini.

“Siapa ni?”. Tan Sri Hisyam menyoal pula bila lihat aku gugup di depan Kapten Shahril Aiman ini.

“Shahril Aiman..tunang Nurin”. Jawabnya bagi pihak aku. Tan Sri Hisyam sudah senyum melebar. Aneh…tak ada pula rasa cemburu pada wajahnya kalau benar sangkaan aku yang dia cuba hendak mengorat aku. Nurin…Nurin…cepat sangat prasangka yang bukan-bukan.

“Oooo..kacak betul tunang anak ayah ya?”. Tan Sri Hisyam ketawa pula sambil berjabat tangan dengan tunangku itu. Aku pula yang mengerut dahi…apa yang Tan Sri Hisyam merepek ni. Siapa pula anaknya? Tak akan tersasul kut.

“Anak?”.

“Yalah…Nurin kan macam anak saya…tak salahkan saya cakap macam tu”. Aku dan Shahril Aiman saling berpandangan.

“Tak apalah Nurin. Saya gerak dulu. Layan tunang elok-elok”. Sempat lagi dia berpesan sebelum melangkah pergi. Aku masih lagi blur dengan apa yang kudengar tadi. anak…ayah…perkataan itu berlegar-legar dalam kepala otakku ini.

“Nurin”. Sapaan itu buatkan aku kembali ke alam nyata. Shahril Aiman masih lagi merenungku.

“Maaf…datang tak bagitahu, makcik Zaimah yang bagitahu Nurin kerja kat sini”. Terangnya merungkaikan persoalan yang bermain dibenakku masa mula berjumpa tadi.

“Hmm..tak apa. Kenapa datang jumpa saya ni?. Bukan awak patutnya kerja kat Kedahkan? Cuti ke?”

“Hai…tak boleh ke datang jumpa tunang saya?”.

“Bukan macam tu…datang mengejut…itu yang blur-blur ni”. Jawabku.

“Saya kursus seminggu kat Subang. Hari ni free, itu yang datang jumpa Nurin. Nak pergi rumah, saya tak tau. Mai cari kat tempat kerjalah… senang”.

“Ada hal ke datang jumpa saya ni?”.

“Nak ajak Nurin keluar. Nak beli cincin tunang. Cincin yang Nurin pakai tu dah buruk”.

“Eh…tak apa aih…buruk pun cincin jugak kan”.

“Tak sudi keluar dengan saya ke?”

“Eh..bukan tapi segan”. Jawabku malu-malu.

“Segan apa aih…bukan lama mana lagi dah nak jadi suami isteri. Tak sampai 2 bulan lagi. jomlah…tapi kita naik teksilah pasal saya tak bawa kereta. Datang kursus pun tumpang Nuri”.

“Nuri?”. Aku sebut dalam perkataan itu. Siapa pula si Nuri ni?. Hati sudah mula rasa tak sedap. Aku pandang dia dengan perasaan cuak. Dia hanya tersenyum saja.

“Ha ah…Nuri…Helikopter Nuri”.  Balasnya bersahaja. Aku tarik senyum. Oh…Nuri si helikopter. Apasal aku tak terfikir Nuri tu nama helikopter untuk TUDM.

“Tak pa aikh…tu lagi bagus. Tapi tunggu sat…nak tepon member serumah. Satgi dia tertunggu pulak.” Aku cepat-cepat sambung kata seraya mengeluarkan handphone murahku. Tak mahu encik tunang perasan yang aku termalu dengan persoalan Nuri itu. Nombor telefon Shira ku dail untuk memberitahunya yang aku keluar dengan encik tunang. Nanti tak pasal minah tu jadi tunggul kayu tertunggu aku di lobi syarikat ini.

Baru kaki hendak melangkah keluar dari bangunan Berjaya Corporations ini, satu sapaan membuatkan langkah kaki kami terhenti.

“Wah…hebat betul cik Nurin ya…semalam dengan chairman…hari ini dengan mamat mana pula?”. Hisy…Encik Luqman rupanya yang menegurku ini. Shahril Aiman yang berada di sisi sudah terkerut-kerut kening. Mungkin pelik mendengar teguran yang keluar dari mulut lelaki ini.

“Saya Shahril Aiman…tunang Nurin Kamila”. Encik tunang sudah menghulur tangan untuk berjabat dengan mamat poyo itu. Terdiam sekejap dia bila Shahril Aiman memperkenalkan diri. Aku yang berada di sebelah encik tunang sudah senyum puas hati. Ambik kau…terdiam sekejap. Itulah suka sangat cari pasal.

“Saya harap lepas ni encik bos  tolong berhemah sedikit bila bercakap dengan Nurin Kamila…pasal dia milik saya”. Dush…tersentap barangkali mamat poyo ni dibahasakan oleh Kapten Shahril Aiman. Yalah masa di Penang hari tu dia bahasakan encik tunangku. Sekarang kena balik. Seri!...

“Kita kenal ke?”. Encik Luqman menyoal. Sentap agaknya bila encik tunang sudah memberi amaran.

“Maybe encik bos dah lupa. Ingat lagi mamat yang kena tegur masa makan di Hotel Park Royal?”. Muka Encik Luqman sudah berubah. Tak sangka buah cempedak dah jadi nangka. Mamat yang ditegur itu rupanya sudah menjadi tunangku. Hebatkan permainan takdir. Encik Luqman tidak terkata apa. Dia sambut huluran tangan dari encik tunangku.

“Tahniah!.” Ucapnya sepatah sebelum melangkah pergi. Aku pula yang terdiam. Betul ke dia ucap tahniah. Rasanya telinga aku belum pekak lagi. aku harap lepas ni mamat poyo tu tak akan menyakitkan hatiku lagi dengan kata-kata pedih dari mulutnya. Aku harap dia percaya yang aku bukan mereka cerita dalam soal menjadi milik encik tunang ini.


“Jomlah…nanti lewat pulak. Saya kena masuk kem semula sebelum pukul 10 malam”. Kata encik tunang padaku. Serentak kami teruskan langkah ke perhentian teksi yang berada di depan bangunan tempatku mencari rezeki ini. 

Mr.Hotter GUy Bab 34

Bab 34
            Kami melangkah masuk ke Restoran Seri Inas yang menyediakan masakan Negeri Sembilan itu. Terkejut juga aku dibuatnya saat kaki melangkah masuk. Ingatkan selepas urusan perbincangan dengan wakil dari Menara Holding itu selesai, Tan Sri Hisyam hendak balik semula ke pejabat. Tapi lain pula lencongan yang dibuat sehingga kami masuk ke restoran ini.
           
“Nurin tak kisah, saya belanja makan kat sini?”. Soalnya tatkala punggung aku singgah di kerusi kayu yang disediakan di Restoran Seri Inas ini. Pantas aku menggeleng. Gila apa menolak rezeki yang dikurniakan ALLAH. Untung aku hari ini kerana save budget tak perlu keluar duit untuk makan tengahari.
           
“Tak…syukur saya Tan Sri nak belanja makan”. Ucapku sekadar berbasi-basa. Dia tersenyum. Manis senyumannya itu walau muka sudah berkedut dengan garis tua. Agaknya masa muda dulu tentu hensem betul Tan Sri Hisyam ini. Sempat lagi aku bermonolog dalam hati.

            “Saya suka makan kat sini. Masak lemak cili apinya buat saya menjilat jari sampai ke siku”. Katanya berlelucon. Aku tergelak. Memang betullah kata-kata staf pejabat. Tan Sri Hisyam ini memang humble orangnya. Tempat makan pun tak perlu berkelas bagai macam anaknya si miang itu. Asal makan di luar mesti menu utamanya makanan Barat. Kadang naik jelak pula dibuatnya. Apalah istimewanya jika nak dibandingkan dengan makanan kita sendiri. Lengkap dengan rencah dan rasa tersendiri. Dalam hati aku membandingkan pula karektor dua beranak ini.

            “Nurin pergi ambil makanan dulu. Ambik banyak-banyak pun tak apa. Saya belanja.”.

            “Hish…nanti tak habis pula saya makan. Orang tamak selalu rugi Tan Sri”. Balasku pula.

            “Tak apa. Kesian pula saya tengok SU saya kurus tak cukup makan. Selama ni SU saya semua besar-besar terlebih makan. Apa salahnya labur sikit untuk SU kurus ni”. Dia ketawa lagi. Aku tersenyum. Hmm…betullah tu perbandingan yang dibuat Tan Sri Hisyam kerana Cik Jamilah SU  sebelum ini memang tembam orangnya nak banding aku yang kecil molek cekeding ini.

            “Saya ambil makanan dulu ya”. Aku minta izin. Dia membalas dengan anggukan. Langkah kaki aku atur perlahan ke arah deretan lauk-pauk yang disusun sehingga penuh meja panjang berukuran 10 meter itu. Meleleh air liur melihat hidangan yang berbagai-bagai itu. Naik rambang mata tak tahu hendak memilih yang mana satu. Akhirnya aku putuskan untuk mengambil semangkuk masak lemak cili api ayam salai bersama ulam-ulaman. Cukuplah buat alas perut aku tengahari ini.

            “Nurin masih ada ibu?”. Usai kami makan satu pertanyaan dari Tan Sri Hisyam buat aku tersentak. Kenapa soalan ini pula yang dibangkitkan pada kali pertama kami keluar bersama?. Aku hanya mengangguk laju, tiada penafian kerana aku masih mempunyai seorang ibu.

            “Ayahnya masih ada?”. Masuk soalan kedua aku sudah rimas. Kenapa Tan Sri Hisyam ini seolah hendak selidik hal keluarga aku pula?. Banyak betul persoalan yang bermain di minda kala ini. Untuk soalan ini aku tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Aku hanya diam tidak menjawab.

            “Boleh kita pergi Tan Sri?. Makan pun dah kenyang ni”. Aku tukar topik perbualan. Mahu cepat beredar dan mahu lari daripada soalan-soalan cepu emas yang ditanya Tan Sri Hisyam. Dia mengangguk lemah. Mungkin kecewa kerana aku tidak menjawab soalan keduanya.

            SAKIT matanya melihat aksi mesra bos dan setiausaha yang baru melangkah masuk ke dalam perut lif. Penuh dengan gelak ketawa. Wajah Nurin juga tampak ceria di samping Chairman Berjaya Corporation itu.

‘Hai…tak akan citarasa cik adik sayang tu pada orang tua. Aku yang muda hensem ini liat betul nak dilayan, yang tua kerepot itu pula dipandang. Tapi tua-tua banyak harta. Mana lagi kaya antara CEO dengan Chairman?.’ Soalnya berteka-teki dalam hati.

‘Tak boleh jadi, lama-lama dibiar kang, berbakal mak tiri muda pulak aku ni.’ Entah kenapa terbit rasa cemburu dalam hatinya. Kalau diikutkan cik adik sayang tidak termasuk dalam senarai hatinya kerana tidak sekufu. Tapi mulut kata lain hati jawab lain.

“Nak kena warning nampaknya cik adik sayang”. Dia tarik nafas. Bercakap pada diri sendiri. Kalau berkaitan dengan cik adik sayang, cepat saja hatinya jadi panas.    

AKU masih meneliti beberapa fail yang diberikan oleh  Tan Sri Hisyam tadi untuk disemak sebelum fail itu aku serahkan ke bilik fail. Ralit aku menyemak sehinggalah aku merasakan ada bayang yang berdiri di sebelahku. Segera aku angkat kepala melihat siapa gerangannya milik bayangan itu. Spontan aku menelan liur, bila wajah itu memandangku dengan sengihan yang melebar.

“Ada apa yang boleh saya tolong?. Nak jumpa dengan Chairman ke?”. Soalku formal. Dia tidak membalas. Sebaliknya dia menilikku atas bawah. Naik seram dengan sorotan matanya yang menyinggah ke batang tubuhku ini.

“Sayangkan!”. Perkataan pertama yang keluar dari celahan bibirnya buat aku mengerut dahi. Apa yang sayang?.

“Sayang wajah cantik, muda belia tapi tergilakan lelaki tua hanya kerana harta?”. Isy…tak faham betul bahasa mengarut yang digunakan itu. Siapa yang tergilakan lelaki tua berharta ni?. Buat aku pening saja fikir kata-kata dari dia. Sudahlah pening menyemak fail, sekarang tambah pening lagi dengan kata-kata teka teki dari dia.

“Apa lagi yang Encik Luke tak puas hati?”. Aku soal dia semula.

“Memang saya tak puas hati.” Dia sudah meninggi suara.

“Sungguh tak disangka Cik Nurin Kamila gilakan harta. Lelaki tua pun hadap asal harta berkepuk-kepuk. Apa saya tak cukup berharta ke sampai Chairman yang tua tu pun awak hadap?”. Dengar saja tuduhan melulu dari dia buat hatiku menjadi panas. Kenapalah mamat ini suka sangat mencari pasal denganku?. Apalagi yang dia tak puas hati agaknya. Sampai menuduh aku berskandal dengan Chairman Berjaya Corporations. Tak lain tak bukan, bapanya juga.

“Cetek betul pemikiran Encik Luke. Apa bukti yang saya gilakan Chairman?. Encik Luke tak boleh menuduh yang bukan-bukan”. Selar aku, turut tinggikan suara. Dia ni memang melampau. Sesedap mulut menuduh yang bukan-bukan. Busy body macam perempuan.

“Dengan kau, aku tak perlu bukti. Bermesra bagai siap gelak sakan lagi. Aku peliklah…bukan main lagi ya kau layan lelaki tua tu. Ingat…lelaki tua tu bapak aku. Jangan harap aku biarkan kau jadi madu mak aku”. Laharnya bertubi-tubi. Aku sudah mengangkat kening. Penat sungguh mendengar tohmahan dari mr. hottest guy ini. Ishy…tak penat ke mamat ni buat tuduhan melulu. Entah kenapa, ada saja yang tak kena aku pada matanya.

“Ikut suka Encik Luke lah nak kata apa. Malas saya nak layan”. Balasku bersahaja sambil meneruskan kerja yang terbengkalai. Dia tarik fail di depan mataku menyebabkan beberapa dokumen dalam fail habis bertaburan di lantai. Sakitnya jiwa melihat gelagatnya yang mengganggu kerjaku. Nak saja aku beri satu tempeleng maut di pipinya. Biar bisu seumur hidup. Jadi tak dapatlah dia nak melahar aku sesedap rasa. Dia senyum lihat aku yang bertungkus lumus mengutip setiap helaian dokumen yang berterabur di lantai. Satu hal pulak nak menyusun dokumen yang bertaburan itu. Sudahlah baru separuh saja fail yang aku semak. Sekarang kena buat kerja susun dokumen pula. Dia ni betul-betul menyusahkan aku. Hati mula rasa panas.

“Macam nilah…sebelum saya adu perlakuan buruk Encik Luke masa kat Penang tu pada Tan Sri. Apakata Encik Luke blah dari sini. Ya tak ya pun, mesti Tan Sri akan percaya cakap saya. maklumlah…sayakan bakal isteri muda Tan Sri merangkap madu Puan Sri KHalida. Betul tak?”. Aku angkat kening berkali-kali seolah memerli setiap tohmahan yang dilemparkan padaku tadi. Encik Luqman mengecilkan matanya. Radang barangkali dengan jawapan balas dariku. Huh…jangan ingat aku akan berlembut dengannya lagi. Lelaki ini memang tak guna berlembut. Penuh dengan egois dan sombong bodoh. Bongkak barangkali dengan harta kekayaan yang merupakan pinjaman dari ALLAH semata. Kali ini aku pula yang membuat tohmahan padanya. Sakit hati punya pasal, tak pasal aku membuat dosa percuma.

Dia melangkah pergi dengan perasaan tak puas hati. Jalan juga idea aku untuk takutkan dia dengan ugutan apa yang berlaku di Penang tempohari. Walau aku tak mahu mengingatkan peristiwa hitam itu, tapi demi untuk menyelamatkan diri dari terus-terusan diganggu dia, berguna juga helah bela diri itu.