Friday, 22 November 2013

SuamIKU Mr.BLInd

Dapatkan novel terbaru daripada saya...boleh order di P2U atau Karyaseni...Kemungkinan hujung bulan ni dah ada di pasaran. Dapatkan okay!!!

Friday, 27 September 2013

Mr. hOTTER Guy Bab 29

Bab 29
           
            
Luqman Hakimi tersengih saat melihat cik adik sayang menunduk merenung lantai di hadapannya itu. Dia berdiri dari kerusi yang didudukinya lalu melangkah menuju ke arah Cik Nurin Kamila yang masih menunduk itu.

            “Hmm…tahu takut. Ingatkan nak buat keras kepala. Kau jangan ingat dapat lari dari aku”. Katanya sinis. Dia duduk menyandar di mejanya. Namun mata masih merenung tubuh setiausahanya yang menunduk itu. Gadis itu hanya kaku berdiri, sedikit pun tidak mahu mengangkat muka melihatnya. Malah diam tidak membalas kata-katanya. Dia jadi panas hati.

            “Hey..bila aku cakap, pandang aku!. Jangan nak berlagak jadi patung”. Suaranya sudah meninggi. Geram pula melihat tingkah setiausahanya yang diam tak berkutik itu. Pantas Nurin Kamila mengangkat muka. Mata sudah tertala pada lelaki gila seks di depannya itu. Hati sudah membuak perasaan benci. Kalau tak difikirkan kontrak yang ditandatanganinya itu, tak ingin dipandang muka lelaki gatal itu.

            “Kalau dah miskin tu, buat cara miskin. Kalau dah tak mampu nak bayar 30k…jangan nak berlagak tunjuk keras kepala depan aku.” Tanpa perasaan, Luqman Hakimi terus-terusan menghina. Puas rasa hati kalau dapat menyakitkan hati setiausahanya itu. Sekurang-kurangnya  rasa sakit di kepala akibat hentakan fail 4 inci itu dapat dihilangkan dengan menyumpah seranah gadis di depannya itu.

            Tapi makin dimarah, makin sakit pula hatinya. Gadis itu masih bersikap selamba. Kebal telinga agaknya walau dicaci maki, malah dihina kemiskinannya, gadis itu masih berani merenungnya tanpa ada perasaan sedih atau malu.

            ‘Hish…nak buat apa lagi bagi dia bereaksi. Sakit pula hati aku tengok dia keras hati macam tu. Macam tak ada perasaan aku hina dia’. Dia bermonolog dalam hati. Kali ini dia mendekat ke tubuh setiausahanya yang berdiri kaku itu. Tapi gadis itu tetap tidak berganjak. Seolah mencabar dirinya pula. Tanpa rasa malu, dia pegang kepala gadis itu, lalu dibenamkan sebuah kucupan di bibir yang sudah lama diidamkan itu. Baru puas rasa hati, baru setimpal dengan sakit yang menyinggah di kepalanya itu. Baru berbayar dengan rasa sakit yang dia tanggung itu.



            AKU menolak sekuat hati tubuh lelaki gila seks yang sudah mendekat di tubuhku. Senget benget jadinya tudung aku kerana ditarik kuat lelaki itu.

            “Jahanam!”. Jeritku bersama satu tamparan yang menyinggah di pipinya. Aku sapu berkali-kali bibir yang menerima ciuman tanpa rela dari dia. Kalau tadi aku boleh bersabar dengan hinaan dia, namun dengan apa yang dia dah buat pada aku, memang aku tak boleh sabar. Kalau hari tu, dia terima hentakan fail setebal 4 inci, kali ini dia terima pula tamparan wanita dari aku.

            “Awak ni gila!”. Herdikku. Air mata yang cuba kutahan sudah merembes keluar. Hinanya rasa diri ini diperlakukan sebegitu oleh lelaki yang ku anggap majikan ini. Dia mengesat bibirnya yang sedikit terluka kerana tamparan aku tadi. Kalau lepas ini dia nak pecat aku pun, memang itu yang aku hendak sangat. Memang itu yang kutunggu selama ini.

            “Kau jangan ingat boleh blah dari sini. Selagi kau tak habis kontrak, aku boleh buat sesuka hati. Ingat tu!.” Dia melampiaskan kemarahan. Aku terus keluar dari biliknya dengan wajah yang menyingga. Memang sakit hati. Ingatkan dengan apa yang berlaku tempohari dia akan meminta maaf dari aku. Tapi lain pula jadinya. Dia memang melampau. Apa yang perlu kubuat untuk lari dari dia. 4 bulan masih terlalu  lama buat aku. Macam-macam boleh jadi. Kalau hari ini dia boleh cium secara paksa. Esok-esok apa pula yang dia nak buat. Aku menghela nafas berat. Kaki sudah laju melangkah ke arah lif. Air mata yang merembes keluar aku lap segera. Tak mahu orang yang melihat berfikir yang bukan-bukan. Hanya pada Shira tempat untukku luah perasan.

            Aku berlari masuk saat pintu lif terbuka luas. Ku tekan butang 6 di mana tingkat Shira berkerja itu. Hati memang tak sabar hendak bertemu Shira. Aku pulas cincin yang menghiasi jari manisku sambil menunggu lif  turun ke tingkat bawah. Sesekali wajah Shahril Aiman bermain dimindaku. Perlukah ku adukan masalahku ini padanya?.

Dia kan tunang aku? Bakal jadi suamiku juga.

Tapi Nurin…perlukah kau beritahu segalanya. Kau bukan kenal pun dia. Baru jadi tunang. Takut nanti dengan masalah kau ni, tak pasal-pasal dia minta putus tunang. Tak pasal-pasal dia kata kau tu yang menggatal dengan bos. Hati orang bukan dapat kita baca!.  Aku kesat lagi  air mata yang merembes keluar walau puas kuseka tadi.  Aku beristigfar panjang,cuba mencari kekuatan dengan apa yang ku fikir tadi.

“Anak tak apa-apa?”. Suara yang menegur di belakangku buat  aku pantas menoleh.

“Eh...pakcik bilik wuduk”. Segera aku menyapa sambil tangan cepat saja menyeka air mata yang mengalir. Tak mahu pakcik itu perasan yang aku tengah bersedih.

“Panggil pakcik je…tak payah bilik wuduk tu…tak pun pakcik Hisyam”. Balasnya. Aku tersenyum mendengar omelannya.

“Kenapa anak menangis. Tensen dengan bos ke?”. Soalnya lagi. Aku tidak terkata hanya mengangguk saja.

“Macam tulah kerja nak. Kita ni kuli, kena banyak bersabar walau kena herdik. Telinga kena tebal, hati kena kebal. Baru boleh kerja lama kat sini”. Dia giat menasihat pula. Aku hanya tersenyum. Terpujuk mendengar motivasinya. Pintu lif terbuka luas tanda sudah sampai ke tingkat 6. Segera aku minta diri. Hati yang tadinya serabut, sudah semakin kurang serabutnya setelah bertembung dengan pakcik Hisyam tadi. Nasihatnya buat aku rasa tenang.


“KAU tak boleh terus bersabar je Nurin. Aku takut nanti macam-macam pulak dia buat kat kau”. Shira sudah mengepal penumbuk. Nampak sangat dia memang terlalu marah dengan apa yang menimpaku tadi.

“Habis nak buat apa?. Aku bukan ada duit nak bayar?”

“Kita adu kat polis. Kau ni dah kena gangguan seksual tahu”.

“Kau rasa ada orang nak percaya?. Dia orang banyak duit. Takutnya nanti dia pusing cerita, aku pula yang kena masuk lokap. Orang banyak duit ni macam-macam dia boleh reka cerita.” Shira sudah garu kepala memikirkan masalah aku. Kesian pula melihat sahabat baikku ini memerah otak mencari jalan untuk menolongku. Aku pula tak habis mengesat air mata yang mengalir. Agaknya kalau aku masih kerja di Kedai Cenderamata Heart itu, tentu semuanya bukan begini. Walau gaji kecil, tapi hati sentiasa tenang dan gembira.

 ‘Nurin, masa tak boleh diundur. Kita bukan ahli nujum yang boleh meramal masa depan’. Kata hati sudah berbisik. Aku raup muka dengan telapak tangan lalu beristigfar perlahan.

“Kita adu pada bapak dia, Tan Sri Hisyam. Staf kat sini cakap, bapak dia very humble person. Mesti dia percaya cakap kau”. Shira sudah ceria wajahnya. Mungkin lega kerana dapat mencari penyelesaian untuk masalah aku ini.

“Boleh ke? Ingat senang nak jumpa Chairman. Kita ni kuli batak je. Bukan pegawai atasan!’. Soalku tidak yakin.

“Muka Chairman pun tak pernah kenal, bagaimana nak jumpa dan adu masalah yang besar ini?. Masalah berkaitan dengan perilaku anaknya pula. Agak-agak, siapa dia nak percaya, anak tunggalnya itu atau kuli batak macam kita ni”. Sambungku lagi sambil renung muka Shira yang bersemangat itu.

“Hei…kawan!. Belum cuba belum tahu. Kita jumpa dulu. Dan terangkan perihal sebenar. Kalau dia tak percaya pun, alih-alih kita kena pecat je. Kau pun sukakan dapat blah dari sini”. Shira cuba memotivasikan aku pula. Aku sudah senyum kelegaan. Betul juga kata Shira. Aku tak rugi apa-apa. Kalau Chairman tak percaya, aku bakal kena pecat. Memang itu yang aku nak sangat.

“Tapi…kau pun hilang kerja. Pasal aku, kau pula yang terlibat”. Balasku sedih. Shira hanya mengangkat kening.


“Jangan risau pasal aku. Bumi ALLAH ini luas. Rezeki ada di mana-mana. Aku pun tak ingin kerja dengan syarikat yang menindas pekerjanya sesuka hati”. Ujar Shira bersemangat. Minah ni, benar-benar kawan sejati. Aku peluk tubuh Shira seeratnya. Bahagia memiliki sahabat yang sehati sejiwa ini.

Mr. Hotter Guy Bab 28

Bab 28

            “Seronok pergi Penang?”. Soal Shira saat aku rebahkan badan di sofa sambil mata ditalakan ke tv bersaiz 14 inci itu. Aku angguk malas pada pertanyaan Shira itu. Sebenarnya badan masih letih, maka minda pun turut letih juga.  Selesai saja urusan pertunangan ala sempoi pada pagi itu. Petangnya, aku dah mula naik bas untuk balik semula ke Kuala Lumpur. Kalau ikutkan hati memang aku tak nak balik ke sini. Tapi memikirkan mana nak ku cari 30k itu buat aku teruskan juga niat aku yang tinggal separuh hati ini.  Bila detik hitam itu bermain di mataku, hatiku jadi tidak keruan. Sekilas aku menilik pula cincin belah rotan yang tersarung di jari manisku. Aku pusing-pusingkan cincin itu, namun pandangan mata masih melekat di kaca tv.

            “Weh…cincin apa ni?”. Shira sudah memegang tanganku. Matanya tertancap pada cincin yang tersarung di jari manisku. Segera aku menarik tanganku dari pegangan Shira. Cuba hendak sembunyikan dari pengetahuannya.

            “Mana ada?”. Sangkalku.

            “Wei…nak tipu pun. Agak-agaklah..aku bukan buta.” Dia terus sambar tanganku lalu mata tak habis merenung cincin belah rotan yang pudar warnanya.

            “Cincin belah rotan ni. Tak akan kau bertunang kot? Bila masa kau bertunang ni?. Tapikan...apasal cincin kau buruk sangat”. Dalam Shira bersoal macam-macam, sempat pulak dia mengutuk cincin tunang aku. Segera aku jeling dia sekilas. Minah ni!...memang tak sayang mulut. Sesedap rasa saja mengutuk cincin pemberian bakal ibu mertuaku.

            “Ha..ah…aku dah bertunang semalam”. Balasku dengan wajah selamba. Membulat mata Shira terkejut mendengar jawapanku.

            “Biar betul?.” Dia soal aku tak percaya. Aku angguk lagi.

            “Dengan siapa?”

            “Aiman tak kisah”.

            “Hah…”. Dia tenung wajahku pula. Matanya merenung aku tajam. Cuba mencari kepastian di situ. Cara pandang memang dia macam tak berapa nak percaya dengan kata-kataku.

            “Betul…aku tak tipu. Kalau tak percaya…tanya mak aku”.

            “Cercita kat aku…macamana kau boleh terjebak dengan Aiman tak kisah ni?”. Shira kemaskan duduk. Memang bersemangat sungguh cara Shira itu untuk mendengar aku berkisah bagai.

            “Aku tak ada pilihan Shira. Ini saja cara yang aku buat untuk lari dari bos”. Kataku perlahan. Berkerut dahi Shira tidak faham dengan apa yang aku terangkan.

            “Hish…apa kes ni sampai nak lari dari bos ni?”. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, aku lap perlahan. Aku tunduk merenung jari manisku yang dihiasi cincin belah rotan ini. Adakah keputusan yang kubuat ini betul-betul dapat menyelamatkan aku dari si hotter guy yang gatal, jahat dan gila itu?. Aku melepaskan keluhan. Aku renung dalam anak mata Shira yang duduk didepanku ini. Aku pejam mata, lalu aku tarik nafas dan hembus perlahan. Aku buka mata.  Rasa sedikit tenang untukku mula berhikayat bagai pada Shira yang tak sabar untuk mendengar.



            TERKEJUT Datin Shima menerima kedatangan Puan Sri Khalida yang mengejut itu.  Dia baru sahaja berkira-kira untuk bertemu  tetamu yang satu  ini, tak sangka pula Puan Sri sudah berada di halaman rumahnya ini. Macam ada telepati pula. Dia bermonolog sendiri.

            “Jemput masuk, Puan Sri. I baru terfikir nak jumpa you. Tak sangka pula you sendiri datang rumah I”. Ujar Datin Shima berbasi-basa. Puan Sri Khalida tidak menjawab. Dia terus duduk di sofa kulit tanpa dipelawa terlebih dahulu. Mukanya serius dan tegang seolah sedang memikirkan satu masalah yang besar.

            “I nak tanya you sesuatu. Dan I nak you jawab betul-betul”. Puan Sri Khalida membuka mulut. Soalan yang keluar dari mulutnya buat jantung Datin Shima berdegup pantas. Gelabah wanita itu mendengar suara Puan Sri Khalida yang tegas dan keras itu.

            “Apa hal Puan Sri? Penting sangat ke? Kalau kena dengan soalannya, I pasti jawab dengan betul”. Balas Datin Shima sambil mengerut dahi. Tak pernah pula selama bersahabat dengan Puan Sri Khalida, dia melihat wanita ini tegang. Mungkin masalah yang melanda Puan Sri Khalida bukan masalah kecil atau boleh dibuat main-main. Dia rasa simpati. Tapi rasa simpatinya sekejap saja bertandang bila fikirannya menerawang kepada masalah melibatkan Luqman Hakimi dan anaknya Andrea.  Puan Sri Khalida nak batalkan peminangan?. Dia berteka teki sendiri. Tiba-tiba Datin Shima pula yang rasa tegang.

            “Betul ke Zaimah dah mati? Betul ke orang upahan you tu buat kerja?”. Soal Puan Sri Khalida serius. Matanya mencerlung tajam melihat Datin Shima yang agak resah itu. Tak sangka pula selepas berpuluh tahun, Puan Sri Khalida hendak mengungkit peristiwa lama yang makin dilupakan itu. Ingatkan masalah melibatkan Luke dan Andrea. Diam tak diam, Datin Shima menarik nafas lega.

            “Kenapa you? Benda dah lama. Kenapa you ungkit balik. You tak percaya ke? I ni bestfriend you tau…tak akan I nak menipu pulak”. Giliran Datin Shima pula menyoal. Pelik mendengar soalan Puan Sri Khalida mempertikaikan perkara yang pernah sama-sama mereka lakukan 25 tahun yang lalu.

            “Habis tu…kenapa suami I mati-mati marahkan I. Dia kata Zaimah masih hidup lagi. I yang sengaja sembunyikan perkara sebenar dari dia. Apa ni?. Macamana Zaimah boleh hidup pula. Bukan orang upahan you bakar rumah dia dengan dia-dia sekali dah jadi abu dalam kebakaran tu?”. Bagai peluru mesin gun, Puan Sri Khalida menyoal bertubi-tubi.

Terkesima  Datin Shima tidak dapat membalas setiap tujahan soalan itu. Memang dia dan Datin Shima sama-sama merancang kemalangan itu dan orang upahan Datin Shima yang melaksanakan tugasan. Dia sendiri rasa lega yang amat apabila melihat kuburan Zaimah. Alih-alih si suami mengkhabarkan madunya itu masih hidup. Memang dia terkejut. Memang dia marah. Memang dia tak puas hati. Habis selama ini rancangan yang dibuat 25 tahun dahulu adalah sia-sia.

            “Betul you. I sendiri tengok dengan mata kepala I masa Bakar dan konco-konconya bakar rumah tu. I tengok api menjulang tinggi saat rumah itu dimamah api. Tak akan I nak tipu pula. You sendiri pun ada bersama I. Tak akan you dah lupa kut?”. Datin Shima bersungguh-sungguh mempertahankan kata-katanya. Memang dia nampak dengan mata kepalanya sendiri. Tak akan matanya dah rabun kut. Itu, peristiwa yang berlaku 25 tahun yang lepas. Dia masih muda belia lagi saat itu. Matanya masih elok dan dia tidak nyanyuk untuk mengingati peristiwa itu. Puan Sri Khalida terdiam. Otaknya ligat berfikir. Antara kata-kata Datin Shima dan suaminya itu, siapa yang benar dan siapa yang salah. Seingatnya selepas dia dan Datin Shima sama-sama melihat rumah Zaimah di kampung mula marak dengan api yang menjulang mereka segera tinggalkan tempat itu. Selebihnya orang suruhan Datin Shima yang menyelesaikan semuanya.

            “Habis tu, apa yang suami I cakap tu tak betul?”. Suaranya yang meninggi tadi sudah mengendur semula. Dia tatap wajah Datin Shima sambil tangannya menongkat kepala. Pening memikirkan teka-teki yang melanda ini. Datin Shima hanya mengangkat bahu. Tak tahu hendak cakap apa lagi.

            “Kita cari Bakar. Kita cari dia. Hanya dia je yang tahu perkara sebetulnya!”. Arah Puan Sri Khalida pula. Dia sudah tersenyum. Lega memikirkan  kekusutan yang dialaminya ini dapat diselesaikan jika mereka ke temu Bakar. Datin Shima sudah cemberut wajahnya. Gila hendak mencari Bakar. Semenjak peristiwa itu, dia tak pernah berurusan lagi dengan Bakar. Dia tak mahu ada sebarang hubungan lagi. Takut andai peristiwa 25 tahun itu terbongkar dengan dia sekali bakal masuk penjara. Tak dapat dibayangkan seorang wanita berpangkat dan ibu kepada pelakon terkenal terlibat dalam skandal dan menghiasi muka depan surat khabar. Hish…minta dijauhkan.
          
  “Mana nak cari you?. I tak pernah jumpa Bakar selepas peristiwa itu. I pun tak tahu entah 
hidup atau mati si Bakar tu. Tak payah risaulah you. Memang Zaimah dah mati. I rasa suami you tu sengaja nak uji you. Sengaja nak mainkan perasaan you”. Datin Shima cuba berlembut. Cuba memujuk Puan Sri Khalida membatalkan niatnya.

Cari bala dan tak ada kerja agaknya hendak mencari Bakar dan membuka pekung yang sudah lama membusuk di dalam dada masing-masing. Gerutu Datin Shima lagi, tak puas hati. Semua itu diluahkan dalam hatinya saja. Cari nahas kalau terang-terangan diluahkan  pada Puan Sri Khalida. Alamat niatnya itu tak akan kesampaianlah jawabnya. Puan Sri Khalida hanya menarik nafas. Tapi dia memang yakin dengan kata-kata suaminya itu. Tak pernah sekalipun Tan Sri Hisyam mengungkit soal Zaimah. Cuma sejak kebelakangan ini saja, nama Zaimah mula disebut. Dia keliru sendiri.

“I kelirulah Shima. I takut kalau apa yang Tan Sri cakap tu betul. Tak dapat I bayangkan kalau Zaimah masih hidup. Tan Sri dah ugut I. Dia nak cari Zaimah sampai jumpa. Kalau I tak dapat terima Zaimah, tahulah dia nak ajar I macamana. I tak nak Luke menderita nanti. Kalau Zaimah masih hidup dan punya anak, macamana dengan kedudukan Luke. Mesti semua harta ini akan berpindah pada Zaimah nanti. Luke hanya anak angkat. Dia tak ada hak, Shima…”. Luah Puan Sri Khalida. Dia menekan berkali-kali kepalanya. Mungkin pening atau kusut memikirkan masalah yang bakal melanda nanti. Datin Shima ikut berubah air mukanya. Risau juga andai apa yang dikatakan Puan Sri Khalida itu betul. Kalau Luqman Hakimi sendiri tiada apa-apa hak pada harta milik Tan Sri Hisyam, buat apa dia bersusah payah untuk menyatukan Andrea dengan Luke nanti.

“Tak ada apalah you. I yakin suami you tu sengaja nak uji you. Dah tak payah risau. Buat apa nak fikir perkara yang tak pasti. Jom kita pergi kelab. Jumpa member sambil hibur hati. Tak adalah you nak fikir yang bukan-bukan lagi”. Datin Shima sudah menarik tangan Puan Sri Khalida supaya bangun. Tanpa banyak soal, Puan Sri Khalida hanya menurut. Dia perlu tenangkan hatinya yang kusut. Bertemu dengan kawan-kawan di kelab, sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hatinya. Akhirnya dia mengekor Datin Shima.

Andrea yang tadinya hendak turun ke tingkat bawah, terbantut langkahnya saat mendengar perbincangan Puan Sri Khalida dengan ibunya. Berkerut-kerut dahinya cuba mentafsir setiap kata-kata yang keluar dari mulut mamanya si Luke. Siapa Zaimah? Dia berteka teki sendiri. Kalau betul apa yang didengarnya tadi, satu senyuman sudah tergaris di bibirnya. Tak disangka lelaki hati kering yang sentiasa berlagak itu hanya anak angkat. Bukan anak kandung konglomerat terkenal itu. Selama ini berlagak dengan harta kekayaan orang tua angkatnya saja.

“Huh…hotter guy konon. Hampeh!...lepas ni kau jangan nak berlagak lagi dengan aku Luke. You are not hotter guy…but hopeless guy…”. Andrea gelak sakan.

“Kalau selepas ini, lelaki hati kering itu cuba nak hina-hina aku. Tahulah apa aku nak buat”. Andrea melangkah turun ke tingkah bawah. Dalam hati, sudah tak sabar nak berjumpa Ariel Zen.

“So, lepas ni mummy tak boleh nak paksa-paksa aku. Siapa pilihan aku, mummy kena terima. Ariel Zen seratus kali lebih baik dari mamat hati kering tu”. Dia bercakap pada diri sendiri. Kemudian ketawa lagi. Kaki sudah melangkah keluar dari rumah dan menuju ke arah kereta Ford Fiesta rona merah itu.

“Darling I coming”. Dia ketawa lagi sambil membayangkan tubuh sasa Ariel Zen dalam pelukannya itu.



Mr.Hotter Guy Bab 27

Bab 27

Mokhtar tak habis dengan ketawanya sampai menekan perut. Luqman Hakimi menarik muka. Sakit hati memikirkan ketawa sahabatnya itu yang tak berkesudahan. Tujuan dia bertandang ke rumah sahabatnya itu sekadar untuk meluahkan rasa sakit hati dengan apa yang berlaku di Penang. Sebaliknya ketawa perlian pula yang dia dapat. Kalau tahu begini lebih baik dia balik terus ke rumah dan tidur. Hilang penat. Hilang stress.

“Itulah…gelojoh sangat. Kan aku dah pesan. Mana boleh praktik sekaligus. Step by step okey. Sendiri cari pasal sendiri tanggunglah bro”. Mokhtar mengulas pula. Tawa dibibirnya masih lagi bersisa. Sesekali tangannya merayap ke atas kepala Luqman Hakimi. Cuba mencari benjolan di situ.

“Woo…woo…apa kau buat ni?”. Segera Luqman Hakimi menolak kasar tangan Mokhtar yang menyinggah di kepalanya.

“Jangan salah faham bro, aku nak raba benjol kepala kau ni. Jangan belit-belit. Aku lurus bro…bukan bengkok”. Mokhtar segera menarik tangannya dari hinggap di kepala Luqman Hakimi. Nak tergelak lagi melihat reaksi Luqman Hakimi yang menggelabah semacam. Niatnya sekadar hendak mengetahui setakat mana sakitnya kepala sahabatnya itu kena ‘kungtau’ dengan Cik Nurin Kamila.

“Sakitlah bro. Dia ketuk kepala aku dengan fail setebal 4 inci. Pening kepala tak hilang lagi…tahu!”. Luqman Hakimi memicit kepalanya yang terasa sengal. Sesekali dia memejam matanya. Mengingat kembali apa yang cuba dilakukan semalam terhadap Nurin Kamila.

“Habis tu…rancangan kau? Gagal ke masih ada peluang lagi?”.

“Entahlah…dia cakap nak berhenti”.

“Hmm…gagallah tu. Nampaknya tak dapatlah kau nak elak dari Andrea”. Mokhtar sengih. Dia menelan tawa. Tak mahu sahabatnya itu kecil hati pula andai dia ketawa lagi melihat kegagalan Luqman Hakimi.

“Dia ingat senang nak berhenti. Kalau nak berhenti kena bayar 30k…dia mampu ke?”. Soal Luqman Hakimi sedikit riak. Dia tak fikir Nurin Kamila akan berhenti dan dia pasti tak akan mampu setiausahanya itu membayar 30k. Dia tahu sangat kemampuan setiausahanya itu. Malah dia tahu latar belakang Nurin Kamila yang hanya anak orang miskin.

“Bukan lama mana lagi cabaran kau dengan Andrea nak berakhir. Tak sampai 4 bulan lagi, sempat ke?. Menyerah kalah je. Lagipun Andrea tu pun okey apa?. Namanya tengah meletop-letop sekarang ni. Aktres terkenal Malaysia. Rugi kalau kau tolak”.

Luqman Hakimi mengecilkan matanya. Menghantar isyarat yang dia memang tidak suka nama Andrea disebut-sebut. Kalau Andrea terkenal seluruh dunia pun tak akan dihadapnya perempuan itu untuk menjadi pasangan hidupnya. Bukan dia tak tahu niat Andrea. Bukan betul-betul pun inginkan dia. Hanya mahu menumpang kekayaan dan kemasyhuran nama keluarganya. Bukan ikhlas pun. Semuanya mempunyai agenda tersendiri.

“Selagi tak berakhir 6 bulan tu…aku masih ada peluang. By hook or by crook, Nurin Kamila mesti menjadi galang gantinya. Kalau dulu aku memang nak main-main. Tapi sekarang…aku serius. Dengan benjol yang aku dapat ni…dia mesti jadi milik aku. Baru puas hati!” Luqman Hakimi mengepal penumbuk. Sakit hati memikirkan habuan yang dia dapat di atas kepalanya. Tak pernah dalam hayatnya ini, dia dikalahkan dengan seorang gadis. Gadis kampung yang miskin dan tak punya apa-apa kelebihan. Dia mencemik. Geram dan sakit hati.

“Maksud kau?”. Mokhtar menyoal tidak faham. Cuak pula mendengar sahabatnya bercakap sebegitu. Serius dan bersungguh-sungguh. Setahunya Luqman Hakimi jenis yang tak ambil kisah. Kalau tak dapat bunga yang ini, banyak lagi bunga yang menanti.

“Aku mana pernah kalah?. Mana pernah dimalukan macam ni?. Sekali petik, awek dah tersungkur di hujung kaki. Yang ini, benar-benar mencabar. Bukan high class pun. Awek kampung je”.  Ucapnya tidak puas hati. Mokhtar yang mendengar hanya menjongket kening. Tak sangka sahabatnya itu benar-benar serius dengan apa yang dimaksudkannya itu. Dia pun pelik. Nampaknya Cik Nurin Kamila bukan gadis sebarangan. Kalau tidak masakan Luqman Hakimi nekad untuk memiliki gadis itu.


WAJAH Datin Shima cemberut tatkala membaca tajuk besar di muka hadapan Majalah Glam itu. Terakam aksi Andrea yang sedang dipeluk oleh Ariel Zen dari arah belakang. Bibir Ariel Zen seolah-olah sedang mencium pipi mulus anaknya itu. Manakala Andrea pula memberi wajah ceria dengan sebuah senyuman yang mengghairahkan. Tagline ‘Pasangan Filem Badai Rindu dilamun cinta’ benar-benar membuatkan Datin Shima panas hati.

“Apa semua ni Drea? Betul ke apa  yang ditulis ni?”. Soal Datin Shima seraya melemparkan Majalah Glam di hadapan Andrea yang sedang bersarapan itu. Andrea hanya melihat dengan ekor matanya saja sambil menghirup kopi yang suam-suam kuku itu. Terasa sedapnya tatkala air kopi itu menuruni tekaknya. Sudah lama dia tidak merasa sarapan pagi di rumah sendiri. Semenjak nama sudah dipuncak kerana filem lakonannya meletop di pawagam, Andrea seakan tidak punya masa untuk bersantai dan beristirehat lagi. Sebaliknya masanya lebih banyak digunakan untuk mempromosikan filem dan dirinya sahaja. Namun dia puas kerana cita-citanya untuk berada di puncak telah tercapai.

“Mummy ni…benda ni semua gosiplah…jangan percayalah”. Jawabnya malas. Dia menyelak helaian Majalah Glam, mencari berita utama mengenai dirinya dan Ariel Zen itu. Senyuman galak terukir di bibirnya. Mata tak habis membaca setiap baris ayat yang menceritakan kisahnya dan Ariel Zen. Teringat kembali segala aksi semasa mereka memberikan pose terbaik untuk Majalah Glam sebulan lepas. Andrea menarik nafas, lalu kembali menghirup air kopi yang masih bersisa. Seronoknya saat mengingati detik manis bersama Ariel Zen.

“Tapi mummy tengok Drea macam suka je dengan mamat ni?”

“Mummy…mamat tu nama Ariel...!”. Andrea bersuara manja. Cuba membetulkan panggilan Datin Shima buat Ariel Zen itu.

“Whatever…betul gossip?. Mummy tak nak rancangan mummy nak satukan Drea dengan Luke gagal pulak. Gosip macam ni tak bagus Drea. Nanti apa pula kata Puan Sri. Mummy rasa cukuplah Drea berlakon. Tak payah involve lagi”. Putus Datin Shima. Bimbang juga rasa hatinya kalau Andrea beralih arah. Manalah tahu Andrea terpengaruh dengan dunia glamour, dah tak mahu mengejar Luqman Hakimi lagi sebaliknya mahu mengejar dunia glamour pula.

“Mummy…Drea baru nak rasa glamour. Nama Drea tengah naik ni…banyak tawaran berlakon buat Drea. Tak akan nak stop macam tu je. Ishkk…kalau dah Luke tak ingin..buat apa Drea nak tersua-sua mom…Elok kita lupakan je niat kita tu. Malaslah nak fikir pasal Luke yang hati kering tu”. Andrea menjuih bibir. Bila diingat kembali. Rasa menyesal pula mengejar Luke yang sikit pun tak ada hati padanya. Rasanya ada juga faedah mengejar Ariel Zen. Sekurang-kurangnya dia tidak bertepuk sebelah tangan.

“No…never. Cuba Drea fikir. Luke tu pewaris Berjaya Corporations. Senang hidup Drea nanti.” Andrea menjuling matanya ke atas. Bosan mendengar omelan Datin Shima. Asyik hendak mengejar harta orang, sedangkan mereka bukan orang susah pun. Harta mereka pun dah berlambak. Apa lagi yang hendak dikejar dengan harta orang lain. Akhirnya Andrea bangun dari kerusi makan. Perut dah kenyang, hati pula senang. Malas hendak berlawan kata dengan Datin Shima.

“Okeylah mom…Drea nak bersiap. Pukul 2.00 petang ada fotoshot dengan Majalah Wanita pula”. Dia sudah menapak hendak ke tingkat atas semula. Datin Shima menarik muka. Terasa dengan sikap acuh tak acuh Andrea tentang topik yang dibincangkan itu. Nampaknya Andrea sudah mula berubah hati. Dia tak mahu apa yang diidamkan menjadi sia-sia. Sebelum semuanya terlepas, dia perlu cepat-cepat menjodohkan Andrea dengan Luke. 


“TADAA…”. Ariel Zen meletakkan sepinggan makaroni bakar yang baru dikeluarkan dari oven. Dua gelas kosong diisi dengan air coke bersama ketulan ais buat santapan mereka pada petang itu. Tersenyum Andrea kerana bahagia dilayan laksana puteri. Ariel Zen bukan sahaja kacak dan pandai mengambil hatinya, malah lelaki kacukan melayu cina itu juga pandai memasak.

“Rasalah…sedap tak?”. Soal Ariel Zen sambil menyuap Andrea sepotong macaroni bakar itu. Mulut mengunyah mata terpejam. Begitu asyiknya Andrea cuba menghayati masakan jejaka itu. Dengan Ariel Zen, dia rasa bebas. Tak perlu berpura-pura menjadi wanita sopan. Dia rasa tenang menjadi dirinya. Berbeza dengan Luke, dia perlu berlakon untuk memancing hati lelaki itu.

“Sedap..pandai you masak”. Puji Andrea ikhlas. Ariel Zen senyum gembira. Bahagia dipuji. Dia memang sudah lama tertarik hati dengan Andrea model dan pelakon terkenal ini. Apabila digandingkan sebagai pasangan hero dan heroin dalam Badai Rindu, dia memang tidak lepaskan peluang. Akan diguna sebaik mungkin untuk menambat hati heroinnya itu.

“You dah baca cerita pasal kita dalam Glam?”. Soal Andrea pula. Ariel Zen pantas mengangguk. Dia menapak ke arah TV bersaiz 56 inci itu. Kemudian dia menunduk membuka laci Kabinet TV. Majalah Glam dikeluarkan lalu dia duduk di sebelah Andrea.

“Cantik la you !”. Puji Ariel Zen sambil mata tak habis menilik wajah Andrea yang terpampang di muka depan Majalah Glam itu. Sengih Andrea kerana suka dipuji begitu.

“Really?”. Dia pura-pura menyoal. Sengaja buat-buat tidak percaya dengan pujian Ariel Zen itu.

“Betul. I tak tipu. You memang cantik. Bertuah siapa yang jadi kekasih you!’. Ariel Zen menggiat pula. Sekadar hendak melihat reaksi Andrea. Alangkah bahagianya kalau Andrea mengaku yang dia tak punya siapa-siapa dalam hidupnya. Pasti dia tidak akan lepaskan peluang untuk menakluk hati wanita cantik didepannya ini.

Andrea tidak membalas, sebaliknya dia hanya senyum saja mendengar pujian dari Ariel Zen itu. Saat ini dia pun tak pasti dengan kehendak hatinya sendiri. Masihkah Luqman Hakimi yang bertakhta di hatinya atau dia lupakan terus lelaki itu. Namun memikirkan kehendak ibunya Andrea jadi keliru sendiri. Dia bukan bodoh untuk memahami rasa hati yang ditunjukkan oleh Ariel Zen terhadapnya. Cara layanan, pujian dan pandangan mata hero ‘Badai Rindu’ itu membuatkan dia yakin lelaki itu memang mempunyai perasaan padanya. Hanya dia saja yang berpura-pura tidak mengerti.



Thursday, 12 September 2013

Mr.Hotter Guy Bab 26

Bab 26

“Alhamdulilah…terima kasih Nurin. Terima kasih sebab penuhi hajat mak”. Emak peluk aku dengan sepenuh hati. Aku senyum walau senyum aku kelihatan kelat. Cincin belah rotan yang kurang sinarnya itu aku tilik dengan sekali pandang saja. Sebenarnya berat hati nak menerima pinangan dari Puan Munirah yang datang secara tiba-tiba itu. Asalnya aku sekadar hanya memenuhi permintaan emak untuk menerima kedatangan tetamu istimewa hari ini. Emak pun tak memaksa kalau hati aku tak berkenan. Entah kenapa, bila aku pandang saja wajah Shahril Aiman, ada rasa di situ. Satu rasa yang aku sendiri tak pasti. Adakah ini yang dikatakan jodoh?

“Saya tahu mungkin Nurin rasa berat hati nak terima semua ini. Tapi percayalah saya yakin Nurin adalah jodoh yang ditetapkan buat saya. Rasanya apa yang berlaku di Penang semuanya telah direncanakan oleh ALLAH…saya sendiri yakin dengan gerak hati saya. Memang awak jodoh saya Nurin”. Terdiam aku tatkala dia menuturkan kata itu sewaktu aku sibuk di dapur mengemaskan pinggan mangkuk usai kami menjamu selera tadi. Hati…usah cakaplah. Riuh bergendang dan bertabla. Rasa macam seluruh tubuh terkena renjatan elektrik. Nak kata suka…sukalah jugak. Mana pernah lagi ada lelaki yang bercakap dengan aku serius begini?.

Aku menjeling sedikit mencari kelibat emak dan Puan Munirah yang tadi ada bersamaku. Tapi hampa. Ternyata emak dan Puan Munirah sudah ke atas semula. Pasti  hendak menyambung bicara yang tertangguh kerana makan  tadi. Hanya aku dan dia di dapur kala ini.

“Err…”. Aku gugup. Tak tahu hendak balas kata.

“Err..mak…err…tokwan”. Hanya itu yang terluah dari bibirku. Malu dan takut bermain dalam minda. Malu kerana ditinggalkan berdua dengan dia. Takut pula dicop sebagai anak dara gatal berdua dengan lelaki yang tidak dikenali.

‘Nurin…malu dan takut konon!!!. Habis semalam tu bukan kau dan dia berdua sajakan sepanjang perjalanan dari Penang sampai dah selamat pun kau tiba di rumah ini.’ Hati ini tak habis-habis hendak menempelak. Tak pernah nak berkompromi dengan aku.

“Oh…mak Nurin dan Tok wan yang bagi peluang saya bercakap secara peribadi dengan Nurin. Jangan bimbang. Semuanya dalam pengetahuan depa”.

Aku tarik nafas lega apabila mendengar dia kata begitu. Nampaknya emak dan tok wan sengaja memberi sedikit ruang untuk kami berkenalan. Tok wan pula, awal-awal lagi sudah minta izin hendak ke kebun. Semuanya seolah seakan memberi ruang untuk aku mengenali lelaki yang sedang duduk santai di kerusi makan sambil menghadap aku yang sedang membasuh pinggan mangkuk ini.

“Terima kasih pasal semalam. Boleh tak awak rahsiakan dari mak dan tokwan. Mereka tak tahu pun saya balik dengan siapa semalam?”. Pintaku teragak-agak. Dia mengerutkan dahi tanda tidak faham. Mungkin pelik dengan permintaanku yang tidak dijangka itu.

“Tolonglah…boleh tak?”. Aku ulang lagi permintaanku ini. Mestilah aku mengharapkan dia merahsiakan kebenarannya. Kalau emak dan tok wan tahu, barangkali aku dibelasah secukupnya. Mana pernah mereka mengajar aku seberani itu ikut orang yang tak dikenali. Lelaki pulak tu dan dalam situasi yang boleh mengundang perkara yang tak diingini.Akhirnya dia mengangguk dengan senyum tersungging di bibirnya. Lega rasa hatiku saat sebuah senyuman terlakar dibibirnya.

“Hah…sebelum saya lupa…minta balik kad kerja saya. Nanti tak pasal saya tak boleh masuk kem kerana tak ada pass masuk”. Kali ini dia pula minta kad kerja yang diberikan padaku semalam. Hampir saja aku lupa untuk memulangkan kepadanya kalau dia tak ingatkan aku.

“Ohh…tunggu sat. Saya ambik kat dalam bilik”. Segera aku tinggalkan dia lalu menaiki tangga untuk ke atas. Aku masuk ke bilik dan mata melilau mencari kad kerjanya yang aku belek pagi tadi. Senyum terukir di bibir tatkala mata menangkap kad kerja yang terletak elok di atas meja solek bersebelahan dengan Nokia murah aku. Segera aku capai. Baru hendak melangkah keluar, Nokia murah melalak pula. Terus aku gapai dan mata terpaku pada nombor yang tertera. Terasa semput nafasku dan mata membulat melihat nombor itu lagi.

“Hish…dia ni memang tak akan bagi aku hidup senang”. Aku mengomel seraya aku tekan butang merah. Segera aku off telefonku. Puas hati kerana dia tak akan ganggu aku lagi. Namun aku terkedu sekejap. Sampai bila aku nak mengelak dari dia. Esok-esok muka itu juga yang aku hadap hari-hari. Selagi tak disahkan jawatan, memang aku kena kerja dengan dia jugak. Apa pilihan yang aku ada?. Nak bayar 30k tu…mana nak cekau duit. Aku bukan orang berduit pun. Kalau ada 30k pun tak akan aku nak bagi macam tu je kat dia. Orang miskin macam aku ni dengan  30k tu macam-macam aku boleh buat. Akhirnya aku terduduk di birai katil, menarik nafas dengan panjang lalu aku beristigfar berulang kali. Kad kerja Shahril Aiman yang ada dalam pegangan aku tilik tanpa perasaan. Teringat pula pada apa yang kami bualkan tadi. Mungkin dia jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku. Mungkin dia satu-satunya penyelamat aku dari mr.hotter guy berhati binatang itu. Hanya ini pilihan yang aku ada. Selamatkan diri dengan menjadi tunangan Shahril Aiman. Pasti si hotter guy tak akan berani-berani menganggu aku lagi kerana aku milik orang.

‘Nurin…fikir masak-masak!. Betulkah dengan apa yang kau buat? Ini soal hidup?. Bolehkah kau habiskan hayat dengan Shahril Aiman tu?!!!’. Kata hati giat menasihat pula.

‘Bolehkah kau cintakan dia?’. Hati menambah lagi. Aku pejam mata. Muka aku raup berkali-kali. Aku tarik nafas panjang lalu lepaskan perlahan.

“Aku yakin dengan apa yang aku buat. Memang ini jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku. Cinta selepas nikah itu lebih indah. Dan dia memang jodoh terbaik yang ALLAH ciptakan buat aku”. Aku menjawab bagi setiap persoalan yang bermain di benakku tadi. Lantas aku berdiri dari birai katil. Kemudian menapak keluar dari bilik. Kad kerjanya yang berada dalam tangan aku genggam dengan erat. Yakin dengan keputusan yang aku buat.


Puan Munirah tak habis dengan senyum. Sesekali dia melihat wajah anak teruna sulungnya itu yang manis sentiasa. Tadi bukan main dia mengelat, alih-alih dia pula yang tak sabar nak beristerikan Nurin Kamila.

“Apa yang Man cakap kat dapur tadi sampai Nurin terima pinangan Man tu?”. Puan Munirah menyoal pula. Tak disangka hajat asal hendak merisik dah jadi bertunang pula. Kesian pada Nurin kerana cincin belah rotan yang sudah pudar warna emasnya dan murah itu menjadi mangsa disarung ke jari. Kebetulan hanya cincin itu saja yang tersarung di jari Puan Munirah. Hendak disarung cincin berlian bermata satu itu, sungguh dia tak akan beri kerana itu cincin pemberian arwah suami tersayang. Cincin yang mempunyai nilai sentimental yang tak akan luput dari ingatan selagi hayat di kandung badan.

“Tak ada apa mak…Man pun tak sangka yang dia terima pinangan Man. Tapi Man syukur sangat mak. Entah kenapa sekali tengok, hati Man berdebar kuat. Man rasa memang dia jodoh Man. Tak pernah Man rasa pada mana-mana perempuan yang Man kenal mak”. Luah Shahril Aiman dengan bersungguh. Namun mata masih tertumpu pada pemanduannya. Sesekali saja dia melihat wajah ibunya kerana berbual.

“Mak sarung cincin mana satu buat bakal menantu mak tu?”. Kalut dia menyoal pula.

“Man tu yang tak menyempat. Gelojoh sangat. Kesian Nurin, cincin belah rotan zaman mak bertunang dengan ayah tu yang sempat mak sauk. Zaman tok nadok…Warna pun dah pudar. Nanti masa akad nikah, Man bagilah yang elok dan mahal sikit kat Nurin tu.”

“Hai…mak…Man tengok ada cincin belian mata satu yang mahal kat jari manis mak tu, awat tak sarung yang tu je. Mak ni pun berkira jugak dengan Man ye?”. Shahril Aiman sengaja mengusik ibunya. Menduga hati ibu kesayangannya itu. Spontan satu cubitan menyinggah di lengan anaknya sulungnya itu.

“Man…kerat 18 pun mak tak akan bagi. Cincin ni pemberian arwah ayah sebelum dia tutup mata. Satu-satunya pemberian ayah yang mak akan simpan buat kenangan seumur hidup. Yang ini satu-satu harta berharga buat mak.” Terang Puan Munirah bersungguh-sungguh. Ada riak sedih terlukis di wajahnya. Kenangan bersama suami tercinta segera terlayar di depan mata.


“Man minta maaf mak…Man gurau je. Man tahu cincin tu banyak kenangannya pada mak”. Shahril Aiman segera memegang tangan ibunya lalu dibawa ke bibir. Di cium dengan seikhlas mungkin tanda dia benar-benar tidak berniat dengan apa yang dikatakannya tadi. Puan Munirah kembali senyum. Tangannya seraya mengusap rambut Shahril Aiman anak sulungnya itu. Dengan Shahril Aiman memang kasih dan sayangnya tidak berbelah bagi. Pada Shahril Aiman, ada wajah suami tercinta di situ. Buat penyejuk mata kala hati sedang bergundah.

Mr.Hotter Guy Bab 25

Bab 25
“Kita nak kemana ni mak?”.

“Jomlah. Ikut je  arah jalan yang mak tunjuk ni. Ha…pusing masuk ikut jalan mini tar ni!”. Arah Puan Munirah pada anaknya yang sedang memandu. Shahril Aiman tidak membantah, sebaliknya dia mengikut saja arahan Puan Munirah walau timbul sedikit rasa pelik dalam jiwanya. Jalan yang dilalui seakan seperti semalam saja dilewatinya. Cuma dia sedikit keliru kerana keadaan semalam amat berbeza dengan keadaan hari ini yang terang benderang itu.

“Mak…cuba mak bagitahu Man…kita nak kemana ni?. Dari tadi duk rahsia?”.

“Mak nak bawa kamu jumpa bakal jodoh kamu. Kalau mak habaq awai-awai…ada saja kamu nak bangkang nanti”. Balas Puan Munirah senyum. Serta-merta Shahril Aiman memberhentikan keretanya. Dia memandang wajah ceria Puan Munirah. Terkejut mendengar apa yang dikatakan ibunya.

“Mak…!”. Dia menjerit manja. Nak marah tak sampai hati kerana ini hajat ibunya. Dia hanya mampu memandang dengan perasaan terkilan. Kenapalah dalam soal urusan yang penting ini, ibunya membuat keputusan sendiri.

“Okey…Man ikut kata mak. Tapi mak jangan paksa kalau Man tak berkenan nanti”. Shahril Aiman sudah memberi amaran pula. Puan Munirah hanya tersenyum. Kemudian dia membuka pintu kereta hendak keluar dari perut  Vios milik anak sulungnya itu. Terjongket kening Shahril Aiman melihat reaksi ibunya.

“Eh…tak kan mak merajuk kut…pasai apa yang mak turun kat sini pulak?. Man minta maaf mak”. Shahril Aiman cepat-cepat memohon maaf. Risau juga dia andai kata-katanya tadi mengguris hati ibunya.

“Tak ada maknanya mak nak merajuk. Dah sampai Man. Jomlah”. Pelawa Puan Munirah. Shahril Aiman tidak terkata. Nampaknya kali ini memang dia tak boleh lari lagi. Mahu atau tidak, terpaksalah dia mengadap dan bertentang mata dengan bakal calon menantu pilihan ibu. Namun dia  mengerutkan dahinya. Rumah kayu separuh batu itu macam pernah dilihat semalam. Sama seperti rumah milik Nurin Kamila.

“Mak…!”. Dia panggil Puan Munirah yang sudah berjalan masuk ke perkarangan rumah separuh batu itu.

“Ada apa?”. Soal Puan Munirah pelik melihat gelagat Shahril Aiman yang tergaru-garu kepalanya.

“Calon menantu mak tu nama apa?”. Puan Munirah senyum. Hatinya berbunga mekar. Nampaknya berminat juga anak sulungnya itu hendak tahu nama bakal calon menantu pilihannya itu.

“Nurin Kamila”. Membulat mata Shahril Aiman. Senyum sudah mekar di bibir. Serta merta dia berjalan menyaingi Puan Munirah.

“Awat mak tak habaq awai-awai?.”

“Dah kamu tak tanya?”. Puan Munirah soal balik dengan tandatanya. Shahril Aiman senyum lagi. Kali ini Puan Munirah pula yang tergaru kepala melihat reaksi anaknya yang seakan teruja itu.

Kalau Nurin Kamila yang itu, dengan rela hati hari ini juga dia hendak masuk melamar. Dah tak payah nak risik bagai lagi. Pakat jadi terus, kan senang. Dia bermonolog pula. 

“Mak bawa ka cincin?”. Dia soal lagi.

“Kata nak mai tengok dulu. Cincin apa mak tak bawala. Aikkk…awat yang Man galak lebih ni?”. Shahril Aiman bantai ketawa bila mendengar ibunya menggelar dia galak terlebih.

“Kira jadilah mak. Nanti mak bincang terus tarikh tunang dan nikahnya. Kalau buat sekaligus senang. Tak payah Man nak cuti banyak kali.”

“Man!”. Suara Puan Munirah sudah meninggi. Pening pula memikirkan permintaan anaknya yang berubah tiba-tiba.

“Kita mai nak tengok dulu…nak meminang tu kena adat bagai. Cincin pun mak tak bawa. Mana boleh main redah je”. Puan Munirah sambung kata. Cuba menolak permintaan anaknya yang tak pernah dibuat orang itu.

“Man tak kira. Mak buat la macamana pun. Janji dia jadi isteri Man”. Puan Munirah sudah tergeleng kepala. Nampaknya anaknya bukan galak terlebih lagi tapi dah sampai tahap tak menahan sabar pula. Hmm…nak tak nak…terpaksalah dia melamar tanpa membawa sirih junjung bagai. Tak mengikut adat, tapi menerjah ikut suka hati.   



TAN  SRI  Hisyam merenung tajam ke arah isterinya yang baru melangkah masuk ke dalam rumah. Tanpa salam Puan Sri Khalida terus menonong ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Sedikit pun dia tidak bertanya khabar pada suaminya yang tercongok di depan mata.

“Ida…”. Panggilan Tan Sri Hisyam mematikan langkahnya. Dia memandang wajah suaminya yang serius itu. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Kenapa hari ini Tan Sri Hisyam berubah laku?. Memanggil namanya pun dengan nada keras. Tak pernah dia menatap wajah serius si suami  yang berubah tiba-tiba . Nampaknya akan ada perbalahan  yang bakal muncul  nanti. Hmm…dia nak lihat sejauh mana si suami itu akan menang dalam perbalahan ini. Telah Puan Sri Khalida dalam hati. 

“Hmm…ada apa?”.

“Duduk sini. Saya ada benda nak cakap”. Arah Tan Sri Hisyam. Puan Sri Khalida terus mengubah posisi lalu duduk di sofa kulit mengadap suaminya itu.

“Awak terus terang dengan saya Ida. Tak perlu nak selindung lagi. Saya dah tahu wayang  awak”. Puan Sri Khalida kerut dahi. Pelik pula dengar perkataan yang keluar dari mulut si suami. Wayang apa pula yang dimainkan?. Wayang kulitkah?.

“Ish…cuba awak cakap direct. Tak payah nak belit-belit. Saya tak ada masa nak layan bahasa bunga-bunga awak tu?”. Kali ini suaranya sudah sedikit meninggi. Geram pula jadinya. Sudahlah letih belum hilang lagi kerana menghadiri aktiviti kelab dengan teman-teman. Sekarang ini, dia ditujah pula dengan kata-kata kiasan dari si suami. Bikin panas saja hatinya.

“Betul Zaimah dah mati?”. Soal Tan Sri Hisyam. Terbelalak mata Puan Sri Khalida. Terkejut. Kenapa si suami membangkitkan isu orang yang dah mereput dalam kubur itu?

“Betullah. Tiap-tiap tahun awak melawat kuburnya. Tak akan saya nak menipu. Awak sendiri yang tengok rumahnya terbakarkan jadi abu?”.

“ Memang saya tak nafikan semua tu. Tapi manusia boleh menipu Ida. Masa kejadian tu berlaku saya kat Jepun. Awak je yang kat sini. Macam-macam awak boleh buat untuk menipu saya”. Tan Sri Hisyam berdiri dari kerusi yang didudukinya. Dia bercekak pinggang. Matanya sudah mencerlung memandang wajah isterinya itu. Kalau tak difikirkan sabar, mahu saja dilanyak tubuh gempal didepannya itu. Puan Sri Khalida menelan liur. Kecut. Tak pernah lagi dia melihat si suami yang naik minyak tiba-tiba. Kali ini Tan Sri Hisyam memang betul-betul tengah marah. Merah mukanya menahan sabar.

“Apa lagi yang awak cari pada Zaimah tu?. Dia dalam kubur pun, awak masih tak percaya. Masih termimpi-mimpi. Apa lebihnya dia? Apa kurangnya saya”. Puan Sri Khalida tidak mahu mengaku kalah. Dia tatap wajah si suami yang merah itu dengan berani.

“Lebihnya dia sebab dia baik hati, memahami. Tak pernah meninggi suara. Hormat saya sebagai suami. Awak kejam Ida. Awak yang buat dia macam tukan? Awak yang bakar rumahnya?. Awak yang sengaja mencipta kematian palsu Zaimahkan? Awak cemburu sebab dia mengandungkan anak saya?. Awak cemburu sebab awak mandul!”. Habis dimuntahkan apa yang terpendam selama ini dalam hati sanubarinya. Kesabarannya sudah hilang batasnya. Hari ini dia perlu mengajar isteri yang sudah melebihi tahapnya. Sudah jadi seperti kaduk naik junjung.

“Memang saya cemburu. Memang saya mandul. Memang saya yang buat semua tu. Memang saya bakar rumahnya. Memang Zaimah tak mati lagi. Saya yang buat semua tu. Saya ugut dan paksa dia tinggalkan awak. Saya benci bila tahu dia mengandung. Saya tercabar dengan apa yang dia ada”. Puan Sri Khalida sudah menekup mukanya. Dia menahan tangis. Dia memang rasa tercabar bila tahu madunya itu telah mengandung. Selama ini dia mencabar suaminya. Mencabar keupayaan si suami. Akhirnya dia yang malu sendiri apabila mengetahui dia yang tidak berupaya untuk melahirkan zuriat buat menyambung generasi.

“AstagafiruAllah…Ida…apa lagi yang kurangnya?. Awak ada Luqman…awak berharta. Awak ada saya…kalau nak bandingkan dengan Zaimah. Dia tak pernah rebutkan saya dari awak. Walaupun dia berhak ke atas saya. Dia tak pernah hendak hidup bermewah walau dia bersuamikan saya. Dia tahu batasnya sebagai madu awak. Selama ini siapa yang selalu mencabar keupayaan saya? Bukan awak? . Kenapa awak nak cemburu kalau Zaimah boleh mengandung?. Patutnya awak terima dengan hati terbuka kerana generasi kita akan berkembang Ida?”. Tan Sri Hisyam sudah mengendur suaranya. Tidak jadi hendak marah. Rasa kasihan pula yang bertandang dalam hatinya melihat si isteri yang bersedih itu. Tentu pahit untuk seorang wanita menerima kenyataan yang dia tidak boleh melahirkan zuriat buat si suami.

“Itu generasi awak. Bukan generasi saya. Awak ingat semudah itu saya nak terima anak dari keturunan Zaimah yang low class tu. Mimpilah. Saya tak akan terima sama sekali. Saya tak akan benarkan sesiapa pun merampas hak yang sepatutnya menjadi milik Luke”.

“Cuba bawa mengucap Ida. Luke tu tetap anak kita walau dia anak angkat. Saya tak akan sia-siakan dia. Harta kita tetap milik Luke. Dia tetap penyambung generasi empayar Berjaya Corporations”. Balas Tan Sri Hisyam lembut. Sungguh, jauh di sudut hatinya, Luqman Hakimi tetap dianggap anak walau bukan dari darah daging sendiri. Mereka membela dan mendidik dari tapak kaki sebesar dua jari hingga dah besar panjang begini. Malah layak untuk menjadi bapa orang. Tapi kasih sayang buat Luqman Hakimi tetap tidak kurang walau sebesar zarah pun tiada bezanya.

“Boleh percayakah kata-kata awak?. Awak tak ingat pada birthday Luke yang ke 4 tahun. Kesian dia menunggu awak untuk sambut sama-sama. Sudahnya awak tak muncul-muncul juga kerana sibuk melayankan isteri muda awak tu”. Puan Sri Khalida mengesat air mata yang merembes keluar. Sakit hatinya memikirkan perkara yang lepas. Selepas mendapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi. Tan Sri Hisyam seakan alpa dengan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada keluarga mereka.

“Bukan saya sengaja Ida. Zaimah hampir keguguran hari tu. Saya terpaksa temankan dia di hospital. Cubalah memahami keadaan saya waktu itu”. Tan Sri Hisyam masih memujuk. Sumpah!. Dia bukan sengaja lupa pada tanggungjawab. Namun keadaan Zaimah pada waktu itu memang perlukan perhatian.

“Sudahlah…lelaki semuanya sama. Pandai beralasan. Walau apapun awak jangan ingat saya boleh maafkan awak. Saya tetap tak dapat terima Zaimah dalam hidup saya. Awak jangan mimpi saya akan terima Zaimah”. Puan Sri Khalida masih tetap dengan pendiriannya. Masih degil. Yang pasti bayang Zaimah pun dia tak mahu lihat.

Tan Sri Hisyam menghela nafas berat. Walau rahsia bukan rahsia lagi, isterinya itu tetap tidak berubah. Tetap tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukannya.


“Kalau awak tetap berkeras, jangan ingat saya akan berlembut Ida. Sudah puas saya ikut telunjuk awak selama ini. Kalau awak sayangkan rumahtangga kita, awak tetap kena terima Zaimah. Walau apapun yang berlaku, saya tetap akan cari Zaimah dan anak saya. Faham?!!!”. Tan Sri Hisyam sudah kembali duduk di sofa. Mencerlung semula matanya memandang Puan Sri Khalida. Rasa simpati yang menyinggah benaknya tadi, cepat saja terlerai dengan kedegilan isterinya itu. Puan Sri Khalida hanya merengus geram. Tak disangka, Tan Sri Hisyam sudah pandai hendak tunjuk berani. Nampaknya taringnya sudah tidak tajam lagi hendak menakutkan suaminya itu. Akhirnya    dia bangun dari sofa berangkai dua itu kemudian menapak laju ke arah tangga. Dia mahu segera merebahkan badan di bilik. Sakit hatinya makin menambah dengan kata-kata  yang didengari dari mulut Tan Sri Hisyam itu.