Bab 24
“SAYA
dah siasat seperti yang diarahkan Tan Sri. Malah kubur tempat Puan Zaimah
disemadikan pun saya lawati. Malangnya Tan Sri…selama ini Tan Sri tertipu
sebenarnya”. Ayat yang keluar dari Encik Bakri penyiasat upahan yang
diperkenalkan oleh Berahim buat Tan Sri Hisyam terkedu. Selama 25 tahun dia
disogokkan berita yang Zaimah sudah mati dalam kebakaran rumahnya di kampung
dahulu. Sahlah selama ini dia dipermainkan oleh Puan Sri Khalida. Ketika kejadian ini berlaku dia berada di luar negara
kerana urusan perniagaan, mudah benar Puan Sri Khalida menyusun strategi.
“Tapi
kebakaran tu memang berlakukan?. Saya sendiri pergi melihat tapak rumah arwah
isteri saya. Malah kuburnya juga saya lawati”. Tan Sri Hisyam masih kurang
percaya.
“Itu
betul Tan Sri. Memang rumah Puan Zaimah terbakar teruk. Tapi Puan Zaimah dan
ahli keluarganya selamat. Kubur yang Tan Sri lawati itu adalah milik pembantu
rumah Puan Zaimah. Kebetulan namanya pun Zaimah juga. Saya rasa Tan Sri keliru
kerana nama mereka sama”. Penjelasan dari Bakri itu buat Tan Sri Hisyam
terlopong. Dia meramas geram pemegang kerusi yang didudukinya itu. Kenapa
selama ini dia terlalu bodoh? Terlalu percayakan segala kata Puan Sri Khalida.
Rupanya Puan Sri Khalida menangguk di air yang keruh. Sengaja mengambil
kesempatan di atas apa yang berlaku.
Jadi
betullah dengan apa yang dilihat. Matanya tak pernah menipu. Memang perempuan
yang dilihat tempohari adalah Zaimah. Kenapa Zaimah menghilangkan diri? Apa
yang terjadi?. Tan Sri Hisyam menopang kepalanya. Kusut memikirkan masalah yang
datang tiba-tiba. Segera dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Hilang mood
untuk meneruskan kerja.
“Terima
kasih atas maklumat awak. Saya nak awak teruskan siasatan. Kali ini saya nak
awak cari kemana Puan Zaimah sekeluarga menghilang. Saya nak butirannya segera.
Kalau boleh saya nak jawapannya dalam seminggu ini. Kalau awak dapat cari, saya
akan gandakan bayaran buat awak”. Tersenyum Bakri mendengar apa yang dituturkan
oleh Tan Sri Hisyam. Memang lumayan bayaran yang akan diterima andai dia dapat
menjejak dimana Puan Zaimah berada sekarang ini.
“Baik
Tan Sri. Saya akan usahakan seberapa segera”. Janji Bakri sebelum melangkah
keluar dari bilik pejabat Tan Sri Hisyam.
“Saya
tak sangka Berahim. Selama ini saya tertipu…dibodohkan isteri sendiri. Ya
ALLAH…kenapa aku terlalu bodoh. Kesian Zaimah. Macamana dengan anakku?. Anak
yang dikandung Zaimah”. Dia meraup mukanya. Badannya sudah terhinggut-hinggut
menahan tangis.
“Sabar…Tan
Sri. Ini ujian dari ALLAH. Banyak-banyak bersabar”. Berahim yang masih setia
disisi mengusap belakang badan Tan Sri Hisyam. Kasihan pula melihat rakan
sendiri yang tertipu selama ini. Hanya kerana cemburu dan iri hati banyak jiwa
yang menjadi mangsa. Kasihan Zaimah, gadis kampung yang mendapat tempat di hati
Tan Sri Hisyam. Dia yang menjadi mangsa kerana sifat cemburu dan iri hati Puan
Sri Khalida.
“Saya
nak balik Berahim. Hati saya tak tenang. Luqman Hakimi dah balik dari Penang?”.
Soalnya pula.
“Kalau
ikut kata Puan Liza…petang ni dia dah balik”. Balas Berahim. Tan Sri Hisyam
hanya mengangguk lemah. Anak bertuahnya itu ke Penang pun tanpa memberitahunya
terlebih dahulu. Khabar perginya ke sana pun dia tahu dari mulut Puan Liza
sendiri. Atas urusan apa dia pun kurang pasti. Hendak kata ada perjumpaan
dengan klien. Yakin sangat yang Berjaya Corporation memang tidak ada
sebarang usahasama perniagaan dengan
mana-mana syarikat di Penang itu. Dia
menarik nafas panjang. Kemudian melangkah keluar dari biliknya. Dalam hati
sudah tidak sabar hendak bertemu dengan Puan Sri KHalida, diktator yang
mengawal hidupnya selama ini. Kali ini dia tak akan menurut telunjuk diktator
itu lagi. Biar apapun yang berlaku dia tak akan menyerah kalah.
PUAS
Luqman Hakimi mengetuk pintu bilik hotel yang dihuni setiausahanya itu. Namun
sedikit pun tak dibuka dari dalam. Dia mendail pula nombor telefon, namun tidak
juga dijawab. Geram rasa hati memikirkan setiausaha yang degil ini.
‘Fikirnya
dengan bersikap keras kepala ini boleh buat aku menyembah dia pula.’ Dia
mengomel dalam hati.
‘Tapi
Luke… kau memang kena pujuk dia. Pujuk rayu sampai dia lemah. Kalau tidak kau
terpaksa menyerah kalah pada Andrea. Kau nak si tepung gomak tu jadi isteri
kau. Biar betul’. Kata hati giat menasihat pula. Hendak tak hendak, Luqman
Hakimi terpaksa mengetuk pintu bilik itu. Memujuk, merayu cik adik sayang
sehingga hatinya menjadi lemah.
“Nurin…please.
Buka pintu ni. Saya tahu…apa yang berlaku semalam adalah keterlaluan. Saya tak
ada niat pun. Tak tahulah apa yang merasuk saya semalam. Maafkan saya…please”.
Dia masih memujuk dengan suara lembut. Ego yang menggunung selama ini, merudum
jatuh dengan teruk sekali hanya kerana
hendak memujuk cik setiausaha yang degil ini. Dia setia di depan pintu,
mengetuk dan memujuk rayu dengan ayat-ayat cinta. Malangnya air liur terbazir
begitu sahaja. Pintu bilik langsung tidak dibuka sedikit pun.
“Encik”.
Dia mengalih pandang pada suara yang terdengar di belakangnya. Seorang wanita
berdiri di sisi troli yang sarat dengan tuala dan alat pembersihan. Dia angkat
kening apabila melihat wanita separuh umur itu senyum padanya.
“Setahu
saya, penghuni bilik ni dah keluar semalam. Sebab tu saya diarahkan mengemas
bilik ini sekarang”. Terang wanita itu.
“Ya?”.
Dia seakan tidak percaya. Kemana cik adik sayang hendak pergi?. Bukan dia kenal
sesiapa pun di sini. Tak akan seberani itu dia hendak keluar dari hotel ini. Malam
pulak tu. Dia bersoal jawab sendiri.
“Kalau
encik tak percaya, encik boleh tanya di kaunter pertanyaan”. Tambah wanita itu
lagi. Akhirnya dia menjarakkan tubuhnya dari pintu bilik yang dihuni
setiausahanya itu. Cuba memberi laluan pada wanita itu untuk membuka pintu
bilik dan menjalankan tanggungjawabnya membersihkan bilik itu. Setelah pintu
bilik di buka, dia mengamati bilik itu. Memang betul seperti yang dikata, bilik
itu sudah tidak berpenghuni. Pakaian cik adik sayang pun tiada. Nyatalah semalam,
cik adik sayang telah meninggalkan hotel ini. Dia menggeleng kepala. Menyesal dengan
apa yang dilakukan semalam. Tindakan yang terburu-buru untuk melaksanakan misi mengikat
cik adik sayang bukan sahaja gagal. Malahan dia mungkin akan gagal untuk
selama-lamanya memikat hati cik adik sayang. Dia meraup muka. Dia ramas
rambutnya. Kusut. Bukan sahaja rancangannya
gagal. Sekarang dia bertambah kusut
memikirkan kemana cik adik sayang menghilang?.
“TERKEJUT
mak. Ingatkan siapa yang datang pepagi
buta tadi?. Rupanya anak kesayangan mak dah balik”. Tersenyum mak melihat aku, anak daranya di depan mata sedang
menjamah nasi goreng buat sarapan pagi
ini.
“Itulah..tok
wan pun pelik. Tak ada ribut apa…tup…tup dah depan pintu. Macam lari dari rumah.
Pakai serupa nak pi bersenam kat taman pun ada”. Tersedak aku bila mendengar
tok wan membuat serkap jarang. Kalaulah tok wan tahu apa yang dah aku buat
semalam. Yang aku ini seorang pembunuh. Pekerja yang membunuh majikannya
sendiri. Barangkali terbalik dunia ini untuk mereka menerima hakikat. Aku telan
liur yang terasa kelat.
“Betul
ka yang kamu ni baru habis kursus kat Penang nun…tak sabar nak balik sampai
baju pun ikut sempat je kamu sarung?”. Soal mak seolah tak percaya.
“Ishk…mak
ni. Nurin dah balik ni kira syukurlah. Nanti Nurin bungkus balik KL semula baru
mak nak melopong kot. Dulu mak kalut suruh Nurin balik. Hari ni Nurin dah balik
mak macam tak percaya pulak”. Aku buat nada merajuk. Sebenarnya lebih dari nak
melepas diri. Nak mengelak dari menjawab soalan pelik-pelik dari mak dan tok
wan.
“Sudahlah
Mah oii…toksah duk tanya apa-apa lagi. Satgi buatnya dia balik ke KL semula.
Lambat pula hajat orang kat sana nak mai tengok dia. Terbantut lagi rancangan
tu”. Balas tok wan sambil menghirup kopi suam yang berasap nipis itu. Aku
tenung muka tok wan. Hajat apa pula? Rancangan apa pula? Ish…macam-macamlah. Balik
kampung je mesti ada saja agenda mak dan tok wan ni.
“Ha…dah
alang-alang kamu ada ni. Bolehlah kawan mak dan anaknya datang tengok kamu?”.
“Tengok
apa pula mak?. Nurin bukan sakit. Sihat walafiat ni. Nak mai tengok apa?”. Aku
tanya soalan bodoh pada mak. Siapalah yang baik hati hendak datang melawat aku?.
Bukan orang terkenal pun.
“Itu…jodoh
yang mak bagitahu tu. Tak akan dah lupa kot. Tadi mak dah telefon kawan mak. Kata
kamu balik sini. Kebetulan anak terunanya pun balik semalam. Bolehlah datang
tengok kamu…kalau berkenan tu, tak lama bolehlah mak dapat menantu”. Mak dah
senyum senget pandang aku. Serta merta terbayang wajah Kapten Shahril Aiman
diruang mataku. Kenapalah aku boleh tak perasankan dialah si mamat rambut askar
yang baik budi menghantar aku semalam.
“Err...”.
Kelu lidahku. Tak tahu nak buat keputusan apa. Nak tolak atau terima?. Aku tarik
nafas panjang. Lalu aku hembus perlahan.
“Boleh
tak mak bagi masa Nurin fikir...”.
“Biarlah
depa datang dulu. Tengok kamu. Mak dengan kawan mak yang buat keputusan. Tapi kami
kena ikut kehendak anak juga. Kalau anak dia dan kamu saling tak berkenan, mak
tak paksa. Bolehlah Nurin, biar depa datang berkenalan dulu?”. Akhirnya aku menggangguk
lemah. Kasihan pula mendengar permintaan mak.
Aku
masuk ke dalam bilik yang telah lama aku tinggalkan. Aku menapak ke arah meja
solek. Aku tarik kerusi kecil lalu aku labuhkan punggung di situ. Kad kerja
Kapten Shahril Aiman itu aku ambil, lalu aku tenung seraut wajah itu. Manis dan
tenang saja pada pandangan mataku. Bahagiakah aku kalau aku terima dia sebagai
imamku?. Bagaimana pula penerimaannya, mahukah dia terima aku sebagai
makmumnya?.
Deringan
telefon yang bertalu-talu itu membuatkan anganku melayang. Segera aku dapatkan
Nokia murah aku dan tilik nombor telefon itu. Sejak semalam aku senyapkan mode
panggilan kerana kusut memikirkan apa yang telah aku lalui. Membuntang mataku
melihat paparan nombor di situ.
“Bos!”.
Aku telan liur. Aku tarik nafas panjang. Takut dan berani sama banyak bermain
dibenakku. Siapa agaknya yang menelefon aku? Diakah?. Tapi bukan semalam teruk
aku kerjakan dia. Tak matikah?. Segera aku tekan butang hijau. Aku lekapkan
telefon di telinga.
“Kamu
kat mana hah?. Jangan ingat kamu boleh lari Nurin?”. Terdengar suara lembut
lagi sinis di hujung talian. Memang tak syak lagi. Itu suara bos. Syukur dia
tak mati lagi.
“Saya
nak berhenti. Saya tak nak kerja dengan bos gatal, gila dan jahat macam awak”.
Balasku garang. Terdengar dia ketawa di sana. Bukannya dia nak insaf dengan apa
yang cuba dilakukan padaku semalam. Malah makin galak pula dia ketawa. Memang sungguh
menduga kemarahan aku!.
“Apa
yang saya dah buat?”.
“Bos..jangan
buat tak tahu?. Saya hampir hilang maruah semalam”.
“Ada
bukti?. Siapa yang masuk ke bilik saya? Siapa yang cari saya?. Kamu tak akan
menang kalau kita bawa perkara ini ke mahkamah. Silap-silap kamu yang malu
nanti?”. Aku pejam mata. Sakitnya hati mendengar dia berkata begitu. Ya…baru
aku sedar. Aku miskin sedangkan dia kaya. Kemiskinan payah untuk memenangi
keadilan sedangkan kekayaan boleh membeli apa sahaja termasuk keadilan. Akhirnya
aku diam. Pasrah dengan apa yang menimpaku.
“Saya
nak berhenti”. Jeritku. Biar dia pekak di hujung sana. Tapi aku yang bertambah
sakit hati bila dia tak habis-habis dengan ketawa.
“Awak
lupa sesuatu Nurin. Masa awak terima lantikan sebagai staf di Berjaya
Corporation, awak baca betul-betul tak perjanjian dalam surat tawaran tu?”. Aku
telan liur pula bila mendengar dia mengungkit tentang tawaran lantikan sebagai
staf di Berjaya Corporation.
“Arghhh!”.
Aku matikan talian telefon. Aku campak Nokia murahku di atas katil. Rasa hendak
menjerit dan menangis sama banyak bermain dibenakku. Kenapa aku boleh lupa pada
perjanjian yang aku tandatangani. Bukan mudah untuk aku berhenti selagi belum
disahkan jawatanku. Mana nak aku cekau RM30k kalau aku nak berhenti begitu
saja. Aku raup mukaku. Rasa hendak meletup dadaku ini kerana menahan marah. Segera
aku bangun dari kerusi yang aku duduki ini. Kemudian berjalan menuju ke bilik
air. Kemarahan yang bertandang perlu aku siramkan dengan wuduk. Itu pesan tok wan kalau kita nak
meredakan kemarahan. Dan aku tak mahu mensia-siakan pesanan tok wan itu.
dear norhafisah, cheq sungguh tak sabaq dok tggu cite nie.. hari2 mai melawat blog.. a good story.. keep on writting..
ReplyDeletebest sambung tau tq.
ReplyDeleteSangat best... cepat2 la sambung...
ReplyDelete