Bab 20
Hati berdebar-debar. Mulut terkumat-kamit. Hati mula rasa tidak
sedap. Kenapalah pagi-pagi begini aku menerima jelingan maut dari Puan Sri
Khalida?. Otak mula berfikir yang tidak-tidak. Mula mencari di mana kesalahan
yang telah aku buat sehingga begitu sekali caranya pandangan tajam Puan Sri
Khalida padaku. Aku mencerna satu persatu perlakuan atau kata-kataku yang bisa
membuatkan dia bertindak sebegitu. Tapi puas kufikir tak ada satupun perlakuan
atau kata-kataku yang menyinggung perasaannya. Hailah…aku je yang perasan
sendiri agaknya. Mana pernah aku berbicara walau sepatah perkataan pun dengan
Puan Sri Khalida. Kalau bercakap pun tak pernah, bila masa pula kelakuanku
menyinggung hatinya. Aku menarik nafas panjang. Penat otak dan hati berfikir yang
tidak-tidak.
Pintu pejabat bos dibuka dari dalam. Kelibat wanita anggun itu
muncul lagi. Pandangan matanya tetap sama macam tadi. Tatkala mata kami
bertentang, dia tetap hadiahkan jelingan maut untukku. Terkebil-kebil aku
menelan liur. Mata terus menunduk memandang lantai. Aku pura-pura sibuk mencari
sesuatu, walau pun aku sendiri tak tahu apa yang aku cari.
Bunyi hentakan kasut makin dekat dengan aku. Serentak itu meja
kerjaku diketuk perlahan. Spontan aku berhenti dari mencari sesuatu. Mata
menghala ke arah empunya tubuh yang mengetuk mejaku ini.
“Hai…cari apa?. Sampai terperosok bawah meja ni?”. Soalnya. Aku
tarik sengih. Cuba mengawal rasa malu.
“Cari pen…terjatuh tadi”. Bohongku. Serentak itu dia turut
menunduk cuba membantuku. Terlopong aku. Memang cari bala nampaknya. Kalau tadi
aku terima jelingan maut dari ibunya. Kalaulah adegan ini disaksikan oleh Puan
Sri Khalida, alamat keras kejung aku di sini kerana menahan serangan mortar pula dari Puan Sri Khalida.
“Eh…buat apa Encik Luke…tak payah. Saya dah jumpa pen tu!”.
Cepat-cepat aku menolak bantuannya. Tangan segera kugapai ke arah meja
mengambil pen yang sememangnya terdampar di situ. Mujurlah Encik Luqman Hakimi
tidak perasaan. Segera dia bangun setelah pen itu aku tunjukkan ke arah
mukanya. Dia membetulkan baju kot yang tersemat ditubuhnya. Mungkin sudah
sedikit renyuk kerana menunduk tadi.
“Kenapa ye Puan Sri datang sini?. Tak pernah nampak pun sebelum
ni”. Waduh…dengan beraninya aku boleh menyoal soalan itu. Entah kenapa mulut
ini gatal sahaja hendak bertanya soalan itu. Sebenarnya hati sudah riuh
bergendang tak sabar hendak tahu tujuan mem besar itu datang ke sini. Encik
Luqman Hakimi hanya senyum. Kemudian dia menggeleng.
“Nothing. Saja datang buat spot check. Nak tengok pekerja kat sini buat kerja ke makan gaji buta”.
Jawabnya bersahaja. Aku menarik nafas lega. Nasib baik tadi memang aku buat
kerja betul-betul. Tapikan kenapa eh…Puan Sri tengok aku serupa nak telan?
Sudah!. Otak mula membuat analogi yang bukan-bukan pula. Sengaja hendak mendera
perasaanku.
“Err…Puan Sri mana?” Soalku bila kelibatnya sudah tiada lagi di
depan mata.
“Dah balik masa awak tengah sibuk menonggeng kat bawah meja cari
pen”. Balasnya. Aku sudah menunduk bila dengar perkataan menonggeng yang keluar
dari dua ulas bibirnya. Malunya. Agaknya lama mana dia mengintai aku menonggeng
tadi di bawah meja. Sempat pula mata menilik baju kurung yang melekat di tubuh.
Nasib baik rona kelam. Tak adalah nampak seksi kalau aku menonggeng tadi.
Hmm…kerana sibuk nak menyelamatkan diri dari jelingan mata Puan Sri Khalida.
Aku pula yang tak selamat kerana diintai oleh anak terunanya. Memang cari
bala!.
“Boleh masuk bilik saya sekejap?. Ada hal nak bincang”. Arahnya.
Aku terus mencapai diari lalu mengekor langkahnya yang panjang itu menuju ke
biliknya. Muka masih menunduk. Yang kuperhati hanya tapak kakinya yang
melangkah ke hadapan. Otak pula masih ligat berfikir tentang reaksi Puan Sri
Khalida tadi. Gedebuk…tanpa disangka aku sudah melanggar batang tubuhnya yang berhenti
tiba-tiba. Bukan setakat langgar lagi dah tapi dah terpeluk pun. Adus…malunya
bukan kepalang. Kenapalah hari ini serba tak kena jadinya?. Hari malang sedunia
kut bagiku.
Dia toleh tengok aku lalu dia senyum penuh menggoda. “Kalau nak
peluk saya pun, jangan peluk curi. Minta kebenaran. Dengan rela hati saya serah
diri”.
Weilah…aku tak teringin pun nak peluk dia. Tak sengaja. Ni semua
salah otak. Asyik fikir pasal Puan Sri Khalida, aku dah terbuat adegan yang tak
ingin dilihat. Nasib baik staf lain tak perasaan kerana bilik Encik Luqman
Hakimi yang agak tersorok ini. Kalau tidak, mahu berbelas-belas inci rasanya
tebal kulit muka aku kerana menahan malu.
“Maaf bos. Saya tak sengaja”.
“Tak apa. Saya rela dipeluk awak. Sedap!”. Dia kenyit mata pada
aku. Kalau tak fikirkan dia majikan tempat aku mencari rezeki ini dah lama aku
cucuk biji matanya yang tak habis mengenyit itu. Aku tarik muka. Buat semasam
mungkin. Tanda aku sedang marah.
“Jangan marah. Saya gurau saja di pagi yang indah ini”. Katanya
lagi sambil mengangkat kening. Aku hanya diam. Malas nak panjangkan cerita.
“Ada apa yang nak dibincangkan bos?”. Aku soal serius tatkala diri
sudah berada di dalam biliknya.
“Minggu depan, awak kena teman saya ke Penang. Ada mesyuarat
dengan klien di sana”.
“Kita berdua je?”.
“Yup…tak akan saya nak bawa satu opis kut. Dah awak setiausaha
saya. Awaklah yang kena ikut. Ini termasuk dalam perlembagaan jawatan. Awak
tahu?”. Dia sudah bernada serius. Kalau dah sampai menyebut perlembagaan
jawatan, memang aku tak dapat nak elak. Aku yang menurut perintah.
“Baik bos”.
“Nanti awak tempah tiket kapal terbang. Kita akan menginap di
Hotel Parkroyal, Batu Feringgi”. Aku angguk lagi. Turut perintah.
LUQMAN HAKIMI tak habis lagi membuang senyum. Cik adik sayang baru
saja melangkah keluar dari biliknya. Mata tak habis merenung lenggok gadis itu
menghilang dari balik pintu. Adegan menonggeng yang sedap dilihat tadi terlayar
semula di depan mata. Kalau dah menonggeng pun boleh menggegarkan nalurinya.
Agaknya kalau kaedah ketiga itu berjaya dipraktikkan alamat mandi tak basah
tidur tak kenyanglah jadinya.
“Nurin…Nurin…kalau tak disebabkan kau tu tak sekufu dengan aku.
Kau memang layak jadi calon menantu mama. Nak buat macamana?. Tak memenuhi
kriteria calon menantu mama. Cantik dan bijak dah. Kaya je yang belum”. Dia
mengomel lagi. Kemudian dia mengambil fail peribadi milik cik setiausahanya
itu. Dia belek pula gambar Cik Nurin sayang yang berukuran pasport itu. Dia
tenung dan renung setiap inci wajah cik Nurin sayang. Cantik!. Desisnya dalam
hati. Spontan jarinya menyinggah ke dua ulas bibir yang comel itu. Diluar
kawalan bibirnya sudah bergerak-gerak. Hmm…andai dua bibir mereka bertaut, tak
dapat dibayangkan. Dia terus tutup fail. Hati sudah galak bergetar. Tinggi
sungguh imaginasinya untuk menakluk cik adik sayang. Dah serupa lelaki 18 sx
pun ada.
‘Luke…dah fikir masak-masak?. Nak juga jalankan misi mengorat cik
adik?’. Hati sudah menyoal.
‘Mestilah!’.
‘Kau tak takut kalau dia repot polis dengan apa yang kau nak buat
nanti?’.
‘Ish…Ini Luqman Hakimi okay. Anak konglomerat berjaya. Apa bukti
yang dia nak dakwa aku bagai. Dia tu miskin. Perasaan malu lebih penting dari
maruah. Kalau setakat 2, 3 juta aku boleh bayarlah nak tutup mulut dia’.
Bangga, dia menjawab pada soalan yang dikemukakan oleh hati.
‘Kau jangan yakin sangat Luke. Takut nanti kau tu yang masuk lokap
nanti. Kau tak tahu cik adik sayang tu macamana orangnya. Jangan fikir semua
orang miskin itu bodoh. Jangan fikir duit boleh beli segalanya’. Hati menasihat
pula.
‘Diamlah. Jangan nak nasihatkan aku. Syuhh…syuhhh…syuhh…’. Dia
sudah mengusir rasa was-was yang mula nak bertapak dalam diri. Kalau ikut kata
hati, rosaklah program nanti. Alamat dia bakal kalah pada cabaran Andrea.
Huh…pantang betul kalau kalah pada Andrea si tepung gomak itu.
“APASAL monyok je ni?”. Shira menyoalku saat kami makan bersama di
Restoran Umi ini.
“Entahlah..aku rasa tak sedap hati je. Pagi tadi Puan Sri datang
ofis. Tengok dan pandang aku macam nak makan. Seriau”. Jawabku dengan mimik
muka yang merisaukan.
“Hmm…tak lainlah tu. Mesti nak warning kau jangan main mata dengan
anak teruna dia”. Balas Shira yakin.
“Choilah kau ni!. Ada pulak ke situ. Aku dengan Encik Luke tu
macam langit dengan bumi tau. Jangan kata nak main mata. Nak pandang pun aku
tak ingin”. Galak aku membidas.
“Ala…cakap bukan main lagi. Tak ingin konon. Entah…hati tu dah
terkinja-kinja seronok”. Aku tarik muka. Geram dengan kata-kata Shira. Tapi
minah tu bukan nak minta maaf pada aku yang dah kecil hati ini. Selamba badak
saja dia sedut air sirap itu tanpa ada rasa bersalah.
“Minggu depan aku outstation. Pergi Penang dengan bos”. Terangku
acuh tak acuh. Sebenarnya malas nak beritahu Shira. Kecil hati masih lagi
terasa. Tapi memikirkan kami tinggal serumah. Memang wajib Shira kena ambil tahu.
“Aku harap kau jaga dirilah no. Jangan sampai nanti dari tak ingin
nak main mata dengan bos. Melarat sampai ke bulan bintang pulak. Kau tu luaran
je nampak keras hati. Tapi dalaman lembik macam biskut rendam air kopi”.
“Amboi kau!...analogi bagai”.
“Aku tu sayang sangat kat kau. Aku nak kau jaga diri. Aku tahu kau
memang tak ada hati dengan bos. Walau aku tak berapa nak percaya sangat. Tapi
di mana kita berada, diri kena jaga”. Syahdu pula dengar pesanan ringkas dari
Shira. Terus lembik. Tak jadi nak terus-terusan kecil hati dengan Shira. Dialah
sahabat aku dunia akhirat. Cewah!.
No comments:
Post a Comment