Bab 15
“Zaimah…maafkan
abang. Jangan tinggalkan abang”. Tan Sri Hisyam sedang meracau menyebut nama
Zaimah. Berulang kali dia mengulang ayat yang sama. Puan Sri Khalida yang sibuk
membaca majalah MIDI itu tersentak pembacaannya kerana terkejut mendengar nama
Zaimah di sebut si suami.
“You…you…bangun!.
Apahal pulak yang meracau-racau menyebut nama perempuan tu?”. Suara Puan Sri
Khalida sudah meninggi. Sakit hatinya kerana nama itu juga yang disebut si
suami. Sudahlah seharian dia menjadi penunggu di sisi Tan Sri Hisyam. Banyak
masa terbuang menemani si tua yang tidak tahu dek untung ini. Banyak masa untuk
berlibur dengan teman-teman di kelab terbazir begitu saja gara-gara menjadi
penunggu di hospital ini. Alih-alih nama Zaimah juga yang meniti di bibir Tan
Sri Hisyam.
Perlahan-lahan
Tan Sri Hisyam membuka kelopak matanya. Terpandang wajah Puan Sri Khalida yang
menyinga itu. Tiada langsung sekelumit senyuman buat si suami yang terbaring
kesakitan itu.
“Kalau
I tahu perempuan tu juga yang you ingat. Tak ingin I nak temankan you”. Dia
merengus. Tan Sri Hisyam hanya melongo. Sedar diri sudah keterlaluan menyebut
nama Zaimah. Namun dia bukan sengaja. Semuanya berlaku di bawah minda sedar.
Tidak dapat dikawal dengan akal.
“Zaimah
tu dah lama masuk lubang kubur. Kenapa dia juga yang awak ingat. Apa kurangnya
I pada you, Hisyam?”. Tanpa peduli si suami yang masih terbaring lemah. Puan
Sri Khalida sudah memuntahkan amarahnya. Sudah lama dia bersabar. Sudah
berpuluh tahun dia menyulam derita.
Tan
Sri Hisyam terdiam. Tiada daya untuk berbalas kata dengan isterinya itu. Bukan
sengaja dia mahu melukakan hati Puan Sri Khalida. Tiba-tiba sahaja ingatannya
terimbas pada Zaimah isteri keduanya itu.
“Tak
ada gunanya I jadi penunggu di sini. Kalau dia juga yang you ingat. Serulah
nama dia puas-puas. Biar dia bangun dari lubang kubur tu”. Puan Sri Khalida
sudah berang. Dia mengambil tas tangan yang terletak di meja kopi. Dia
menghayun langkah untuk segera keluar dari bilik yang dihuni sang suami itu.
Dihempas pintu sekuat hati tanda marah yang bukan dibuat-buat. Tan Sri Hisyam
hanya memandang beku. Diri benar-benar rasa bersalah kerana tanpa sengaja dia
telah melukakan hati Puan Sri Khalida.
“SAKIT
hati I tau tak?. Sehari suntuk I temankan dia. Alih-alih bila sedar nama Zaimah
juga yang disebut”. Puan Sri Khalida menyampaikan rasa tak puas hati pada Datin
Shima kawan baiknya itu. Kemudian dia meneguk fresh orange yang sedia terhidang
di depan mata.
“Sabar
Ida!”.
“Huh…sabar…sabar.
Apa lagi yang kurangnya I?. Perempuan tu dah lama mati pun diingat-ingat lagi”.
Datin
Shima tidak terkata. Dia mengenggam tangan Puan Sri Khalida supaya bersabar.
“Kalau
tak pasal Luke. Dah lama I minta cerai”.
“Hish…you
ni!...Ke situ pulak. Dah bertahun-tahun bersabar. Boleh pula sekarang ni you
nak bercerai berai”. Datin Shima sudah menempelak.
“I
tahulah dia kahwin dengan Zaimah dulu pasal nak buktikan yang dia tu tak
mandul. I sedar tu. Memang salah I kerana selalu cabar dia. Tak sangka pula dia
pilih si Zaimah tea lady yang low class tu buat madu I. Hish…bila ingat hal-hal
lama. Memang I sakit hati”.
“Sabar
Ida. Itulah I pun tak sangka Hisyam boleh duakan you. Elok-elok you dah ambik
Luke sebagai anak angkat. Dia pasang cawangan lain pulak. Ingatkan dia
bersyukur je bila dah ada Luke”.
“I
pasti si Zaimah tu yang goda laki I. Berangan nak hidup senang. Dia ingat boleh
kalahkan I macam tu je. Terimalah habuan. Tak pasal masuk lubang kubur”. Datin
Shima tidak terkata. Dia hanya memandang sepi wajah Puan Sri Khalida yang masih
berang itu. Dalam hati dia hanya mengucap syukur. Mujur bukan dia yang berada
di tempat Puan Sri Khalida. Sudahlah mandul, suami pula buka cawangan baru
dengan staf pejabat. Dah 2 tahun berkahwin baru rahsia terbongkar. Kalau dia di
tempat Puan Sri Khalida pun memang dia makan hati.
“Hmm…Luke
tahu yang selama ni dia cuma anak angkat?”. Soal Datin Shima setelah lama dia
membisu. Puan Sri Khalida berhenti dari meneguk fresh orange. Dia pandang wajah
teman baiknya itu. Kemudian dia menggeleng.
“Sampai
sekarang kami rahsiakan perkara tu. Sebab tu Luke berbinkan Abdullah Hisyam,
walaupun nama Hisyam tak ada Abdullah. Sengaja I letak macam tu. I tak nak Luke
kecil hati. Sampai mati pun Luke tu tetap I anggap anak kandung kami, walau
bukan I beranakkan dan susukan dia”. Balas Puan Sri Khalida sedikit sebak.
Datin
Shima menarik nafas kelegaan. Nampaknya harta kawan baiknya itu tak akan
kemana. Jadi milik Luqman Hakimi juga. Tan Sri Hisyam mana ada anak lain lagi.
Dengan Zaimah, tak sempat anaknya nak lihat dunia. Meninggal bersama-sama
Zaimah. Jauh di sudut hati, Datin Shima amat berharap dan pastikan Luqman
Hakimi itu bakal menantunya. Budi harus dibalas.
“I
harap you kotakan janji. I nak Luke jadi menantu I”.
“I
janji. Lagipun I tak akan lupakan budi you. Kalau tak kerana idea you dan susah
payah you bersama I. Tak mungkin jasad Zaimah dalam kubur sekarang ni”.
ZAIMAH
hanya memerhati tubuh tua ayahnya sedang menabur biji jagung buat santapan
sekawan ayam dan itik di dalam reban yang dikelilingi pagar jala itu. Tunak
matanya memaku pada tubuh tua ayahnya namun fikirannya melayang entah ke mana.
Sesekali dia mengeluh. Kemudian dia menarik nafas semula.
Pak
Yunus yang sibuk memberi makan ayam itik, terhenti sekejap kerjanya apabila
mendengar anak perempuan kesayangannya itu mengeluh. Kemudian dia mengorak
langkah menuju ke arah Zaimah yang duduk bersimpuh di pangkin bawah pokok
rambutan gading itu.
“Pasai
apa Mah?. Semenjak balik dari Kolumpo…ayah tengok hang tak ceria. Ada yang tak
kena ka?”. Soal Pak Yunus lalu duduk
bersila di sebelah Zaimah. Air kopi yang terhidang di dalam cawan itu diteguk perlahan.
“Ayah
tau, Mah jumpa sapa kat Kolumpu nun?”. Balas Zaimah sedikit kusut. Pak Yunus
hanya menggeleng. Kemudian dia mengambil pula cekodok pisang lalu disuap ke
dalam mulut.
“Mah
jumpa Hisyam, ayah”. Terkejut Pak Yunus. Terbatuk-batuk lelaki tua itu kerana
tersedak cekodok yang dimakan.
“Habis
tu, dia nampak hang?”.
“Mah…takpastilah
ayah. Masa tu Mah tengah tunggu teksi. Mak terperasan ada lelaki turun dari
kereta mewah di seberang jalan, terjerit-jerit panggil nama Mah. Terus Mah lari
dari dia, ayah.”
“Mah…mah…sampai bila nak lari dari kenyataan?.
Lambat laun Hisyam tahu juga yang kau masih hidup”. Balas Pak Yunus perlahan.
“Biarlah
ayah. Biarlah Abang Hisyam fikir saya dah mati. Saya tak sanggup nak bersemuka
dengannya. Dengan apa yang dah kita lalui Mah jadi takut, ayah”. Ucap Zaimah
seraya mengelap air mata yang sudah luruh dengan hujung lengan baju kurung
Kedah.
“Mah…sampai
masa kita tak boleh nak sembunyikan keadaan. Kelak, kalau Nurin nak bernikah,
kita kena cari siapa walinya. Sampai bila kita nak rahsiakan hal Hisyam pada
Nurin?”.
“Ayah
boleh jadi walinya. Tak perlu Hisyam”.
“Kalau
pun ayah jadi walinya. Hisyam patut tahu yang dia ada anak. Nurin patut tahu
yang dia ada ayah”. Pak Yunus bernada tegas.
Sudah
berpuluh tahun mereka hidup menumpang di bumi Kedah ini. Selepas peritiwa
kebakaran rumah mereka di Selangor atas perbuatan khianat Khalida. Pak Yunus
dan Zaimah terpaksa melarikan diri ke Kedah. Tak sesiapa pun tahu yang mereka
terselamat dalam kebakaran itu. Mujurlah dengan wang pencen askar milik Pak
Yunus mereka dapat membeli tanah dan membuka lembaran baru di tempat orang.
“Mah…tak
nak fikir semua tu.” Zaimah sudah bangun dari tempat duduknya. Dia mengambil
bekas makanan yang berisi jagung itu. Kemudian dia mengambil alih tempat
ayahnya pula memberi ayam itik makan. Pak Yunus tidak terkata. Dia hanya
menggeleng sahaja melihat tingkah anaknya itu. Sudah 25 tahun masa berlalu.
Hidup Zaimah disia-siakan begitu sahaja kerana seorang lelaki bernama Hisyam.
Di gantung tak bertali. Semuanya gara-gara dia tak mahu Hisyam tahu yang dia
masih hidup.
Buat semua yang tertunggu kisah OKU sayang...bos KS akan set tarikh untuk diberitahu bila bakal diterbitkan dalam seminggu lagi...kalau saya dah tahu bila akan diterbitkan...saya publish dalam blog ini dan juga fb saya...
ReplyDeleteya ke happynya.
ReplyDelete