Thursday, 3 September 2015

Mr.Hotter Guy Bab 39

“WEI…LAH!. Cuba kau tengok gambar ni. Bukan kekasihnya si hot guy ke?” Soal Shira seraya menunjukkan padaku gambar Andrea sedang berpeluk sakan dengan mamat mana entah dalam  Majalah Media  itu.

Aku angkat bahu tanda malas ambil tahu. Kalau betul pun apa kena mengena dengan aku. Lebih baik aku layan tengok cerekarama di kaca tv lagi bagus dari dengar gosip yang entah apa-apa  itu.

“Uikkss! Kalau bergosip dengan kau, baik lagi aku bergosip dengan mamak nasi kandar. Langsung tak ada respon”. Omel Shira sambil mulut herot-herot mengata aku.

“Kau kan tahu, aku ni kalau bab gosip pasal dunia hiburan, malas aku nak ambik port. Tak membangunkan minda”. Cemuhku turut terikut herot mulut membalas kata-kata Shira. Mata masih lagi lekat di kaca tv.

“Pelakon dan juga model terkenal Andrea dikatakan punya hubungan dengan suami orang, juga pasangannya dalam filem Badai Rindu”. Shira baca lantang artikel dalam majalah itu. 

Aku pula dengar dengan perasaan malas. Walau aku malas ambil tahu, kalau dah Shira baca dengan suara yang lantang terpaksalah telinga aku ni kena dengar juga.

“Hish…artis ni tak ada keje lain agaknya. Suka nak merampas saja hak orang”. Shira mengulas pula.

Aku buat-buat tak dengar. Nak menambah apa yang diulas Shira pun aku tak tahu. Tak pasal nanti jadi fitnah pulak. Hal-hal macam ni bukan boleh percaya sangat. Kekadang tu, sengaja reporter suka menambah perisa dalam cerita. Banyak tak betul dari betulnya.

“Hish…tak sangka eh. Andrea tu bukan girlfriend bos kecik ke?. Bila masa pulak mereka putus ya?”. Shira tengok aku. Mungkin kata-kata yang dituturkan itu ditujukan buat aku. Tapi aku masih lagi buat-buat  tak tahu. Mata masih lagi kusyuk melihat kesinambungan cerekarama yang  tergendala kerana iklan tadi.

“Wei...aku tanya ni?”. Shira sudah mencubit lenganku. Barangkali sudah marah kerana aksi aku yang tiada tindak balas untuk semua soalannya itu.

“Kau ni kan!?...”.Suara sudah meninggi. Geram sebenarnya kalau keasyikan aku melayan cerekarama itu terganggu dengan soalan yang tak membangun minda dari Shira.

“Kau tanya reporterlah…aku bukan reporter”. Balasku mencebir. 
Shira sudah tersengih-sengih. Siap buat muka seposen lagi untuk ambik hati aku dari terus-terusan marah.

“Sorry beb!”.

“Ha…lain kali jangan tanya soalan pasal artis. Malas aku nak ambil tahu”. Suaraku sudah sedikit kendur. 

Shira masih lagi dengan aksi muka seposennya. Siap bertabik bagai tanda mohon maaf dari aku. Kemudian, dia lipat majalah Media  itu lalu diletakkan kembali di bawah meja tempat kami selalu letak jajan sambil menikmati cerita di kaca tv. Dia ambil twisties perasa tomato itu di atas meja lalu disuapkan ke dalam mulutnya. 

Aku ambil sedikit twisties dalam gengaman Shira lalu kusuakan ke dalam mulut. Baru beberapa kali kunyahan, tontonanku sedikit terganggu dengan ketukan di muka pintu. Aku pandang Shira dan Shira pandang aku. Masing-masing kehairanan, siapa pula yang datang malam-malam ni. 

Lagipun rasanya sesiapa yang mengenali  kami sedia maklum yang kami memang tak akan terima tetamu kalau siang bertukar malam. Kalau dulu, mungkin ya kerana kami berkongsi rumah dengan junior UMKL. Tapi, semenjak kami bertukar kerjaya, housemate kami minta pindah. Dan kami tiada halangan untuk itu, kerana kami sudah mampu untuk menyewa rumah flat ini dengan gaji baru kami. 
Shira bangun dengan langkah malas. Pintu dibuka sedikit untuk melihat siapa gerangannya yang mengetuk tadi. Tapi sepantas kilat juga dia menutup pintu itu. Mata sudah bulat pandang aku. Mulutnya tergerak-gerak menyebut nama seseorang. Aku pula yang tertanya-tanya, hairan tengok gelagat Shira itu. Tak akan nampak hantu kot!.



ANDREA peluk tubuh dengan perasaan yang sebal. Air mata yang berjuraian dibiarkan saja turun laju membasahi pipi. Sakit hati bila membaca artikel dalam majalah Media itu. Entah bagaimana, cekap saja reporter Malaysia ini dapat menghidu hubungannya dengan Ariel Zen. Sungguh dia sudah sedaya upaya menyembunyikan hubungan ini saat dia tahu Ariel Zan suami orang. Dia tak mahu seluruh masyarakat mencemuhnya kerana mempunyai hubungan dengan lelaki berstatus suami orang itu. Dan dia tahu bagaimana sakitnya hati dan perasaan seorang isteri andai ada orang ketiga dalam sesebuah perkahwinan itu. Dia sudah rasa dan belajar dari pengalaman yang dilalui ibunya, Puan Shima.

Terbayang lagi diruangan matanya saat bapanya menjatuhkan talak pada ibunya hanya kerana sudah jatuh hati pada seorang perempuan yang lebih cantik dan muda dari ibu. Dia benci saat membayangkan episod duka itu. Bapa jadi lelaki yang paling kejam saat itu. Sanggup meninggalkan ibu dan dirinya yang masih kecil hanya kerana sudah jatuh hati. Sekarang dia juga melalui saat itu, bezanya dia menjadi pemusnah rumahtangga Ariel Zen. Hati memang sakit. Hati memang pedih. Sakit untuk meninggalkan Ariel Zen kerana cinta sudah merajai hati. Pedih rasa hati saat dia memutuskan untuk tidak mahu menjadi orang ketiga dan pemusnah rumahtangga orang lain.

Bunyi nada dail Samsung Galaxy s4 itu menganggu hatinya untuk terus berduka lara. Dengan malas dia angkat panggilan itu. Ada suara hiba di hujung talian.

“Don’t disturb me!”. Andrea sudah meninggikan suara.

“Please!”. Suara itu merayu lagi.

“You nak apa, Ariel?. Tak cukupkah you dah bohong I selama ni. I tak mahu dengar semua ni. Hubungan kita dah putus. Titik”. Jerit Andrea sambil mencampak Samsung Galaxy s4 itu ke dinding biliknya. Berkecai  badan Samsung itu di atas lantai seperti hatinya yang berkecai kala ini. Air mata yang berjuraian semakin laju menitis. Malah kali ini ditambah pula dengan esakan yang semakin kuat. Andrea ternyata lemah untuk mengawal  perasaannya. Kenapa saat hati sudah berkenan dan cinta sudah memutik, dia tewas lagi pada mainan takdir?.

“Apa tak kena Drea?”. Terjengul wajah Puan Shima di muka pintu. Bergegas dia ke bilik Andrea tatkala telinga mendengar bunyi benda jatuh berkecai. Takut juga ada sesuatu yang tak diingini berlaku pada anak kesayangannya itu.

Andrea panggung kepala sambil tatap wajah tua Puan Shima. Pantas dia bangun dari perbaringan lalu meluru memeluk ibunya yang berada di muka pintu. Terkejut Puan Shima dengan reaksi Andrea yang mendadak itu.

“Mami”. Sepatah perkataan itu disebutnya. Datin Shima mengelus lembut rambut Andrea dengan penuh kasih sayang.

“Drea…Kenapa menangis macam ni, nak?”. Soal Datin Shima ingin tahu. Andrea hanya menggeleng. Tidak menjawab soalan Datin Shima itu.

“Pasal Ariel Zen kan?. Dahla Drea. Tak payah ingat lagi. Bukan mami dah cakap dia tak sesuai untuk Drea. Lupakan je!”. Pujuk Datin Shima lembut. Dalam hati sudah berbunga rasa gembira. Mudahlah untuknya meneruskan niat menjodohkan Andrea dengan Luqman Hakimi. Kali ini Andea mesti tiada bantahan lagi kerana hati sudah terluka.

“Kenapa dia tipu Drea?. Drea sayang dia mami. Drea dah mula cintakan dia. Drea tak sangka, Drea cintakan suami orang”. Andrea terus mengomel bersama airmata yang lebat menitis. Dia teresak-esak seperti kanak-kanak kecil yang kehilangan barang tersayang. Puan Shima mengusap perlahan belakang tubuh Andrea. Sesekali dia mengelus lagi rambut Andrea yang hitam lebat itu. 

“Sabar Drea. Bukan salah Drea. Salah lelaki tu. Lupakan dia. Jangan jadi pemusnah rumahtangga orang. Drea kan pernah melaluinya. Drea kan tahu peritnya mami menanggung semua tu. Kita hilang tempat bergantung. Mami hilang status kerana perampas itu.” Ucap Puan Shima terkilan. 

Memang dia terkilan dengan apa yang dilaluinya. Dia tak mahu hidup bermadu, maka dia memilih untuk hidup sendiri. Belajar dari keperitan yang dialami rakan karibnya, Puan Sri Khalida menyebabkan dia rela hilang status sebagai ‘Datin’. Untuk apa gelaran itu, andai hati dan perasaan remuk dengan tingkah suami yang lupa daratan. Puan Shima pejam mata, lalu menarik nafas panjang. Cuba untuk melegakan perasaan yang terasa sakit.

“Drea tahu mami, sebab tu Drea buat keputusan tak mahu jumpa dia lagi. Tapi, tak habis-habis dia mengganggu Drea.”Adu Andrea.

“Tak apalah Drea. Pasal tu biar mami yang uruskan. Tahulah mami nak buat apa. Cuma Drea kena janji dengan mami…tabahkan hati dan kuatkan semangat. Cinta boleh datang dan pergi. Cinta Andrea bukan untuk Ariel Zen…tapi milik Luqman Hakimi”. Pujuk Puan Shima tidak mahu kalah. Balik-balik nama Luqman Hakimi juga yang dikenenkan buat Andrea.

“Mami…please. Tak perlu cerita pasal Luqman Hakimi. Andrea nak berehat”. Pintas Andrea melepaskan pelukan Puan Shima. Bila dengar saja nama Luqman Hakimi, semangatnya menjadi semakin lemah. 

‘Puii…biar tak berlaki asalkan bukan Luqman Hakimi’. Cebiknya sebelum tubuh dibaringkan semula di tilam empuk. 

Puan Shima menyelimuti tubuh Andrea sebelum melangkah keluar. Dia senyum lagi dalam hati. Akhirnya kerja menjadi mudah. Patahnya hati Andrea kerana Ariel Zen boleh diubati dengan cinta Luqman Hakimi. Fikirnya lagi, sedangkan dia tidak tahu Andrea sedikit pun tidak punya hati lagi buat Luqman Hakimi.

No comments:

Post a Comment