Bab 18
“Kau
balik dululah. Aku kerja overtime hari ini. Nak prepare fail untuk mesyuarat
esok”. Terang Shira tatkala telefon di meja kerjaku jawab.
“Kau
nak pesan apa-apa tak?Kutla nanti lewat balik tak sempat makan?”. Soalku pula.
“Beli
burger special dua. Dah gianlah. Lama tak pekena burger Abang Zack”
“Okey…nanti
aku beli. Aku balik dulu ye”. Balasku sebelum ganggang telefon aku letak.
Aku
menuruni perlahan-lahan tangga bangunan Berjaya Corporations sebelum kaki
melangkah menuju ke perhentian bas yang tak sampai 10 meter dari bangunan
pejabat. Seperti selalu perhentian bas itu memang ramai orang menunggu. Ada
yang menunggu bas termasuk aku. Ada juga yang menunggu orang datang menjemput.
Aku duduk di kerusi batu yang kosong. Sesekali mata meninjau kalau bas yang
dinanti sudah sampai di tempat aku menunggu
ini. Sesekali aku melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul
6 petang. Nasib baik aku dah selesai solat Asar seperti selalu kerana biasanya
bila sampai di rumah memang waktu Asar sudah di hujung waktu.
Sebuah
kereta Ford Fiesta berwarna merah berhenti di depan aku. Bunyi hon yang ditekan
membuatkan aku bingkas berdiri. Perlahan-lahan cermin kereta itu diturunkan.
“You!”.
Suara perempuan memanggilku dengan kuat membuatkan aku menjengah ke arah
pemandu kereta itu.
“You!”.
Dia ulang lagi sambil jari sudah menunding ke arahku. Aku tenung wajah
perempuan itu. Macam pernah aku lihat. Oh…si tepung gomak!. Aku kembali ingat
pada wajah perempuan yang mula-mula aku jumpa masa di kedai cenderamata Heart
itu.
“You…masuk.
I ada benda nak cakap”. Dia sudah mengarah pula. Asalnya aku nak buat tak
peduli. Tapi memandangkan bas yang dinanti para penunggu di perhentian bas ini
sudah kalut membunyikan hon, nak tak nak aku terpaksa melangkah masuk ke dalam
perut kereta si tepung gomak itu.
“I
ada benda nak cakap dengan you. Mmmm…siapa nama you eh?. I tak tahulah”. Dia
beramah pula denganku.
“Nurin
Kamila Hisyam”. Balasku.
“I
Andrea Dato’ Zakri”. Dia hulur tangan untuk berjabat denganku. Pelik pula aku
rasa. Kenapalah si tepung gomak ini ramah semacam saja?. Aku sambut juga
huluran salamnya. Yelah…dah orang nak berbaik. Buat apa aku nak mencari musuh.
“Kita
singgah di mana-mana sekejap. Ada perkara I nak bincang?. Tak sesuai nak
bincang dalam kereta ni”. Dia putus begitu. Aku hanya mengangkat bahu. Setuju
dengan kehendaknya. Walau hati rasa walang. Entah apalah perkara yang
dibincangkan. Aku tetap ikut permintaannya. Lagipun badan tengah penat selepas
balik kerja. Jadi aku malas nak berfikir banyak. Ikut dan dengar sajalah apa
yang nak dibincangkan itu.
Akhirnya
kami berhenti singgah di Tutty Fruity yang terdapat di Bangsar ini. Selepas
memilih minuman yang kami hendak, aku mengekor langkah Cik Andrea ke tempat
yang agak privacy sedikit. Lega tekakku saat yogurt itu singgah di kerongkong.
Hmm…sedapnya tak terkata.
“Sebenarnya
apa hubungannya you dengan Luke?”. Soalan pertama yang keluar dari mulut Cik
Andrea buat rasa nak aku tersedak yogurt. Benar-benar terkejut.
“Bos
dan pekerja”. Aku jawab yakin walau masih terkejut lagi.
“Betul?”.
Dia tanya lagi seolah tak percaya. Aku angguk mengiyakan kata-kataku. Memang
betullah aku kan setiausahanya. Setakat itu sajalah hubungan kami.
“Sebenarnya
I dan Luke akan bertunang tak lama lagi. Kami dah lama bercinta”.
“Jadi?.
Apa kena mengena dengan saya”. Soalku pula.
“Luke
dah tak macam dulu. Dia dah berubah”. Cik Andrea sudah bersuara lirih.
“Maksud
cik?”.
“I
rasa dia sukakan you!”. Kali ini aku betul-betul tersedak. Terbatuk-batuk aku
sehingga yogurt yang kutelan sudah terkeluar melalui hidung. Pedih, ALLAH saja
yang tahu. Cepat-cepat aku mengambil tisu lalu aku lap air hidung.
“Cik
Andrea ni buat lawak ke?”. Aku terkekek ketawa pula. Memang lawak sungguh. Tak
akanlah si hotter guy tu boleh ada hati dengan gadis kampung macam aku ni!. Cik
Andrea yang tip top ni tak akan boleh kalah dengan aku.
“Sebenarnya
salah I. Semuanya salah I.” Aku kerut dahi pula bila Cik Andrea mula
menyalahkan dirinya.
“Saya
tak faham”.
“
I cabar Luke supaya goda you. Pikat you sampai melutut dikakinya. Pikat you
sampai berjaya. I bagi tempoh 6 bulan pada Luke untuk pikat you”. Aku terlopong
mendengar apa yang Cik Andrea cakap. Hailah…kenapalah aku terlibat sama dalam
permainan ini. Jadinya selama ini bos baik dengan aku cuma pura-pura.
Berlakon?. Isy…susah nak percaya. Hatiku berbolak balik pula.
“Cik
Andrea susah saya nak percaya”. Ucapku. Dengan apa yang berlaku petang tadi
memang buat aku susah nak percaya. Bos betul-betul ikhlas layan aku.
Betul-betul baik dengan aku. Kalau tidak buat apa dia nak menitis air mata bagai
jikalau dia cuma berlakon. Mana ada orang lelaki senang-senang nak menitiskan
airmata tanpa alasan yang logik.
“Cik
Andrea percayalah pada saya…hubungan saya atas dasar kerja semata-mata. Saya
tahu batas saya. Tak mungkin pipit nak terbang sama enggang. Cik Andrea tak
perlu risau. Kalau betul bos sukakan saya, tak semestinya saya suka pada dia.”
Balasku yakin. Memang aku cari pasal kalau sukakan bos. Tak nak aku lukakan
hati emak. Awal-awal lagi mak dah warning aku cukup-cukup.
Cik
Andrea aku lihat tersenyum kelegaan.
“Terima
kasih, Nurin”. Dia pegang tangan aku sambil tersenyum. Aku rasa terharu pulak.
Tak sangka si tepung gomak ini tak adalah sombong sangat. Baik saja.
“Lepas
ni I hantar you balik”.
“Eh…tak
perlulah. Hantar saya kat stesen LRT Bangsar pun cukup. Saya naik LRT je.
Lagipun dekat dah dengan rumah saya”. Balasku. Cik Andrea tidak membalas.
Barangkali dia setuju dengan permintaanku.
ANDREA
menyanyi-nyanyi kecil saat kaki melangkah masuk ke dalam banglo bertingkat dua
itu. Datin Shima yang sedang asyik melihat sinetron pada petang itu pelik
melihat tingkah anak kesayangannya itu.
“Happy
nampak?”. Tegurnya. Andrea yang asalnya hendak menuju ke bilik sudah melencong
ke arah mamanya. Seraya dia duduk di sisi Datin Shima sambil memeluk mesra tubuh
gempal mamanya.
“Drea…seronok
sangat”. Ucapnya. Datin Shima pandang wajah Andrea sambil kerut dahi.
“Kenapa?”
“Guess?.
Siapa yang Drea jumpa tadi”.
“Ala…cakap
jelah. Malas mama nak teka-teka”. Datin Shima cubit lembut pipi mulus anaknya.
“Nurin…secretary
Luke”.
“What?”.
Datin Shima soal terkejut.
“Yup”.
Andrea mengangguk laju.
“Cuba
cerita. Tak sabar mama nak tahu. Apa yang menariknya?”
“Tak
lambat Luke akan kalah juga mama. Luke tu yang bodoh. Terhegeh-hegeh nak
mengorat mantan salesgirl tu. Rupanya dia
sedikit pun tak ada hati. Katanya kalau Luke suka kat dia tak semestinya dia
akan suka Luke. Dia cakap lagi. Drea tak perlu risau. Dia tak akan ada hati
pada Luke. Dia tahu batasnya sebagai pekerja”. Terang Andrea ceria. Datin Shima
menarik nafas kelegaan. Namun dalam leganya timbul juga rasa cuak.
“Drea
jangan yakin sangat. Memanglah dia cakap macam tu. Tapi hati perempuan Drea.
Macam kerak nasi. Lama-lama direndam dengan air. Akhirnya lembut juga”.
“Isy..mama
ni. Bukan nak bagi Drea happy sikit. Ni menambah yang bukan-bukan pula”. Andrea
sudah mula rasa was-was.
“Tak
apa Drea. Sekurang-kurangnya Drea dah cuba. Macamana pun mama tetap nak
bagitahu Puan Sri. Itu lebih selamat”. Balas Datin Shima sambil menggosok
perlahan tangan Andrea. Dia berharap sangat Andrea akan jadi milik Luqman
Hakimi akhirnya. Sudah lama dia memasang impian hendak berbesan dengan Puan Sri
Khalida. Segala susah payahnya sama-sama bersekongkol dengan rancangan jahat Puan
Sri Khalida harus dibalas. Andrea dan Luqman Hakimi harus bersatu.Tekadnya
dalam hati.