Thursday, 3 September 2015

Mr.Hotter Guy Bab 38

Bab 38

Haji Yunus duduk santai sambil menghembus asap rokok daun yang disisip di celah bibirnya. Di sedut dalam-dalam lalu dihembus perlahan ke udara. Berkelun asap rokok daun itu bertebaran ke udara di tiup angin sepoi di bawah pohon rambutan itu. Setelah habis sebatang rokok itu dihisap, dia ambil lagi sebatang rokok daun yang sudah dibalut tembakau itu. Kemudian, kalut dia mencari di mana pemetik api diletakkan. Terlupa pulak pemetik api itu disisipkan di dalam gulungan kain pelikat di pinggang. Haji Yunus senyum sendiri. Sudah menjadi satu kebiasaan, kalau merokok mesti pemetik api disisip di situ.

Pantas jari-jemari sudah mengagau mencari pemetik api yang berada di dalam gulungan kain pelikat dipinggangnya. Hampir melorot kain yang dipakai tatkala pemetik api itu sudah berjaya dicapai. Cepat-cepat dia memperkemaskan kain pelikat. Baru saja jari hendak memetik api, matanya sudah tertancap pada sekeping kad di hujung kakinya. Segera dicapai kad itu lalu mata membaca satu persatu huruf yang ada di situ. Selesai membaca, Haji Yunus menarik nafas perlahan. Teringat kembali pertemuannya yang tak dirancang kira-kira seminggu yang lepas.

“Hah…ayah! Menung apanya?. Mah panggil pun, ayah buat tak dengar ja”. Sapa Zaimah seraya menatang sedulang air kopi berserta kudapan buat Haji Yunus yang sedang bersantai  di bawah pohon rambutan itu. 

“Kus semangat. Terkejut ayah.” Cepat-cepat Haji Yunus menyorok kad nama itu kembali ke dalam gulungan kain pelikatnya itu. 
Zaimah senyum manis melihat gelagat ayahnya yang sedikit terkejut itu.

“Ha…apa yang ayah sembunyikan tu?. Gambar Mak Munah ya?”. Teka Zaimah.

“Isy..mengarutlah!. Adakah pulak gambar Munah tauke warung itu”. Sangkal Haji Yunus kembali menyedut rokok daun yang sudah dinyalakan api itu.

“Ayahkan regular customer. Manalah tau?. Kalau ayah nak Mah pinangkan Mak Munah untuk jadi isteri ayah. Cakap ja…Mah pergi pinangkan?”. 

“Isy..hang ni!. Dah tak suka nak jaga ayah ka yang minta ayah kawin lain?”.

“Bukan macam tu. Ayah tu dah lama menduda. Kesian pulak. Mah tak kisah kalau ayah nak kawin lain”. Jujur Zaimah menjawab. 

Kasihan pula melihat hidup Haji Yunus yang kesepian itu. Dah lama menduda semenjak dia bernikah dengan Hisyam lagi. Tiba-tiba hatinya terasa sayu apabila nama Hisyam berada dimindanya.

“Mah…usia ayah ni dah tua. Bila-bila masa bakal dijemput ALLAH. Ayah dah tak ada keinginan pada semua tu. Mah tu yang ayah risaukan. Sampai bila Mah nak macam ni?. Sampai bila nak lari dari Hisyam?”. Entah kenapa, sejak terlihat sekeping kad nama tadi Haji Yunus terasa hendak bertanyakan kembali soalan yang sudah lama dipendamkan itu.

“Ayah!. Boleh dak kita jangan bincang soal ini?. Mah dah tak mau dengar semua tu!”.

“Kali ni Mah kena dengar jugak. Ayah dah jumpa Hisyam”. Balas Haji Yunus tenang. 

Zaimah menarik nafas. Terasa ketat dadanya kala nafas dihembuskan. Terkejut bila mendengar Haji Yunus menyebut nama Hisyam. Dadanya terasa bergetar hebat. Kenapa lelaki itu muncul kembali?. Bagaimana lelaki itu tahu yang dia masih hidup?. Dan lebih menghairankan, bagaimana lelaki itu tahu dia berada di sini?.

“Minggu lepas masa ayah kat warung Munah tu, Hisyam datang jumpa ayah”. Terang Haji Yunus sambil menghela nafas yang berat.

Sungguh dia tidak menyangka boleh ketemu menantu yang sudah lama dilupakan wajahnya itu. Sekarang ini pun, dia masih lagi percaya dengan tidak yang Hisyam boleh mencarinya sehingga ke sini.
Zaimah tidak terkata. Hanya wajahnya saja yang menggambarkan hatinya kala ini. Ada air mata yang mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Dia duduk dipangkin itu sambil mengucap panjang. Kepalanya ditundukkan. Dadanya sudah berombak perlahan, cuba menahan esakan dari kedengaran kuat.

“Mulanya ayah tak percaya itu Hisyam. Ayah memang tak nak jumpa Hisyam. Ayah marah sebenarnya bila fikir apa yang berlaku pada hang selama ini. Ayah marah bila fikirkan nasib cucu ayah yang tak pernah kenal sapa itu ayah selama ini. Tapi marah ayah tidak lama. Ayah sedar…kita tak boleh biarkan kemarahan menguasai keadaan. Ayah perlu dengar apa yang Hisyam nak kata…ayah perlu beri dia peluang untuk terangkan keadaan sebenar”. Haji Yunus pandang ke  arah  Zaimah yang  menahan tangis. 

Tumpah simpatinya pada nasib satu-satunya anak yang dia ada. Banyak kali dia menasihat malah sudah dimarah anaknya itu supaya kembali pada Hisyam. Namun anaknya itu degil. Rela digantung tidak bertali asalkan tidak kembali pada Hisyam. Alasannya kerana tak mahu bertemu dengan Puan Sri Khalida. Dia takut andai nyawa menjadi taruhan lagi.

“Sampai bila kamu nak sembunyi Mah. Nurin nak kahwin tak lama lagi. Hisyam perlu tahu sebagai wali pada anak hang, Mah. Macamana hang sembunyi pun, macamana hang nak lari dari madu hang pun, kena ingat… sampai bila?!”. Haji Yunus sudah tinggikan suara. 

Kesal sebenarnya dengan apa yang berlaku. Dia kesal sebagai ayah dia lambat bertindak. Dia biarkan saja nasib Zaimah tanpa dibela. Dia biarkan saja mereka hidup bersembunyi dari pengetahuan menantunya itu.

“Semua salah ayah. Salah ayah!”. Ucap Haji Yunus sebak. 

Suaranya kembali mengendur. Sudah tidak tinggi lagi.  Zaimah angkat kepala lalu pandang wajah tua ayahnya. Dia peluk tubuh tua itu dengan penuh kasih. Kali ini dia sudah menangis di bahu ayahnya pula. 

“Salah Mah…bukan ayah. Mah yang degil. Mah yang nak tanggung semua ni. Mah takut ayah. Takut dengan apa yang berlaku dulu. Mah takut Khalida mencari kita kalau dia tahu yang Mah masih hidup. Mah buat semua ni demi Nurin. Mah tak mahu nyawa Nurin terancam”. Balas Zaimah dengan suara serak. Cuba menyalahkan diri sendiri dengan apa yang berlaku. Badannya terhinggut-hinggut menahan  tangis. Haji Yunus mengusap perlahan belakang Zaimah yang berada dalam  dakapannya. Cuba menenteramkan perasaan anaknya yang gundah itu.

“Hisyam dah terangkan segalanya. Selama ini dia sangka hang dah mati. Dia ditipu madu hang sendiri. Kubur Zaimah, orang gaji hang tu disangka kubur hang. Selama 25 tahun ni, Hisyam ingat dia sudah kehilangan hang dan Nurin.”

“Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.” Sambung Haji Yunus lagi dengan senyuman. 

Zaimah mengesat air mata yang mengalir. Dia panggung kepala lalu menatap wajah ayahnya yang senyum itu. Wajahnya keliru melihat senyuman yang terukir dibibir Haji Yunus dan apa yang didengari tadi.

“Maksud ayah?”. Soalnya ingin tahu.

“Kalau tak kerana hang pi KL hari tu mungkin sampai sekarang Hisyam tak tahu yang hang masih hidup dan dia punya anak”. Haji Yunus berjeda sebentar.

“Pasal kes terserempak dengan hanglah, Hisyam tergerak hati nak cari hangpa semua. Dia hantar penyiasat untuk cari hang, Mah. Dia juga tahu Nurin anaknya. Nurin pula kerja dengan dia sekarang. Kecilnya dunia ni dan hebatnya takdir ALLAH, Mah”. Sambung Haji Yunus sambil mengucap syukur. Gembira dengan apa yang telah direncanakan ALLAH.

“Dia juga tahu Nurin dah bertunang. Dia gembira dengan pilihan Nurin. Dia harap sangat agar dapat walikan pernikahan Nurin nanti. Dia minta ayah bincangkan dengan hang.”

“Tapi…Mah…err…”. Zaimah tersekat-sekat untuk menuturkan kata-kata seterusnya. Hatinya terasa kosong. Hendak bergembira atau takut pun dia tidak tahu. Sudah lama dia cuba melenyapkan nama Hisyam dari hatinya. Namun mana mungkin kerana Nurin adalah lambang kasih mereka. Pada Nurin, ada Hisyam.

“Kenapa masih teragak-agak Mah?. Ayah rasa Nurin patut tahu siapa ayahnya. Masanya dah sampai, Mah”. Tambah Haji Yunus lagi. Suara sudah dilembutkan untuk memujuk Zaimah.

 Moga kata-katanya sebelum ini terkesan di hati Zaimah. Dia pandang sayu wajah Zaimah. Usia muda yang dibazirkan begitu saja dengan hidup bersembunyi. Semuanya gara-gara  kerana takut pada Khalida madu tua. Tambah kasihan pada Nurin satu-satunya cucu yang dia ada. Sejak lahir sehingga bakal menjadi isteri orang pun, Nurin tidak pernah kenal siapa ayahnya.

“Mah…bimbang pada madu Mah ayah. Mah takut dia ulang lagi peristiwa lama kalau dia tahu Mah masih hidup”.

“Mah..dah 25 tahun peristiwa itu terjadi. Dulu, mungkin hang takut pasai Hisyam tak da di sisi hang. Dan Hisyam sendiri ditipu selama 25 tahun ini dengan berita kematian hang. Patutnya hang berilah Hisyam peluang untuk menebus kesilapannya. Ayah tahu, menantu ayah tu seorang yang adil dan bertanggungjawab. Dia pasti akan lindungi hang, Mah.”

Zaimah tidak terkata. Dia diam tidak membalas. Kata-kata dari ayahnya ditelan dalam hati. Setiap kata-kata itu ada pujukan dan harapan. Zaimah tahu, apa yang berlaku selama ini adalah kerana ketakutannya pada Khalida. Tambahan pula Hisyam langsung tidak mencarinya selama dia hidup bersembunyi. Dia hidup dalam kejahilan dan jauh hati dengan sikap suami yang seolah lepas tangan. Akhirnya Nurin sendiri yang menjadi mangsa atas sikapnya itu. Kejahilannya itu menyebabkan Nurin jauh dari kasih seorang bernama ayah.

“Ayah harap sangat hang dapat hidup dengan Hisyam semula. Ayah dah tua, Mah. Bila dah sampai masa, ayah nak tutup mata dengan hati lapang yang hang dah hidup bahagia macam orang lain yang ada laki, Mah”. Haji Yunus sebak. Mata sudah mula berkaca-kaca.

“Maafkan Mah, ayah”. Zaimah sapu perlahan kelopak mata Haji Yunus yang sudah digenangi airmata itu.

“Mah, hajat ayah nak habiskan umuq mengaji di Pondok Pak Ya tu. Dah lama ayah teringin sangat, Mah. Tapi ayah pendamkan hajat ayah tu, pasai pikiaq hang duk sorang kat sini. Kalau hang baik balik dengan Hisyam, lega hati ayah, Mah”. Luah Haji Yunus tentang hasratnya yang terpendam selama ini.

Zaimah rangkul kemas bahu ayahnya. Sungguh dia terasa amat bersalah sekali. Hasrat Haji Yunus terpaksa berkubur kerana risaukan dirinya selama ini. Terasa dirinya amat bersalah sekali.

1 comment: