Bab 23
Aku terduduk di lantai lif sambil
mengesat air mata yang tak henti mengalir. Sudah puas kutahan dari ia melurut
turun. Hilang rasa malu pada lelaki yang berada di sebelahku ini. Dalam kepala
otakku ini serabut memikirkan apa yang telah berlaku tadi. Hampir saja aku
hilang maruah kerana bos jahat, gatal dan gila itu. Namun rasa takut lebih
banyak menguasai hati dari rasa marah
yang bertandang. Aku tak pasti adakah dia pengsan atau dia memang sudah
mati kerana hentakan fail setebal 4 inci itu di kepalanya tadi. Bagaimana kalau
dia mati?. Pasti aku akan dituduh sebagai pembunuh. Ah…rumitnya masalah aku
ini. Kemana hendakku lari?. Bagaimana reaksi mak dan tok wan kalau dia tahu aku
ni seorang pembunuh.
“Mak…Nurin takut mak!”. Aku
mengonggoi di balik tangan yang kuletakkan di atas lututku ini. Di kala ini aku
benar-benar perlukan mak untuk redakan perasaan takut yang menyinggah di hati.
“Awak…awak okay?”. Suara lelaki di
sebelahku terasa begitu dekat dengan cuping telingaku. Lantas aku angkat
kepala. Mamat rambut ala askar itu tenang melihatku.
“Saya tak apa-apa”. Terus aku lap
air mata yang membasahi pipi. Kemudian aku segera bangun dari duduk di lantai
lif ini. Baru perasaan hanya aku dan dia saja di dalam perut lif ini. Bagaimana
kalau dia juga cuba untuk buat perkara yang tak senonoh pada aku. Segera aku
menjauh. Malangnya lif berbentuk segi empat ini tak adalah sebesar mana. Aku
dan dia masih lagi berada di dalam lif ini.
“Jangan takut. Percayalah. Saya tak
ada niat buruk pada awak”. Segera dia menuturkan begitu apabila melihat reaksi
aku yang cuba menjauh dari dia. Aku
pandang wajah mamat itu lama. Tampak sinar
keikhlasan dalam anak matanya yang bening itu.
“Awak nak kemana ni? Dengan beg
besar macam ni”. Dia menyoal. Aku terus
menilik diriku. Baru sedar aku sedang mengheret sebuah beg besar dengan hanya
berbaju t’shirt dan berseluar track sahaja. Dengan apa yang kulalui tadi, tanpa sedar aku
sedang mengambil keputusan untuk segera keluar dari hotel jahanam ini.
“Err…saya nak balik kampung. Mak
saya…err…mak saya…”. Kelu lidahku untuk mencipta alasan lagi. Tak akan hendakku
beritahu bahawa aku sedang melarikan diri dari bos jahat itu.
“Kalau awak percayakan saya..biar
saya hantarkan”. Senangnya dia menghulurkan bantuan buat aku. Bertambah keliru
jadinya. Tak akan dia sebaik ini hendak menolong aku yang baru saja dikenalinya
beberapa jam yang lepas tadi.
“Err…kampung saya bukan kat Penang
ni. Kampung saya kat Sungai Petani”. Aku beralasan lagi.
“Syukurlah… saya pun nak balik
kampung jugak. Sama destinasi dengan awak”. Dia senyum pada aku. Bulat mataku.
Terkejut. Tak pasti sama ada ini kebetulan atau dia sengaja nak berbohong
denganku. Otak masih ligat berfikir. Bolehkah aku percaya? Sedangkan bos yang
dah berbulan aku kenal boleh buat benda tak senonoh pada aku. Inikan pula dia
yang baru aku kenali tak sampai sehari.
“Err…”. Tak tahu hendak berdalih apa
lagi. Akhirnya aku diam. Dalam hati aku berdoa pada ALLAH agar dipelihara
diriku ini dari kejahatan manusia.
“Macam nilah. Awak simpan kad kerja
saya. Kad kerja ni sama macam IC saya. Kalau saya buat benda yang tak senonoh.
Awak repot terus pada polis. Saya ni penjawat awam. Kalau saya sengaja cari
pasal, memang saya cari nahas bakal hilang kerja dan masuk penjara”. Dia
hulurkan kad bersaiz IC itu. Ada lambang TUDM di situ. Terus aku ambil dan
masukkan dalam kocek seluar track tanpa lihat dengan lebih mendalam lagi. Dalam
kepala otak sekarang, hanya nak lari saja dari hotel jahanam ini.
LUQMAN HAKIMI memegang kepalanya
yang terasa sakit. Berpinar matanya kerana kesan hentakan fail oleh
setiausahanya itu. Dia cuba bangun dari katil, namun kesan hentakan itu makin
kuat terasa di kepalanya itu. Akhirnya dia terbaring lemah di atas katil.
Hendak bangun sudah tidak terdaya. Dia memejam mata. Cuba mengimbas kembali apa
yang telah dilakukan kepada cik adik sayang tadi. Dia merengus marah. Lain yang
dicita lain pula yang dia dapat. Memang tak boleh dipakai langsung kaedah yang
dicadangkan Mokhtar itu.
Akhirnya dia mengambil keputusan
untuk memujuk saja cik adik sayang. Walau dia tidak berdaya untuk bangun dia
harus mencuba. Kalau tidak sah-sahlah dia akan kalah pada cabaran Andrea. Dia
capai telefon Galaxy Note di hujung katil lalu mendail nombor telefon cik adik
sayang. Namun sampai ke deringan yang terakhir, panggilan itu tidak dijawab.
Dia cuba lagi sehingga lenguh jarinya menekan nombor milik cik adik sayang.
Ternyata hampa.
‘Luke kau fikir dengan apa yang kau
dah buat, cik adik sayang tu nak jawab panggilan kau. Mimpilah’. Akhirnya dia
picit dahinya. Memang dia bodoh kerana memikirkan semudah itu dapat memujuk cik adik sayang. Dia cuba
bangun dari perbaringan. Tapi kepala yang sakit membantutkan keinginannya.
‘Sabar Luke…esok masih ada. Tak
kemana cik adik sayang tu nak pergi. Dia bukan ada sesiapa di sini. Tak akan
beraninya dia nak tinggalkan hotel ini. Nak cari nahas. Dah lewat malam ni. Dia
tak akan seberani itu. Di luar sana, lagi ramai manusia yang gila. Esok saja
kau pujuk dia. Kau kan si hotter guy…”. Ada suara hati yang memujuk. Cuba
memberikan dia sokongan untuk menjalankan misi memujuk cik adik sayang pula.
Dia perlu membuang ego dan malu dengan apa yang dilakukan tadi. Jika tidak
tentu misinya akan gagal. Tak mungkin dia hendak menyerah kalah pada Andrea
semudah itu. Masa masih berbaki 3 bulan lagi. Dalam waktu itu, macam-macam
perkara yang boleh berlaku. Dia perlu berjuang.
AKHIRNYA Kereta Vios rona kelabu itu
sudah menyusuri jalan ke kampung yang telah lama ditinggalkan semenjak belajar
di UMKL dulu. Dalam kegelapan malam, tiada apa yang dapat dilihat hanya jalan
mini tar yang disimbahi lampu berwarna oren sahaja. Rumah-rumah kampung yang
menghiasi sepanjang jalan itu tampak berbalam-balam di pandangan matanya.
“Err…rumah
saya yang itu. Awak boleh berhenti di sini je”. Ujarku tatkala mata tertancap
pada rumah kampung separuh batu itu.
“Tak
apalah. Biar saya hantar sampai depan rumah”.
“Err…dah
pagi benar ni. Saya harap awak faham. Bukan saya tak sudi. Nanti apa pula kata
mak dan tok wan saja kalau anak gadisnya pulang dinihari dengan anak teruna
orang. Tak maniskan?” Aku beralasan lagi. Aku harap dia memahami keadaan. Aku
perlu menjaga nama keluargaku. Mahu terkejut mak dan tok wan nanti kalau mereka
tahu aku balik pagi-pagi buta dengan anak teruna orang.
“Hmm…tak
apa. Saya faham”. Dia menekan brek. Lalu menolak gear ke tanda P. Aku segera
keluar dari perut keretanya. Dia juga turut berbuat perkara yang sama. Dia
melangkah ke arah bonet kereta lalu dikeluarkan beg pakaian aku.
“Terima
kasih kerana hantar saya. Budi baik awak tak akan saya lupa”. Ucapku ikhlas.
Dia senyum saja.
“Sama-sama.”
Balasnya. Segera aku mengatur langkah menuju ke arah rumahku yang berada tidak
sampai dua rantai dari tempat dia meletak keretanya.
“Awak…!”.
Panggilannya itu membuatkan langkahku terhenti. Segera aku berpaling melihatnya
yang berdiri di tepi pintu pemandu.
“Siapa
nama awak?”. Aku mengangkat kening. Perlukah aku beritahu namaku?. Tapi
memikirkan budi yang telah ditabur, apalah sangat jika dia hendak tahu namaku.
Selepas ini tak mungkin aku akan bertemu dengannya lagi.
“Nurin
Kamila Hisyam”. Balasku lembut. Jelas terlihat senyuman dibibirnya. Lampu jalan
yang menerangi tempat dia berdiri itu membuatkan aku terkesima sekejap. Kenapa
aku nampak dia lebih manis dan kacak dari si hotter guy?. Segera aku memusingkan badan dan mengatur langkah semula
masuk ke halaman rumah. Kenapa dalam keadaan sakit hati begini pun, si hotter
guy juga yang aku ingat.
Aku
menarik beg pakaian berodaku lalu berhenti betul-betul di hadapan pintu rumah.
Kemudian aku menilik semula pakaian yang kupakai. Kalau mak tanya kenapa aku
berpakaian santai begini, apa yang hendakku jawab?. Kemudian baru aku teringat
sesuatu. Aku raba poket seluar, aku keluarkan kad kerja mamat berambut ala
askar itu. Aku tinggalkan beg pakaianku, lalu berkejar semula ke halaman rumah.
Malangnya keretanya sudah tiada di situ. Aku genggam kad kerja yang berlambang
TUDM itu lalu aku tilik dan mencari namanya di situ. Tapi tiada. Aku balikkan kad kerja itu lalu ada gambar dia dan tertera
namanya jelas dipandangan mataku kerana lampu jalan ini betul-betul berada di
bawahku. Membulat mataku apabila membaca namanya, malah ku eja satu persatu.
Adakah dia orang yang sama?. Kenapa aku tak cam langsung wajahnya?. Aku
keliru.
No comments:
Post a Comment