Thursday, 29 August 2013

Mr.Hotter Guy Bab 24

Bab 24

“SAYA dah siasat seperti yang diarahkan Tan Sri. Malah kubur tempat Puan Zaimah disemadikan pun saya lawati. Malangnya Tan Sri…selama ini Tan Sri tertipu sebenarnya”. Ayat yang keluar dari Encik Bakri penyiasat upahan yang diperkenalkan oleh Berahim buat Tan Sri Hisyam terkedu. Selama 25 tahun dia disogokkan berita yang Zaimah sudah mati dalam kebakaran rumahnya di kampung dahulu. Sahlah selama ini dia dipermainkan oleh Puan Sri Khalida. Ketika  kejadian ini berlaku dia berada di luar negara kerana urusan perniagaan, mudah benar Puan Sri Khalida menyusun strategi.

“Tapi kebakaran tu memang berlakukan?. Saya sendiri pergi melihat tapak rumah arwah isteri saya. Malah kuburnya juga saya lawati”. Tan Sri Hisyam masih kurang percaya.

“Itu betul Tan Sri. Memang rumah Puan Zaimah terbakar teruk. Tapi Puan Zaimah dan ahli keluarganya selamat. Kubur yang Tan Sri lawati itu adalah milik pembantu rumah Puan Zaimah. Kebetulan namanya pun Zaimah juga. Saya rasa Tan Sri keliru kerana nama mereka sama”. Penjelasan dari Bakri itu buat Tan Sri Hisyam terlopong. Dia meramas geram pemegang kerusi yang didudukinya itu. Kenapa selama ini dia terlalu bodoh? Terlalu percayakan segala kata Puan Sri Khalida. Rupanya Puan Sri Khalida menangguk di air yang keruh. Sengaja mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.

Jadi betullah dengan apa yang dilihat. Matanya tak pernah menipu. Memang perempuan yang dilihat tempohari adalah Zaimah. Kenapa Zaimah menghilangkan diri? Apa yang terjadi?. Tan Sri Hisyam menopang kepalanya. Kusut memikirkan masalah yang datang tiba-tiba. Segera dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Hilang mood untuk meneruskan kerja.

“Terima kasih atas maklumat awak. Saya nak awak teruskan siasatan. Kali ini saya nak awak cari kemana Puan Zaimah sekeluarga menghilang. Saya nak butirannya segera. Kalau boleh saya nak jawapannya dalam seminggu ini. Kalau awak dapat cari, saya akan gandakan bayaran buat awak”. Tersenyum Bakri mendengar apa yang dituturkan oleh Tan Sri Hisyam. Memang lumayan bayaran yang akan diterima andai dia dapat menjejak dimana Puan Zaimah berada sekarang ini.

“Baik Tan Sri. Saya akan usahakan seberapa segera”. Janji Bakri sebelum melangkah keluar dari bilik pejabat Tan Sri Hisyam.

“Saya tak sangka Berahim. Selama ini saya tertipu…dibodohkan isteri sendiri. Ya ALLAH…kenapa aku terlalu bodoh. Kesian Zaimah. Macamana dengan anakku?. Anak yang dikandung Zaimah”. Dia meraup mukanya. Badannya sudah terhinggut-hinggut menahan tangis.

“Sabar…Tan Sri. Ini ujian dari ALLAH. Banyak-banyak bersabar”. Berahim yang masih setia disisi mengusap belakang badan Tan Sri Hisyam. Kasihan pula melihat rakan sendiri yang tertipu selama ini. Hanya kerana cemburu dan iri hati banyak jiwa yang menjadi mangsa. Kasihan Zaimah, gadis kampung yang mendapat tempat di hati Tan Sri Hisyam. Dia yang menjadi mangsa kerana sifat cemburu dan iri hati Puan Sri Khalida.

“Saya nak balik Berahim. Hati saya tak tenang. Luqman Hakimi dah balik dari Penang?”. Soalnya pula.

“Kalau ikut kata Puan Liza…petang ni dia dah balik”. Balas Berahim. Tan Sri Hisyam hanya mengangguk lemah. Anak bertuahnya itu ke Penang pun tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Khabar perginya ke sana pun dia tahu dari mulut Puan Liza sendiri. Atas urusan apa dia pun kurang pasti. Hendak kata ada perjumpaan dengan klien. Yakin sangat yang Berjaya Corporation memang tidak ada sebarang  usahasama perniagaan dengan mana-mana syarikat di Penang itu.  Dia menarik nafas panjang. Kemudian melangkah keluar dari biliknya. Dalam hati sudah tidak sabar hendak bertemu dengan Puan Sri KHalida, diktator yang mengawal hidupnya selama ini. Kali ini dia tak akan menurut telunjuk diktator itu lagi. Biar apapun yang berlaku dia tak akan menyerah kalah.


PUAS Luqman Hakimi mengetuk pintu bilik hotel yang dihuni setiausahanya itu. Namun sedikit pun tak dibuka dari dalam. Dia mendail pula nombor telefon, namun tidak juga dijawab. Geram rasa hati memikirkan setiausaha yang degil ini.

‘Fikirnya dengan bersikap keras kepala ini boleh buat aku menyembah dia pula.’ Dia mengomel dalam  hati.

‘Tapi Luke… kau memang kena pujuk dia. Pujuk rayu sampai dia lemah. Kalau tidak kau terpaksa menyerah kalah pada Andrea. Kau nak si tepung gomak tu jadi isteri kau. Biar betul’. Kata hati giat menasihat pula. Hendak tak hendak, Luqman Hakimi terpaksa mengetuk pintu bilik itu. Memujuk, merayu cik adik sayang sehingga hatinya menjadi lemah.

“Nurin…please. Buka pintu ni. Saya tahu…apa yang berlaku semalam adalah keterlaluan. Saya tak ada niat pun. Tak tahulah apa yang merasuk saya semalam. Maafkan saya…please”. Dia masih memujuk dengan suara lembut. Ego yang menggunung selama ini, merudum jatuh dengan teruk  sekali hanya kerana hendak memujuk cik setiausaha yang degil ini. Dia setia di depan pintu, mengetuk dan memujuk rayu dengan ayat-ayat cinta. Malangnya air liur terbazir begitu sahaja. Pintu bilik langsung tidak dibuka sedikit pun.

“Encik”. Dia mengalih pandang pada suara yang terdengar di belakangnya. Seorang wanita berdiri di sisi troli yang sarat dengan tuala dan alat pembersihan. Dia angkat kening apabila melihat wanita separuh umur itu senyum padanya.

“Setahu saya, penghuni bilik ni dah keluar semalam. Sebab tu saya diarahkan mengemas bilik ini sekarang”. Terang wanita itu.

“Ya?”. Dia seakan tidak percaya. Kemana cik adik sayang hendak pergi?. Bukan dia kenal sesiapa pun di sini. Tak akan seberani itu dia hendak keluar dari hotel ini. Malam pulak tu. Dia bersoal jawab sendiri.

“Kalau encik tak percaya, encik boleh tanya di kaunter pertanyaan”. Tambah wanita itu lagi. Akhirnya dia menjarakkan tubuhnya dari pintu bilik yang dihuni setiausahanya itu. Cuba memberi laluan pada wanita itu untuk membuka pintu bilik dan menjalankan tanggungjawabnya membersihkan bilik itu. Setelah pintu bilik di buka, dia mengamati bilik itu. Memang betul seperti yang dikata, bilik itu sudah tidak berpenghuni. Pakaian cik adik sayang pun tiada. Nyatalah semalam, cik adik sayang telah meninggalkan hotel ini. Dia menggeleng kepala. Menyesal dengan apa yang dilakukan semalam. Tindakan yang  terburu-buru untuk melaksanakan misi mengikat cik adik sayang bukan sahaja gagal. Malahan dia mungkin akan gagal untuk selama-lamanya memikat hati cik adik sayang. Dia meraup muka. Dia ramas rambutnya. Kusut. Bukan sahaja  rancangannya  gagal. Sekarang dia bertambah kusut memikirkan kemana cik adik sayang menghilang?.


“TERKEJUT  mak. Ingatkan siapa yang datang pepagi buta tadi?. Rupanya anak kesayangan mak dah balik”. Tersenyum mak  melihat aku, anak daranya di depan mata sedang menjamah nasi goreng buat sarapan  pagi ini.

“Itulah..tok wan pun pelik. Tak ada ribut apa…tup…tup dah depan pintu. Macam lari dari rumah. Pakai serupa nak pi bersenam kat taman pun ada”. Tersedak aku bila mendengar tok wan membuat serkap jarang. Kalaulah tok wan tahu apa yang dah aku buat semalam. Yang aku ini seorang pembunuh. Pekerja yang membunuh majikannya sendiri. Barangkali terbalik dunia ini untuk mereka menerima hakikat. Aku telan liur yang terasa kelat.

“Betul ka yang kamu ni baru habis kursus kat Penang nun…tak sabar nak balik sampai baju pun ikut sempat je kamu sarung?”. Soal mak seolah tak percaya.

“Ishk…mak ni. Nurin dah balik ni kira syukurlah. Nanti Nurin bungkus balik KL semula baru mak nak melopong kot. Dulu mak kalut suruh Nurin balik. Hari ni Nurin dah balik mak macam tak percaya pulak”. Aku buat nada merajuk. Sebenarnya lebih dari nak melepas diri. Nak mengelak dari menjawab soalan pelik-pelik dari mak dan tok wan.

“Sudahlah Mah oii…toksah duk tanya apa-apa lagi. Satgi buatnya dia balik ke KL semula. Lambat pula hajat orang kat sana nak mai tengok dia. Terbantut lagi rancangan tu”. Balas tok wan sambil menghirup kopi suam yang berasap nipis itu. Aku tenung muka tok wan. Hajat apa pula? Rancangan apa pula? Ish…macam-macamlah. Balik kampung je mesti ada saja agenda mak dan tok wan ni.

“Ha…dah alang-alang kamu ada ni. Bolehlah kawan mak dan anaknya datang tengok kamu?”.

“Tengok apa pula mak?. Nurin bukan sakit. Sihat walafiat ni. Nak mai tengok apa?”. Aku tanya soalan bodoh pada mak. Siapalah yang baik hati hendak datang melawat aku?. Bukan orang terkenal pun.  

“Itu…jodoh yang mak bagitahu tu. Tak akan dah lupa kot. Tadi mak dah telefon kawan mak. Kata kamu balik sini. Kebetulan anak terunanya pun balik semalam. Bolehlah datang tengok kamu…kalau berkenan tu, tak lama bolehlah mak dapat menantu”. Mak dah senyum senget pandang aku. Serta merta terbayang wajah Kapten Shahril Aiman diruang mataku. Kenapalah aku boleh tak perasankan dialah si mamat rambut askar yang baik budi menghantar aku semalam.

“Err...”. Kelu lidahku. Tak tahu nak buat keputusan apa. Nak tolak atau terima?. Aku tarik nafas panjang. Lalu aku hembus perlahan.

“Boleh tak mak bagi masa Nurin fikir...”.

“Biarlah depa datang dulu. Tengok kamu. Mak dengan kawan mak yang buat keputusan. Tapi kami kena ikut kehendak anak juga. Kalau anak dia dan kamu saling tak berkenan, mak tak paksa. Bolehlah Nurin, biar depa datang berkenalan dulu?”. Akhirnya aku menggangguk lemah. Kasihan pula mendengar permintaan mak.

Aku masuk ke dalam bilik yang telah lama aku tinggalkan. Aku menapak ke arah meja solek. Aku tarik kerusi kecil lalu aku labuhkan punggung di situ. Kad kerja Kapten Shahril Aiman itu aku ambil, lalu aku tenung seraut wajah itu. Manis dan tenang saja pada pandangan mataku. Bahagiakah aku kalau aku terima dia sebagai imamku?. Bagaimana pula penerimaannya, mahukah dia terima aku sebagai makmumnya?.

Deringan telefon yang bertalu-talu itu membuatkan anganku melayang. Segera aku dapatkan Nokia murah aku dan tilik nombor telefon itu. Sejak semalam aku senyapkan mode panggilan kerana kusut memikirkan apa yang telah aku lalui. Membuntang mataku melihat paparan nombor di situ.

“Bos!”. Aku telan liur. Aku tarik nafas panjang. Takut dan berani sama banyak bermain dibenakku. Siapa agaknya yang menelefon aku? Diakah?. Tapi bukan semalam teruk aku kerjakan dia. Tak matikah?. Segera aku tekan butang hijau. Aku lekapkan telefon di telinga.

“Kamu kat mana hah?. Jangan ingat kamu boleh lari Nurin?”. Terdengar suara lembut lagi sinis di hujung talian. Memang tak syak lagi. Itu suara bos. Syukur dia tak mati lagi.

“Saya nak berhenti. Saya tak nak kerja dengan bos gatal, gila dan jahat macam awak”. Balasku garang. Terdengar dia ketawa di sana. Bukannya dia nak insaf dengan apa yang cuba dilakukan padaku semalam. Malah makin galak pula dia ketawa. Memang sungguh menduga kemarahan aku!.

“Apa yang saya dah buat?”.

“Bos..jangan buat tak tahu?. Saya hampir hilang maruah semalam”.

“Ada bukti?. Siapa yang masuk ke bilik saya? Siapa yang cari saya?. Kamu tak akan menang kalau kita bawa perkara ini ke mahkamah. Silap-silap kamu yang malu nanti?”. Aku pejam mata. Sakitnya hati mendengar dia berkata begitu. Ya…baru aku sedar. Aku miskin sedangkan dia kaya. Kemiskinan payah untuk memenangi keadilan sedangkan kekayaan boleh membeli apa sahaja termasuk keadilan. Akhirnya aku diam. Pasrah dengan apa yang menimpaku.

“Saya nak berhenti”. Jeritku. Biar dia pekak di hujung sana. Tapi aku yang bertambah sakit hati bila dia tak habis-habis dengan ketawa.

“Awak lupa sesuatu Nurin. Masa awak terima lantikan sebagai staf di Berjaya Corporation, awak baca betul-betul tak perjanjian dalam surat tawaran tu?”. Aku telan liur pula bila mendengar dia mengungkit tentang tawaran lantikan sebagai staf di Berjaya Corporation.

“Arghhh!”. Aku matikan talian telefon. Aku campak Nokia murahku di atas katil. Rasa hendak menjerit dan menangis sama banyak bermain dibenakku. Kenapa aku boleh lupa pada perjanjian yang aku tandatangani. Bukan mudah untuk aku berhenti selagi belum disahkan jawatanku. Mana nak aku cekau RM30k kalau aku nak berhenti begitu saja. Aku raup mukaku. Rasa hendak meletup dadaku ini kerana menahan marah. Segera aku bangun dari kerusi yang aku duduki ini. Kemudian berjalan menuju ke bilik air. Kemarahan yang bertandang perlu aku siramkan dengan  wuduk. Itu pesan tok wan kalau kita nak meredakan kemarahan. Dan aku tak mahu mensia-siakan pesanan tok wan itu.



Mr.Hotter Guy Bab 23

Bab 23
            Aku terduduk di lantai lif sambil mengesat air mata yang tak henti mengalir. Sudah puas kutahan dari ia melurut turun. Hilang rasa malu pada lelaki yang berada di sebelahku ini. Dalam kepala otakku ini serabut memikirkan apa yang telah berlaku tadi. Hampir saja aku hilang maruah kerana bos jahat, gatal dan gila itu. Namun rasa takut lebih banyak menguasai hati dari rasa marah  yang bertandang. Aku tak pasti adakah dia pengsan atau dia memang sudah mati kerana hentakan fail setebal 4 inci itu di kepalanya tadi. Bagaimana kalau dia mati?. Pasti aku akan dituduh sebagai pembunuh. Ah…rumitnya masalah aku ini. Kemana hendakku lari?. Bagaimana reaksi mak dan tok wan kalau dia tahu aku ni seorang pembunuh.

            “Mak…Nurin takut mak!”. Aku mengonggoi di balik tangan yang kuletakkan di atas lututku ini. Di kala ini aku benar-benar perlukan mak untuk redakan perasaan takut yang menyinggah di hati.

            “Awak…awak okay?”. Suara lelaki di sebelahku terasa begitu dekat dengan cuping telingaku. Lantas aku angkat kepala. Mamat rambut ala askar itu tenang melihatku.

            “Saya tak apa-apa”. Terus aku lap air mata yang membasahi pipi. Kemudian aku segera bangun dari duduk di lantai lif ini. Baru perasaan hanya aku dan dia saja di dalam perut lif ini. Bagaimana kalau dia juga cuba untuk buat perkara yang tak senonoh pada aku. Segera aku menjauh. Malangnya lif berbentuk segi empat ini tak adalah sebesar mana. Aku dan dia masih lagi berada di dalam lif ini.

            “Jangan takut. Percayalah. Saya tak ada niat buruk pada awak”. Segera dia menuturkan begitu apabila melihat reaksi aku yang cuba menjauh  dari dia. Aku pandang wajah mamat itu lama. Tampak sinar  keikhlasan dalam anak matanya yang bening itu.

            “Awak nak kemana ni? Dengan beg besar macam ni”. Dia  menyoal. Aku terus menilik diriku. Baru sedar aku sedang mengheret sebuah beg besar dengan hanya berbaju t’shirt dan berseluar track sahaja.  Dengan apa yang kulalui tadi, tanpa sedar aku sedang mengambil keputusan untuk segera keluar dari hotel jahanam ini.

            “Err…saya nak balik kampung. Mak saya…err…mak saya…”. Kelu lidahku untuk mencipta alasan lagi. Tak akan hendakku beritahu bahawa aku sedang melarikan diri dari bos jahat itu.  

            “Kalau awak percayakan saya..biar saya hantarkan”. Senangnya dia menghulurkan bantuan buat aku. Bertambah keliru jadinya. Tak akan dia sebaik ini hendak menolong aku yang baru saja dikenalinya beberapa jam yang lepas tadi.

            “Err…kampung saya bukan kat Penang ni. Kampung saya kat Sungai Petani”. Aku beralasan lagi.

            “Syukurlah… saya pun nak balik kampung jugak. Sama destinasi dengan awak”. Dia senyum pada aku. Bulat mataku. Terkejut. Tak pasti sama ada ini kebetulan atau dia sengaja nak berbohong denganku. Otak masih ligat berfikir. Bolehkah aku percaya? Sedangkan bos yang dah berbulan aku kenal boleh buat benda tak senonoh pada aku. Inikan pula dia yang baru aku kenali tak sampai sehari.

            “Err…”. Tak tahu hendak berdalih apa lagi. Akhirnya aku diam. Dalam hati aku berdoa pada ALLAH agar dipelihara diriku ini dari kejahatan manusia.

            “Macam nilah. Awak simpan kad kerja saya. Kad kerja ni sama macam IC saya. Kalau saya buat benda yang tak senonoh. Awak repot terus pada polis. Saya ni penjawat awam. Kalau saya sengaja cari pasal, memang saya cari nahas bakal hilang kerja dan masuk penjara”. Dia hulurkan kad bersaiz IC itu. Ada lambang TUDM di situ. Terus aku ambil dan masukkan dalam kocek seluar track tanpa lihat dengan lebih mendalam lagi. Dalam kepala otak sekarang, hanya nak lari saja dari hotel jahanam ini.


            LUQMAN HAKIMI memegang kepalanya yang terasa sakit. Berpinar matanya kerana kesan hentakan fail oleh setiausahanya itu. Dia cuba bangun dari katil, namun kesan hentakan itu makin kuat terasa di kepalanya itu. Akhirnya dia terbaring lemah di atas katil. Hendak bangun sudah tidak terdaya. Dia memejam mata. Cuba mengimbas kembali apa yang telah dilakukan kepada cik adik sayang tadi. Dia merengus marah. Lain yang dicita lain pula yang dia dapat. Memang tak boleh dipakai langsung kaedah yang dicadangkan Mokhtar itu.

            Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memujuk saja cik adik sayang. Walau dia tidak berdaya untuk bangun dia harus mencuba. Kalau tidak sah-sahlah dia akan kalah pada cabaran Andrea. Dia capai telefon Galaxy Note di hujung katil lalu mendail nombor telefon cik adik sayang. Namun sampai ke deringan yang terakhir, panggilan itu tidak dijawab. Dia cuba lagi sehingga lenguh jarinya menekan nombor milik cik adik sayang. Ternyata hampa.

            ‘Luke kau fikir dengan apa yang kau dah buat, cik adik sayang tu nak jawab panggilan kau. Mimpilah’. Akhirnya dia picit dahinya. Memang dia bodoh kerana memikirkan semudah itu  dapat memujuk cik adik sayang. Dia cuba bangun dari perbaringan. Tapi kepala yang sakit membantutkan keinginannya.

            ‘Sabar Luke…esok masih ada. Tak kemana cik adik sayang tu nak pergi. Dia bukan ada sesiapa di sini. Tak akan beraninya dia nak tinggalkan hotel ini. Nak cari nahas. Dah lewat malam ni. Dia tak akan seberani itu. Di luar sana, lagi ramai manusia yang gila. Esok saja kau pujuk dia. Kau kan si hotter guy…”. Ada suara hati yang memujuk. Cuba memberikan dia sokongan untuk menjalankan misi memujuk cik adik sayang pula. Dia perlu membuang ego dan malu dengan apa yang dilakukan tadi. Jika tidak tentu misinya akan gagal. Tak mungkin dia hendak menyerah kalah pada Andrea semudah itu. Masa masih berbaki 3 bulan lagi. Dalam waktu itu, macam-macam perkara yang boleh berlaku. Dia perlu berjuang.


            AKHIRNYA Kereta Vios rona kelabu itu sudah menyusuri jalan ke kampung yang telah lama ditinggalkan semenjak belajar di UMKL dulu. Dalam kegelapan malam, tiada apa yang dapat dilihat hanya jalan mini tar yang disimbahi lampu berwarna oren sahaja. Rumah-rumah kampung yang menghiasi sepanjang jalan itu tampak berbalam-balam di pandangan matanya.

“Err…rumah saya yang itu. Awak boleh berhenti di sini je”. Ujarku tatkala mata tertancap pada rumah kampung separuh batu itu.

“Tak apalah. Biar saya hantar sampai depan rumah”.

“Err…dah pagi benar ni. Saya harap awak faham. Bukan saya tak sudi. Nanti apa pula kata mak dan tok wan saja kalau anak gadisnya pulang dinihari dengan anak teruna orang. Tak maniskan?” Aku beralasan lagi. Aku harap dia memahami keadaan. Aku perlu menjaga nama keluargaku. Mahu terkejut mak dan tok wan nanti kalau mereka tahu aku balik pagi-pagi buta dengan anak teruna orang.

“Hmm…tak apa. Saya faham”. Dia menekan brek. Lalu menolak gear ke tanda P. Aku segera keluar dari perut keretanya. Dia juga turut berbuat perkara yang sama. Dia melangkah ke arah bonet kereta lalu dikeluarkan beg pakaian aku.

“Terima kasih kerana hantar saya. Budi baik awak tak akan saya lupa”. Ucapku ikhlas. Dia senyum saja.

“Sama-sama.” Balasnya. Segera aku mengatur langkah menuju ke arah rumahku yang berada tidak sampai dua rantai dari tempat dia meletak keretanya.

“Awak…!”. Panggilannya itu membuatkan langkahku terhenti. Segera aku berpaling melihatnya yang berdiri di tepi pintu pemandu.

“Siapa nama awak?”. Aku mengangkat kening. Perlukah aku beritahu namaku?. Tapi memikirkan budi yang telah ditabur, apalah sangat jika dia hendak tahu namaku. Selepas ini tak mungkin aku akan bertemu dengannya lagi.

“Nurin Kamila Hisyam”. Balasku lembut. Jelas terlihat senyuman dibibirnya. Lampu jalan yang menerangi tempat dia berdiri itu membuatkan aku terkesima sekejap. Kenapa aku nampak dia lebih manis dan kacak dari si hotter guy?. Segera aku  memusingkan badan dan mengatur langkah semula masuk ke halaman rumah. Kenapa dalam keadaan sakit hati begini pun, si hotter guy juga yang aku ingat.

Aku menarik beg pakaian berodaku lalu berhenti betul-betul di hadapan pintu rumah. Kemudian aku menilik semula pakaian yang kupakai. Kalau mak tanya kenapa aku berpakaian santai begini, apa yang hendakku jawab?. Kemudian baru aku teringat sesuatu. Aku raba poket seluar, aku keluarkan kad kerja mamat berambut ala askar itu. Aku tinggalkan beg pakaianku, lalu berkejar semula ke halaman rumah. Malangnya keretanya sudah tiada di situ. Aku genggam kad kerja yang berlambang TUDM itu lalu aku tilik dan mencari namanya di situ. Tapi tiada. Aku balikkan  kad kerja itu lalu ada gambar dia dan tertera namanya jelas dipandangan mataku kerana lampu jalan ini betul-betul berada di bawahku. Membulat mataku apabila membaca namanya, malah ku eja satu persatu. Adakah dia orang yang sama?. Kenapa aku tak cam langsung wajahnya?. Aku keliru. 




Monday, 19 August 2013

Mr.Hotter Guy Bab 22

Bab 22

“Assalammualaikum…Aiman!”

“Waalaikumusalam mak!. Sihat?”

“Mak sihat. Aiman kat mana ni?. Bila nak balik Sungai Petani?”.

“Aiman kat Penang mak. Ada seminar. Ada hal penting ke mak…yang mak nak Aiman balik sana?”.

“Nak kata tidak tu…tapi penting jugaklah. Mak dah merisik bakal isteri Aiman”.

“Mak!... Aiman belum lagi nak kahwin mak. Awat yang mak dah pi merisik?”.

“Nak tunggu apa lagi Man. Adik beradik kamu semua dah kahwin. Kamu yang sulung belum lagi ada 
pasangan. Kamu bukan muda lagi Man. Mak tak kira. Esok kamu balik Sungai Petani jugak.”

“Hai..mak…mak…selalu buat keputusan tak nak tanya Aiman”.

“Kalau tanya kamu…alamat tak sampai seru saja jawabnya. Ingat Aiman!. Esok balik Sungai Petani”.

“Yalah mak. Aiman balik”.



            AKU membaringkan tubuh di tilam empuk. Mata sudah terasa memberat. Esok perlu bangun awal untuk berjumpa dengan klien. Selimut sudah kutarik hampir menutupi seluruh tubuhku ini. Baru saja mata hendak terpejam. Nokia murahku sudah menjerit minta diangkat. Bikin berasap saja hatiku ini kerana baru nak membuta ada saja yang menganggu. Dengan malasnya aku capai Nokia murah yang terletak di hujung kepalaku.

            “Apa bos?. Esok tak boleh ke? Dah lewat sangat ni!”. Aku beralasan. Gila apa dia nak aku bawa fail untuk mesyuarat esok ke biliknya. Dah lewat sangat ni. Tak pasal nanti bala lain pula yang aku dapat.

Akhirnya aku bangun juga dari tilam empuk yang aku baring ini. Memang kalau aku berdegil tak nak menghantar fail itu ke biliknya, jawabnya sampai pagi aku tak akan boleh tidur. Mesti dia akan mengganggu sampai aku turuti perintahnya. Siapalah aku hendak membantah. Aku hanya menurut perintah. Setelah memakai tudung ala kadar, aku menilik sebentar pakaian yang membalut tubuh. Tshirt berlengan panjang dan tracksuit rona hitam. Hmm…sudah menutup aurat. Dengan malasnya aku membuka pintu bilik dan menapak ke bilik bos kerek yang setentang dengan bilikku. Walau mata sudah memberat, perintah harus aku turuti.

“Assalammualaikum bos”. Ucapku sambil tanganku mengetuk pintu biliknya. Lenguh tanganku mengetuk, namun tidak juga pintu itu terbuka. Panas sudah rasanya hati aku. Tadi beria-ia benar dia menyuruh aku menghantar fail ke biliknya. Siap bertengkar lagi. Sekarang ni aku dah jadi tunggul reput di depan biliknya. Kerana malas nak mengetuk pintu lagi aku pulas tombol pintunya. Kalau tak terbuka juga, aku akan angkat kaki balik ke bilikku semula.

Sekali aku pulas, pintu terbuka sedikit. Terus aku buka pintu seluas mungkin. Dalam kepala otakku ini hendak letakkan saja fail itu di atas meja yang berada di depan mataku ini. Laju aku menapak ke arah meja tersebut. Aku letakkan fail lalu aku pusing semula tubuh untuk menapak ke pintu semula. Mataku terus terpaku pada muka pintu. Terkejut. Dada mula terasa berdebar-debar. Aku sudah menelan liur. Namun aku cuba mengawal rasa debar.  

“Saya dah letakkan fail kat meja tu bos”. Kataku seraya jari kutundingkan ke arah fail yang terletak di atas meja. Dia diam saja. Berdiri kaku di muka pintu. Namun tunak matanya merenung aku seperti hendak ditelannya aku hidup-hidup.

“Err…saya minta diri dulu bos”. Kataku lagi setelah lihat dia diam saja tidak membalas kata-kataku. Angguk pun tidak tanda dia faham dengan apa yang ku kata. Aku terus melangkah ke arah pintu. Namun dia masih berdiri kaku di situ. Aku pula yang teragak-agak hendak terus melangkah.

“Bos…saya minta diri dulu”. Ulangku lagi. Kali ini nada suaraku tinggikan sedikit. Dia langsung tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Sebaliknya tangannya sudah menutup pintu bilik. Malah dia terus mengunci dari dalam. Mataku membulat. Bertambah terkejut dengan tindakan yang tidak dijangka dari bosku ini. Aku telan liur berkali-kali. Peluh renik sudah mula muncul di dahi.

“Bos…err…saya nak balik”. Kali ini suaraku sudah naik beberapa oktaf. Dia diam lagi. Kebisuannya buat aku makin tidak keruan. Buat aku jadi tidak tentu arah. Sebaliknya dia makin dekat menapak ke arah aku. Senyuman terukir di bibirnya. Matanya menikam tajam kepadaku. Sekali dia melangkah, satu butang baju pijamanya dibuka. Aku yang terkedu di situ.

“Bos nak buat apa ni?”. Aku separuh menjerit. Dia semakin mendekat. Baju yang menghiasi badannya sudah dihumbankan ke lantai.

“Jangan dekat…saya menjerit nanti”. Aku memberi amaran. Tubuhku undurkan ke belakang. Malangnya kakiku terhenti dibirai katil. Dengan mudahnya dia menolak tubuhku kasar sehingga aku terbaring di katil empuk miliknya itu.

“Syyy…diam. Jangan menjerit. Kalau cik adik sayang menjerit pun tak ada yang dengar. Tolong bekerjasama. Saya pasti bahagiakan cik adik”. Dia himpit tubuhku. Lalu dibisikkan kata-kata itu di cuping telingaku.

“Bos dah gila…lepaskan saya”. Aku cuba melawan. Esak tangis sudah mula berkumandang di dadaku ini. Tubuhnya yang menghimpit aku tolak dengan sedaya upaya kudratku. Malangnya tubuh kecilku tak dapat sedikit pun menolak tubuhnya yang berada diatasku.

“Ya ALLAH…selamatkan hambamu ini”. Ucapku bersama esak tangis yang semakin menggila. Aku cuba angkat kaki yang ditindih oleh kakinya. Aku cuba lagi sehingga aku rasa lututku betul-betul terarah di tempat lemahnya seorang lelaki. Dengan sekuat hati aku terajang dengan lututku ini. Spontan dia bangun dari menghimpit tubuhku. Dia mengaduh sambil menyeringai menahan sakit. Terduduk melutut dia di atas katil. Segera aku bangun lalu aku capai fail yang berada di atas meja. Aku ketuk di kepalanya.

“Rasakan…bos jahat. Bos gatal. Bos gila….rasakan…”. Aku menjerit-jerit sambil fail mesyuarat setebal 4 inci itu aku hentakkan di kepalanya. Setelah puas hatiku ini melihat dia tidak bergerak lagi di atas katil. Segera aku tinggalkan bilik yang serupa neraka itu. Geram dan sakit hati bermain diminda. Dia betul-betul melampau. Lelaki kaya ini memang semuanya sama. Jahat dan suka mengambil kesempatan pada orang miskin seperti aku.  


AIMAN melipat baju dan memasukkan ke dalam beg sandangnya itu. Uniform biru yang lengkap dengan aksesori diletakkan kembali ke dalam plastik hitam yang tergantung kemas di dalam almari. Kemudian dia masuk ke bilik air pula mengambil toiletries lalu dimasukkan ke dalam beg kecil. Beg itu pula disumbat ke dalam beg sandangnya itu. Setelah pasti tiada yang tertinggal dia mula mengambil beg lalu disandang ke bahunya. Uniform biru yang tergantung di dalam beg plastik diambil dan dijinjit dengan sebelah tangan. Dia melihat lagi buat kali kedua di dalam bilik yang dihuninya sebelum melangkah keluar. Panggilan ibunya yang tiba-tiba membuatkan dia jadi tidak keruan. Hajat asal  hendak balik esok dibatalkan kerana hati sudah tidak sabar hendak mengetahui calon isteri yang dirisik oleh ibu. Dia tersenyum lagi sambil menggeleng kepala. Nampaknya Puan Munirah memang sudah tidak sabar lagi hendak menerima menantu sulung, sampaikan dia sendiri tidak diajak berbincang.

Dia berjalan dengan langkah yang tenang sehingga melewati bilik gadis comel yang baru dikenalinya itu. Hajat hati ingin diketuk pintu itu untuk bertemu dengan gadis yang mencuri hatinya. Sekadar ingin mengucap selamat tinggal. Rasanya lepas ini mungkin dia tidak akan ketemu lagi gadis comel itu. Namun dibatalkan niat. Hari sudah lewat benar. Tak manis rasanya mengganggu anak gadis orang di kala malam hampir melabuhkan tirainya.

“Biarlah…kalau ada jodoh mesti jumpa lagi”. Dia menuturkan kata pada dirinya sendiri. Cuba menyedapkan hati kerana sedikit kecewa tak bersungguh untuk mengenali gadis comel itu semasa peluang masih terbuka tadi. Dia menapak terus ke pintu lif yang tertutup. Di tekan butang lif dan terus sabar menunggu sehingga pintu lif terbuka dengan sendirinya. Usai pintu lif terbuka dia melangkah masuk. Baru saja jari menekan butang tanda lobby, pintu lif dihadang dengan sepasang tangan yang berbalut tshirt lengan panjang. Dia menekan butang terbuka pada tepi pintu lif.

“Terima kasih”. Ucap suara itu sedikit serak. Dia mengalih pandang pada pemilik suara itu.

“Eh…awak?. Nak balik dah ke dengan beg besar ni?”. Terus dia menyapa gadis comel itu yang masih menunduk. Pelik juga melihat gadis comel itu yang hanya bert’shirt dan berseluar track saja.


‘Pakaian ala nak bersantai je, tapi berbeg besar macam nak lari. Elok benar. Macam nak lari tengah malam je’. Dia bermonolog pula. Terasa lucu dan pelik melihat gelagat gadis comel ini.

Mr.Hotter Guy Bab 21

Bab 21

            Aku humbankan badan ke katil empuk bersaiz queen itu. Kalau macam ini punya lembut tilamnya alamat tidur matilah aku jawabnya. Hmm…selesa sungguh. Bukan senang nak merasa duduk di hotel bertaraf 5 bintang ini. Baru nak melayan perasan dan tidur sambil tergolek-golek di tilam empuk ini suara deringan telefon menganggu anganku. Dengan malasnya aku capai telefon Nokia murah aku ini.

            “Buat apa?. Jangan nak bergolek sakan. Saya dah kat bawah. Tunggu awak untuk makan”. Terus badan aku tegak dari katil. Suara garau itu dah mula bising. Macam tahu saja aku sedang tergolek di tilam empuk ini.

            “Baik bos. 5 minit lagi saya sampai’. Terus aku matikan telefon. Automatik badan aku turun dari katil. Seminit saja aku tilik badan di cermin. Make up ala kadar, betulkan tudung bawal yang sudah kelepet. Ambil beg tangan. Terus menapak keluar dari bilik tidurku. Berat hati nak tinggalkan tilam empuk itu, tapi memikirkan aku datang sini atas urusan kerja bukan nak makan angin. Terpaksa aku melangkah turun ke lobi.

            Dari jauh aku sudah nampak kelibatnya yang sedang berdiri berdekatan kaunter receptionist. Kacak saja dia dari pandangannya mataku walau dia berpakaian santai saja.

            “Sorry bos. Terlupa pasal dinner malam ni.” Aku dah mengangkat sepuluh jari minta maaf. Terlupa sungguh yang dia ada minta aku turun lepas maghrib kerana hendak dinner sama-sama. Sedap punya pasal tergolek atas tilam empuk itu buat aku lupa pada temujanji yang telah dipersetujui petang tadi.

            “Hmm…jomlah!. Cuma satu saya nak pesan. Jangan bertengkar dengan saya masa makan nanti tau.” Aku sudah kerut dahi tak faham dengan pesanan bos.

Kenapa pulak aku nak bertengkar tak tentu pasal?. Tolak rezeki namanya. Dia senyum tengok aku yang berkerut dahi itu.

            “Tak akan dah lupa kut?. Dulukan awak bertengkar dengan saya. Tak ingat pada Bolognese Carbonara yang awak tinggal macam tu je tanpa jamah sikit pun. Malu saya tahu?. Ditinggalkan terkulat-kulat macam tu!”. Suaranya kedengaran dah meninggi sedikit. Aku pula menggaru kepala yang tidak gatal. Cuba nak tutup kenangan masam itu. Memang masam pun sebab dia yang mula dulu.

            “Kalau bos tak buat pasal macam hari tu. Tak akan saya nak bertengkar tak tentu pasal”. Mulut pula tak reti nak diam. Ada saja dia nak membalas. Spontan aku tutup mulut. Sedar dah terlepas kata. Mulanya muka dia serius. Takut juga kalau dia marah. Tapi lain pula sebaliknya. Tiba-tiba dah bertukar jadi senyum pula.

            “Nurin…Nurin…ada saja nak menjawab.” Balasnya menutup bicara saat kami sudah sampai di tempat makan.


            Rambang mata aku hendak memilih makanan yang dihidangkan secara buffet itu. Boleh kata semua jenis makanan orang Malaysia terhidang di situ. Ada masakan Melayu, Cina, India dan Barat pun ada. Memang class hotel ini. Nama pun hotel 5 bintang.

            Setelah mencedok makanan serba sedikit dan serba satu, terus aku menapak duduk di meja kosong yang menempatkan dua kerusi itu. Encik Luqman Hakimi masih lagi memilih menu yang hendak dijamahnya itu.

            “Sorry…sorang je. May I?”. Tiba-tiba ada suara yang mencelah dari arah belakangku. Terus saja aku memusingkan badan melihat ke wajah pemilik suara itu. Seorang lelaki  tegap dan berambut ala askar itu senyum pandang aku. Smart dan manis saja wajahnya.  Aku kerling pandang sekeliling restoran ini. Banyak lagi meja yang kosong. Kenapalah si mamat smart ni nak mengendeng sebelah aku?.

            “Err…sorry. Bukan tak sudi?. Banyak lagi meja yang kosong. Lagipun saya berteman”. Jawabku lembut. Sekadar hendak mengambil hati. Tak akan aku nak menengking pula dah si mamat smart tu cakap elok-elok dengan aku.

            “Ye ke? Opsst…sorry. Ingatkan sorang tadi. Ingatkan boleh temankan saya?”. Balasnya masih lagi senyum. Hmm…kalau nak banding senyuman si mamat smart ini, manis lagi senyuman si hotter guy. Sempat pula hati membuat perbandingan.

            “Ehem…ehem…”. Ada suara orang sakit kerongkong membuatkan perbualan aku dengan si mamat smart itu terganggu. Pantas mata kami menala ke arah empunya suara. Si Hotter Guy rupanya.

            “Apahal ye?”. Dia sergah dengan nada yang serius. Si mamat smart tu dah terkulat-kulat cuba nak kawal malu.

            “Sorry bro. Ingatkan tadi awek ni sorang. Nak minta dia temankan saya makan”.

            “Lain kali jangan main ingat-ingat. Kalau nak ushar pun, pandang-pandanglah dulu. Awek solo ke awek dah berpunya”. Hailah…garang juga si hotter guy ni. Main sembur ikut sedap mulut je. Bila masa pula aku jadi awek dia?. Aku pula yang terkulat-kulat. Mamat smart tu sudah angkat tangan mohon maaf. Kemudian dia menapak ke arah meja kosong yang setentang dengan kami. Aku terangguk-angguk dan senyum pada mamat smart itu sekadar ambil hati kerana kesian pula dia kena sound percuma dari bos aku yang kaya dan kerek ini.

            “Awak jangan memandai nak tayang sengih pada mamat tu”. Tiba-tiba aku pula yang diberi amaran tatkala punggungnya sudah terhenyak di kerusi berdepan dengan aku. Mati sengih aku pada mamat yang berada di meja depan.

            “Bos….tadi bos juga yang pesan jangan bertengkar semasa makan. Sekarang ni siapa yang provok siapa?”. Si hotter guy terdiam dengar ayat yang keluar dari mulut aku. Dulu pun kami bertengkar kerana dia yang mulakan dulu. Dia serius saja sambil menyuap nasi beriani ke dalam mulut. Aku pula sudah menarik muka. Terasa dengan sikapnya. Akhirnya kami menikmati hidangan dengan diam seribu bahasa.


            “Bos…kalau tak ada apa-apa lagi saya nak naik ke bilik dulu. Nak tidur.” Kataku setelah kami selesai makan. Dia masih lagi menikmati pencuci mulut sebagai hidangan terakhir yang dinikmatinya itu. Melihat dirinya yang tiada reaksi. Aku sudah menolak kerusi untuk bangun.

            “Duduk dulu!”. Arahnya. Tindakanku jadi terbantut. Tak jadi aku hendak bangun dari kerusi. Akhirnya aku perkemaskan dudukku dan mataku mencerlung memandangnya yang selamba saja makan tanpa mengangkat muka melihatku. Hish…rimas dan naik bosan jadinya meneman manusia yang kerek sentiasa ini!.

            “Nurin memang anak tunggal?”. Tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibirnya. Dia mengambil dan mengelap bibirnya dengan napkin yang terletak di sisi meja sambil tunak matanya merenung aku.

            “Ya”.

            “Mak dan ayah masih ada?”. Aku sudah berkerut dahi. Sesi temuduga lagikah?. Bukankah aku sudah melaluinya semasa memohon kerja di Berjaya Corporation. Kenapa nak disoal lagi?.

            “Kenapa bos nak tahu?. Saya rasa dalam cv saya semuanya dah jelas”. Balasku jengkel.

            “Saya nak tahu dari mulut Nurin sendiri”.

            “Mak masih ada, ayah saya tak tahu”. Jawabku malas. Dia kerut dahi tanda keliru.

            “Maksud Nurin?”.

            “Itu hal peribadi saya. Tak perlu bos nak tahu”. Akhirnya aku sudah berdiri. Malas nak bersoal jawab dengan bos mengenai hal peribadi aku. Lantas aku tinggalkan dia di meja makan dan berlalu pergi tanpa menoleh lagi. Biarlah kalau dia kata aku kurang ajar pada majikan. Memang aku tak ada hati nak bercerita hal peribadi aku pada orang kaya sepertinya. Aku tak mahu mereka bersimpati denganku. Lagipun orang kaya semuanya sama saja. Suka nak mengambil kesempatan pada orang miskin macam aku. 


            Menonong aku menapak ke arah pintu lif yang sedia terbuka itu. Tanpa melihat siapa lagi yang berada di dalam perut lif itu terus jariku menekan ke butang bernombor 7. Serentak itu ada tangan di belakangku yang menekan nombor yang sama.

“Sorry!”. Spontan pemilik suara itu meminta maaf padaku kerana tidak sengaja menyentuh jariku tadi. Aku angkat muka lihat pada gerangannya si pemilik suara garau itu. Macam pernah aku dengar sebelum ini.

“Eh…awak?”. Aku senyum pada mamat smart berambut ala askar itu. Dia balas senyumanku. Tak sangka boleh bertembung pula di dalam perut lif ini.

“Bilik kita sama level rupanya”. Dia menyambung kata-kata. Pintu lif terbuka, dan kami melangkah keluar bersama-sama.

“Mana pakwe awak?. Nanti tak pasal saya kena sembur lagi berjalan berdua dengan awek dia ni”. Katanya sambil mata tertinjau-tinjau mencari kelibat bos kerek aku.

“Ishkk…dia tu bukan pakwe saya. Tapi bos saya. Kami datang sini atas urusan kerja”. Balasku membetulkan tanggapan mamat smart ini. Tak kuasa aku nak jadi makwe bos kaya dan kerek itu.

“Oh…maknanya bolehlah saya tackle awek comel ni?”. Dia tutur begitu sambil ketawa. Aku hanya senyum. Seronok pula dipuji orang kerana comel. Perasan sekejap.

“Okeylah…awak. Saya dah sampai ni”. Aku mohon diri tatkala kaki sudah sampai di depan bilik hotel yang aku duduki ini.

“Seronok jumpa awak. Harap boleh jumpa lagi. Bilik saya kat hujung sekali”. Ucapnya sambil tangan menunjuk ke arah bilik yang berada di penghujung tingkat 7 ini.

“Minta diri eh…Asalammualaikum!”. Ucapku berdiri di depan muka pintu bilik.

“Waalaikumusalam”. Jawabnya. Kemudian dia melangkah pergi menuju ke biliknya. Aku memasukkan kad kunci lalu memulas tombol pintu. Lega rasanya bila ternampak tilam empuk di depan mata. Mata serta merta rasa berat. Namun memikirkan aku belum lagi menunaikan solat Isyak. Segera aku tanggalkan tudung yang menghiasi kepala lalu menuju ke bilik air.

Aku cuci muka dan gosok gigi. Wajah comelku terbias dicermin bilik air ini. Perasan sekejap bila aku lihat wajahku.

“Comel ke?.” Aku bersoal pada cermin.

“Perasan sungguhla Cik Nurin ni. Abang smart puji sikit dah lupa diri”. Aku menasihatkan diri pula.

“La…lupa pulak nak tanya apa nama abang smart tadi?”. Aku garu kepala yang tidak gatal.

“Sudah-sudahlah Cik Nurin oii…solat cepat jangan duk berangan ja”. Hati makin galak mengingatkan perintah yang belum aku tunaikan lagi. Segera aku mengambil wuduk untuk menunaikan solat pada Yang Esa.