Saturday, 28 September 2019

SAYANGKU MRS.CELIK BAB 4






Bab 4
            “Jane, lekaih pi bersiap. Pakcik nak bawa Jane pi hospital. Tengok abah Jane”. Encik Ismail yang baru balik dari mesyuarat JKK kampung terkocoh-kocoh memberitahu. Jane yang  sedang duduk berbual dengan Puan Ainon di ruang tamu segera bangun.
            “Pasai apa, pakcik?”. Soalnya kalut.
            “Ha, takpa. Jane pi bersiap dulu. Ainon pun sama. Jom kita pi hospital”.
            “Pasai apa, bang?”. Puan Ainon berbisik perlahan setelah melihat Jane masuk ke dalam bilik Ain Syuhada.
            “Hospital telefon tadi masa abang tengah mesyuarat. Wirat dah tak ada”. Muka Puan Ainon berubah. Mata menala ke arah bilik Ain Syuhada. Riak wajahnya sedih. Tak tahu bagaimana penerimaan Jane setelah mendapat khabar berita ini.
            “Kesian Jane, bang!”. Suara Puan Ainon bernada sendu.
            “Dah sampai masa, Non. Dahlah pergi bersiap. Abang tunggu kat bawah”. Beritahu Encik Ismail lagi.

            Jane pelik melihat Tok Penghulu Darus sudah menanti di hospital bersama dengan beberapa orang AJK kampung. Encik Ismail hanya beriak biasa, tetapi Puan Ainon sudah bergenang air matanya. Sedih memikirkan nasib Jane selepas ini.
            “Makcik…”. Jane pandang lama wajah Puan Ainon.
            “Pasai apa makcik sedih ni?”. Jane kalut menyoal. Janganlah ada sesuatu perkara yang tak elok berlaku. Tetapi akalnya cepat saja memproses apabila melihat situasi orang yang menunggu di hospital ini.
            “Abah…abah…abah”. Jane terketar-ketar menyeru panggilan untuk Wirat.
            “Abah Jane, pakcik”. Jane tarik tangan Encik Ismail yang masih beriak tenang itu.
            “Abah Jane?”. Sambung Jane dengan pandangan tanda tanya melihat wajah Encik Ismail. Air mata sudah bergenang.
            “Sabar Jane. Allah lebih menyayangi abah”.
            “Makcik, abah Jane dah tak ada”. Jane menangis semahunya. Puan Ainon memeluk kejap tubuh Jane. Dia ikut menangis kerana sedih memikirkan untung nasib gadis sunti itu.
            “Sabar, Jane. Makcik ada ni. Jane kena kuat,kena tabah”. Puan Ainon terus memujuk. Luluh hatinya mendengar suara sayu Jane menangis hiba.
            “Makcik, Jane dah yatim piatu”. Jane terus mengongoi kesedihan.

            Encik Ismail mendapatkan Tok Penghulu Haji Darus yang sedang berbual dengan AJK kampung untuk menyelesaikan masalah arwah Wirat itu.
            “Macam mana Tok hal Wirat ni?”. Soal Encik Ismail bimbang.
            “Tak apa. Pihak hospital akan selesaikan urusan mandi dan kapan jenazah. Nanti kita bawa balik kampung untuk solat dan kebumikan arwah”. Terang Tok Penghulu panjang lebar. Riaknya tenang sahaja. Mungkin sudah biasa mengendalikan hal seumpama ini.
            “Ya , tok. Hal Wirat tu saya tak kisah sangat. Tapi hal si Jane ni, macam mana?. Si Wirat ni langsung tak ada sedara mara ka?”.
            “Tok dah hantaq orang pi Napoh. Dengar cerita arwah Wirat tu orang sana. Mungkin sedara mara dia masih ada lagi.” Encik Ismail hanya mengangguk tanda faham.
            “Tapi, buat sementara waktu ni hang kena jaga dululah budak Jane tu. Kalau tak jumpa sedara mara dia, nampaknya kena serah pada Jabatan Kebajikan Masyarakatlah pulak.” Sambung Tok Darus lagi.
            “Kalu tak jumpa jugak keluarga dia, kami ingat nak buat Jane anak angkatlah”. Encik Ismail mengusulkan cadangan.
            “Baguih tu, tapi kena mohon kat JKM.”
            “Yalah, kami usaha”.

            JANE terkaku di atas tikar mengkuang mengadap kubur Wirat yang sudah ditimbus sedikit demi sedikit. Hatinya walang kerana memikirkan diri yang keseorangan di dunia ini.
            “Abah, Jane tak nak hidup lagi. Jane nak mati!”. Mulutnya merintih kesedihan, merintih kesayuan.
            “Sabaq Jane, ingat Allah.” Puan Ainon memeluk kejap tubuh gadis sunti itu. Luluh hatinya mendengar Jane merintih sedih. Sebak rasa hati kerana memikirkan gadis sekecil ini terpaksa menghadapi dugaan yang besar.
            “Jane kena selalu sedekahkan Al-Fatihah untuk abah, untuk mak. Baca Yassin untuk depa, supaya depa tenang kat sana. Bukan Jane sebut yang bukan-bukan, nak”. Puan Ainon menitipkan nasihat seraya mengusap perlahan belakang Jane. Puas dia memujuk supaya gadis kecil itu terus tabah, terus kuat untuk menghadapi ujian daripada Ilahi.
            “Makcik, Jane tak dak sapa-sapa dah.” Jane terus merintih.
            “Jane tak leh cakap macam tu. Jane kena ingat, Allah tu ada. Jane ada makcik, ada pakcik. Makcik akan jaga Jane, sayang Jane macam makcik jaga dan sayang  anak-anak makcik”. Puan Ainon terus memujuk. Badan Jane terus dipeluk dengan kejap dan erat supaya rasa sedih yang bermukim di hati Jane dapat diluruhkan dengan segera.
            Selesai sahaja bacaan talkin ditamatkan, semua orang yang berada di tanah perkuburan mula beransur balik. Tok Darus dan Encik Ismail bersalaman dengan tok imam serta AJK masjid sebelum mereka minta diri.
            “Tok pun minta diri dulu. Dah lewat petang ni. Nak tengok cucu tok tu dah ada kat rumah ke belum. Anak Mus tu pun boleh tahan budaknya. Kalau tak ditengok, merambu mana hala pula pun tak tau”. Tok Penghulu Haji Darus pula minta diri.

Hari pun dah lewat petang. Risau pula memikirkan Aidil Zafran di rumah. Cucunya itu kena dipantau selalu kerana kedegilan dan kenakalannya itu. Mustafa sudah tak dapat membendung kenakalan anaknya yang suka merempit di bandar, sebab itu Aidil Zafran dihantar ke kampung untuk Tok Darus tengok-tengokkan. Mungkin dengan berada di kampung, Aidil Zafran dapat dibentuk oleh ayahnya pula.
“Yalah.” Encik Ismail sambut huluran salam Penghulu Haji Darus sebelum orang tua itu berlalu pergi.
“Non, jom kita balik. Ain kat rumah sorang-sorang tu. Muaz jom balik”. Encik Ismail ajak isteri dan anaknya Muaz balik. Ain Syuhada di rumah keseorangan. Dia tidak dapat ikut ke kuburan kerana uzur.
“Jane, jom balik”. Puan Ainon memapah Jane untuk segera bangun. Lambat-lambat Jane bangun. Kakinya sudah terasa lembik untuk berdiri lagi. Sayup rasa hati untuk meninggalkan abahnya di situ.
“Makcik, abah…”. Jane pandang sejenak pada kuburan Wirat.
“Jom kita balik, Jane. Nanti kita mai balik”. Puan Ainon memujuk lembut. Bahu gadis kecil itu dipeluk kejap. Jane terus berjalan, sekejap-sekajap dia toleh pandang pada kuburan Wirat seolah-olah berat untuk meninggalkan tempat itu.
“Sabaq na”. Encik Ismail pula memujuk. Kasihan melihat gadis kecil itu. Sudahlah yatim piatu, sebatang kara pula di kampung ini.

SAYANGKU MRS.CELIK BAB 3





Bab 3

            “Hei, capik!. Jangan ingat nak makan tidur ja. Sedaq diri sikit hang tu hidup menumpang.” Muaz yang memerhati Jane sedang duduk di pangkin kayu bawah pohon mempelam menyergah. Jane yang sedang melayan perasaan terus melatah kerana terkejut.
            “Hui…ngok ngek betuilah!”. Besen yang berisi nasi basi untuk diberikan kepada ayam itik peliharaan Encik Ismail sudah elok telungkup di atas kepala Muaz.
            “Hey, malaun betuilah. Habis muka hensem aku!”. Muaz menyinga. Geram betul. Dia nak kenakan si Jane, balik-balik dia juga yang terkena. Nasi basi yang busuk dan melekit itu melekat setepek di atas kepalanya. Habis ranap rambut cacak yang disapu pomade itu.
            “Padan muka. Kena tulah awek Siamlah. Berani hang panggil aku capik!”. Prija Jane sudah mencerlung matanya. Pantang betul orang menghina kekurangan yang ada pada dirinya. Dia tak minta untuk menjadi capik. Kemalangan itu telah membuatkan dia cacat untuk selamanya.
            “Capik, capik, capik!”. Muaz terus menyeru perkataan itu berulang-ulang. Sakit hati punya pasal, yang menjadi pantangan Jane itu diseru-seru sekuat hati. Prija Jane yang baru sudah melayan perasaan sedih terus menerpa ke arah Muaz. Stres betul kerana ketenangannya diganggu.
            Rambut cacak Muaz yang ranap itu ditarik kuat. Menyeringai Muaz menahan sakit. Kuat juga penangan anak Siam ini. Namun Muaz tidak mahu mengaku kalah. Dia tendang kaki Prija Jane sekuat hati. Kasihan gadis sunti itu, kakinya yang capik itu menjadi mangsa tendangan Muaz. Sudahlah kaki itu belum sembuh sepenuhnya walau sudah setahun kemalangan itu berlalu.
             Jane jatuh terduduk. Dia memegang kaki kirinya  sambil menjerit kesakitan.
“Mak, sakit!,” jerit Jane sekuat hati. Perkataan itu saja yang mampu disebutnya. Mak panggilan keramat yang amat dirindui. Muaz yang memerhati Jane merintih kesakitan itu tergamam. Tak sangka tindakan yang bermula sekadar usikan itu menjadi serius.
“Awatnya Jane?”. Puan Ainon meluru keluar apabila melihat Prija Jane menjerit kesakitan. Muaz sudah lama melarikan diri. Tak mahu menunggu lagi. Bukan dia tak tahu sifat garang Puan Ainon. Mahu patah riuk pinggangnya dibalun Puan Ainon nanti.
“Kaki Jane, makcik. Sakit!”. Air mata sudah meluru keluar membasahi pipi. Puan Ainon segera melutut. Kaki kiri Jane ditilik dengan mata kasarnya. Sesekali dia mengurut perlahan.
“Jangan makcik, sakit”. Jerit Prija Jane. Puan Ainon jatuh simpati.
“Pasai apa kaki Jane ni?”. Puan Ainon membangunkan Prija Jane lalu memapahnya masuk ke dalam rumah.
“Ain…Ain…!”. Jerit Puan Ainon pula.
“Ambik minyak panas. Mak nak urut kaki Jane ni!”. Arah Puan Ainon lagi. Ain Syuhada yang mendengar suara petir Puan Ainon segera bangun daripada meja belajarnya itu. Minyak panas yang diminta Puan Ainon segera diambil dalam peti pertolongan cemas yang terdapat di dapur.
“Awat Jane?”. Soal Ain Syuhada apabila melihat Jane sedang tersedu-sedu menangis kerana tak tahan sakit.
“Jane jatuh, kak Ain. Masa nak bagi makan ayam, Jane tersadung akar pokok”. Bohong Jane menutup kejadian sebenar. Tak akan dia hendak memberitahu semua ini angkara Muaz. Sudahlah dia menumpang sementara di sini. Seeloknya dia harus sedar diri dan pandai menjaga hati keluarga yang menjaganya ini.
Ain Syuhada mengerut kening. Rasa tak percaya saja cakap Jane, sebab tadi dia dengar dengan jelas suara Muaz menghina Jane dengan panggilan capik.
“Bukan Mu…”
“Jane jatuh, kak”. Terus Jane potong cakap Ain Syuhada.
“Sakit Jane?”. Soal Puan Ainon sambil memicit kaki Jane.
“Kalau sakit bagitau, nanti makcik suruh pakcik bawa kamu pi hospital”. Belas pula Puan Ainon melihat muka Jane terkerut-kerut menahan sakit.
“Tak pa, makcik. Nanti kuranglah sakit tu. Terima kasih makcik. Pandai makcik urut”. Puji Jane mengambil hati. Puan Ainon senyum. Suka mendengar pujian daripada Nuraisya Prija Jane. Anak ini memang pandai mengambil hati orang tua dan membawa diri. Sepanjang Prija Jane di sini, rajin betul dia menolong Puan Ainon. Tak padan dengan kakinya tempang, laju saja dia membuat kerja-kerja rumah.
“Mana Muaz?”. Soal Puan Ainon. Pelik pula kerana cuti hujung minggu ini langsung dia tak nampak bayang Muaz.
“Pi bendang, tangkap ikan”. Ain Syuhada beralasan. Sebenarnya tak tahu kemana adik bongsunya itu menghilang. Setahunya sejak Prija Jane ada di rumah mereka, Muaz sering tak lekat di rumah. Mungkin tak suka dengan anak Siam ini yang menjadi saingan Muaz di dalam kelas. Ain Syuhada tahu sangat kerana Muaz selalu bercerita pasal Prija Jane yang menjadi kesayangan guru dikelasnya sampai Muaz rasa cemburu.
“Okey dah ka, Jane?”. Puan Ainon menyoal lagi. Laju saja Jane mengangguk.
“Ain, hang bawa Jane masuk bilik. Suruh dia rehat”.
“Eh, tak palah makcik. Jane okey dah ni”. Segan pula nak disuruh berehat sedangkan tuan rumah sibuk di dapur.
“Isy..pi lah berehat. Jane tu banyak dah tolong makcik. Ain, bawa Jane masuk bilik”. Arah Puan Ainon lagi. Ain Syuhada tanpa bunyi terus memapah Jane masuk ke dalam bilik mereka.
“Pelan-pelan jalan na”. Lembut Ain Syuhada membawa Jane masuk ke bilik. Setelah mendudukkan Jane di birai katil, Ain Syuhada terus menyoal.
“Tadi Jane gaduh dengan Muaz kan?. Kak Ain dengar suara hangpa gaduh dari tingkap tadi.
“Errr…” Nuraisya Prija Jane kelu untuk berbicara.
“Kak tau masalah hang dengan Muaz. Semua ni pasal cemburu. Muaz cemburu kat hang, Jane”. Terang Ain Syuhada senyum. Jane hanya mendengar dengan muka tanpa perasaan.
“Nak cemburu apanya, Kak Ain?. Jane ni capik. Serba kurang”. Balas Jane merendah diri.
“Jane,”. Seru Ain Syuhada lembut seraya mengelus  tangan Jane.
“Dalam dunia ni tak ada manusia yang sempurna. Yang sempurna hanya Allah. Jadi kita tak perlu nak rasa rendah diri sangat nak banding dengan orang lain. Yang penting kita bangkit cari kekuatan diri untuk atasi kekurangan yang kita ada”. Nah, serupa pakar motivasi Ain Syuhada menitipkan nasihat buat Nuraisya Prija Jane, anak pakcik Wirat yang menjadi sebahagian kecil keluarganya ini. Jane sudah tersenyum melihat gelagat comel Ain Syuhada itu.
“Macam Kak Ain, selalu orang ejek anak gajah, badak, mawas. Tapi Kak Ain positif ja”. Ain Syuhada terus bercerita dengan senyum manisnya. Teringat pada pelajar senior di sekolahnya itu. Aidil Zafran Mustafa cucu Tok Penghulu Haji Darus yang suka mencari pasal dengannya. Semuanya berpunca gara-gara dia repot sikap buruk Aidil Zafran menghisap rokok di belakang bangunan makmal tempoh hari. Sejak itu, mereka berdua seakan musuh yang langsung tak boleh bersua muka. Ada saja yang tak kena.
Jane melarik senyum panjang. Rasa lega mendengar nasihat daripada Ain Syuhada. Ya, dia perlu positif selalu. Tak perlu menganggap kecacatan pada kakinya sebagai satu kekurangan sebaliknya itu adalah satu anugerah dari ALLAH.