Thursday, 27 June 2013

Mr.HOtter GUy Bab 15

Bab 15

“Zaimah…maafkan abang. Jangan tinggalkan abang”. Tan Sri Hisyam sedang meracau menyebut nama Zaimah. Berulang kali dia mengulang ayat yang sama. Puan Sri Khalida yang sibuk membaca majalah MIDI itu tersentak pembacaannya kerana terkejut mendengar nama Zaimah di sebut si suami.

“You…you…bangun!. Apahal pulak yang meracau-racau menyebut nama perempuan tu?”. Suara Puan Sri Khalida sudah meninggi. Sakit hatinya kerana nama itu juga yang disebut si suami. Sudahlah seharian dia menjadi penunggu di sisi Tan Sri Hisyam. Banyak masa terbuang menemani si tua yang tidak tahu dek untung ini. Banyak masa untuk berlibur dengan teman-teman di kelab terbazir begitu saja gara-gara menjadi penunggu di hospital ini. Alih-alih nama Zaimah juga yang meniti di bibir Tan Sri Hisyam.

Perlahan-lahan Tan Sri Hisyam membuka kelopak matanya. Terpandang wajah Puan Sri Khalida yang menyinga itu. Tiada langsung sekelumit senyuman buat si suami yang terbaring kesakitan itu.

“Kalau I tahu perempuan tu juga yang you ingat. Tak ingin I nak temankan you”. Dia merengus. Tan Sri Hisyam hanya melongo. Sedar diri sudah keterlaluan menyebut nama Zaimah. Namun dia bukan sengaja. Semuanya berlaku di bawah minda sedar. Tidak dapat dikawal dengan akal.

“Zaimah tu dah lama masuk lubang kubur. Kenapa dia juga yang awak ingat. Apa kurangnya I pada you, Hisyam?”. Tanpa peduli si suami yang masih terbaring lemah. Puan Sri Khalida sudah memuntahkan amarahnya. Sudah lama dia bersabar. Sudah berpuluh tahun dia menyulam derita.

Tan Sri Hisyam terdiam. Tiada daya untuk berbalas kata dengan isterinya itu. Bukan sengaja dia mahu melukakan hati Puan Sri Khalida. Tiba-tiba sahaja ingatannya terimbas pada Zaimah isteri keduanya itu.

“Tak ada gunanya I jadi penunggu di sini. Kalau dia juga yang you ingat. Serulah nama dia puas-puas. Biar dia bangun dari lubang kubur tu”. Puan Sri Khalida sudah berang. Dia mengambil tas tangan yang terletak di meja kopi. Dia menghayun langkah untuk segera keluar dari bilik yang dihuni sang suami itu. Dihempas pintu sekuat hati tanda marah yang bukan dibuat-buat. Tan Sri Hisyam hanya memandang beku. Diri benar-benar rasa bersalah kerana tanpa sengaja dia telah melukakan hati Puan Sri Khalida.



“SAKIT hati I tau tak?. Sehari suntuk I temankan dia. Alih-alih bila sedar nama Zaimah juga yang disebut”. Puan Sri Khalida menyampaikan rasa tak puas hati pada Datin Shima kawan baiknya itu. Kemudian dia meneguk fresh orange yang sedia terhidang di depan mata.

“Sabar Ida!”.

“Huh…sabar…sabar. Apa lagi yang kurangnya I?. Perempuan tu dah lama mati pun diingat-ingat lagi”.

Datin Shima tidak terkata. Dia mengenggam tangan Puan Sri Khalida supaya bersabar.

“Kalau tak pasal Luke. Dah lama I minta cerai”.

“Hish…you ni!...Ke situ pulak. Dah bertahun-tahun bersabar. Boleh pula sekarang ni you nak bercerai berai”. Datin Shima sudah menempelak.

“I tahulah dia kahwin dengan Zaimah dulu pasal nak buktikan yang dia tu tak mandul. I sedar tu. Memang salah I kerana selalu cabar dia. Tak sangka pula dia pilih si Zaimah tea lady yang low class tu buat madu I. Hish…bila ingat hal-hal lama. Memang I sakit hati”.

“Sabar Ida. Itulah I pun tak sangka Hisyam boleh duakan you. Elok-elok you dah ambik Luke sebagai anak angkat. Dia pasang cawangan lain pulak. Ingatkan dia bersyukur je bila dah ada Luke”.

“I pasti si Zaimah tu yang goda laki I. Berangan nak hidup senang. Dia ingat boleh kalahkan I macam tu je. Terimalah habuan. Tak pasal masuk lubang kubur”. Datin Shima tidak terkata. Dia hanya memandang sepi wajah Puan Sri Khalida yang masih berang itu. Dalam hati dia hanya mengucap syukur. Mujur bukan dia yang berada di tempat Puan Sri Khalida. Sudahlah mandul, suami pula buka cawangan baru dengan staf pejabat. Dah 2 tahun berkahwin baru rahsia terbongkar. Kalau dia di tempat Puan Sri Khalida pun memang dia makan hati.

“Hmm…Luke tahu yang selama ni dia cuma anak angkat?”. Soal Datin Shima setelah lama dia membisu. Puan Sri Khalida berhenti dari meneguk fresh orange. Dia pandang wajah teman baiknya itu. Kemudian dia menggeleng.

“Sampai sekarang kami rahsiakan perkara tu. Sebab tu Luke berbinkan Abdullah Hisyam, walaupun nama Hisyam tak ada Abdullah. Sengaja I letak macam tu. I tak nak Luke kecil hati. Sampai mati pun Luke tu tetap I anggap anak kandung kami, walau bukan I beranakkan dan susukan dia”. Balas Puan Sri Khalida sedikit sebak.

Datin Shima menarik nafas kelegaan. Nampaknya harta kawan baiknya itu tak akan kemana. Jadi milik Luqman Hakimi juga. Tan Sri Hisyam mana ada anak lain lagi. Dengan Zaimah, tak sempat anaknya nak lihat dunia. Meninggal bersama-sama Zaimah. Jauh di sudut hati, Datin Shima amat berharap dan pastikan Luqman Hakimi itu bakal menantunya. Budi harus dibalas.

“I harap you kotakan janji. I nak Luke jadi menantu I”.

“I janji. Lagipun I tak akan lupakan budi you. Kalau tak kerana idea you dan susah payah you bersama I. Tak mungkin jasad Zaimah dalam  kubur sekarang ni”.




ZAIMAH hanya memerhati tubuh tua ayahnya sedang menabur biji jagung buat santapan sekawan ayam dan itik di dalam reban yang dikelilingi pagar jala itu. Tunak matanya memaku pada tubuh tua ayahnya namun fikirannya melayang entah ke mana. Sesekali dia mengeluh. Kemudian dia menarik nafas semula.

Pak Yunus yang sibuk memberi makan ayam itik, terhenti sekejap kerjanya apabila mendengar anak perempuan kesayangannya itu mengeluh. Kemudian dia mengorak langkah menuju ke arah Zaimah yang duduk bersimpuh di pangkin bawah pokok rambutan gading itu.

“Pasai apa Mah?. Semenjak balik dari Kolumpo…ayah tengok hang tak ceria. Ada yang tak kena ka?”. Soal Pak Yunus lalu  duduk bersila di sebelah Zaimah. Air kopi yang terhidang di dalam cawan  itu diteguk perlahan.

“Ayah tau, Mah jumpa sapa kat Kolumpu nun?”. Balas Zaimah sedikit kusut. Pak Yunus hanya menggeleng. Kemudian dia mengambil pula cekodok pisang lalu disuap ke dalam mulut.

“Mah jumpa Hisyam, ayah”. Terkejut Pak Yunus. Terbatuk-batuk lelaki tua itu kerana tersedak cekodok yang dimakan.

“Habis tu, dia nampak hang?”.

“Mah…takpastilah ayah. Masa tu Mah tengah tunggu teksi. Mak terperasan ada lelaki turun dari kereta mewah di seberang jalan, terjerit-jerit panggil nama Mah. Terus Mah lari dari dia, ayah.”

 “Mah…mah…sampai bila nak lari dari kenyataan?. Lambat laun Hisyam tahu juga yang kau masih hidup”. Balas Pak Yunus perlahan.

“Biarlah ayah. Biarlah Abang Hisyam fikir saya dah mati. Saya tak sanggup nak bersemuka dengannya. Dengan apa yang dah kita lalui Mah jadi takut, ayah”. Ucap Zaimah seraya mengelap air mata yang sudah luruh dengan hujung lengan baju kurung Kedah.

“Mah…sampai masa kita tak boleh nak sembunyikan keadaan. Kelak, kalau Nurin nak bernikah, kita kena cari siapa walinya. Sampai bila kita nak rahsiakan hal Hisyam pada Nurin?”.

“Ayah boleh jadi walinya. Tak perlu Hisyam”.

“Kalau pun ayah jadi walinya. Hisyam patut tahu yang dia ada anak. Nurin patut tahu yang dia ada ayah”. Pak Yunus bernada tegas.

Sudah berpuluh tahun mereka hidup menumpang di bumi Kedah ini. Selepas peritiwa kebakaran rumah mereka di Selangor atas perbuatan khianat Khalida. Pak Yunus dan Zaimah terpaksa melarikan diri ke Kedah. Tak sesiapa pun tahu yang mereka terselamat dalam kebakaran itu. Mujurlah dengan wang pencen askar milik Pak Yunus mereka dapat membeli tanah dan membuka lembaran baru di tempat orang.

“Mah…tak nak fikir semua tu.” Zaimah sudah bangun dari tempat duduknya. Dia mengambil bekas makanan yang berisi jagung itu. Kemudian dia mengambil alih tempat ayahnya pula memberi ayam itik makan. Pak Yunus tidak terkata. Dia hanya menggeleng sahaja melihat tingkah anaknya itu. Sudah 25 tahun masa berlalu. Hidup Zaimah disia-siakan begitu sahaja kerana seorang lelaki bernama Hisyam. Di gantung tak bertali. Semuanya gara-gara dia tak mahu Hisyam tahu yang dia masih hidup.


Mr.Hotter Guy Bab 14

Bab 14
“Mak!”. Terjerit aku dibalik pintu tatkala wajah emak di depan mata. Seeratnya aku peluk kejap tubuh kurus langsing itu di depan mata.

“Kalau ye pun, bagilah mak masuk dulu. Ishkk…buat malu kat orang duk peqati ni”. Zaimah menepuk manja belakang tubuh anak kesayangannya itu.

“Eh…masuklah mak”. Terus aku mempelawa emak masuk ke rumah. Sebenarnya riak terkejut dan tak percaya masih berlegar dalam kepala otakku ini. Macam mimpi pun ada bila lihat tubuh mak terjengul di balik pintu rumah sewaku ini.

“Shira!”. Terjerit aku memanggil Shira yang baru membersihkan diri selepas balik dari majlis kesyukuran tadi.

“Ishkkk…anak dara ni. Suara tu perlahanlah sikit dah serupa tarzan. Terjerit-jerit”. Pantas aku menutup mulut kerana tersedar ketelanjuran diri. Depan emak memang aku kena jaga kesopanan dan kesusilaan. Kalau tidak pasti berbulu telinga menahan omelan. Emak!...kalau bab-bab kesopanan memanglah amat dititiberatkan. Hanya aku saja yang tak berapa nak praktik amalan emak ini.

“Sihat makcik?”. Shira keluar dengan bertshirt dan berseluar panjang dari arah bilik. Kemudian dia menyalam emak.

“Sihat”. Balas emak sambil tersenyum.

“Mak..duduklah dulu. Nanti Nurin buat air”. Pantas aku mengambil beg yang dijinjit emak lalu mahu dibawa masuk ke bilik.

“Biarlah aku buat. Kau berbuallah. Mesti ada banyak benda nak cerita”. Shira mengambil beg dalam pegangan aku. Lantas aku tersenyum. Syukurnya dapat kawan baik yang begitu prihatin.

“Hmm…rindunya. Tok wan sihat mak?”

“Sihat..tok wan kirim salam”. Balas emak.

“Lawa-lawa ni balik dari mana?”. Soal emak bila lihat aku yang masih berdress labuh itu. Oh…baru terperasan. Aku belum mandi lagi sejak balik dari majlis tadi.

“Tempat Nurin kerja buat majlis kesyukuran. Ni pun Nurin baru balik. Tak sempat nak mandi lagi”.

“Macamana kerja? Okey?” Soal emak lagi.

“Alhamdulilah mak. Okey. Nurin kerja kat Berjaya Corporations. Jadi secretary”. Jawabku bersahaja. Emak kerut dahi bila dengar aku sebut Berjaya Corporations.

“Kenapa  mak?”. Aku pula yang soal penuh tandatanya bila tengok airmuka emak yang berubah riak itu.

“Tak ada apa aih”.

“Bila Nurin nak balik Kedah. Dah dapat kerjakan?Dulu kata tak nak balik sebab tak dapat kerja yang sesuai.”

“Nantilah mak. Nurin baru kerja 2 bulan. Seganlah nak minta cuti”.

“Nurin dah ada yang istimewa?”. Aku kerut kening bila dengar soalan cepumas dari emak. Ish…kenapa tetiba pulak ni?.

 “Hai…mak…tetiba keluar soalan cepumas ni?”

“Kalau tak ada... Inilah sebab yang mak datang jumpa Nurin. Kalau nak harap Nurin balik kampung. Alamat tertunggu-tunggu orang kat sana jawapan dari Nurin”. Aku tenung emak dengan liur yang pahit untukku telan. Tak akan ada orang masuk meminang kot.

“Kalau ikutkan buat masa sekarang. Nurin kosong lagi makcik. Tapi adalah kat pejabat sana orang dah mula mengayat anak makcik ni”. Shira sudah menyampuk dengan sengihnya sambil menatang air buat emak. Nak saja aku ketuk kepala makcik ini yang tetiba mencelah tanpa sempat aku menjawab soalan dari emak.

“Siapa Shira?”

“Mak ni..jangan dengarlah cakap Shira tu…semua tak boleh pakai”. Cepat-cepat aku menyangkal.

“Ada makcik. Bos Nurin”. Balas Shira. Serentak itu ketam aku sudah melekat dipinggangnya. Terjerit Shira dibuat aku.

“Betul Nurin?”.

“Tak adalah mak. Shira buat cerita je tu”.

“Mak ni bukan apa Nurin. Mak tak nak anak mak ada hubungan dengan orang kaya. Mak tak suka”. Tegas sekali suara emak dipendengaranku. Shira dan aku terdiam. Tak sangka emak masih lagi terbawa dengan kisah hidupnya yang penuh derita itu.



LUQMAN HAKIMI baring menelentang di atas katil bersaiz king itu. Mata masih melekat merenung syiling. Kata-kata Andrea berlegar-legar dibenaknya. Tak mungkin dia mahu meleburkan terus misi mengorat cik adik sayang itu. Gadis itu terlalu istimewa di matanya. Teringat renungan manja gadis itu tatkala mata mereka bertentangan tadi. Hailah…cair aku macam ni!. Dia memegang dada yang kuat berdendang.

Apa kaedah yang perlu dibuat supaya gadis itu melutut dikakinya?. Kalau setakat praktik kaedah pertama dan kedua yang dibincang dengan Mokhtar tempohari rasanya terlalu lambat untuknya merealisasikan misinya itu. Hmm..apakata terus ke kaedah yang ketiga…tiba-tiba dia mengukir senyum. Dalam kepala sudah melakar beberapa agenda untuk menjayakan misi mengorat cik adik sayang sebelum dateline tamat. Dia ketawa pula.

“Andrea…jangan mimpilah kau akan menang”. Dia bingkas bangun dari katil. Tangan terus mengambil lappy lalu mengakses maklumat hotel yang diperlukan.

‘Lepas ni Cik Nurin…tak ada alasan dah nak lari dari aku’. Dia bermonolog pula sambil mulut tersenyum herot. Dalam kepala mula membayangkan adegan-adegan yang tak pernah diimpikan. Hmm….mr.hotter guy…langgar pantang nampak. Bukan setakat stok pandang-pandang dan pegang-pegang lagi. Tapi dah melanggar batas sempadan ni. Hati memberi amaran, namun dia buat bodoh. Janji cik adik sayang tak akan lari dari genggamannya lagi.



“HENSEMLAH mamat ni?”. Shira menilik foto bersaiz poskad itu di telapak tangannya. Aku sekadar menjeling. Emak pula sudah pulang semalam. Datang mengejut balik pun mengejut. Tak nak berlama-lama di sini walaupun puas aku tegah. Macamlah ayam itik di kampung mati kebuluran kalau setakat 2, 3 hari emak melepak di rumah aku.

Katanya kesian tok wan tak ada orang nak jaga makan minum. Ala…kedai MJ Makcik Bedah tu kan boleh sponsor tok wan makan setakat 2, 3 hari. Tapi emak…macam-macam aku bagi alasan ada saja jawapan untuk mengelak berlama-lama  dirumah sewaku ini. Kekadang aku rasa emak macam nak lari dari seseorang yang dia kenal di KL ini. Aku pula yang binggung memikirkan masalah emak.

“Kau nikan Shira…tak habis-habis dengan hensem. Macamlah kenyang”. Aku mengulas. Shira tak habis dengan menilik gambar mamat yang berada dalam genggamannya itu.

“Kalau akulah…hmm..tak payah fikir. Terus terima. Pilot airforce ni…Kapten Shahril Aiman bin Saidin…Aiman tak kisah!” Shira sempat pulak buat lawak dengan menyebut tagline ‘Aiman tak kisah’.

 Aku merebut foto dalam genggaman Shira. Nak juga aku tilik betul-betul wajah lelaki itu. Bakal tunangan aku. Itupun kalau aku terima dengan sebulat hati. Namun hatiku masih berdolak dalik. Bayangan bos terlayar di mataku. Adegan di majlis tempohari terlayar diruangan mata.

‘Poyo Nurin…poyo!’. Aku disedarkan dengan kata hati. Mata merenung gambar di dalam peganganku.

‘Hensem lagi si hotter guy’. Tanpa sedar aku sudah membandingkan lelaki ini dengan Luqman Hakimi. Nurin Kamila…jangan cari penyakit. Ingat!...Puan Zaimah tak suka dengan orang kaya-kaya ini. Kata-kata emak terdengar-dengar di cuping telingaku. Akhirnya aku bangun lalu masuk ke bilik. Gambar Kapten Shahril Aiman atau ‘Aiman tak kisah’ aku letak di dalam laci almari. Hati dah membulat dengan tekad.

“Maaflah Kapten Shahril Aiman. Nampaknya kita tak ada jodoh”. Aku putus begitu. Rasanya masih terlalu awal untuk aku berumah tangga. Kerjaya aku baru bermula. Jasa dan pengorbanan emak dan tok wan masih belum puas aku balas. Soal jodoh masih terlalu jauh untuk aku fikirkan lagi.



Friday, 21 June 2013

Mr.Hotter Guy Bab 13

Bab 13
“Sudah-sudahlah Andrea. Lemas I dengan rangkulan you. Luqman Hakimi sudah merenggangkan pautan tangan Andrea dilengannya itu. Andrea menghentak stiletto rona pink kerana marah dengan tindakan Luqman Hakimi.

            “Tadi bukan main you suka I pegang dan himpit you. Kenapa dah kat luar ni you buat I macam kucing kurap pulak?”. Andrea meninggi suara. Sakit hati kerana dilayan serendah itu oleh Luqman Hakimi.

            “Tadi I berlakon je. I nak dia cemburu”. Balas Luqman Hakimi. Andrea sudah tergelak. Rasa lucu pula mendengar kata-kata lelaki di depannya itu.

            “I rasa you akan kalah tak lama lagi Luke. Terima hakikat. you tak akan boleh lari dari I. you akan jadi milik I jugak”. Andrea bernada angkuh.

            “Masih ada 4 bulan lagi. Masa masih panjang. I tak akan menyerah sebelum mencuba”. Luqman Hakimi membalas yakin. Andrea memeluk tubuh. Kemudian dia mencebik. Benci mendengar kata-kata yakin dari mulut Luqman Hakimi.

            “ I tak nampak pun dia cemburu. Dia tak ada perasan pada you. I pasti, you bakal kalah Luke”.

            “No..never”.

            “Kalau you menang pertaruhan ini pun. You fikir mama you akan dengar cakap you. Mama you nak I jadi menantu dia. Jadi isteri you. Come on Luke. Kita hentikan saja permainan ni”.

            “Never. You yang mulakan. Biar I yang tamatkan. Soal mama I..biar I yang tentukan. You fikir?. I satu-satunya anak yang dia ada. Dia nak ikut kehendak you ke atau I…anak kesayangan dia?”. Luqman Hakimi juga tidak mahu kalah berdebat dengan Andrea. Sakit hatinya kerana Andrea mahu tamatkan permainan ini sedangkan dia berkobar-kobar hendak menyudahkan misi mengorat cik adik sayang.

            “Dengar cakap I. You bakal kalah Luke”. Andrea masih tidak berputus asa. Dia cuba memujuk lelaki itu untuk menamatkan permainan yang dimulakannya itu.

            “Shut up. I rimaslah. I nak masuk dulu. Rimas dengar you membebel”. Balasnya lalu mengorak langkah masuk ke dewan semula. Andrea menarik muncung. Nampaknya dia gagal memujuk lelaki itu. Dia pejam mata. Cuba mengusir rasa sakit hati. Tiba-tiba dia senyum.

            “Hmm…kalau dia aku gagal pujuk. Yes…si salesgirl kampung tu tentu termakan hasutan aku”. Dia petik jari. Seolah mendapat idea yang bernas. Dia senyum lalu ketawa. Kemudian langkah diatur masuk semula ke dalam dewan.
           

            SAAT kereta Merc itu berhenti di persimpangan lampu isyarat, Tan Sri Hisyam menjengah keluar cermin kereta. Mata seakan terpaku melihat kelibat seorang wanita sedang menjinjit sebuah beg berisi pakaian menghala ke perhentian teksi yang berada di seberang jalan. Lenggok gaya dan bentuk tubuh seakan seperti wanita yang pernah dikenalinya dulu. Serentak itu bebayang Zaimah muncul di ruangan matanya. Spontan dia membuka pintu kereta. Kaki sudah melangkah keluar dari perut Merc itu. Dalam benaknya dia perlu mendapatkan wanita itu. Dia perlu pastikan adakah wanita itu benar-benar Zaimah. Wanita yang pernah dicintai 25 tahun lepas. Walau dia tahu Zaimah sudah lama ditelan bumi, namun kata hatinya kuat menyatakan yang isteri mudanya itu masih lagi bernafas di muka bumi ini.

            “Tuan…nak kemana?”. Terkejut Pak Sahak drebar setia Tan Sri Hisyam apabila melihat lelaki tua itu sudah melangkah keluar tanpa dapat ditahan lagi. Segera dia keluar dari tempat pemandu. Ingin menegah Tan Sri Hisyam dari meneruskan langkahnya.

            “Tuan nak kemana?. Kita ada majlis ni. Nanti Encik Luqman dan Puan Sri tertunggu-tunggu pulak”. Pak Sahak mengingatkan pula tujuan mereka keluar hari ini. Namun kata-kata  Sahak tidak kedengaran langsung di telinga. Apa yang menarik perhatiannya adalah wanita di seberang sana. Segera dia memanjangkan langkah untuk ke seberang  dengan tergopoh gapah. Dia tak mahu jika terlambat langkah, wanita itu juga bakal hilang ditelan perut teksi.

            “Tuan!!!” Sahak sudah menjerit. Serentak itu satu cahaya menyuluh matanya. Dia terasa tubuhnya melayang di udara lalu tanpa sedar dia sudah terbaring di atas jalan raya. Matanya kelam dan dia sudah tidak ingat apa-apa lagi.

            “Zaimah”. Dia seru nama itu dalam hatinya.


            TEKSI berwarna merah putih itu menurunkan penumpang di perhentian teksi yang terdapat di kawasan perumahan Taman  Bukit Angkasa itu. Mencanak tubuh kurus tinggi itu melangkah keluar dari perut teksi. Mata meliar mencari arah flat Seri Cempaka yang dihuni anaknya. Walau hari sudah semakin gelap, namun persekitaran perumahan flat yang disimbahi cahaya  lampu jalan menyebabkan kawasan itu terang benderang.


Perlahan-lahan wanita itu menapak ke arah rumah dihuni anaknya. Dalam hati mengucap syukur walau sudah 2 tahun dia tidak datang menjengah, keadaan persekitaran langsung tidak berubah. Dia menghayun langkah selaju mungkin. Tak sabar hendak melihat wajah anak kesayangan yang sudah lama tidak pulang ke kampung. Apa agaknya yang dicari anak gadisnya di kota metropolitan ini walau ijazah sudah lama berada digenggaman. Entah apalah sumpah yang dibuat. Selagi belum dapat kerja yang bersesuaian, memang anak gadisnya itu tidak mahu pulang ke kampung.

            Kalau tak disebabkan kerana hal penting yang bersangkut paut dengan anak gadisnya itu, tak ingin dia datang ke kota metropolitan ini. Kota Kuala Lumpur yang mencatat kisah hitam dalam hatinya. Namun kerana rindu yang menggunung, dia redah juga menemui anaknya ini, walau hati masih terasa sakit dengan peristiwa yang berlaku 25 tahun dahulu. 

           

LUQMAN Hakimi kalut meneruskan langkah ke bilik ICU di Ampang Medical Center itu. Pak Sahak drebar abahnya masih menunggu di luar bilik. Segera dia mendapatkan lelaki tua itu.

            “Apa dah jadi?”. Tanpa sabar dia menyoal.

            “Tan Sri dilanggar kereta”. Balas Sahak berdebar-debar. Takut hendak bertentang mata dengan Luqman Hakimi. Takut jika dia dipersalahkan atas insiden yang berlaku.

            “Macamana boleh kena langgar?”

            “Masa saya nak hantar Tan Sri ke hotel. Kami berhenti sekejap di persimpangan jalan kerana lampu merah. Masa tu lah Tan Sri keluar dari kereta tergesa-gesa menyeberang  jalan. Tak sempat saya nak halang”. Balas Sahak tergagap-gagap. Luqman Hakimi sudah merah mukanya kerana menahan marah. Ada drebar pun tak boleh diharap. Dia mengomel dalam hati. Baru nak memberi sepatah dua kata berbentuk amaran pada Pak Sahak. Doktor dan jururawat yang berada di bilik ICU itu keluar dari bilik. Segera dia mendapatkan doktor tersebut. Dia perlu tahu keadaan abahnya itu.

            “Macamana abah saya?”

            “ALHAMDULILAH. Tan Sri dah sedar. Dia sudah melepasi tahap kritikal. Kami akan pindahkan dia ke wad biasa. Encik boleh melawatnya nanti”. Doktor muda itu senyum. Luqman Hakimi menarik nafas lega. Tak jadi dia hendak marah Sahak apabila mendengar perkhabaran dari doktor muda itu. Menonong dia  mengikut abahnya yang disorong keluar dari bilik ICU itu untuk dipindahkan ke wad biasa. Lega kerana abahnya sudah sedar.

“Abah okay?”. Tan Sri Hisyam mengangguk lemah.

“Mama kamu mana?”. Mata Tan Sri Hisyam meliar mencari wajah Puan Sri Khalida. Namun dia sedikit hampa kerana tiada pun bebayang isterinya itu saat dia terlantar sakit sebegini. Luqman Hakimi tidak terkata. Hendak dibohong apa lagi dia pun tidak tahu. Yang pasti memang mamanya tahu abahnya berada di hospital kerana kemalangan. Cuma sehingga saat ini dia tidak tahu kenapa mamanya belum sampai-sampai lagi.

“Mama on the way”. Cekap saja dia mencipta alasan untuk menyedapkan hati abahnya.  Tan Sri Hisyam hanya memejamkan mata. Wajah Zaimah kembali bermain di ruangan matanya. Tanpa sedar ada air mata yang menitis.

“Luqman baliklah dulu. Abah tak apa-apa. Abah nak berehat. Abah nak tidur”. Ucapnya sambil mata masih terpejam. Luqman Hakimi mengeluh. Terbit rasa sedih melihat wajah kehampaan abahnya. Dia tidak dapat meneka apa yang bermain di fikiran abahnya itu sehingga menitiskan air mata sebegitu.


“Luke balik dulu ye…esok Luke datang lagi”. Balasnya. Dia menarik kain selimut lalu menutup tubuh abahnya. Dalam hati dia mengucap syukur kerana abahnya tidak apa-apa.

Friday, 10 May 2013

Mr.Hotter Guy Bab 12


Bab 12
            Semua tetamu sudah memenuhi meja makan yang disediakan. Anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tengku Budriah sudah lama  menunggu di meja makan. Tuan empunya pemilik Empayar Berjaya Corporations saja yang masih berdiri mencacak di rostrum sambil memberi ucapan berjela. Aku yang duduk di meja makan staf hanya memerhati si kacak hotter guy sedang berucap.

Dalam hati siap aku mengutuk ucapan panjang berjelanya itu. Ini majlis menjamu anak yatim tak sesuai benar ucapan yang  panjang sebegitu. Kesian aku tengok muka anak-anak kecil itu. Ada yang meleleh air liur melihat hidangan ayam seekor tergolek di depan mata. Aku pun sudah ikut terliur. Apalah bos ni. Mendera orang namanya. Nampaknya terpaksa ikut protocol. Selagi bos tak habis berucap. Maka, terpaksalah merenung saja sampai terjojol biji mata hidangan yang menyelerakan.

Selesai saja dia mengucap terima kasih, bergema Grand Ballroom di Hotel Seri Pasific ini orang bertepuk tangan. Mungkin para hadirin nak menyampaikan rasa hati yang leganya dapat makan lepas ini. Si Hotter Guy sudah tersengih sampai ke telinga. Bangga agaknya menerima tepukan gemuruh itu. Perasan betul yang ucapannya itu membuat semua orang kagum dan terpukau. Kagumlah sangat!. Aku tambah lagi ayat mengutuk si hotter guy itu.

Acara makan dimulakan dengan telinga kami didendangkan dengan lagu dari tetamu jemputan. Kebanyakan artis yang dijemput adalah dari Kumpulan Nasyid. Hmm…bagus!. Kena dengan tema majlis kesyukuran. Hiburan yang tidak lagho. Pujiku dalam hati.

“Sedapkan sambil makan dapat dengar lagu nasyid ni?”. Shira sudah menuturkan ayat pertama setelah kami semua diam kerana kusyuk menghayati makanan. Aku hanya mengangguk sambil meneguk air mineral.

“Mestilah sedap. Semua free”. Tambah aku lagi. Shira hanya mencebik.

“Kau nikan! Tak faham betullah. Kerja dengan bos. Tapi mengutuk bos”.

“Siapa cakap aku kutuk. Aku cakap benda betoilah Cik Shira oii…Ni majlis anak yatim. Yang dibantai ucap panjang-panjang buat apa. Bukannya bebudak tu faham. Lainlah kalau audien nya rakan bisnes.” Aku masih lagi tegakkan kebenaran. Shira hanya menggeleng. Sebenarnya kesian pula aku tengok Shira. Dialah mangsa aku membebel mengutuk bos tatkala bos sedang berucap panjang tadi.

“Cakap dengan kau memang aku tak akan menang. Kau ni patut jadi lawyer bukan secretary, baru betul. Asyik loyar buruk je”. Shira pula kutuk aku. Terjegil mata aku memandangnya. Aku lap mulut dengan napkin. Kemudian segera aku bangun dari kerusi yang aku duduki itu.

“Eh…kau nak kemana?”. Kalut Shira menyoal.

“Chek nak pi layan anak-anak yatim tu. Dapat jugak chek kutip pahala dari dengaq hang duk mengata chek”. Balasku sambil menjeling manja Shira sekilas. Minah  itu hanya mengangkat bahu.

“Baguih Cik Nurin oii…anak sapalah yang baik budi ni. Teringin chek nak buat menantu”. Shira perli aku lagi. Aku jelir lidah panjang-panjang pada Shira sambil kaki melangkah menuju ke kelompok anak-anak yatim yang sedang menjamu selera. Hati tak sabar hendak membantu mana patut. Lagipun anak-anak yatim itu kiut miut saja aku tengok. Nasiblah Cik Nurin sebab tak ada adik beradik. Almaklumlah dilahirkan sebagai anak tunggal.


LUQMAN Hakimi menghabiskan hidangan dipinggannya itu. Duduk semeja dengan Andrea cepat saja membuatkan seleranya putus. Puan Sri Khalida pula tak habis dengan senyumnya. Sakit hati Luqman Hakimi memikirkan apa agenda yang bermain difikiran ibunya itu. Tan Sri Hisyam pula tidak nampak batang hidungnya sedangkan lelaki itulah yang paling gembira sekali ketika dia menyampaikan hajat hendak membuat majlis kesyukuran ini.

“Ma…abah mana?”

“Entah”. Balas Puan Sri Khalida ringkas.

“Patutnya ma datang dengan abahkan?”

“Ish…tak kuasa nak datang dengan orang tua tu?”.Puan Sri Khalida buat muka jengkel. Luqman Hakimi segera bangun dari duduknya. Dengan wajah opera cina Andrea dan sikap ibunya yang jengkel itu membuatkan dia ingin segera beredar dari meja VIP itu.

“Eh..Luke nak kemana? Tak elok buat Andrea macam tu?”

“Buat apa? Luke nak keluar sekejap. Nak call abah. Sesaklah kat sini!”. Segera dia berlalu walau ditegah Puan Sri Khalida. Mencuka wajah Puan Sri Khalida kerana dimalukan anak sendiri. Dalam hati sudah mendongkol rasa geram. Terikut perangai orang tua tak sedar dek untunglah tu!. Dia pula menjerit dalam hati.

Berkali-kali dia mendail nombor telefon milik Tan Sri Hisyam namun hanya peti suara yang menjawab. Kemudian dia telefon ke rumah. Jawapan yang diterima dari pembantu rumah Tan Sri dah lama keluar. Kusut Luqman Hakimi memikirkan kemana pula abahnya menghilang.

Dia masuk semula ke dewan. Matanya tertancap kepada tubuh kecil molek yang sibuk melayan kumpulan anak-anak yatim sedang makan. Lincah tangan itu mencedok makanan ke dalam pinggan anak-anak yatim itu. Kemudian dia sendiri menyuap makanan ke mulut seorang anak yatim yang agak lambat makan dari rakannya yang lain. Ralit Luqman Hakimi memerhati. Terasa asyik melihat layanan mesra setiausaha comelnya itu. Setiap gerak geri Nurin Kamila diperhati dengan penuh minat. Seolah sedang melihat sesuatu yang mengujakan.

“Ehem…ehem…perhati apa dari tadi? Aku yang kat depan mata pun kau tak nampak?”. Terganggu sebentar penumpuannya apabila mendengar suara Mokhtar menegurnya. Cepat-cepat dia mengalih perhatian pada Mokhtar.

“Itu…nampak gadis kecil molek sedang menyuap anak-anak tu makan?”. Mokhtar mengalihkan pandangan matanya pada arah yang ditunjuk Luqman Hakimi.

“Siapa awek comel tu?”.

“Itulah…target yang aku cakap. Cik Nurin Kamila”. Melopong sekejap Mokhtar. Dia juga ikut tertarik melihat gerak geri gadis comel itu sedang melayan anak-anak yatim.

“Kecil molek…comel. Ciri-ciri isteri mithali dan ibu penyayang pun dah nampak tu”. Panjang lebar pula Mokhtar menambah pujian. Luqman Hakimi sudah senyum meleret. Terasa Mokhtar memuji bakal isterinya pula.

“See the leg eh. Okey tak pilihan aku?”

“Kalau kau nak buat bini. Memang okey sesangat. Tapi kalau nak buat stok main-main. Itu aku tak setuju. Suci murni tu…sampai hati ke kau nak main-main?” Mokhtar sudah menitipkan nasihat pula. Luqman Hakimi masih senyum meleret. Tak percaya kawan baiknya Mokhtar yang tak kurang hebat gatal dan miangnya boleh memberikan nasihat sebegitu.

“Woo…bila masa Mokhtar dah bertukar mr.Ustaz ni?”. Mokhtar tarik sengih bila mendengar ayat perlian dari Luqman Hakimi.

“Aku cakap aje. Terpulanglah. Cumanya aku takut nanti niat kau nak main-main jadi serius pulak. Tengok gaya cik adik comel tu bukan kau yang bakal menang taruhan tu. Aku rasa dia yang bakal menang buat kau tergila-gilakan dia”. Mati sengihannya. Tak sangka Mokhtar boleh menuturkan ayat sebegitu. Dia pandang wajah Mokhtar. Serius.

“Ah…tak mungkinlah! Tak mungkin sama sekali”. Dia menidakkan kata-kata Mokhtar. Kemudian pandangan mata kembali merenung cik adik manis. Tanpa sedar kaki sudah melangkah ke arah cik adik manis di sana.


“EHEM…ehem…”. Telingaku seakan menangkap bunyi suara orang yang sedang mengalami sakit kerongkong. Namun aku buat-buat tak peduli. Ditambah pula dengan lagu nasyid yang berkumandang kuat  membuatkan aku tak pasti suara yang kedengaran tadi.

“Got U”. Ada suara mendesah yang kedengaran  di telingaku. Segera aku kalih tubuh. Hampir saja hidungku bersentuhan dengan hidungnya. Jantung sudah berdetak dengan laju. Tubuh hampir hilang imbangan. Alamak…kejang tubuh kurasakan kerana tubuh kami  yang begitu mendekat. Terasa masa seakan terhenti. Bunga-bunga cinta sudah melayang-layang di udara. Memenuhi ruang di atas kepala kami.

“Kakak…nak lagi!”. Tiba-tiba ada suara kanak-kanak mencelah. Seperti mendengar cd rosak yang cuba diputar kembali membuatkan aku tersedar. Bunga-bunga cinta yang melayang-layang sudah bertaburan di lantai. Masa kembali bergerak seperti biasa. Aku kembali ke alam nyata  tersedar dari mimpi yang karut. Dia masih tersengih dengan senyum semanis gula.  

‘Poyo…cik Nurin poyo!!!’. Segera aku memarahi diri kerana sempat lagi berimaginasi tahap tujuh petala. Aku senyum pada kanak-kanak yang menarik dress labuhku. Mulutnya sememeh dengan ais cream yang ku suap. Segera aku suap baki ais cream yang berada dalam gelas yang ku pegang tadi. Dalam hati mengucap syukur. Nasib baik aku disedarkan dari mimpi poyo oleh kanak-kanak ini.

“Cantik awak malam ni”. Satu pujian diberikan untuk aku. Terkedu sekejap. Ikhlas ke pujian itu. Senyuman masih lagi menghiasi bibirnya.

“Err…terima kasih”. Mulut pula galak menjawab. Cik Nurin kawal diri!.

“Hmm…seronokkan jadi budak-budak ni?”. Aku sudah mengangkat kening. Apa yang menariknya menjadi anak-anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah ini. Aku pandang dia dengan seribu persoalan.

“Seronok dapat makan disuap cik adik manis. Rela saya jadi budak-budak”. Dia sambung ayat yang menjawab segala persoalan yang bermain difikiranku. Aku kerut dahi. Mula-mula tak faham. Bila dia senyum sambil kenyit mata. Automatik otak aku cepat berfikir.

“Oh…err…”. Dari kerut dahi tanda tak faham cepat saja aku jadi faham. Ngee…gatalnya. Rela jadi budak-budak kerana nak disuap makan oleh aku. Nak je aku piat telinga si hotter guy yang gatal. Cik Nurin…jangan dipiat telinga lelaki bukan muhrim. Nanti penyakit gatalnya berpindah pada Cik Nurin. Aku tarik nafas. Nasib baik disedarkan oleh kata hati. Jari jemari yang tadinya sudah terangkat hendak mencubit kembali ke posisi asal. Fuh!!!. Cik Nurin…sikit lagi bakal tersasar ni!. Monologku mengingatkan lagi.

“Luke…oh di sini rupanya!”. Spontan pandangan mataku beralih pada suara menggoda yang memanggil si hotter guy itu. Gadis tepung gomak itu tanpa malu terus merangkul lengan si hotter guy. Berbulu saja mataku melihat si tepung gomak itu menggedik. Si hotter guy apalagi. Makin panjang senyumnya kerana dihimpit sebegitu. Panas dadaku melihat aksi mereka.

“Hey…you?”. Si tepung gomak menegur dengan senyum palsunya. Aku hanya membalas dengan senyum tawar. Senyum tak sepenuh hati.

“Buat apa kat sini?”. Dia menyambung soalan lagi.

“Kan I dah cakap. Dia secretary I. So…kat mana I berada atas urusan kerja. Dia wajib ada. Faham dear”. Si hotter guy  balas lembut. Alahai…bukan buat aku lebur. Tapi buat aku rasa nak muntah melihat adegan merpati dua sejoli ini.

“Sorry I lupa. Jomlah kita pergi ambil angin kat luar. Sini panaslah”. Selamba saja si tepung gomak menarik lengan si hotter guy pergi. Lelaki itu pula menonong mengikut langkah gadis gedik itu. Aku terasa nak menjerit marah. Cik Nurin…tak akan marah kot. Tak takut kena mandi bawah jambatan. Err…sekali lagi aku disedarkan oleh kata hati.

Ya…aku kena berpegang pada janji. Aku kena berpijak pada bumi yang nyata. Aku kena mengambil iktibar apa yang berlaku pada mak. Aku tak mahu apa yang berlaku pada mak terulang pada aku. Kerana orang-orang kaya inilah hidup kami anak beranak merana. Sampai sekarang aku sendiri tidak pernah mengenali siapa ayahku. Hanya kerana status darjat yang dibezakan manusia membuatkan aku terpisah jauh dari kasih seorang ayah.